Rabu, 2 Jun 2021

AKU INI BINATANG JALANG

 

AKU INI

BINATANG JALANG 


Pada tahun 1959 aku pindah. Dari ‘budak  pekan’ aku kembali menjadi ‘budak kampung’. Aku hanya sempat belajar dua tahun di Sekolah Umum Kuala Klawang A – yang  didirikan atas bukit  yang menghadap pekan Kuala Klawang. 

Guru pertama aku ialah Cik Gu Raja Razali.  Bersosok gemuk gempal dan berkulit  hitam. 

Sebelum cuti tahunan sekolah selesai emak  aku telah diberitahu oleh Guru Besar – Cik Gu Fatimah - bahawa ada arahan pindah sekolah untuk emak aku dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Emak aku berpindah dari  Sekolah Umum Kuala Klawang B ke Sekolah Umum Batu Serambai.  Tiga batu dari pekan Kuala Klawang.

Aku ingat lagi petang itu. Pada  hari ke pertama di tepi  rumah guru yang baru aku telah berkenalan dengan  budak kampung Batu Serambai yang pertama. Budak ini namanya Ahmad  - Ahmad bin Endot. Mustahil akan aku lupakan sosok ini. Dia kawan aku yang pertama di Batu Serambai.

Ketika sampai  ke tempat baru aku  tanpa kenalan  tertiba Ahmad yang berkulit hitam manis  muncul.  Dia dengan mesra telah mengambil basikal  roda tiga adik aku dan menolak dan terus bermain dengan aku. Kemesraan  ini menghairankan aku. 

Petang itu  Ahmad  Endot telah mengajar aku  jika hati kita terbuka  kita boleh berkenal suai dengan sesiapa sahaja walau pun orang yang belum pernah kita ketahui.

Ini titik pengenalan yang aku ingati  sepanjang hayat. Pertemuan petang itu amat bermakna  dan aku jadikan ilmu yang sentiasa aku bawa sepanjang perjalanan hidup aku.

Satu minggu kemudian Sekolah Umum Batu Serambai dibuka.  Aku tidak gelabah di bilik darjah  dengan muka- muka baru. Aku telah ada kawan -  Ahmad Endot  -  rupa-rupanya dia  menjadi rakan sedarjah.

 Kelas darjah tiga kami  tidak besar. Ada   Rahim, Saari, Jamaluddin, Mat Shah – mereka dari Kampung Kemin.   Dari Kampung Batu Serambai ialah Zainuddin, Abu,   Isa,  Yusup, Ahmad dan aku. Pelajar perempuan tak ramai – Tengku Alawiyah, Raja Noor Hamidah, Salmah dan Zaiton. 

Apa yang memeranjatkan aku ialah  guru darjah aku   masih lagi Cik Gu Raja Razali. Cik Gu yang berkulit gelap hitam ini  juga telah juga berpindah dari Sekolah Kuala Klawang A kini  menjadi guru darjah tiga dan darjah satu.

Darjah tiga dan darjah satu disatukan dalam ruang yang sama.  Hanya dipisahkan melalui susunan bangku. Ini dilakukan kerana darjah satu dan  tiga tidak ramai murid.

Sekolah ini sampai ke darjah enam. Aku rasa jumlah  kesemua murid tidak melintasi 100 orang. 

Guru besar sekolah ini ialah Cik Gu Mat Zain yang berasal dari Kampung Kemin satu  batu dari sekolah.  Guru Besar mengajar darjah dua. Darjah satu dan  tiga Cik Gu Razali. Darjah empat emak aku.  Darjah lima Cik Gu Brahim dan darjah enam  Cik Gu Jaaman Abu. Guru agama  kami ialah Ustaz Ramli.

Ketika aku membesar di Batu Serambai aku rasakan   dunia ini begitu indah sekali. Aku  membesar dalam  kampung yang permai. Wilayah baru yang agak berbeza dari suasana pedalaman di Sekolah Tapak .  Juga berbeza dari Sekolah Kuala Klawang yang dalam pekan. 

Ini sekolah  kampung. Dihadapkan padang sekolah ialah kawasan sawah padi yang luas terbentang. Di belakang sawah padi ini kebun getah dan rumah orang kampung.  Sawah padi dipagari oleh Sungai Klawang dan bonda. 

