Rabu, 26 Mei 2021

SALIM DAN BOO MASUK MAHKAMAH

 


 SALIM DAN BOO

MASUK MAHKAMAH 

Aku menerima surat dari Mahkamah  Isleworth Crown Court. Aku mendapat panggilan telefon dari Mister Chadwick. Aku juga mendapat panggilan telefon dari Mister Alagappa. Isi sama - semua meminta aku datang ke mahkamah.

Di hari yang ditetapkan – awal pagi aku telah bersedia. Aku mengambil kereta api bawah tanah menghala ke Heathrow. Berhenti di stesen Osterley. Kemudian aku menapak tak sampai 15 minit ke bangunan mahkamah Isleworth Crown Court.

Mahkamah bangunan lama dengan pintu gelas yang moden. Aku sebenarnya telah agak biasa dengan mahkamah di London. Pada tahun 1985 Lorraine Osman dan Hashim Shamsuddin telah ditangkap di London kerana dituduh mencuri duit Bank Bumiputera (BBMF) di Hong Kong. 

Mereka dibicarakan di  Bow Street  Magistrate Court London. Aku ketika itu menulis dan membuat laporan perbicaraan  dari Bow Street Magistrate Court untuk  majalah mingguan Era yang di pimpin  oleh Baha Zain bekas  orang Dewan Bahasa. 

Bow Street Magistrate Court ini hebat sejarahnya.  Di mahkamah ini Oscar Wilde ( 1854-1900)  penyair dan penulis  teater dibicarakan atas tuduhan   jatuh cinta  dengan  seorang lelaki  muda yang sedang belajar di Oxford University. 

Bahagian dalam mahkamah Inggeris aku lihat hampir serupa  dengan  bentuk mahkamah kita di Malaysia.  Seluas bilik darjah. Ada kandang OKT -  orang kena tuduh – kandang saksi. Kerusi tempat duduk  Tuan Hakim yang tinggi . Di hadapan  Tuan Hakim ada kerusi meja untuk pihak pendakwa dan peguam pembela. Orang awam duduk di belakang pendakwa dan peguam bela.

Pagi itu aku sampai awal. Mata aku  mencari Mister Chadwick dan Alagappa.  Tidak kelihatan. Aku masuk dan terus duduk di tempat awam. Kes  Salim dan Boo belum diumumkan.  Aku mahu mendengar kes yang sedang dibicarakan.

Ha ha ha kes dadah  sedang dibicarakan. Dua pasang anak muda dari Hamburg German ditahan  di lapangan terbang Heathrow. Mereka dalam  perjalanan  pulang ke Hamburg dari Colombia. Dalam bagasi mereka ditemui 1 kilo kokain. 

Dua wanita dan dua lelaki ini berdiri dalam kandang OKT.  Mereka ditanya  dalam bahasa Inggeris. Kemudian aku nampak mereka mengangkat sumpah dengan memegang Kitab Injil. Aku melihat mereka juga ada penterjemah. Mungkin mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris tapi untuk ketelitian hukum hakam wajib ada penterjemah.

Seorang Minah German ini berambut perang panjang – kelihatan cun.   Seorang jantan dalam kumpulan ini agak sedikit berumur. Mungkin ini kepalanya.  Aku rasa mereka bukan ‘ keldai ‘  tapi sengaja  pergi bercuti ke Amerika Latin dengan niat  nak mencari kokain untuk dibawa pulang.

Kes seludup kokain ini di tangguh. Menunggu laporan makmal. Mereka dibawa keluar. Kemudian masuk kes curi. Seorang  lelaki  Mat Salleh tiga puluhan masuk ke kandang OKT.  Lelaki   ini  di tuduh   ada memiliki barang curi.

Apa yang menarik aku pada pagi itu  ialah sistem kelas dalam mahkamah Inggeris.  Dari pengamatan aku negara yang dipanggil United Kingdom ini adalah  negara dimana masyarakatnya diikat kuat oleh budaya feudal.  Stratifikasi kelasnya cukup jelas.

Kerana aku telah agak lama tinggal  dalam negara ini maka pemerhatian aku terhadap kelas dalam masyarakat Inggeris ini semakin cerah. 

Ketika aku duduk dalam kereta api bawah tanah di London aku boleh membaca sosok-sosok yang di sekeliling aku. Dari pakaian, dari beg yang mereka bawa dan dari akhbar  atau buku yang mereka baca aku boleh mencium dari kelas mana mereka datang.

