Rabu, 17 Mac 2021

BINTANG TIGA



 

BINTANG TIGA


Jepun  mendarat di Kota Bahru pada 8 Disember 1941. Soldadu Jepun bergerak  bertempur dan berbasikal ke Selatan untuk menawan Singapura.  Dari satu mukim ke satu daerah Jepun  berjaya mengalahkan  tentera Inggeris.  

Soldadu Inggeris bersama askar upahan dari negara  tanah jajahan – dari India dan Afrika -  cuba bertahan melawan Jepun.   Soldadu Inggeris meletupkan  jambatan penghubung jalan sebagai taktik untuk melambatkan  pergerakan soldadu  Jepun. 

Berjaya melambatkan Jepun tapi gagal untuk mengalahkan Jepun.

Hasilnya: Jepun mengambil lebih dari satu bulan untuk  berjaya mengalahkan kuasa kolonial Inggeris. Seluruh Tanah Melayu menjadi tanah jajahan Jepun pada 31 Januari 1942.

Jepun sampai ke Kampung Tengah  berbulan bulan kemudian. Pusat pentadbiran  Jepun untuk Negeri Sembilan pastilah di Seremban. Untuk Kampung Tengah   di Kuala Pilih. 

Di Kampung Tengah  Sekolah Tengkek telah dijadikan pusat penempatan askar  Jepun untuk mengawal kawasan pedalaman. Sekolah Tengkek ini juga menjadi kepok padi Jepun.

Cik Gu Zaleha Sidek masih setia menjadi guru bersama guru besar Cik Gu Bador. Kini  Sekolah Tengkek di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran  Jepun.  Masuk tahun ke dua di bawah kerajaan Jepun  Cik Gu Zaleha   telah mula boleh mengajar  bahasa Jepun kepada murid sekolah. 

Mengikut surah Emak aku  dia  belajar dan memahami bahasa Jepun dalam masa 6 bulan.  Emak aku belajar dengan tekun. Dalam masa yang sama Emak aku juga takut dengan askar Jepun. Belajar dalam takut.

‘ Mak raso dalam enam bulan Mak belajar... baru dapek...’ Pencerahan dari perawi sahih.

Abah aku Rais Manaf juga  telah boleh bertutur  dalam bahasa Jepun.  Ini kerana Abah aku telah direkut oleh Jepun untuk menjadi  pengawal  kepok padi dan bahan makanan yang terkumpul di Sekolah Tengkek.

‘ Masa tu susah boto... Mak takut bila nampak askar Jopun tu... orang kampung lagi takut... makanan makin susah... padi tak  jadi... Abah  kau dah  jadi pengawal Jopun...bukan ada gaji..’

Emak aku juga  pernah bercerita tentang satu penyakit  yang melanda orang kampung di musim Jepun. Mengikut Emak aku orang yang jatuh sakit kelihatan pucat, tembam dan sembab. Bila dicucuk peha atau lengan  dengan jari lekuk akan muncul.
‘ Sakit apa ni Mak ?’

‘ Beri beri ... sebab tak makan nasi ....kurang zat makanan .. ubat pun tak ado... masa itu demam kura pun banyak... ubat kuinin belum ada...  yang ada bomoh   menjampi air kelapa...’

Bila Emak aku bercerita aku hanya merakam untuk  dijadikan ingatan.  Aku tidak dapat merasa apa-apa keperitan dalam suasana perang.  Aku cuba berkhayal melayari zaman Jepun yang dilalui oleh Emak dan Abah aku  tapi gagal.   Perit telinga mendengar perit lagi  badan dilanda perang.

Aku masih tidak dapat gambarkan bagaimana soldadu Jepun itu merayau-rayau dalam kampung aku. Apakah  ada askar Jepun  terkencing bawah pokok manggis depan rumah Tok Wan aku.  Berapa  banyak orang kampung  yang telah  pernah dipaksa oleh Jepun memanjat pokok kelapa bila Jepun  haus dahaga. 