Bonda ialah  tali air yang di buat khas untuk  laluan air. Air sungai Klawang yang  datang dari bukit bukau  hutan belantara di Bukit Tangga  di masukan   ke dalam bonda  apabila air  sungai ditahan oleh empangan batu. 

Ada satu perkara yang aku rasa berbeza dari kampung  lama aku di Tapak atau Kampung Tengah. Di  Batu Serambai  ramai  penduduk kampung dari   keluarga Raja. 

Di belakang sekolah ialah  rumah Raja Agong, di sebelah kiri sekolah rumah Raja Husin.  Disebalah  rumah Raja Husin ialah rumah Raja Raman.  Depan sekolah  rumah Raja Hamjat dengan anak perempuannya Raja Abut  dan Raja Atup. Raja Hamzah dan  adiknya Raja Arshad.  Kedai depan sekolah milik Raja Suman – adiknya Raja Kadir..

Dalam kelas aku ada  Raja Noor Hamidah anak Raja Wahab dan Tengku Alawiyah  anak Tok Penghulu Tengku Razak. Malah Cik Gu Raja Razali  guru kelas aku  adalah  anak watan Batu Serambai.

Semua rumah di sekeliling sekolah adalah rumah keluarga raja kecuali Kedai Mak Cik Jarah. Kedai di sebelah kiri sekolah ini menjadi tempat tumpuan. Kedai runcit, kedai  teh, kedai  jual getah dan kedai membaca surat  khabar. Kedai Mak Cik Jarah ini menjadi alamat pos untuk semua warga Kampung Batu Serambai. Suami Mak Cik Jarah   Pak Cik Dusa  bekerja sebagai pemberi ubat  di Hospital  Daerah Jelebu di Petaling.

Pada awalnya  ketika sampai ke Batu Serambai aku tidak menyedari  perkara  ‘ raja ‘ ini. Satelah beberapa minggu  tinggal di  Batu Serambai  baru aku mula sedar.  

Bila sekolah  dibuka aku mula bertemu  dengan kenalan  baru. Aku mula berkawan dengan Raja Brahim yang tua setahun dari aku. Kami   panggil dia  Ayen . Kakaknya Raja  Zaleha, abangnya  Raja Mustapha, adiknya Raja Musa dan Raja Abu Bakar. 

Mereka ini anak kepada Raja Husin dan Mak Engku.  Aku hanya mengenali emak Raja Ibrahim sebagai Mak Engku. Ini nama  panggilan dari  orang kampung dan cara dia membahaskan dirinya.

‘ Mak... sapa raja-raja  ni Mak...ramai keliling sekolah ini...’ Aku dengan sifat yang sentiasa ingin tahu. Aku nak tahu kenapa dan apa   benda itu  -  terutama apabila aku bertemu dengan perkara baru.

‘ Mereka suku sakat   Raja.....’

‘ Raja mana?..’

‘ Raja kita di Seri Menanti..’ Emak aku  memberi penerangan. Aku sendiri merasa  penerangan kali ini   tidak mencukupi. 

Lalu aku teringat akan   Seri Menanti di mana  emak aku pernah menjadi Cik Gu mengajar anak-anak raja  disana. Malah Tok Wan Rahmah aku pernah bersurah bagaimana dia mengintai anak raja mandi di perigi.  

‘ Anak rajo ni  tangan kida.. tak roti basuh berak.. ‘ Tok Wan aku bersurah. Dan kami sekeluarga  semua ketawa. Ini lawak keluarga kami apabila nama  Seri Menanti timbul dalam perbualan. 

‘ Pasal apa Ayen  bila Mak dia panggil dia tak jawab saya.. ...  Mak dia panggil dia  jawab ku.. ku ni apa Mak?’

Aku bertanya lagi tentang raja. Ini timbul kerana  pada satu petang ketika aku lalu depan rumah Raja Husin  aku dengar  Ayen dipanggil oleh emaknya. Dia menjawab ku.

‘ Ku .. tu  jawapan sopan pada mak dia..sama  macam kau jawab  ya saya... Ya Engku .. di pendek jadi  ya ku...’

Emak  aku  menerangkan duduk perkara.

“  Raja Husin tu raja macam mana.... dia ini  raja ni apa Mak? Aku masih tak puas hati.

