Khamis, 24 Jun 2021

BUDAK KERBAU

 

 BUDAK KERBAU

Aku ingat lagi satu  petang  Emak aku membawa berita gembira.    Berita ini sampai  setelah kami sekeluarga menetap hampir tiga tahun di Sekolah Umum Batu Serambai.

‘ Pak Cik Jaafar dan Kak Jah... nak beri kita  sejenjang sawah...’ Berita gembira dari Emak aku.

‘ Beri macam mana Mak ? ‘ Aku mahu penjelasan.

‘ Sawah dia luas... tak da sapa nak buat sawah... dia ajak kita buat  sawah... bayarlah apa yang patut.... ‘ Emak aku menambah cerita.

Aku kenal Pak Cik Jaafar dan Kak Jah ini.  Mereka ayah dan ibu kepada Usop kawan sedarjah  aku. Pak Cik Jaafar bekas  tentera sama seperti Abah aku.  Kak Jah pula  emak saudara  kepada Cik Gu Jaaman yang  kini telah menjadi Guru Besar  di sekolah  Emak aku di Batu Serambai. Jadi kami  semuanya sekampung dan sekeluarga.

Abah aku satelah berhenti dari menjadi askar telah  menubuhkan satu kumpulan ‘ geng’ lama. Mereka  ini semuanya  berkas askar. Mereka – lima orang – telah    bersetia kawan untuk sesama bantu membatu dalam projek buat kebun sayur dan juga buat sawah.

Kebun sayur ‘ geng askar’ ini di buat di tanah antara sekolah dengan rumah Raja Husin. Tanah ini milik Raja Husin. Tuan tanah  amat senang hati  kerana tanah setengah ekar ini diusahakan. Jika tidak tanah ini terus menjadi  belukar  tempat aku main Perang Jepun.

Geng askar  ini menjadikan keluarga kami    rapat.  Sesekali ketika bergotong royong di sawah Pak Cik Mail  - kami akan makan tengah hari ramai-ramai  di tengah sawah.  Sawah Pak Cik Mail ini tidak jauh dari sawah yang keluarga aku buat.

Sawah yang Abah dan emak aku usahakan  tidak luas. Dalam hitungan orang  Ngeri Sembilan sawah ini satu jenjang. Berapa luas aku pun tidak tahu. Hasil padi tidak sampai 300 gantang.   

Padi yang kami  tuai  ini menghasilkan beras kampung.  Beras padi kampung lebih wangi dari beras yang kami beli di kedai Kuala Klawang.

Sawah oh sawah. Aku tidak mungkin jadi aku kalau tidak kerana  sawah. Sawah dan lopak-lopak padi inilah yang  membina perwatakan aku hingga aku mendewasa  seperti aku wujud hari ini.

Jenjang sawah kami tak jauh dari sungai. Di kiri  di kanan dan di hadapan jenjang sawah orang lain. Sawah kami  di belakang sawah Raja Husin.  Sawah kami menjadi sempadan ke sungai. Melintas sungai ialah kebun  getah dan dusun  orang kampung termasuk dusun durian Pak Cik Jaafar.

Bersawah ketika Emak dan Abah aku  ke sawah  masih belum moden. Menanam padi hanya setahun sekali.  Cangkul dan rembeh  masih alat  utama untuk ke sawah. 


Telah ada mesin tolak  moden jenis Kabota buatan Jepun. Jentera  besar sedikit dari mesin tolak potong rumput ini  boleh disewa  untuk membajak tapi tak ramai yang  menggunakan.  Ini kerana sawah tidak luas  dan tidak memerlukan jentera.

Jangan silap faham – turun ke sawah juga  ada disiplin dan peraturan. Ianya wajib dilakukan  dengan masa dan ketika yang tepat.   Waktu dan tarikh ini bukan mengikut  kalender atau arloji. Kalender dan arloji Ini konsep moden yang lahir dari revolusi industri.  

Konsep masa orang Melayu  berpandukan alam. Konsep masa orang Melayu pun lahir dari membuat sawah. Sawah bermusim justeru masa dan waktu Melayu berpandukan musim.
 
Membuat sawah inilah yang melahirkan budaya Melayu.  Melayu wujud   kerana sawah. Asas budaya Melayu asli  lahir dari  membuat sawah. 

Aku amat yakin akan bab  ini.  Apa tah  lagi bila aku  menganut dan menggunakan pandangan Karl Marx. Pandangan kaum Marxis untuk menganalisa masyarakat adalah melalui pembuatan.  Pembuatan adalah kunci kehidupan manusia. Manusia membuat maka manusia wujud.

Melayu buat sawah  maka budaya Melayu adalah budaya sawah. Wataknya : budaya Melayu  semi feudal dan semi konservatif.