Aku tidak dapat juga menggambarkan basikal apa yang dinaiki oleh  Jepun itu. Apakah basikal Jepun itu sama seperti  basikal Raleigh milik  keluarga kami. Satu satunya basikal yang terus digunakan oleh Emak dan Abah  dari Kampung Tengah hingga ke Sekolah Tapak.

Hari ini bila aku melihat Sekolah Tengkek aku cuba  membayangkan rupa bentuk sekolah atas tanah yang beratap  rumbia, berdinding papan dan berlantaikan simen.  Dari ingatan aku  depan pintu masuk ke sekolah  pokok chiku depan. Pokok ini besar dan redang. Pasti pokok ini telah ada di zaman Jepun.

“Malam tu ... entah pasal apa Abah kau tak pergi berkawal...’ Emak aku memulakan surah.

‘ Nasib baik  betul... malam itu lebih 10 orang China datang... hari dah malam... Jepun masa itu tak ada... semua balik ke  Pilah...’

‘ China apo  datang Mak? ‘

‘ Chino Bintang Tiga...’

‘ Bintang tiga ini apa Mak...’ Aku tak sabar nak tahu.

‘  Chapiau dia ada gambar tiga bintang...’

‘ Chapiau ni apa Mak...”

‘ Topi.. topi hijau tiga bucu .. tengah-tengah ada  gambar  tiga bintang merah..’

Aku telah mendengar surah sahih  Bintang Tiga ini dari mulut Mak aku sendiri.  Surah sahih ini ialah  kesah  satu malam bila Kumpulan China Bintang Tiga sampai  ke Sekolah  Tengkek.  

‘ China ni  ada bawak senapang.... kemudian China ni mengumpulkan orang kampung.. mana yang dekat sempat datang ke sekolah awal.... Yang jauh kena panggil  datang. .. rumah kita jauh .... Mak Abah tak tahu hal...malam tu...Abah tak berkawal malam tu..’

‘ Chino ini panggil orang kampung... nak bagi tahu orang kampung hal Jepun... nak  mengajar orang kampung cara nak melawan askar Jepun...’

Menurut Mak aku apabila  Pasukan Bintang Tiga ini sampai ke kawasan sekolah seorang  kepala   Bintang Tiga ini telah memanggil  Usop yang berkawal  malam itu.  Si Usop ini telah  di dudukan  atas  kerusi  dalam  sekolah. Kerusi agak tinggi agar orang kampung semua nampak. Kemudian China  Bintang Tiga mengikat Usop.

‘ Ini cara nak mengikat Jepun... Chino tu mengajar orang kampung...Usop jadi contoh.... Usop jadi Jepun..’ Emak aku meneruskan ceritanya.

‘ Lepas mengikat Usop ...Chino ni juga mencari  Abas... tapi Abas tak ada di rumah... tak jumpa  Abas...  Abas ni agak  kaya di Kampung Tengkek...’

Emak  menyambung cerita ‘....  China dengan senapang masuk ke rumah mencari Abas... tak jumpa... tapi  Abas  bukan hilang...  ..dia nampak  semua yang berlaku. Rumah Abas tak jauh dari sekolah.   Bila sahaja Abas terdengar  Bintang Tinga sampai...   dia  lari  dan terus  memanjat pokok  jambu batu di belakang rumah...  dari puncak pokok ini dia nengok apa yang berlaku  di Sekolah Tengkek.’

‘ Pasal apa China nak cari Abas Mak...?  Aku makin tak sabar nak tahu apa seterusnya berlaku.

Emak aku menggeleng kepala.  Emak aku  cuba mengingati apa yang  ia dengar telah berlaku pada malam itu.

‘ Kemudian Ketua Bintang Tiga bagi tahu... kalau nak  buka tali ikat Usop... kena bayar sekati emas...’