‘ Keturunan dia dulu dulu... dia raja .. kita ini  bono.. bila  cakap dengan  mereka kita bahasakan diri kita sebagai patik... ini bahasa  bersopan..’  Emak aku menjelaskan dengan  perkataan -perkataan yang aku tak faham.

‘ Bono ... patik ni apa Mak.... “

‘Laaa .. banyak sangat kau  bertanya... kau nak jadi raja ke?’ Mak aku melawak.

‘ Bono ni apa?’ Aku mengulangi pertanyaan.

“ Bono ni kito... orang biasa... orang bukan ada darah raja di panggil orang bono.. kau ni bono.. Ayen , Musa dan Tapa tu raja.. patik ini diri kita ... patik  tu bila kita bahasakan diri kita bila bercakap dengan raja’

‘ Kita tak boleh jadi raja ke Mak?’

‘ Tak boleh... bukan darah keturunan kita... tulah nanti... raja ni ada daulat... kalau kau  mengaku raja kau akan jatuh sakit... kau akan sakit perut... tulah..  kau bukan keturunan raja... kita bono... payah ke  nak faham...’ Emak aku macam hilang sabar dari pertanyaan  aku yang berulang-ulang.

“ Sakit perut pasal apa?’ Aku memberi soalan lagi.

‘ Pasal kau bono mengaku raja... tulah laaaa kena sumpah daulat raja..’

‘ Daulat ni apa..”

‘ Daulat ini ilmu raja..’

‘ Sapa beri daulat ni Mak.. dalam kelas bila  Cik Gu Raja  Razali panggil kenapa  tak ada sapa jawab ku.. Raja Razali  tak da daulat ke?’ 

“ Sekolah lain... sekolah dah moden...’ Mak aku menjawab ringkas dan tak tahan dengan soalan bertalu-talu dari aku. Aku pula mahu pencerahan kerana semua ini amat baru untuk aku.

Semenjak penerangan itu aku mula  faham apa itu raja, bono, daulat dan tulah.  Dari pemahaman ini aku  makin selesa duduk di keliling kampung keluarga raja  dan berkawan-kawan dengan anak raja di Batu Serambai.

Raja yang aku anggap betul betul  raja ialah Raja Husin Dia ini pakar silap mata. Kami budak budak selalu berbisik-bisik  bercerita yang Raja Husin ini ada memelihara jin.  Mengikut surah budak-budak   jin Raja Husin ini akan membantu Raja Husin dalam permainan silap matanya.

Dalam pertunjukan Raja Husin paling   menarik ialah Awang. Awang ialah patung kayu yang boleh bercakap sendiri. Kami budak-budak amat takut dengan Awang.  Ini kerana dari Awang yang boleh bercakap sendiri dan berbual-bual dengan Raja Husin. Patung kayu Awang ini menambah  kuat  keyakinan  kami bahawa Raja Husin ini ada memelihara  jin.


Raja Husin bukan hanya terkenal di Jelebu malah di luar Jelebu pun orang kenal siapa dia Raja Husin.  Sebut sahaja  Raja Husin Magic Show orang di Negeri Sembilan akan tahu. 

Tapi Raja  Husin ini agak jarang di kampung. Dari  anaknya Ayen  aku selalu dengar ayahnya  berada di Serembah di Istana Hinggap.  Raja Husin mengikut surahnya anaknya amat rapat dengan  Raja Menawar d Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Dari apa yang aku lihat Raja Husin inilah  yang menjadi tali ikatan penyambung  keluarga raja-raja di Kampung Batu Serambai dengan Yang DiPertuan Besar Raja Negeri Sembilan.

Hari berjalan.  Masa berubah. Bila cuti Jumaat Sabtu atau waktu petang  kami budak-budak kampung akan mandi  sungai, mandi dalam bonda, mengail ikan, atau melukah atau memasang tajur  mencari ikan 

 Aku  membesar dalam kampung  yang luas terbentang. Sesekali datang musim bola. Sesekali datang  musim  guli dan gasing.  Kami bermain bermain  dan bermain. Budak-budak kampung  lebih banyak bermain dari belajar.

