PERLAWANAN
DITERUSKAN
Setiausaha Agong PKM Chin Peng telah mengadakan pertemuan sulit dengan dua orang pelajar Melayu radikal, Hishamuddin Rais dan Mohd.Yunus bin Lebai Ali di Beijing pada bulan Januari 1980. Dalam kenyataannya Mohd.Yunus mendedahkan: ".......Chin Peng mencadangkan agar Hishamuddin Rais dan saya menubuhkan Kumpulan Bersenjata Melayu jika perlu atau sesuai yang bebas dari PKM, tetapi pada peringkat awalnya PKM akan memberi latihan kepada kumpulan bersenjata dan juga bantuan lojistik sehinggalah ianya boleh berdirikari...." PETIKAN dari KERTAS PUTIH OPERASI LALANG
Aku telah mengambil keputusan. Perlawanan akan diteruskan. Mustahil aku tidak bangun melawan. Aku dalam kota London bukan di Kuala Klawang. Kawan-kawan sekepala telah mula ramai. Jaringan sokongan semakin kukuh. Mat Salleh dan Minah Salleh juga telah datang untuk memberi sokongan.
Semuanya hasil dari usaha persendirian dari Jomo, Lucy, Rohana, Joe dan aku sendiri. Inilah usaha kami sebagai warga yang bertanggung jawab di luar negara. Dimana pun kami berada kami masih memikul tanggungjawab sebagai warga.
Benih kelapa yang baik walau pun hanyut dipukul ombak terdampar akan menjadi sebuah pulau.
Aku sendiri yang sudah lama meninggalkan Malaysia mungkin tidak memilik sanad. Tidak saperti Jomo dan Udo menjadi perawi saheh tentang Operasi Lalang.
Untuk aku yang saheh hanya satu - Operasi Lalang telah membuat kocakkan dalam kota London.
“ Kalau di London pun takut nak melawan kezaliman... baik potong kote....’ Aku mendengar kata-kata anak muda bernama Anwar dari Tampin.
Aku kenal Anwar secara tak sengaja pada tahun 1984. Aku sekapal dengan Anwar dari pelabuhan Dover England ke pelabuhan Ostend Belgium. Anwar ini datang pelajar kemudian berhenti. Bila kami berkenalan dia bekerja di sebuah pub di South London. Kami jadi kawan – satu lagi kawan Melayu aku di London.
Pub Anwar bekerja ini hebat. Anwar bersurah yang dia pernah melayan Al-Pacino di pubnya ketika pelakon ini membuat penggambaran filem Revolution di UK. Anwar ke Brussels untuk ‘dirty weekend ‘ bercuti dihujung minggu. Aku nak pulang ke kampung aku di Wavre.
Wajib aku kesahkan disini bahawa peranan pelajar Malaysia di United Kingdom, di Australia dan New Zealand amat-amat penting. Bukan penting untuk tanah air sahaja tetapi penting untuk gerakan pelajar antara bangsa. Pelajar Malaysia telah memangkin aktiviti pelajar tempatan dan pelajar dari negara lain.
Di Australia, di UK dan di New Zealand – majoriti pelajar luar negara datang awalnya dari Tanah Melayu kemudian dari Malaya dan akhirnya dari Malaysia. Mereka datang dengan biasiswa kerajaan atau Colombo Plan atau dihantar oleh ibu bapa. Pada zaman ini belajar adalah percuma di UK, Australia, Canada atau New Zealand walau pun pelajar dari negara luar.
Sistem belajar percuma ini hanya wujud di German hingga ke hari ini. Di German pembelajaran masih tidak dijual beli. Yang dijual beli hanya Mercedes, BMW dan Audi.
Di Australia aku ada pengalaman sendiri. Aku datang dua kali ke Australia. Kali pertama hadir ke Persidangn Asian Students Association (ASA) di Melbourne – Jun 1974. Kali kedua aku dijemput sebagai tamu oleh Australian Union of Student (AUS) pada tahun 1975
Sebelum aku sampai ke London aku telah mengetahui beberapa persatuan pelajar Malaysia di UK. Setiap kampus jika ramai pelajar Malaysia maka akan diwujudkan MSU/MSA – Malaysian Student Union atau Association.
Negara kapir yang bernama United Kingdom ini memberi kebebasan kepada pelajar luar negara. Buat lah apa sahaja, dirikan apa sahaja persatuan, susunlah apa bentuk organisasi. Yang dilarang – jangan mengganggu hak orang lain. Ini dasar negara kapir UK yang berpandukan hukum hakam yang dibuat dalam Parlimen.
