Selasa, 18 Mei 2021

BILA MAT REMPIT PASANG KAIN RENTANG

 


BILA

MAT REMPIT 

PASANG

 KAIN RENTANG


Dari laporan beberapa portal  berita  saya  telah membaca berita  tentang satu kumpulan  Mat Rempit  ‘mengamuk’. Ini berlaku pada malam raya  tahun 2021 ketika Malaysia dalam PKP 3.0.   Ketika wabak virus Kobid sedang mengganas.

Babak ini berlaku di Parit Raja Batu Pahat. Berita telah melaporkan bagaimana Mat Rempit  telah menaikan kain rentang bertulis ‘ Kerajaan Gagal ‘ di jambatan  yang melintasi jalan raya. Jelas  langkah Mat Rempit ini ialah untuk memperlihatkan kain rentang ini kepada sebanyak  mungkin orang rami. Jika  mata dan hati  orang ramai bukan sasaran  pasti kain rentang ini akan dipasang dalam kelambu. Hebat.

Seperti biasa di Malaysia kita ini  dari zaman  kerajaan United Malays National Organisation hingga ke kerajaan Bersatu sekarang  ini -  jawapan terhadap kain rentang itu adalah sama. Mat Rempit dan anak anak muda ini di tahan oleh  mata-mata dan di bawa ke rumah pasung. Amin

Kalau saya Muhyiddin Yasin , kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin  - saya  akan cuba memahami  tanda dan makna dari apa yang sedang disampaikan oleh Mat Rempit ini.

Mata-mata menangkap dan memasukan Mat Rempit ini ke dalam rumah pasung kemudian di dakwa  hanyalah menelan  penadol untuk  menghilangkan sakit kepala . 

Menangkap Mat Rempit Ini hanya suntikan insulin untuk melawan kenaikan gula dalam badan. Kita semua  tahu peranan panadol.  Kita semua sedar akan peranan suntikan  insulin. 

Sakit kepala itu masih wujud. Kencing manis tetap wujud. Malah makin membara dan membarah. Silap hari bulan kaki akan dipotong.

Justeru, kalau saya Muhyiddin Yassin , kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin – dipagi raya – sesudah makan lemang dan rendang -  saya akan mula melihat  dan cuba  memahami apa  sebenarnya  telah  berlaku. Amin.

Bila Mat Rempit menaikkan kain rentang  - ini sudah berat.

Saya cukup sedar bagaimana masyarakat  memahami  dan melihat kelompok yang dipanggil Mat Rempit.  Mat Rempit sentiasa di pelekeh – mereka dipandang rendah – kelas terkebawah. Kelas tercorot. Menjadi tempat membuang kemarahan kepada pemandu  kereta di jalan raya.


Masyarakat kelas menengah  - dari Bangsar dan Taman Tun - menganggap  Mat Rempit ini   ‘sampah masyarakat’. Moto Kapcai Mat Rempit bukan sahaja bising malah mengganggu perjalanan luncur Mercedes atau BMW mereka.

Masyarakat soh seh soh seh yang bercakap dalam Bahasa Inggeris  menganggap Mat Rempit ini sebagai ‘ pest and nuissance’  sama seperti lipas dan tikus  yang  wajib dibasmi.

Pak Lebai,  Para Ustad dan Ulama  YouTube menganggap Mat Rempit  sebagai kumpulan sesat kerana tidak mahu tunduk  mengikut ajaran budaya Arab yang melarang lelaki dan perempuan – jantan dan betina -  yang bukan abang dan kakak bercampur bebas untuk enjoy de menjoy.

Mat Rempit dan Minah Rempit melaram dengan motosikal  mereka. Minah Rempit a.k.a Chikaro membonceng atas kapcai menjadi piala rebutan untuk dinikmati. Mereka mengancam budaya Arab.

Justeru kalau saya Muhyiddin Yasin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin  - sesudah memakan ketupat dan lemang  saya akan mencari  buku untuk dibaca dan agar dapat memahami apa itu politik, apa itu persepsi  dan apa itu  manifestasi.

Kalau saya Muhyidin Yasin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainudin  saya juga  akan   mencari buku untuk memahami apa itu kontradiksi. Untuk memahami apa kontradiksi  besar atau pertentangan besar dan apa itu kontradiksi kecil atau pertentangan kecil.