Satu pagi  di sekolah aku telah dipanggil oleh Cik Gu Jaaman Abu.  Ini waktu rehat. Aku sampai ke bilik darjah enam. Emak aku ada sama.  Murid dan guru sedang berehat jam 10.00.

Cik Gu Jaaman menghulur kuih karipap pada aku. Aku  mengambil kuih dalam suasana yang  tak selesa. Aku tidak tahu  apa yang sedang berlaku.  Aku hairan kenapa Mak aku ada bersama Cik Gu Jaaman. 


‘ Baca  ini.... baca...’ Cik Gu Jaaman  menghulur  sekeping kertas ke tangan aku.

Aku melihatnya. Tulisan tangan Cik Gu Jaaman Abu. Macam pantun tapi bukan pantun. 

‘ Baca lah... ini sajak... sajak Chairil Anwar... sajak Aku...’ Cik Gu Jaaman memberi penjelasan.

Aku merangkak-rangkak membaca   :
‘ Kalau sampai waktuku
Ku mau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang…’

Aku memandang pada Emak aku. Kemudian aku pandang Cik Gu Jaaman. Sebenarnya aku tidak tahu apa yang sedang aku  baca. 

‘ Sham... kita akan adakan jamuan  sekolah.. sambut perayaan   Raya... kau akan baca sajak ini... boleh ...kena hafal... jangan pakai surat... boleh..’ Cik Gu Jaaman memberi penjelasan.

‘ Beranikan  hati ... kau boleh buat...  kau tak cuba kita tak tahu...’ Kata putus dari Cik Gu Jaaman Abu.

Aku memandang pada Emak aku. Kemudian aku memandang pada Cik Gu Jaaman Abu. Aku mengangguk dua kali tanda setuju.

Dalam darjah tiga tahun 1959  aku telah dipaksa berkenalan dengan  sajak Aku.   Aku sendiri tidak tahu apa itu sajak. Aku tidak tahu siapa  penulis yang bernama Chairil Anwar ini. Yang aku tahu aku wajib hafal sajak ini untuk aku bacakan di  jamuan sambutan  Hari Raya  Sekolah Umum Batu Serambai  tahun 1959. Inilah kali  pertama aku naik atas pentas. Amin

Waktu berjalan. Bila musim hujan air sungai akan naik. Kalau hujan turun malam Jumaat maka inilah masa terbaik ketika cuti sekolah  untuk budak kampung bercempera mandi sungai. Kami  yang masih belum bersunat  tanpa segan silu  akan mandi telanjang ramai-ramai.

Lubuk pilihan kami ialah di tepi sawah  tak jauh  dari  jambatan disebelah Surau Lebai Juri.

Dari atas jambatan atau dari tebing  kami akan  menjunam terjun ke dalam sungai yang airnya  melimpah ke tepi sawah. Hanya yang berani saja akan terjun dari jambatan. Aku sendiri tak berani mencuba terjun dari jambatan.


Pernah pada satu pagi  Sabtu ketika air melimpah satelah hujan lebat kami  bercempera. Pagi itu   Yusuf kawan sedarjah aku ada bersama. Usup ini budak  kampung yang berani. Rumahnya tidak berapa jauh dari sungai.  Bukan saja Usup berani  terjun dari jambatan kadang kala dia terjun dari pokok kundang di  tepi sungai.

Aku masih dapat menggambarkan bagaimana si Usup telanjang bogel   naik ke jambatan dan berlagak sebagai superman.  Lalu dia bersuara, ‘ siapa berani lawan aku...’  Kemudian Usup akan terjun ke dalam sungai.

Di pagi Sabtu itu si Usup sedang  berlakon babak siapa berani lawan aku . Tertiba muncul Pak Cik Jaafar yang sedang mengheret basikal.

‘ Aku berani lawan engkau......’ Pak Cik Jaafar bersuara dari tepi jambatan. 

Usup menoleh. Dia tak jadi terjun. Usup mengambil seluar baju lari beredar. Kami yang dalam sungai pun menjadi  tak selesa. Akhirnya kami juga keluar dari dalam sungai. Ambil seluar dan baju terus balik ke rumah.

Pak Cik Jaafar yang mengheret basikal itu ialah ayah si Usup. Aduh!  Pak Cik Jaafar  ini telah  potong stim  pesta mandi sungai kami  pada  pagi itu.