Membaca akhbar The Sun datang  kelas  bawahan konservatif. Membaca  akhbar Daily Telegraph  kelas menengah  gulungan Konservatif.  Pembaca    Daily Mirrior datang dari  kelas bawahan penyokong Parti Buruh. Pembaca  The Guardian datang dari kelas liberal kiri. Pembaca  The Times dari   kelas  tinggi gulungan feudal konservatif. Jika membaca Financial Tmes – mereka ini kuam pemodal dan  kaki tangan  aparachik kapitalis bekerja di City Of London.

Jika mereka membuka mulut lagi terbarai kelas mereka.  Lorat dari mulut merek akan menunjukkan  kelas dan wilayah kampung mana mereka  datang. 

Kerana begitu lama aku duduk dalam kota London ini ianya  telah mengupayakan aku  membayangkan rupa bentuk  ruang tamu rumah mereka,  hiasan rumah mereka , apa buku dalam rak buku mereka , filem dan panggung mana mereka kunjung.  Makanan dan restoran apa yang mereka minati.

Malah aku juga boleh membayangkan sex jenis  yang mereka nikmati. Malah aku juga dapat membaca  tunggang langgang macam mana yang mereka minati ketika bersanggama.  

Aku tidak  memerlukan algoritma  untuk membaca semua ini. 

Dalam Isleworth Crown Court pagi itu – apabila  Tuan Hakim membuka suara untuk memulakan kes kedua  aku terus membuat rumusan  Mamat OKT  yang dituduh memiliki barang curi pasti dari  kelas  miskin. Mungkin  tinggal di  Hackney atau dari Bow East End  – dua wilayah miskin kota London. 

Bila OKT ini membuka mulut andaian aku menjadi sahih. Lelaki  tanpa kerja tetap mencari nafkah dengan memungut dan menjual  menjual barang-barang tangan kedua. Lorat Mamat ini meyakinkan aku OKT ini dari  East London – wilayah miskin.

Manakala Pendakwa Raya pagi itu  seorang wanita  lima puluhan. Dia memakai  ‘ rambut putih mahkamah’. Lorat suaranya  menggunakan Queen English  -  mungkin lulusan  ilmu hukum dari  London Universiti. Manakala Tuan Hakim yang juga memakai rambut putih mahkamah. Bercakap   dengan telo suara ‘ posh’  saperti pengacara  TV BBC atau juruhebah  Radio BBC dari Bush House London. Ketika  Tuan Hakim bercakap  lorat suaranya meyakinkan  aku  yang Tuan Hakim ini lulusan Oxford dan  tinggal di North London atau di Surrey atau di Finchley berhampiran dengan kampung Perdana Menteri Magaret Thatcher.

Apa yang aku tulis ini agak klise. Tapi inilah hakikat sistem kelas  yang aku perhatikan berlaku di  mahkamah pada pagi itu. Yang didakwa orang miskin. Baju dan seluar OKT kelihatan miskin.  Kasut yang dipakai  OKT dilihat miskin. Manakala Mak Cik yang mendakwa  dari kelas menengah. Manakala  Tuan Hakim dari kelas atasan.

Kes OKT yang memiliki barang curi diselesaikan tuntas. OKT dijatuhkan  hukum 9 bulan penjara.  Aku perhatikan OKT ini diapit  keluar oleh dua orang Bobby.

Kes ke tiga : Pegawai Mahkamah memanggil  nama Salim dan Boo Ah Ha.  Bila aku mendengar nama mereka dipanggil mata aku mencari-cari Alagappa dan Chadwick. Tanpa aku sedari dua sosok ini telah berada dalam mahkamah.

Salim dan Boo dibawa masuk ke kandang OKT.  Peguam pembela  Mister Alagappa  berdiri di hadapan  Salim dan Boo. Aku berdiri di belakang mereka. Chadwick berdiri di sebelah Pendakwa.

‘ Apa khabar kamu berdua.. minum apa pagi tadi...’ Aku tersenyum dan menghulurkan tangan.

‘ Roti dan jem...apalah London ni Bang.... roti canai pun tak ada...’  Aku tidak pasti apakah  si Salim ini melawak atau membuat komplin. Boo senyap saje.

Nama Salim dan Boo dipanggil untuk angkat sumpah. Aku membuka mata. Jika kitab Injil yang diberikan  aku akan bersuara. 

Tapi aku tidak perlu bersuara. Apabila pegawai mahkamah memulakan kes dia hanya membacakan –  ‘ ... the truth nothing but the whole truth .....  semuanya benar tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka.....’ Salim dan Boo mengangkat tangan tanpa apa-apa kitab suci.

Aku merasa lega. Mister Alagappa telah menjalankan tugasnya memberitahu pegawai mahkamah lebih awal  bahawa Salim penganut Islam dan Boo seorang Buddhist.

