BUDAK CHINA
DAN
BUDAK MELAYU
Emak aku berasal dari Kampung Tengah Tengkek Kuala Pilah. Abah aku lahir dari kampung Chenor Kuala Klawang Jelebu. Mereka bertemu dan jatuh cinta di Pelangai Kuala Pilah.
Abah aku dari Kampung Chenor menyemenda ke keluarga sebelah perempuan ke Kampung Tengah. Menyemenda ini adalah konsep peraturan Adat Perpatih di mana Sang Suami wajib mengabadikan diri kepada keluarga sebelah perempuan.
Perempuan adalah kunci kekuatan Adat Perpatih. Dalam istilah kajian sosiologi moden Adat Perpatih mengamalkan sistem matrilineal.
Di Tanah Melayu hari ini wujud dua daerah yang di panggil Chenor. Satu daerah Chenor berhampiran dengan Temerloh Pahang . Dan satu lagi Kampung Chenor di Jelebu Negeri Sembilan. Chenor Pahang dan Chenor Jelebu ini ada pertalian rapat. Manakala Jelebu satu daerah dalam Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pahang.
Ketika aku masuk darjah satu tahun 1957 di Sekolah Umum Kuala Klawang B - aku telah mendengar surah tentang asal usul nama Jelebu.
Nama Jelebu ini diriwayatkan sebagai nama dari seorang Tok Batin Orang Asli yang mati lemas dalam Sungai Teriang. Mayatnya Tok Batin ini tidak dijumpai. Kemudian kebun peninggalan Tok Batin Jelebu ini ditumbuhi oleh buah labu yang menjalar subur. Semangat Tok Batin ini dikatakan menjelma dalam labu. Dari labu yang menjalar subur ini menjadi Jelebu .
Di Kampung Kemin dan Kampong Kelaka di Ulu Klawang ada kampung Orang Asli. Di Gelang Petasih ada kampung Orang Asli. Di Kenaboi Chennah ada kampung Orang Asli. Di Kerangi Pertang ada kampung Orang Asli.
Dari segi sejarah kita memahami bagaimana Orang Asli ini telah diasak oleh pendatang baru Pro-Melayu yang kemudiannya menjadi Melayu.
Atau mengikut surah Tok Wan aku yang bukan ahli sejarah atau sosiologi perbezaan antara kami yang jadi Melayu dengan Orang Asli hanyalah kerana tujuh keturunan dulu kami telah menerima Muhamad sebagai Tok Penghulu. Itu sahaja.
Tok Wan aku tidak menggunakan konsep Nabi untuk Muhamad. Tok Wan aku hanya memakai darjat Tok Penghulu untuk menerangkan sosok yang bernama Muhamad kepada aku cucunya. Konsep Tok Penghulu ini lebih menyakinkan aku budak Sakai dari suku Biduanda.
‘ Kito dengan rayat ni samo... kito terimo Tok Penghulu kito Muhamad... Rayat tak ado...’ Tok Wan aku memberi pencerahan siapa Muhamad ini.
Orang Melayu di Kampung aku menggunakan – rayat – untuk mengklafikasikan Orang Asli. Konsep Orang Asli dan Orang Asal ini semuanya sampai kemudian. Sakai dan rayat ialah perkataan asal dalam alam dimana aku dibesarkan.
Ke Jelobak ke Jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Kalau kono komat Jelobo
Tak merano badan merasai
Pantun ini adalah simbol Jelebu. Mustahil ada warga Jelebu yang tidak pernah mendengar pantun ini. Padi simbol kehidupan. Manakala komat ialah ilmu Sakai. Komat ini ilmu yang bersangkutan dengan ilmu cinta kasih sayang. Minyak cenduai, minyak kekasih, buluh perindu ubat guna-guna – semua ini adalah komat Sakai.
Jika Sakai ini mengenakan ilmunya maka sasaran akan merana. Merasai ini ialah kecewa yang maha sangat hingga membawa maut. Mati kering seperti belalang yang menjadi mangsa perangkap labah-labah.
Pantun adalah bahasa pengucapan yang digunakan untuk menggambarkan adat istiadat budaya warga Jelebu.