Kesah Usup – siapa berani lawan aku – menjadi bualan kami budak-budak Batu Serambai. Lama juga Usup tak  bersama kami bercempera mandi sungai.  Mungkin dia segan dengan apa yang telah berlaku. Untuk kami kesah Usup ini  menjadi surah klasik..  

Hari berjalan bulan beredar. Bila sekolah nak dibuka sampai berita buruk. Sekolah Umum Batu Serambai hanya akan ada tiga kelas sahaja – darjah satu dua dan tiga.  Murid-murid  darjah empat , lima  dan enam  wajib pindah sekolah.

Ada dua pilihan  - Sekolah Umum Amar Penghulu – tiga batu dari Batu Serambai  atau ke Sekolah Umum  Kuala Klawang.   


Aku terpaksa berpisah dengan kawan-kawan budak kampung Batu Serambai.  Ramai memilih untuk ke Amar Penghulu.  Aku memilih untuk kembali ke sekolah di pekan Kuala Klawang. Kini aku menjadi budak setengah kampung dan setengah bandar.

Darjah empat tahun 1960 di musim cuti panjang emak aku telah diarahkan untuk mengikuti kursus cara pendidikan yang moden. Emak aku menjadi guru di zaman Jepun. Pendekatan baru – cara mengajar baru  yang  lebih moden wajib diketahui oleh semua guru.  Maka Emak aku wajib berkerusus.

Kursus  dua minggu ini  dijalankan di Seremban.  Emak aku menyewa rumah  di Ampangan Seremban.  Aku dan adik aku membonceng sama ke Ampangan dengan alasan  untuk menemani Emak yang sedang berkursus.

Hari pertama di Ampangan aku terasa tersilap kerana mengekor Emak aku. Aku jadi kera sumbang tanpa kenalan.  Adik aku menjadi teman setia.

Hari ke dua aku nampak seorang budak  sedang berjalan ke arah rumah sewa kami. Dia kelihatan sebaya dengan  aku. Ketika ini aku teringat kepada  apa yang dilakukan oleh Ahmad Endut bila  ternampak aku kali pertama. Tanpa segan dan silu aku  membuat perkara yang sama – aku hampiri budak ini.

Dengan senyum yang luas  aku membuka mulut dan bertanya , ‘  Padang disini kat mana?’  Soalan seperti aku  ini budak sesat agar dilihat tidak mengancam.

‘ Saya pun tak tahu... saya bukan dari sini...’ Jawapan aku terima.

‘ Dari mana? ‘

‘ Dari Tapah... datang cuti sekolah... kakak kerja di Seremban...’

 ‘ Ooo ..Tapah ni ... kek mana?

‘ Di Perak... dekat Ipoh..’   Satu nama tempat yang membuka mata  budak kampung dari Jelebu yang belum pernah sampai ke Perak.
 
Nama kawan baru aku  Azmi. Dia  sebaya dengan  aku. Adiknya Kero baru darjah tiga dan adik perempuan Ina baru nak masuk sekolah. 

Rumah sewa kakak mereka di sebelah rumah sewa yang Mak aku sewa.  Maka kami sama-sama pendatang ke Ampangan. Kami   mula berkawan-kawan   dan meneroka wilayah Ampangan.

Tidak banyak yang dapat aku lakukan. Aku budak kampung mati akal untuk bermain dalam kawasan  perumahan yang agak sempit. Aku telah biasa dengan  sawah terbentang dan sungai mengalir. Di Ampangan rumah yang rapat-rapat merimaskan.

Sesudah dua minggu kursus Emak aku tamat. Kami akan pulang ke Jelebu.   Sehari sebelum berangkat pulang aku berjumpa Azmi.

‘ Mi.. esok aku pulang ke Jelebu... nanti kalau ada  chan kita jumpa lagi... kau tulis surat pada aku... ni  alamat   aku...aku nak juga sampai ke Tapah satu hari nanti...’ 


‘ Saya pun akan pulang ke Tapah.. kakak akan antar.. sekolah nak buka...Ina nak mula sekolah..’ 

Aku menghulurkan alamat  kepada Azmi. Azmi pula menuliskan alamat rumahnya di Tapah.  Satelah bertukar  alamat kami berpisah.