Air  yang masuk ke sawah aku  tak boleh aku tahan. Air ini  wajib berjalan terus untuk  mengalir ke sawah yang lain. Air ini bukan milik peribadi.  Air seperti udara adalah milik  semua. Semua orang kampung – semua warga tahu – air sungai dan air bonda bukan milik peribadi.

Betul tali  air  lalu ke  dalam sawah Raja Husin ke sawah aku. Betul sungai melintas dalam tanah Pak Cik Jaafar – tapi sungai, tali airi dan bonda masih milik bersama.  Mustahil air  diswastakan. 

 Bersawah melahirkan semangat  kekitaan yang maha  kuat lagi  ampuh untuk orang Melayu.

 Sikap  dan budaya setia kawan  dan kekitaan inilah yang aku  alami  ketika aku membesar dalam sawah. 

Dari sinilah  timbulnya sikap dan semangat gotong royong. Sawah padi menyusun orang Melayu untuk  pandai bekerjasama – bijak  tolong menolong.

Bila musim hujan sampai ertinya  permulaan musim ke sawah. Air sungai akan di tutup. Empang batu di Ulu Klawang ditutup agar air akan  masuk ke bonda. Ketika inilah waktunya  sawah wajib mula di kerjakan. 

Parit, pembetung   dan laluan air memulakan  bergotong royong  - laluan air wajib dibaiki.  Sawah di cangkul dan dibajak  - tolong menolong.  Hari sawah aku – esok sawah kau.  Inlah sikap ‘ geng askar’   yang Abah aku menjadi anggota.

Sesudah  talian air mantap   benih padi akan disemai. Aku ingat lagi kami menyemai benih padi di kawasan tanah lapang  di sebelah rumah. Ini tanah milik sekolah.  Abah aku berkebun  disini dan menjadikan  tapak semaian benih padi. 

Tapak  semaian wajib di jaga kerana ketika ini burung pipit dan burung tempua  berkeliaran. Ketika  menunggu benih bercambah dan membesar  sawah dibajak sekali lagi.  Kali ini rumput rampai  dan jerami batang padi musim lepas  dilanyak dalam lumpur untuk dijadikan baja.

Kemudian masuk musim mengubah. Musim mengubah  bermakna  anak padi di ubah  dari tapak semaian  untuk ditanamkan ke dalam sawah yang kini  selut berlumpur. Biasanya ini tugas orang perempuan. Agak ulit – membongkok untuk menanam.  Benih padi  wajib  ditanam tersusun rapi – jarak yang betul agar  padi hidup subur. 

Ketika ini  Emak aku akan turun ke sawah di waktu petang. Pagi Emak aku  mengajar.  Kami adik  beradik hanya mengekor sama – buat ramai. 

Dua minggu satelah mengubah -  anak padi menjadi tegap  dan subur. Sebulan kemudian  masuk musim merumput.  Merumput ini amat menarik kerana lopak  sawah penuh dengan air. Dalam lopak  air ini  ada puyu dan haruan. 

Sampai hari ini aku masih belum tahu dari mana puyu, sembilang, haruan dan katak ini datang.  Ketika  sawah  berlumpur dan agak kering di bajak  semua hidupan ini tak nampak batang hidung.  

Tiga bulan satelah anak  padi di tanam mereka berkeliaran dalam sawah.   Kalau dalam lubuk aku  faham mereka  sentiasa ada disana. Tapi yang tertiba pelbagai  ikan berada dalam lopak sawah - dari ceruk mana mereka  datang.

Ketika ini juga di permatang sawah akan ada pacat. Dalam sawah pula akan ada lintah. Dari mana mereka datang?

Inilah soalan ilmiah yang aku sendiri tidak memiliki  ilmu untuk menjawab.  

Kerana pacat dan mensiang yang tumbuh permatang sawah pernah aku pernah  membuat satu cadangan. Aku anggap cadangan aku ini amat bijak.

‘ Mak kenapa kita tak simen aje... permatang... senang kita nak berjalan... tak calar balar ... tak gatal kaki terkena mensiang...’  Cadangan bijak aku.

‘ Bilo kau kayo nanti... kau bueklaaa..’ Ini jawapan  dari Tok Wan Rahmah  aku yang sesekali datang juga ke  sawah membawa kail untuk mencuba nasib di lubuk di tengah sawah.

Aku ingat lagi sesudah musim merumput – ketika menunggu  padi bunting bersusu -  ramai burung Wakwak datang mencari belalang. Abah aku amat bijak. Selalu Abah aku  berjaya dapat memerangkap dua tiga ekor Wakwak untuk di goreng.  

Musim pertama kami ke  sawah padi naik ke kepok hampir 200 gantang.  Kepok padi kami di belakang rumah sebelah reban ayam.   Kami sekeluarga gembira.  Aku tak tahu berapa  ringgit sewa  sawah yang perlu di  bayar pada Pak Cik Jaafar. 