Sungai Petasih airnya doreh
Kayu lalu lintang pukang
Adat Petasih amatlah koreh
Anak daro boleh diutang
Pantun ini melawak dan menganjing pada adat istiadat warga Kampung Petasih satu mukim dalam daerah Jelebu. Dilawakkan bagaimana adat kampung ini amat keras sekali hinggakan anak gadis dari Kampung Petasih ini boleh dikahwini dengan berhutang.
Dari mana asal usul Kampung Chenor Jelebu?
Kesahnya bagini: Datuk Nenek Moyang aku – Datuk Panglima Hitam - disebelah keluarga Abah aku berasal dari Rawa Sumatera yang tinggal di wilayah Temerloh Pahang. Panglima Hitam ini ada empat orang anak lelaki. Lisut, Sahu, Monek dan Sak.
Lisut anak kedua Panglima Hitam telah berkahwin dengan Teriah anak perempuan ketiga dari Tok Jah cucu kepada Tok Da. Tok Da ini ialah salah seorang dari Orang Kaya Berempat Temerloh.
Lisut telah mendapat derajah gelaran Datuk Dagang manakala abangnya Sahu telah mendapat gelaran Datuk Balang.
Krisis berlaku antara Panglima Hitam dengan Megat Terawis dari wilayah Telok Intan Hilir Perak. Maka anak Panglima Hitam telah mengundur. Mereka bergajah meresap ke wilayah baru. Datuk Dagang Lisut dan abangnya Datuk Balang Sahu membuka perkampungan baru di tanah subur di pinggir Sungai Teriang.
Untuk mengingati kampung Chenor Temerloh yang telah mereka tinggalkan maka kampung baru yang mereka buka ini diberi nama Kampung Chenor. Amin.
Di zaman itu perkahwinan telah digunakan sebagai ciri budaya untuk mengikat rapat tali persaudaraan.
Maka untuk terus merapatkan kaum keluarga - anak lelaki pertama dari Raja Balang Sahu bernama Manaf dikahwinkan dengan anak perempuan kedua dari Datuk Dagang Lisut bernama Fatimah. Dua sepupu ini - Manaf dan Fatimah menjadi suami isteri.
Datuk Dagang Lisut dan Raja Balang Sahu telah menjemput warikh dari sebelah Pahang untuk meramaikan Kampung Chenor. Justeru hari ini Kampong Jelin, Kampung Chenor hingga ke Kampung Kampai - jarak sejauh tiga atau empat batu semuanya perkampungan anak cucu cicit Datuk Dagang Lisut dan Raja Balang Sahu.
Jalan moden dari Chenor ke arah Karak , Pelangai Pahang dan Temerloh yang ada pada hari ini adalah jalan denai gajah yang diteroka oleh Raja Balang Sahu dan Datuk Dagang Lisut. Aku sendiri sempat melihat Tok Baharum - Tok Saudara aku yang masih memilihara sekor gajah di Pelangai Pahang.
Ketika Kampung Chnor dibuka Tanah Melayu telah menjadi tanah jajahan Baginda Queen. Pentadbiran Inggeris telah merayap dan meluas. Kuala Klawang telah menjadi pusat pentadbiran Inggeris. Di Jelebu Orang Melayu bersawah dan menoreh getah. Orang Asli masih lagi mengumpul dan memburu bahan makanan. Pendatang China meniaga, berkebun dan membijeh di Titi.
Tok Manaf dan Wan Fatimah telah mendapat 8 orang anak. Abah aku Rais adalah anak ketiga. Tok Manaf memiliki tanah sawah yang agak luas. Melalui usaha Tok Manaf dan tenaga gotong royong sebuah kincir untuk menaikkan air dari Sungai Teriang ke sawah padi telah didirikan. Bersawah masih menjadi gaya hidup di Kampung Chenor.
Kincir air ini di buat dalam sungai tidak jauh dari tanah pusaka tapak rumah yang aku warisi sekarang.
Pada ketika ini ramai pendatang China yang duduk di kampung-kampung Melayu. Pendatang China ini bercucuk tanam membuat kebun sayur dan buah-buah dalam kawasan kampung Melayu. Ada juga China yang meneroka tanah kerana ketika ini banyak tanah kosong tidak ada pemilik.