Terbukti pelajar Malaysia mengambil peluang untuk bergerak bebas di UK. Gerakan pelajar Malaysia di United Kingdom memang terkenal. Pernah satu petang dimusim panas 1975 aku bertemu dengan satu kumpulan pelajar Iraqi yang pulang bercuti dari London Kami bertemu di Ibu Pejabat Persatuan Kebangsaan Pelajar Iraq - NUIS – (National Union of Iraqi Student ).
Ketika itu aku menjadi tamu NUIS. Aku menginap di Hotel Ambassador Jalan Abu Nawas Baghdad. Di hadapan hotel aku ialah Sungai Dajlah. Di seberang sungai ialah kawasan larangan Istana Presiden.
‘ You are from Malaysia....ah lan wa sah lan... welcome welcome... I knew Malaysian students in London... they are very active ... but... they are all Maoist...‘ Salah seorang pelajar Iraqi ini memberi pencerahan kepada aku yang belum pernah sampai ke London.
“Oh... that is intresting... ‘ Aku menjawab dengan tersenyum. Dalam kepala aku teringat akan kumpulan New Malayan Youth yang sejarahnya amat gilang gemilang di United Kingdom.
Sebagai Setiausaha Agung PMUM aku selalu menerima bahan bacaan dari pelajar-pelajar Malaysia di luar negara. Majalah New Malayan Youth adalah antara majalah yang kerap aku terima.
Pada satu petang aku dapat panggilan talipon. Sosok ini memperkenalkan dirinya sebagai Toni Kahane. Dia penulis bebas yang tidak terikat dengan mana-mana akhbar. Sosok ini bercadang mahu menulis tentang Operasi Lalang untuk akhbar The Guardian.
The Guardian ini akhbar liberal-kiri. Pembaca terdiri dari intelektual dan warga profesional penyokong Parti Buruh. Aku sendiri membeli akhbar ini. Setiap pagi dalam perjalanan ke kampus aku akan membelinya di stesen tube Bromley-by-Bow.
The Guardian terbit 6 hari seminggu. Pada hari Ahad kakak kepada Guardian muncul – The Observer. Dua akhbar ini membawa suara dan garis sosial demokrat untuk masyarakat British.
Dari apa yang aku difahamkan Toni telah mengumpul bahan. Cuma dia tidak memiliki gambar yang perlu ikut sama dengan rencana Operasi Lalang yang sedang digarap.
Toni menalipon kerana aku belajar di sekolah filem. Toni ingin tahu apakah aku memiliki apa-apa gambar yang releven untuk rencana ini.
Opps... Nasib baik. Dalam simpanan aku ada gambar Dr Chandra Muzaffar. Chandra sedang dalam penjara ketika Toni menalipon aku.
Seminggu kemudian rencana Operasi Lalang diterbit disebelah lidah pengarang dalam The Guardian. Gambar Dr Chandra telah digunakan. Aku tersenyum puas. Kawan-kawan aku dalam kelas hampir tak percaya bagaimana gambar dari aku telah digunakan oleh The Guardian. Aku bukan profesional. Aku baru masuk belajar tahun satu. Aku sedar bukan mudah gambar akan digunakan oleh The Guardian.
Toni memberi aku 70 Sterling Pound untuk sakeping gambar Dr Chandar Muzaffar.
Jelas propaganda kami tentang Operasi Lalang telah ranum.
Maka pada pagi Sabtu yang ditetap dua bulan sesudah Operasi Lalang – kami mengadakan seminar pelajar Malaysia di Dewan Pelajar di Malet Street. Dewan ini milik NUS – National Union of Student – Persatuan Kebangsaan Pelajar United Kingdom. Dewan ini tidak jauh dari SOAS – The School of Oriental and African Studies.
Jomo memainkan peranan. Jomo memberi penerangan. Lucy yang suami dan adiknya ditahan berucap sama. Aku juga memberi penerangan. Aku yang telah lama meminggalkan Malaysia bukanlah pembawa perawi saheh saperti Jomo yang sanad dan nasnya dianggap saheh.
Seminar di Malet Street berlangsung dari pagi sampai petang. Lebih dari 30 mahasiswa Malaysia datang – majoriti pelajar Melayu. Kami makan nasi bungkus tengah hari itu. Aku pesan dari restoran Satay House.
Aku merasa senang hati kerana propaganda dan iklan aku dalam akhbar pelajar PCL telah berjaya menjemput ramai khalayak. Tulisan Toni dalam The Guardian juga membantu.
Ketika perbincangan berjalan mata aku liar mencari yang mana satu kakak kepada K.K Tan. Kalau kalau dia hadir sama.
Tetiba di akhir program seorang anak muda datang menghulur tangan kepada aku.
‘ I’am K.K Tan brother... I studdy Engineeing ... same like you ...same like you at PCL.....my brother now in Kamunting.‘
Oh. Kakak tak datang. Tapi adik kepada K.K. Tan sampai.