Aku terperanjat bila Emak aku sampai ke babak ini. Dengan pantas aku bertanya , ‘ Bayar dengan emas.... pasal apa Mak... sapa ada emas banyak itu... ?’ 

‘ Kakak Usop meraung.. manangis... malam tu juga.. sedara mara Usop  mengumpul  gelang tangan, gelang kaki, gelinyar,  cincin, rantai  , loket... orang kampung  mana yang ada  sedekah juga...  semua takut... Bintang Tiga ni ada senapang...’

Ketika ayat ini disampaikan oleh perawi  Zaleha Sidek  kepada Hishamuddin Rais -  aku tidak faham siapa dan apa dia  Bintang Tiga. Kenapa China  ini  ada senjata. Aku tidak tahu dari mana China ini datang.

‘ Dari mana China ni datang.. dari Padang Lebar ke?’

‘ Dari hulu hutan ... bukan dari Padang Lebar... dari arah Guntur kampung  sakai ... dari Ulu Guntur..’

‘ Tak cukup dengan emas  sedara Usup bawa saekor lembu jantan... bagi pada   China Bintang Tiga...’

 Suara Mak aku menjadi sayu bila surah ini sampai ke detik  ini. Aku sendiri pun dapat  merasakan  betapa sedihnya sedar mara Usop pada malam itu. Dia hanya pengawal kepok padi Jepun.  Usop orang kampung   yang dipaksa oleh Jepun.  Usop  telah dijadikan  orang tebusan oleh Bintang Tiga.

‘ Syukurlaaa... Abah kau tak mengawal malam itu...’ Emak aku menarik nafas panjang mengingatkan kembali  babak ini.

‘ Usop .. bebas laaa lepas tu... ‘ Aku mahu Mak aku menyambung cerita.

‘  Tali pengikat Usop di buka...bila  dah  dapat emas  dan lembu..  kemudian semua orang kampung disuruh pulang...’   Emak aku berhenti sabentar. Aku lihat linangan air mata  bila Mak aku  sampai ke babak ini.

‘ Tertiba ketua Bintang Tiga beri arahan... padi Jepun semua di bakar....  tiga empat orang China mula  mencucuh api pada padi ... sekolah   Tengkek   dibakar  malam tu...’

Aku terperanjat bila sampai ke babak ini dan terus bertanya. ‘ Buku dan meja Mak kena bakar sekali?’

‘  Buku habis... padi meletup -meletup macam nak buat emping....   bau padi terbakar sampai ke rumah kita...  nampak asap mencanak naik ke langit...tapi Mak tak tahu apa yang terbakar.... nampak asap ...’ 
Sekolah Mak aku terbakar ini menjadi detik sejarah  yang hitam dalam ingatan Mak aku. Ini kerana Sekolah Tengkek ini ada khutub khanah – ada banyak buku terkumpul ini  oleh Guru Besar sosok yang cintakan ilmu.

‘ Lepas sekolah dibakar  China tu bergerak menuju ke hutan... bila  China dah tak ada orang kampung datang keluar ... gotong royong ambil air di perigi ..padam kan api... dalam sejam orang kampung dengar bunyi tembakan...  Mak agak lembu sekor tu kena tembak ... ambil daging... ‘

‘ Semua sekolah dibakar ? ‘

‘ Sebelah... orang kampung sempat padamkan yang lain... esoknya Mak  nengok  sekolah  Mak kena  terbakar .. Mak nangis....pagi tu bila Mak sampai asap ada lagi...’

Surah dan ayat-ayat zaman Jepun ini aku pungut  di zaman Inggeris telah berkuasa kembali.  Perawi sahih aku ialah Mak aku sendiri yang sekolahnya dibakar Bintang Tiga.  Kesah-kesah Jepun dan Bintang Tiga ini aku dengar ketika aku belum masuk sekolah. 

Dalam   tahun 1958 Emak aku pindah dari Sekolah Umum Kuala Klawang B ke Sekolah Umum Batu Serambai Ulu Klawang. Aku baru masuk darjah dua. Ketika itu Guru Besar ialah Cik Gu Harith. 