Kali ini Pendakwa seorang  lelaki yang juga lorat suaranya seperti  dari Radio BBC. Pendakwa  membuka kata dengan memberikan latar apa yang belaku. Bagaimana Salim dan Boo ditahan. Pendakwa membawa bukti keluar. Kasut Salim yang diubah reka untuk memasukan 800 gram brown sugar ditunjukkan  ke mahkamah. 

Laporan  makmal tentang brown sugar  dan nilai dadah ini diberitahu kepada Tuan Hakim.

Aku membisikkan satu per satu kepada Salim. Aku merapati Salim dan cuba mengurangkan bunyi suara bercakap. Sesekali apabila nama Boo disebut aku menterjemahkan kepada Boo.  Ini bersangkutan dengan beg bagasi mereka yang sama.

Alaggapa menerangkan kepada Tuan Hakim tentang  Boo  seorang pemandu teksi yang datang ke London kerana di ajak oleh Salim. Alaggapa berhujah bahawa Boo tidak tahu menahu tentang kasut yang dipakai oleh Salim.

Pendengaran kes  ini  berjalan hampir dua jam. Kemudian kami berhenti rehat.  Salim dan Boo dibawa keluar ke bilik tahanan oleh Bobby. Aku bersembang dengan Alaggapa.

‘ I think.. my reading... Boo has  no case... but Salim...’ Alaggapa tidak menghabiskan ayatnya.

Dalam situasi sedemikian aku bukan lagi sosok  profesional sebagai penterjemah. Aku kini kembali menjadi sosok yang bersimpati terhadap gulungan  miskin. Sabenarnya aku bersimpati dengan  Salim yang kakinya  cedera patah. Aku juga bersimpati dengan Boo seorang pemandu teksi.

Mahkamah bersidang kembali. Hakim masuk dan duduk. Dia membuka  buku catatan dan memanggil nama Salim dan Boo. 

‘ Kes nak mula... Hakim nak jatuh hukum... angguk kepala bila nama kau disebut...’ Aku beri arahan.

Kemudian Hakim bersuara.  Aku menterjemahkan kepada Salim.

‘  Salim...  mahkamah Baginda Queen mendapati kamu bersalah..... mahkamah menjatuhkan  hukuman penjara selama  4 tahun...’

Salim tunduk sedih. 

‘ Apa jadi.... apa jadi,...’  Boo tertanya tanya kepada aku.

‘ Salim kena 4 tahun penjara...’ 

‘ Wa ... wa apa jadi...’

‘ Tunggu.... Hakim nak buat keputusan...’

‘ Boo Ah Ha is discharge  ..  deported  back  to Malaysia ...’

‘ Apa... wa apa.. wa apa...? Boo tak  sabar nak tahu apa hukuman ke atas dirinya..

Aku yang merasa senang hati kerana Boo bebas. Lalu aku memutar belitkan keputusan Tuan Hakim.

‘ Boo... lu kena  hukum gantung.. Tuan Hakim kata hukum gantung.....’

‘ Apa... pasai apa..’  Boo tak puas hati atau dia tak faham apa yang aku tuturkan. Boo menjadi gelabah.

Ketika ini aku terbarai  ketawa walau pun tidak seperti kebiasaan aku terbarai ketawa.  Kali ini ketawa aku agak  terkawal. Walau pun demikian ketawa dan perbualan kami bertiga ini menjemput mata Hakim memandang ke arah kami. Aku menundukkan kepala seolah-olah minta maaf. Aku tersenyum dan cuba menutup mulut.

‘   Good news for  you Boo...’ Komen Alagappa.

‘ Boo... berita baik... kamu bebas... tapi kena hantar pulang ke Malaysia.

‘ Bila pulang....’ Boo tak sabar nak pulang.

‘ Tunggu apa arahan dari Pejabat Kastam...’

Salim diambil oleh Bobby.  Sebelum  Salim pergi  dia bersalaman dengan  Boo dan peguam bela Alagappa. 

‘ Bang kita jumpa di KL...’  Salim menjabat tangan aku sebelum  Salim diambil oleh dua Bobby. 

Mahkamah bersurai. Aku , Boo dan Alagappa masih di berdiri menunggu arahan.

Muncul  Mister Chadwick dan Robert. Mereka berdua senyum. Mereka menang kes.

‘ Ok Isham ... nice  knowing  and working with you... Boo  you are free man... Mister Boo do come again to London... next time you can get your white woman...’ Kata-kata akhir  dan melawak dari Chadwick.