Sekolah Melayu di buka pada hari Ahad tapi pejabat pos tutup hari Ahad.  Hari Isnin aku  ke Pejabat Pos di Kuala Klawang. Dengan setem 10 sen aku pos kan surat bersampul biru kepada Azmi. Tidak banyak  yang aku tulis  hanya  bercerita yang  aku, Mak aku dan adik aku selamat  sampai ke kampung. Amin.

Aku tak sabar menunggu surat jawapan dari Azmi. Dia telah berjanji akan membalas surat aku.

Surat ke kampung Batu Serambai akan dibawa oleh Posmen Maniam dari Pejabat Pos Kuala Klawang. Maniam  naik basikal dari Kuala Klawang hingga ke Amar Penghulu.  Sistem pos amat mudah. Maniam hanya perlu meninggalkan surat-surat ini di beberapa buah kedai di tepi jalan. 

Kalau ada surat berdaftar Maniam akan beri tahu tuan kedai. Esoknya  tuan empunya surat akan menunggu. Kalau telegram  sampai maka posmen bermotosikal akan datang ke rumah. Jaringan tolong menolong di kampung amat kuat. Telegram pun boleh diambil oleh orang lain. Yang penting sampai ke tangan tuan empunya.

Aku sekolah pagi. Waktu petang lepas makan tengah hari aku akan pergi merayau ke  kedai Mak Cik Jarah dengan harapan ada surat dari Tapah.

Satu minggu aku menunggu.  Tak ada surat dari Azmi. Aku putus harapan hingga dua minggu kemudian satu petang tanpa di rancang aku menghampiri kedai  Mak Cik Jarah. Aku nampak Raja Hamzah ada di kedai.

Tertiba Raja Hamzah menggamit aku dan menayangkan sekeping surat. Aku berkejar untuk mengambilnya.

‘ Ni sapa ni...”  Raja Hamzah bertanya dengan muka yang ketat lagi masam

Aku melihat nama disampul surat.  Jelas nama aku.  Sahih  ini surat yang aku tunggu dari Azmi.

‘ Surat saya...’ Aku ambil dengan suka hati dan terus berlari ke rumah.

Di atas rumah Emak dan kakak aku sedang melipat kain. Aku dengan tak sabar  terus bersuara  kuat   ‘ siapa berani lawan aku...’ Aku menayangkan surat itu seperti lakonan Usup  di atas Jambatan.

“ Mak surat  dari Azmi... yang di Ampangan dulu... sapa berani lawan aku...’ Emak dan  kakak aku  yang tak tahu hujung pangkal menjadi tercengang.

‘ Surat apa?   Emak aku bertanya.

‘Surat untuk Raja Hishamuddin Rais... ini surat untuk Raja Hishamuddin ...’  Aku menepuk perut dan ketawa.

‘ Tak sakit perut pun... tak ada daulah  pun... aku.. tak ada tulah... tak cuba kita tak tahu... aku dah cuba... tak sakit perut pun...ini buktinya ... ini surat untuk  Raja Hishamuddin...’  Aku ketawa dan menunjukkan surat pada kakak aku.

“ Apa berita dari Azmi..’ Emak  aku bertanya dengan suara seorang guru. Secara rasional  Emak aku menerima hakikat bahawa aku tidak sakit perut.

EPILOK
Pada tahun 1960 dalam darjah empat aku telah membuktikan  tentang sakit perut, daulat dan tulah.  Aku akan terus berterima kasih kepada Cik Gu Jaaman Abu yang memberi aku nasihat -  tak cuba kita tak tahu.

Aku menjadi berani membuka hati macam Ahad Endot. Berani berhadapan dengan apa sahaja yang baru..

Cik Gu Jaaman  Abu ini juga bertanggung jawab memperkenalkan aku kepada  sajak Aku, kepada Chairil Anwar dan sastera. Hasilnya aku menjadi binatang jalang  yang tidak memerlukan sedu sedan itu. Kalau pun peluru menembusi kulitiku aku tetap akan  meradang dan menerajang, Amin. (TT)

TULISAN INI  JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/02/aku-ini-binatang-jalang/


1 ulasan:

  1. Aku juga, seorang cikgu yg tunjuk kan pintu berani. Berani mencuba, berani tanggung, berani berahi juga.

    BalasPadam