Kalau saya Muhyidin Yassin, kalau saya Azmin Ali dan kalau saya Hamzah Zainuddin saya  juga  akan menelaah kitab klasik Marxisme untuk memahami kontradiksi.  Membaca buku genre marxis pada tahun 2021 bukan lagi satu kesalahan. Lagi pun menteri  di Malaysia ini mustahil akan ‘ diusik’  oleh pihak berwajib.

Bila Mat Rempit menaikan kain rentang – ini sudah berat.  Apakah persepsi  Mat Rempit terhadap kerajaan hingga mereka menaikan kain rentang Kerajaan Gagal.?

Awal wahid  untuk memahami apa Mat Rempit lakukan  di Parit Raja  kita wajib memahami apa itu persepsi.

Persepsi bermakna  orang   ramai memahami sesuatu  pekara  melalui pendengaran,  melalui penglihatan atau memahami melalui perasaan.  Persepsi  ialah pemahaman , anggapan dan andaian.  Persepsi  tidak ilmiah. Tidak saintifik. Mustahil dapat diuji dalam bilik makmal.

Politikus bekerja siang dan malam untuk mewujudkan persepsi.  Anwar Ibrahim menjadi Imam membaca khutbah.  Muhyidin membaca doa.  Azmin Ali menyapu masjid di Mekah. Najib memberi salam pada kubur nabi.  Shahidan apabila di dakwa di mahkamah atas tuduhan ‘meraba  anak gadis bawah umur ‘  telah datang dengan pakaian Pak Lebai  berketayap dengan menaiki kerusi roda.  

Semua  perbuatan  dan kelakuan ini dirancang untuk melahirkan  persepsi. Semua ini dirancang dengan niat untuk memperlihat kepada bakal pengundi, kepada penyokong  dan kepada rakyat  betapa zuhud alim wafak dan syumul  sosok-sosok politikus ini.

Politikus sama seperti iklan ubat gigi akan berdiri memakai baju putih dengan stetehoscope tergantung di leher.  Doktor dan jururawat memakai serba putih. Politikus Melayu memakai  ketayap, serban dan kopiah – untuk melahirkan persepsi alim ,warak , syumul , suci lagi bersih.

Mat Rempit menaikan kain rentang dengan tulisan ‘ Kerajaan Gagal’ ini persepsi apa pulak ?

Mat Rempit kelas tercorot – kumpulan paling tak ambil pot tentang politik negara – kini telah memiliki persepsi – Kerajaan Gagal.  Ini  amat berat.

Kerajaan gagal ini bukan persepsi atau fitnah politik dari Hishamuddin  Rais. Saya hanya melakarkan apa yang saya lihat. Saya melihat gambar kain rentang bertulis Kerajaan Gagal. Gambar ini saya lihat dalam portal berita.

Yang saya lihat bukan persepsi. Apa yang saya lihat dan baca ialah fakta. Fakta bukan persepsi.

Jika saya Muhyiddin Yassin , jika saya Azmin Ali dan jika saya Hamzah Zainuddin – saya akan bertanya kepada diri saya sendiri : Kenapa Mat Rempit yang lekeh kini  memiliki persepsi Kerajaan Gagal?

Pelik binti Hairan kenapa dan bagaimana Mat Rempit  ini telah memilik persepsi.    Persepsi ini adalah persepsi politik. Persepsi politik tinggi seperti ini keluar dari  mulut warga Bangsar  atau  Taman Tun. Bukan dari  Mat Rempit – anggota masyarakat  yang paling corot yang tidak  mengambil tahu hal ehwal politik negara.

Malah bila  sekumpulan Mat Rempit ditanya  hal ehwal politik jawapan akan memeranjatkan. Siapa Perdana Menteri sekarang? Besar  kemungkinan ramai Mat Rempit akan  menjawab Mahathir Muhamad.  

Jangan ketawa.  Ini jawapan Mat Rempit bukan jawapan dari ahli Majlis Profesor.

Dari mana asal usul persepsi Mat Rempit ini?

Bila soalan dari mana persepsi  datang maka akan lahir satu lagi perkataan. Perkataan ini ialah manifestasi. 