Tetiba dua hari kemudian talipon aku berdering. Bila aku angkat tak ada suara di hujung sana. Bila aku letakan ianya berbunyi lagi. Talipon aku berbunyi tanpa henti henti.
Dalam kepala aku terlintas - ini mesti kerja SB yang menyamar bertugas di Pejabat Kedutaan Malaysia.
Panggilan kosong ini mengganggu aku. Lalu aku letakkan bantal untuk menutup bunyi deringan talipon.
Lalu aku teringat kembali apa yang telah berlaku pada satu petang dalam stesen kereta api bawah tanah di Picadilly Circus. Ketika itu aku dengan seorang kawan sedang merakam projek filem tahun akhir aku untuk Brixton College. Aku sedang merakamkan saketul hati lembu yang turun naik di eskalator. Aku menggunakan filem super8.
Tertiba seorang anak muda Melayu datang menghulur tangan. Aku lupa namanya. Aku pun lupa dari kampus mana dia belajar. Aku lupa kerana aku merasa terganggu dari apa yang sedang aku lakukan ketika itu. Yang aku ingat dia jantan Melayu agak kurus dan kulit agak hitam.
Mamat ini meminta numbor talipon rumah aku. Dia semacam mendesak. Untuk meneruskan apa yang aku sedang buat aku sebutkan number talipon aku. Kemudian dia beredar.
Kenapa dia perlu menalipon aku? Aku pun tahu. Aku amat jarang memberikan number talipon kepada sosok yang tidak rapat dengan aku. Petang itu agak ganjil kecuali... kecuali apa?
Kecuali yang meminta numbor talipon aku Minah cun langsing dan bergetah. Minah ini tak perlu meminta. Aku sendiri akan menghulur number talipon aku dengan senyum manis yang tak putus putus. Dengan harapan dapat bertemu kembali.
Kenapa Mamat kurus berkulit hitam itu aku ‘ syaki’? Hanya perasaan curiga aku akibat deringan yang menggangu.
Esoknya aku pergi ke pejabat British Telecom di Shaftbury Avenue. Aku mengajukan laporan gangguan. Pegawai yang bertugas mengambil laporan dari aku. Di Pejabat British Telecom ini aku ternampak iklan Peti Jawapan Talipon. Tertbaik. Lalu aku membeli Peti Jawapan. Bantal tidak diperlukan lagi untuk menutup talipon aku.
Bila aku ada answering machine - kawan-kawan memperli aku yang kini cuba-cuba nak menjadi Yuppie. Pada tahun 1987 mesin ini jarang digunakan. Kawan-kawan aku tidak tahu apa kesah di belakang mesin ni.
Di kampus aku pergi berjumpa pensyarah aku Mister Ian Green. Aku rasa pensyarah muda ini lebih bersimpati. Aku bersurah kepadanaya tentang Operasi Lalang dan apa yang telah berlaku di Malaysia. Aku juga bertanya apakah Malaysia dan UK ada penjanjian ektradiksi.
Aku lakukan semua ini untuk menenangkan perasaan.
Kemudian aku kembali menjadi Londoner. Hidup aku kembali saperti biasa. Aku di fahamkan Yunus telah di hantar ka Kamunting bersama yang lain lain. Ada yang dibebaskan salepas dua atau tiga bulan. Aku dengar Dr Chandra pun telah dibebaskan.
Kemudian Rohana membawa berita baik. Suaminya Jasni akan datang bercuti. Ketika ini Rohana masih mengikuti kuliah di Warwick Universiti. Thaera peminat setia Bros masih lagi bersama Rohana. Irene masih lagi bersama suaminya Joe di Warwick.
Dari lapangan terbang Heathrow Jasni singgah ke Bromley by Bow. Ini kali pertama aku berjumpa Jasni.
Dia membawa surah tentang Yunus. Jasni bercerita tentang Ibu Yunus . Seorang ibu yang jujur dan tidak mengetahui apa itu Kamunting dan ISA. Ibu Yunus memberi ingatan agar Yunus tidak lupa seluar mandi ketika Yunus ditangkap. Pesanan ini timbul kerana anak jantannya Yunus suka berenang.
‘ Isham... kau tak tahu... Rohana... Irene dan Jomo ... semua selamat... kalau tidak tiga tiga ekor ini pun kena dibungkus oleh Mahathir....’ Jasni memberi pencerahan.
Aku hanya mendengar.
‘ Rohana dan Jomo ini.. geng Nadi Insan yang awal... semua geng Insan kena ngap... Cecelia.. Heng Leng... Dr Nasir.... nasib baik .... mereka ini terbang awal ke London...’
Aku hanya mendengar.
Kemudian Jaseni bercerita lagi apa yang berlaku ketika Operasi Lalang . Dia mendapat tahu tangkapan sedang berjalan. Dia merasa amat cuak kerana Rohana juga dalam kumpulan Insan. Maka secepat kilat Jasni bergerak.