Satu keluarga China Hokkien dari pekan Kuala Klawang telah datang untuk menumpang di tanah milik Tok Manaf. Dengan senang hati Tok Manaf telah memberikan kawasan pertanian dan tapak rumah kepada keluarga Hock Lim.
Keluarga China ini telah mendirikan rumah di tepi sungai tidak jauh dari kincir air Tok Manaf.
Pada hemat aku ketika keluarga China ini datang nak menumpang di tanah Tok Manaf pastilah hubungan silatul rahim hubungan Melayu China intim. Aku rasa Datuk aku dengan senang hati memberikan tanahnya tanpa mengira sewa membuktikan tidak wujud perasaan bersinggit dan rebut merebut punca ekonomi.
Budaya nak jadi kaya rasa belum disemaikan lagi pada Bani Melayu. Fahaman benci China dan benci pendatang ini belum tersemai lagi. Tanah Melayu masih luas dan lapang. Sesiapa sahaja boleh mencari makan.
Aku yakin dengan teori sosial aku ini. Hujah aku disokong oleh fakta: di wilayah Gagu Jelebu pendatang Minang berduyun-duyun masuk membuka kampung. Di wilayah Kerangai suku Mendiling datang berkumpulan meneroka tanah. Inilah susur galur Jelebu lebih dari seratus tahun dahulu.
China Hock Lim dengan isteri ada empat orang anak – dua lelaki awal diikuti dengan dua perempuan. Anak kedua aku kenali sebagai Ah Meng. Si Ah Meng ini dalam lingkungan umur yang sama dengan Pak Teh Ramli adik kepada Abah aku. Pak Teh Ramli ini lahir dalam tahun 1930.
Dalam lingkungan umur yang sama Ah Meng membesar berkawan rapat dengan anak-anak Tok Manaf. Ah Meng paling suka berkawan rapat dengan Pak Teh Ramli kerana mereka sebaya. Ah Meng juga menjadi kawan baik dengan Abah aku yang dipanggilnya Abang Andak. Malah keluarga Hock Lim ini boleh di tafsir menjadi keluarga Tok Manaf.
Kesah dan surah ini aku pungut dari perawi ke perawi sahih. Ketika babak-babak ini dipentaskan aku belum lahir lagi. Abah aku dan Emak aku masih belum berkenalan.
‘ Lepas kahwin... Abah kau bawak Mak ke Chenor... ni kali pertama Mak sampai ke Chenor... datang rumah Wan Timah... Mak nampak ada Chino dalam rumah... Mak ingat Chino tukang rumah... Mak segan nak bertanya ... tapi bila malam sampai Mak nampak Cino ini pakai kain sarong pulak...’ Surah Mak aku yang masih cerah dalam ingatan aku. Surah kali pertama Mak aku bertandang ke rumah mentuanya di Chenor.
‘ Chino ... macam mana Mak..’ Aku mendesak ingin tahu.
‘ Muda sikit pada Abah kau... Chino bujang...Lepas tu... dia panggil Mak... kakak... kakak.. tumpang lalu laaa... menunduk mintak lalu ...pandai pulak budak Chino adat Melayu... ‘ Mak aku menerangkan bagaimana Ah Meng fasih berbahasa Melayu lorat Negeri Sembilan.
“ Esoknya Mak tanya Abah kau... barulah Abah aku bukak cerita... Ah Meng ni adik Abah kau... adik angkat’ Emak aku menyampaikan surah yang kini sedang aku sambung untuk jadi ingatan anak semua bangsa dan bangsa semua agama.
‘ Kito ado Pak Sedaro Chino ke...?” Mata aku terbeliak bila mendapat tahu bahawa Abah aku ada adik angkat China. Ketika aku mendengar surah ini aku masih belum masuk sekolah.
Lalu aku terbayangkan anak anak Tok Manaf – Pak Ngah, Pak Itam, Pak Teh dan Pak Cik bermain-main sama dengan anak China yang duduk tepi sungai belakang rumah. Meriah mereka mandi manda dalam sungai tepi kincir.
Pada Ahad 21 /3/2021 aku menalipon Aishah Manaf adik perempauan Abah aku - anak bongsu Tok Manaf dan Wan Timah. Kami semua panggil Mak Saudara aku ini dengan panggilan Mak Chu Busu. Aku menalipon untuk mengsahihkan kesah budak China dengan budak Melayu.