Manifestasi ini apa ?  Manifestasi ini  talepon keluaran baru  dari Korea ke? Ada berapa lubang kamera? Jika ada sesiapa yang bertanya sedemikian maka inilah contoh pertanyaan dari Mat Rempit.

Persepsi  lahir dari manifestasi. Manifestasi ialah perkara yang sedang  berlaku. Manifestasi adalah perkara yang kita lihat sedang terpampang dimata kita. Contoh : Ramai orang memakai topeng muka. Ini adalah  manifestasi dari serangan Kobid.


Contohnya : Apabila Ahmad kahwin dengan Aminah lima bulan kemudian Aminah mengandung.  Mengandung ini ialah manifestasi dari perkahwinan Ahmad dan Aminah. 

Manifestasi ini adalah perkara  yang berlaku.  Ianya terjadi disebabkan oleh sesuatu. Ada sebab musabab. Ada sebab ada akibat. Ada penyebab. Aminah mengandung  sebab  Aminah telah ditiduri oleh Ahmad.  Benih Ahmad telah masuk ke dalam perut Aminah. Mengandung itu adalah  manifestasi dari perkahwinan. Khalas

Apa yang kita lihat sedang berlaku dan terjadi  di sekeliling kita  semuanya adalah manifestasi dari sesuatu. Pokok bergoyang kerana tiupan angin atau kerana tupai . Tupai meloncat kerana lari dari ular. Ular mengejar tupai kerana lapar nak makan. Dan dan dan.

Semua ada sebab dan akibat.  Pokok bergoyang adalah manifestasi. Penyebabnya angin atau tupai.

Tidak ada satu  pun perkara dalam dunia ini yang berlaku tanpa sebab  tanpa penyebab. Sebab dan penyebab ini adalah hukum alam yang azali. Amin.

Justeru jika saya Muhyiddin Yasin, jika saya Azmin Ali da jika saya Hamzah Zainuddin maka saya akan cuba mencari apa sebab musabab Mat Rempit menaikan kain rentang Kerajaan Gagal.

Apa sebab musabab yang mewujudkan persepsi Mat Rempit sehingga mereka  sanggup mengeluarkan duit membeli  kain putih, memberi  beberapa can spray cat merah,  untuk menuliskan Kerajaan Gagal. Kemudian mencari  jambatan yang strategik untuk menaikan kain rentang ini. Kemudian mengikat kain rentang ini agar dapat dibaca oleh seantero alam.

Kenapa agaknya kumpulan masyarakat yang paling tercorot  ini melakukan apa yang telah mereka lakukan  pada malam raya di Parit Raja. 

Perbuatan Mat Rempit ini satu manifestasi.  Apa yang telah menunda, memahat dan menolak   hingga lahir manifestasi Mat Rempit ini.

Sebenarnya persepsi kain rentang Mat Rempit ini adalah manifestasi dari pandangan orang ramai. Saya bukan berniat untuk mempelekeh keupayaan fikrah Mat Rempit.

Saya menulis ini untuk merayakan  Mat Rempit yang berani berkata  : Woit Muhyiddin, woit Azmin dan woit Hamzah  - seluar kamu semua  dah koyak... kontol terkeluar. Amin.

Bila Mat Rempit menaikan kain rentang ‘ Kerajaan Gagal ‘ ini maknanya  kemarahan rakyat telah sampai ke tahap gaban. Bila Mat Rempit mula bersuara ini maknanya ada sesuatu yang tidak kena dalam negara ini.

Jika saya  Muhyidin Yassin, jika saya Azmin Ali dan jika saya Hamzah Zainuddin  maka saya akan membaca tulisan Hishamuddin Rais tentang Mat Rempit ini hingga selesai.

Dan saya Hishamuddin  Rais akan menyambung tulisan tentang Mat Rempit ini ke minggu hadapan. Amin. (TT)

TULISAN INI  JUGA
DISIARKAN DI KOLUMN
PORTAL MALAYSIAKINI.COM






 

1 ulasan:

  1. Sudah la penjilat PN.Sapa nak percaya cakap ko lagi.Dasar penjilat. Dah takde job merakam sejarah ke?

    BalasPadam