‘ Aku masuk ke bilik bacaan Rohana dan mengumpulkan semua buku buku Rohana. Apa saja buku yang ada bau bau bacang dengan Marx dimasuk ke dalam kotak....’
Aku hanya mendengar.
‘ Malam itu aku masukan semua buku dalam kotak... masuk dalam kereta dan terus ke Jambatan Pulau Pinang...”
‘ Jambatan mana? ‘ Aku tak tahu apa itu Jambatan Pulau Pinang. Semasa aku di Malaysia kalau nak masuk ke Tanjung wajib naik feri.
‘ Oppp... kau belum tengok lagi...depan USM.... sampai tengah jambatan aku buangkan semua buku buku itu... semua selamat ke dalam laut......’
‘ Termasuk buku Groucho Marx ...’ Aku melawak.
‘ Kau ingat SB tahu siapa Groucho. Marx.. nampak tertulis nama Marx saja ... semua kena tangkap... Graoucho ke tak Groucho...’ Kami ketawa.
Kesah Jasni membuang buku ke dalam laut ini mengingatkan aku kepada surah yang aku pernah dengar dari aktivis Pilipina.
Presiden Marcos telah membuat serbuan ke dalam kampus Universiti Philipine untuk menangkap pelajar kiri, Marxis dan komunis. Marcos baru sahaja mengistiharkan darurat. Polis diberi arahan untuk mengeledah bilik pelajar.
‘ I am anti-communist...’ Kata seorang pelajar yang tidak puas hari biliknya digeledah.
‘ I don’t care what type of communist you are...’ Pelajar ini ditangkap.
Bila aku dengar surah dari Jasni ini baru aku sedar betapa baiknya nasib Jomo, Rohana , Irene dan Lucy
Aku kembali menjadi pelajar, pelayan restoran dan Londoner. Satu hari aku terima panggilan dari Jomo. Dia berkata ada wartawan dari Far Eastern Economic Review nak bertemu bual dengan aku. Aku kenal majalah ini. Majalah mingguan politik dan ekonomi yang diterbitkan di Hong Kong.
Aku telah mengikut dan membaca majalah ini semenjak tahun 1969 ketika aku di Kuala Kangsar. Perpustaakan Kolej Melayu melanggan majalah ini. Arwah Muzafar Tate yang memperkenalkan aku dengan majalah ini.
‘ Mister Rais... have you met Ching Peng...’ Ini soalan dari Minah wartawan dari Hong Kong ini.
EPILOK
Kertas Putih Operasi Lalang dikeluarkan oleh Mahathir. Nama aku terlibat sama.
Yunus Ali di tahan selama dua tahun di Kamunting.
Irene Fenandez pulang ke Malaysia beberapa bulan kemudian. Irene tidak ditangkap. Suaminya Joe selamat menyelesaikan ijazah di Warwick University.
Jomo meneruskan cutinya di Cambridge Universiti. Isterinya juga sedang menyiapkan Phdnya di Cambridge.
Rohana pindah dari Warwick Universiti dan tinggal di 44 Newmill House. Dia tinggal di rumah aku hampir satu tahun untuk membuat kajian di Jabatan Kolonial Kew Garden London. Phdnya siap dua tahun kemudian.
Lucy dan anaknya Natasha terus tinggal di East End London. Lucy mendapat ijazah undang-undang dan kini terus menetap di London. Suaminya John satelah dibebaskan dari Kamunting datang ke London. Natsha anak gadis Lucy menjadi pelakun dalam filem akhir aku – Malaysian Werewolf in London 1991.
K.K. Karen masih berada di London. Bulan April 2019 ketika aku di London aku pergi melawat K.K. Aku menemui dia di rumah rawatan di mana anaknya sedang berubat kerana dilanggar kereta.
Thaera masih meminati Bros. Thaera pulang lebih awal ke Malaysia dari Rohana. Aku masih ingat ketika menghantar dia ke Heathrow aku berkata mungkin kastam akan menahan dia atas tuduhan menyeludup jam tangan. Thaera masih memakai dua jam tangan – kiri dan kanan – feshen ketika itu.
Aku putus hubungan dengan dengan Anwar dari Tampin. Sudah pulang ke Tampin atau masih di London?
Misteri Ian Green kini menjawat pensyarah kanan di Jabatan Filem di University of Westminister.
Majalah Far Eastern Economic Review keluaran akhir pada Disember 2009. (TT)
TULISAN INI JUGA DISIRKAN
DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
Aduhai..sayangnya buku dihumban di laut.
BalasPadamIsham, lu kenal ke siapa karl, siapa groucho? Gambar terbalik!
BalasPadam