‘ Ingat lagi... Mak Chu ingat...dia bawak Mak Chu pegi mandi dekat kincir...’ Mak Saudara aku ini masih ingat lagi bagaimana Ah Meng membibit tanganya untuk dibawa ke tepi sungai melihat kincir. Ingatan Mak Chu Busu aku ini masih cerah walau pun dia dilahirkan tahun 1938 sebelum Jepun sampai. Aku yakin surah ini dari seorang perawi sahih.
Aku sendiri tidak sempat melihat kincir Tok Manaf. Bila aku mula berupaya melihat dan merakam ingatan kicir Tok Manaf telah lama runtuh. Kesan-kesan tidak wujud.
Aku hanya ditunjukkan tempat kincir ini didirikan. Malah aku tidak sempat bertemu dengan Tok Manaf.
Bila aku masuk ke sekolah Goverment English School GES – Kuala Klawang pada tahun 1961 baru aku ada peluang melihat gambar kincir dari negara Belanda.
Ketika aku di Belanda aku berpeluang melihat betul-betul kincir air yang kini menjadi barang warisan. Ketika itu aku teringat dengan kincir Tok Manaf. Alangkah baiknya jika kincir Tok Manaf aku masih ada untuk dijadikan warisan sejarah.
Kesah budak China bernama Ah Meng yang berkawan dengan budak Melayu anak Tok Manaf ini menjadi panjang lebar menurut surah Mak aku.
Oleh kerana suka bermain dengan Pak Teh aku menjadikan Ah Meng selalu bermalam di rumah Tok Manaf. Biasanya di sebelah paginya dia akan pulang ke rumahnya di tepi sungai belakang kampung.
Ada satu ketika Ah Meng bermalam - satu malam – dia tak pulang – sambung jadi malam kedua dia tidak juga pulang ke rumahnya. Tok Manaf jadi risau nanti ayahnya tercari-cari.
Lepas malam ketiga ayahnya menyusul. Ayah Ah Meng marah kerana anaknya tak pulang-pulang. Hock Lim menarik tangan Ah Meng dan membawa anaknya pulang.
‘ Mak dengar... ayah Ah Meng ini garang... dia ada kena rotan...’ Emak aku memberi alasan kenapa Ah Meng lebih suka duduk di rumah Tok Manaf dari duduk di rumah dengan keluarganya.
‘ Dia pun suka ada kawan-kawan dengan Pak Teh kau...dia pandai panggal Abah kau Pak Andak...ayah dia rotan dia... ayah dia garang...’ Emak aku menjadi pakar saikoloji untuk menerangkan pada aku tentang kenapa Ah Meng tak hendak pulang ke rumah sendiri.
Berberapa minggu kemudian Ah Meng datang kembali bermain dengan Pak Teh aku. Bila senja sampai dia tak pulang. Dia bermalam di rumah Tok Manaf. Dua malam dia tak pulang. Hari ketiga Tok Manaf dan Pak Teh aku hantar Ah Meng pulang.
‘ Satu hari Ah Meng terus tak nak pulang lagi ke rumah ayahnya... ayah nya datang dia lari....lari hilang ...’
‘ Hilang ke mana Mak...’ Aku tertanya-tanya.
‘ Laa kau ni tak sabar... nanti dulu... biar Mak baca surat khabar ni...’ Emak aku berhenti bercerita kerana dia hendak rehat dengan Utusan Melayu.
“ Nanti Mak sambung..’
Aku tak sabar menunggu apa terjadi dengan Ah Meng budak China yang berkawan dengan budak Melayu cucu Datu Raja Balang Sahu dan Datu Dagang Lisut. Kemana agaknya budak China ini menghilang? (TT)
TULISAN INI
MUNCUL JUGA DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/03/24/budak-cina-dan-budak-melayu/
Doa den satu hari MALAYSIA akan mendapat sepenuh nya integrasi kaum yang sebenar.Di kampong den Batu Serambai dulu ada 1 kedai runcit bangsa cina yang hidup bersama kami dan membantu orang2 kampong dan anak2 nya menjadi rakan sepermainan.
BalasPadamPoorah la ko
Padam