‘ I know Isham... at the early stage... you do not  think Salim is quilty....’ Sampuk Robert yang selama ini memerhatikan kerja aku dan Chadwick.

‘ Myabe .. you are right....’ Memang betul anggapan Robert terhadap  aku. Awalnya kurang yakin bagaimana Salim boleh  melepasi Suang dengan  800 dadah heroin.  Hati aku masih bersimpati pada kelas tertindas dan warga miskin.

Kami semua bersalaman tanda perpisahan.

Muncul  Pegawai Tertinggi   Kastam yang menjadi Penyelia perbicaraan kes  dadah dari ini. Dia minta masa 
untuk menyelesaikan beberapa borang yang  wajib di isi untuk Boo di hantar pulang.

‘ Isham... ..will see you soon... will fix an appointement with Salim.. I think they  will take him today  to  Wandsworth... Mister  Boo... all the best to you...you’re now free man.... come and visit London again..’  

Kata-kata Alagappa   terakhir dengan senyum sambil  menjabat tangan Boo dan terus beredar.

Waktu berjalan. Mister Smith Pegawai Kastam sampai.  Dia menjinjing jaket resminya. Aku nampak  ada dua  paku pada jaket. Wow ! Ini  pegawai tinggi. 

‘ Well...Mister Rais...’ Pegawai Kastam ini salah panggil nama aku. Tapi kali ini aku biarkan saja tanpa pembetulan.

‘ It would be late to Heathrow.... there is no need to go with the polis car... I could gave you a lift...’  Pegawai Kastam ini mengarahkan van polis beredar  dan aku bersama Boo menaiki kereta persendiriannya  menuju ke lapangan terbang Heathrow.

Dalam kereta kami berbual tentang itu dan ini. Juga bertanya  kepada Boo bagaimana dia dilayan. Dengan suara  sopan dia bertanya bagaimana  kehidupan sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur.

‘ Please tell Mister Boo... he will be banned for 5 years... not alow to enter  United Kingdom... today he is deported...’

‘ Bo .. kamu sekarang tak boleh datang London... lima tahun tak leh datang.... lepas 5 tahun boleh....’ Aku memberi penjelasan. Boo hanya memandang kami.

Apa yang menarik aku ketika dalam kereta ini ialah kesopanan Pegawai Kastam ini. Dia pegawai besar tapi sudi membawa kami walau pun Boo Ah Ha ini hendak ditendang keluar. Boo dan aku seharusnya naik van polis  ke lapangan terbang tapi Mister Smith bersedia membawa kami dalam keretanya. Perkara seperti ini meyakinkan aku bahawa tamadun Barat yang ini  wajib dipuji.

Di Heathrow aku mengekor Mister Smith.  Kemudian Mister Smith  melepaskan Boo kepada  pegawai  pihak lapangan terbang.

‘ Boo... nanti kita jumpa di Kuala Lumpur...’ Inilah kata dan janji akhir aku kepada Boo Ah Ha pemandu teksi dari Cheras.  Kami semua berpisah.

Satu minggu kemudian aku dapat panggilan telefon dari Alagappa.  Aku wajib hadir di HMS Wandsworth -  Her Majesty’s Prison – ini penjara besar di bahagian selatan  kota London.

Aku merasa amat bertuah kerana aku telah membaca   banyak berita  tentang penjara Wansdworth ini.  Ronald Biggs (1929-2013) – perompak – The Great Train Robbery – yang filemnya aku tuntun di Panggung Ruby pada tahun 1964 – telah melarikan dari penjara ini.

Pintu besar HMS Wandswoth  dilihat seperti tembok besar. Penjara ini g didirikan pad tahun 1851. Di depan tembok ini Mister Alagappa tercegat menunggu aku.  

Kami terus ke pejabat penjara.  Peguam  meminta menemui anak guamnya.  Tidak banyak soal jawab. Aku mengekor sama walau pun bukan peguam tapi sebagai penterjemah.

Aku perhatikan sistem penjara ini agak ketat.  Kulit  lengan tangan akan aku dicap dengan dakwat halimunan . Kemudian kami melintasi ruang cahaya  ‘ ultra voilet’ di mana  aku wajib menunjukan cap di lengan.

Melihat lampu ultra voilet ini aku tersenyum kerana  aku  teringat  kembali kepada  peristiwa aku ditangkap di lapangan terbang Moscow. Pasport  aku kantoi bila dibaca oleh cahaya ultra voilet. 

Kami masuk ke dalam bilik kecil – lebih kecil dari bilik soal siasat di Heathrow.  Meja dan   empat kerusi. Ini bilik lawatan untuk  peguam dan orang tahanan.