Biasanya Emak atau  Tok Wan  aku akan menyuruh aku menjemur padi sebelum hari Rabu. Ini kerana pada hari Rabu mesin padi akan sampai dari Peradong. Ini mesin milik Syarikat Kerjasama Pesawah Jelebu. Kampung Peradong  dijadikan pusat padi untuk daerah Jelebu. 

Mesin padi ini bergerak dari kampung ke kampung di seluruh Jelebu mengikut  hari yang ditetapkan.  Selepas musim menuai  setiap minggu mesin padi akan sampai. Kemudian dua minggu sekali atau  bila pelanggan kurang  tarikh baru yang akan diumumkan.

Tapi Emak aku tetap dengan budaya Melayu. Kami masih ada lesung kayu.  Lesung penumbuk padi bukan lesung kaki. Emak aku juga membeli alat pengipas  padi yang di buat dari papan. Alat ini  untuk mengangin padi sebelum di jemur.

Baru nak masuk musim   ke dua keluarga aku ke sawah Abah aku pula membawa satu lagi berita baik.

‘ Kita akan dapat kerbau...’  Ayah aku bercakap pendek.

‘ Kerbau apa pulak...’ Aku menyoal.

‘ Kerbau kerajaan... kerajaan bagi pada orang  kampung yang buat sawah... Ini rancangan kerajaan untuk bantu orang  kampung....bila kerbau dah beranak... kita pulangkan anaknya pada kerajaan... ibu kerbau kita punya...kerbau milik kita....‘ Penerangan jelas dari Cik Gu Zaleha. 

‘ Berapa ekor... sapa lagi dapat.. bila nak dapat...’ Aku  menembak soalan satu per satu dengan tidak sabar menunggu jawapan.

Dua minggu kemudian pada petang Sabtu sebuah  lori  dari Jabatan Pertanian Jelebu  sampai. Lori ini membawa 8 ekor kerbau. Lori ini  telah berhenti depan padang sekolah. Lapan keluarga  telah dipilih.  

Dari apa yang aku dengar kerbau ini didatangkan  dari Kelantan.  Umur kerbau ini betingkah. Ada  yang agak tua kerana tanduknya panjang melintang. Ada yang masih dara tanduknya pendek menjulur.

Siapa orang kampung yang dapat kerbau itu aku tidak ingat lagi. Tapi aku tidak akan melupakan Raja Deraman dan anaknya Ujang. Raja Deraman juga mendapat sekor kerbau. Kerbau dara sama sebaya  dengan kerbau aku. 

Keluarga Raja Deraman ini duduk di sebelah rumah Raja Husin tak jauh dari rumah aku. Ujang ini setahun lebih muda dari aku.

Aku tidak dapat tuliskan disini betapa gembiranya aku  pada petang itu.   Keluarga aku mendapat seekor kerbau. Orang Kampung Batu Serambai dapat kerbau di beri oleh kerajaan.  Di kampung kami tidak pernah  ada kerbau. Jadi langkah  kerajaan ini adalah  ini permulaan dengan harapan kerbau lapan ekor kerbau ini akan membiak.

Kerbau aku ini telah bertindik hidung.  Telinganya telah ada angka.  Hidungnya telah ada cincin. Aku hanya  membawa tali untuk  membawa  kerbau ini pulang.

Kandang kerbau – beratap zink -  yang Abah aku telah sediakan lebih awal  terletak  ini di bawah pokok jambu sebelah tandas tidak jauh dari tapak semaian padi. Petang itu  aku dengan penuh kegembiraan telah  membawa Sang Kerbau ke kandangnya.

Malam itu sesudah makan keluarga kami bersidang.   Persidangan untuk mencari nama yang sesuai  kepada kerbau ini.

‘ Kembang... namanya... hidung dia kembang dan harap dia akan berkembang membiak...’ Cadangan dari Cik Gu Zaleha. Semua bersetuju.

‘Isam.... kobao ni kau jaga... jangan lupo... ni kobao kerajaan...’ Tok Wan aku memberi ingatan.


Semenjak malam itu aku menjadi budak kerbau. Kawan dan teman baik aku ialah Ujang anak Raja Deraman.   Kami berdua ada kerbau. 

Setiap  petang balik dari sekolah  selepas makan aku akan membuka  tali  Kembang. Aku akan tarik Kembang ke  kawasan yang  banyak rumput.    Aku mula belajar mengenal kawasan lapang di sekeliling kampung. Juga mengenal kawasan kebun getah yang berumput.

Ujang ada aku bertukar maklumat. Kami saling bantu membantu. 

Kadang kala aku membawa buku cerita untuk dibaca ketika kerbau aku makan rumput. Jika tidak  aku wajib   menunggu Kembang  kenyang  meragut rumput mungkin satu dua jam. Ini membosankan. Buku cerita memadamkan kebosanan.

Kadang kala aku ikat Kembang di tepi sungai yang banyak rumput dan aku mandi dalam sungai. Sebagai budak kerbau aku wajib kreatif untuk membunuh kebosanan. 

Pulang dari meragut  aku wajib memasang api untuk mengasapkan kandang. Asap ini untuk menghalau nyamuk dan agas dari menyerang Kembang.

Ramai tak sedar – malah aku sendiri juga terperanjat – bila aku memahami perangai Kembang. Kerbau bukan macam lembu  terberak di mana rasa  nak terberak. Kerbau memiliki sifat yang bersih. Kerbau akan keluar dari kandang dan terberak di luar kandang.

Badan kerbau berlumpur kerana ada sebab. Bukan kerana kerbau pengotor.   Kulit kerbau tidak berbulu seperti kambing atau lembu. Justeru kerbau senang menjadi mangsa nyamuk dan agas. Kulit kerbau tidak kasar.

 Kerbau suka berlumpur kerana lumpur di badan  menjadi alat  pendinding  dari serangan  nyamuk.  Lumpur  juga jadi pendingin dari  panahan cahaya matahari. 

Pada awalnya aku tak sedar perkara ini. Setiap petang sebelum  masuk kandang aku akan membawa Kembang ke bonda . Disini aku akan membersihkan  semua lumpur.  Aku mahu Kembang  mandi dan dilihat bersih.

‘ Biarkan berlumpur... nyamuk tak datang...’ Ujang memberi penerangan.

‘ Kobao kito ni daro lagi...’ Ujang memberi penjelasan.

‘ Belum bunting  lagi ko.. ‘ Aku bertanya.

‘ Bolom kono lagi... kampong kito mano ado kobao  jantan... di Komin adolaaa... bolom berancuk mana nak bunting..’  Ujang menerangkan seolah-olah dia pakar binatang.

Sesekali aku lihat  ke  pantat Kembang.  Betulkah Kembang masih dara.  Dalam hal ini aku  kurang arif.  Tapi aku  mahu Kembang bunting.  Aku merasa ini satu maslah besar.  Di kampung Batu Sarambai  hanya ada 8 ekor kerbau dan semuanya  betina. 

‘ Komin ado banyak kobao..’ Ujang memberi maklumat.

Ujang meyakinkan aku   kerbau jantan pasti ada.  Kampung Kemin  ini  sebatu lebih jauhnya dari kampung kami. Kampung ini mengarah ke pekan Kuala Klawang. Sawah di kampung ini juga agak luas.

Aku menyimpan harapan  agar Kembang akan jumpa jantan dari Kampung Kemin. Tanpa  jantan Kembang aku tidak akan bunting. Selagi tak beranak Kembang bukan milik aku. Kembang akan terus jadi milik  Jabatan Pertanian.

Waktu bermain aku kini tidak sebebas sebelum aku ada Kembang. Kembang kini menjadikan sebahagian dari jadual  harian aku.  Tali yang mengikat hidung Kembang itu juga sedang mengikat  aku sama.

Aku dan Ujang sedang menunggu  musim sawah selesai. Bila musim sawah selesai -  padi semua telah dituai – sawah akan menjadi padang.  Aku akan lepaskan Kembang.

Aku mahu Kembang pecah dara. (TT)



TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/06/24/budak-kerbau/



4 ulasan:

  1. Nasib baik ekau tak calatkan sikembang..mano tau kok ekau stim lak tengok pantat sikembang tu haha..bro sekolah batu serambai tu samo dengan sekolah amar pengulu ke

    BalasPadam
  2. - Ikan puyu tu maybe dari sungai(ini tak dapat dipastikan sawah tempat aku ada sistem parit sendiri). Ikan puyu di sawah selangor datang dari parit.

    - Ikan puyu ni boleh naik darat. Boleh mengesot. Masa musim hujan biasa berlaku. Pernah aku tangkap masa mengesot di tanah.

    - Ikan haruan boleh hidup di dalam lumpur, air yang makin kering pon boleh hidup.

    BalasPadam
  3. Apo tak kau jo hontam Si Kombang tu TT ..kihkihkih

    BalasPadam
  4. Boto tu TT dulu sawah dah macam supomakit ..somuo ado yg tak do uwan dan atok kau jo. Uwan den tiap ari ko sawah bawak tanggok dan koghopai ..bilo potong lam ko duwo lobih dio balik, tanggong ponoh dongan semilang, tilan, kijing, sipot sodot, puyu ..pucok paku, tangkih, maman. Orang kampong jam tu tak ko pasa walau pun kombong ghogo 20 sen sokati

    BalasPadam