Sekolah papan bertiang  dan bertangga batu ini   tidak ada bilik.  Bilek  darjah  dipisahkan oleh skrin yang boleh dialih alih untuk dijadikan bilik. Ada sebuah almari yang juga dijadikan tembok bilik. Almari berkunci ini berhampiran meja guru besar. Almari ini  penuh dengan buku cerita.  

Emak aku yang  tinggal dalam  berek sekolah telah diberi kunci sekolah termasuk  kunci almari buku ini.  Aku mengambil kesempatan.  Setiap hari cuti sekolah aku dengan abang aku – Anuar  akan masuk ke sekolah dan membuka almari buku ini. Kami akan membaca buku. Kemudian kami berborak bertukar cerita. Abang aku  baca buku lain dari apa yang aku baca. Dengan cara ini kami cepat dapat tahu buku mana yang seronok dan wajib dibaca.

Di Sekolah Umum Batu Serambai  ini aku  dapat membaca buku Nyawa Di Hujung Pedang  cerita yang ditulis  Ahmad Murad Nasaruddin.  Buku ini dicetak lepas  Jepun kalah pada tahun 1946. Masa itu aku  membaca buku ini aku berada dalam darjah tiga.

Satu lagi buku yang amat  menarik untuk aku  ialah Leftnan Nor Pahlawan Gerila tulisan Aziz Zakaria (1959).  Untuk pertama kalinya aku berkenalan dengan perkataan gerila. Dalam darjah tiga aku tak tahu pun apa makna  perkataan gerila ini.

Yang menarik aku ialah kumpulan Force 136 melawan Jepun. Kesah Leftanan Nor  dengan payung terjun ini menjadikan aku berangan-angan untuk mencuba memakai payung terjun. Akhirnya aku berjaya mencuba. Aku  terjun memakai kain sarung dari  pokok  Kelepong  tepi sungai. Aku   terjun   menjunam masuk ke dalam sungai di tepi surau Lebai Johari di Kampung Batu Serambai. 

Kemudian aku dengar filem Sarjan Hassan dengan P.Ramlee sebagi hero. Filem ini keluar pada tahun 1958. Tapi aku tidak dapat melihat filem ini kerana Panggung Ruby Theater di pekan kampung aku Kuala Klawang tidak menayangkan  filem keluaran  Shaw Brothers.   Panggung  Ruby di Kuala Klawang  hanya menayangkan filem Melayu dari Cathay Keris. 

Aku hanya mendengar dan membaca nama Sarjan Hasan, nama P. Ramlee dan  nama Salleh Kamil melalui Utusan Melayu.  Pada tahun 1965 baru aku dapat menonton  Sarjan Hasan apabila sebuah panggung  kayu di buka di pekan kecil Petaling.   


Buku cerita zaman  Jepun yang aku baca ini mengsahihkan lagi surah-surah yang telah aku dengar dari Emak aku.   Cerita Sarjan Hasan ini memberikan aku gambaran tentang keganasan soldadu Jepun.  Omar Rojek yang menjadi  kepala Kempetai Jepun membawa  watak Jepun yang menakutkan.

Kini giliran aku  pula  membongkar  dan merakamkan kembali apa yang berlaku kepada keluarga aku – satu keluarga Melayu  di sebuah kampung  pedalaman.(TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DLAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/03/17/bintang-tiga-masuk-kampung/


1 ulasan:

  1. Seronoh baco cerito JOPUN wareh. Tiap minggu essey follow, sodih pun ado, goli dan golak hingga sakit porut pun ado , Jangan lupo masuk kan ceto orang kampong makan Ombut pisang dan ubi gadong,Dongar ehh ubi gadong tu beracun tetapi orang kampong sebolom masak di rondom dalam sungai hinggo ado seranggo air mula rapat hondak memakan.Nick name lobai JOHARI tu lobai JURI.

    BalasPadam