Salim sampai dibawa oleh  Warden Mat Salleh.Aku bangun dan bersalaman.  Salim aku lihat ceria. Dia memakai  baju dan seluar penjara.

‘ How are you Salim...’ Peguam memulakan perbualan.

‘ Boo dah balik Bang....’ Salim bertanya.

‘ Dah beres.. kau ok? Aku bertanya.

‘ Explain to him the situation...” Alagappa mahu aku menerangkan beberapa perkara yang telah diberitahu  awal tadi di pintu penjara.

‘ Macam ni Salim... peguam kata.. kamu minggu depan akan dipindahkan ke penjara di Isle of Wight... penjara ini di sebuah pulau di  sebelah selatan negeri ini... Semua tahanan lebih dari satu tahun akan di hantar ke sana...’

‘ Pindah ke Bang...?

“ Pindah dari sini... penjara ini dalam pekan.. macam  Pudu....udara kotor..  tempat baru tepi  laut... udara bersih nyaman......’ Aku cuba melunakkan keadaan.

‘ Bang... minta tolong satu pekara Bang... betul ke nanti lepas  abis 4  tahun saya dihantar pulang... saya akan ditahan di Kuala Lumpur... betul ke Bang..’ Salim bertanya.

‘ Mana kau dengar?  Aku yang tidak memiliki  jawapan   bertanya kembali.


‘ Dulu Bang...  saya dengar dari kawan di Gombak...’ 

‘ He is worried to be  rearrested againa in Malaysia after completed  his sentence  ..’ Aku menerangkan kepada Peguam.

‘ Malaysian is using the same British  legal system... the same crime could not be charge twice.....’  Peguam memberi penjelasan.

‘ Lawyer kat tak mungkin....’

‘ If he needs anything let us know... he has my card..’

‘ Kau ada  numbo talipn dia kan..... kalau nak apa apa hubung...’

‘ Ok Salim...  contact me if you need  anything... “ Alagappa bangun untuk beredar.

Salim dan aku bangun. Aku peluk Salim untuk kali akhir.

‘ Salim ini  tiga perkara aku nak beritahu pada kau... nanti kita tak akan jumpa lagi... kau jauh di pulau...  ... pertama ...dalam jil ini jaga diri banyak orang jahat... kedua kau belajar  bahasa Inggeris.... 4 tahun kemudian kau  wajib pandai cakap orang putih... ok...’

‘ Boleh Bang ok Bang...’

“ Ketiga ... kau jumpa doktor dalam jil... minta ubat dan cari ubat untuk  kaki kau...  di negara ini semua ubat free... ok ? ‘

‘ Boleh ke Bang...’

‘ Boleh..’ Kami berjabat tangan kali terakhir untuk beredar. Bila aku menoleh ke belakang yang aku hanya nampak belakang Salim yang diiringi oleh Pak Warden. Kemudian Salim menoleh mengangkat tangan dan bersuara.

‘ Bang... nanti kita jumpa di Kuala Lumpur... cari saya di Gombak...’ Inilah ayat akhir kepada aku dari  Salim.

EPOLIK 1

Empat tahun  sesudah  Salim di hantar ke Isle of Wight aku masih lagi di London.  Dalam hitungan aku Salim pasti telah dibebaskan. Aku menghubungi adik aku Nordin Rais  meminta dia merisek-risek sama ada pernah terdengar cerita Budak Gombak kena tangkap di London bawa heroin.

Jawabnya gagal.

EPILOK 2

Akhirnya aku pulang  ke Malaysia.  Aku ditahan di bawah ISA selama dua minggu. Bebas  dari ISA aku menumpang sementara di rumah kawan lama aku  Kamarazaman Yacob di Desa Minang Gombak.    Bila aku  tahu aku berada di kawasan Gombak mata aku memerhati liar mana tahu jika aku ternampak Salim

Jawabnya gagal.

Satu hari aku secara tak sengaja terlihat bangunan tinggi di belakang Federal Hotel – ini Sun Complex. Bila aku usai baru aku sedar bahawa ini tempat ayam yang disurahkan oleh Boo dan Salim pada aku.  Di hadapan Sun Complex mata aku mencari teksi Boo Ah Ha.

Jawabnya gagal.

EPILOK 3
Para pembaca yang  membaca  surah ini jika ada mendengar atau pernah terdengar desas desus tentang Salim Budak Gombak kena tangkap di London kerana bawa heroin – sila  berhubung.

Ini kerana aku masih ingin menunaikan janji  untuk berjumpa  Salim di Kuala Lumpur. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/05/26/salim-dan-boo-ke-mahkamah/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan