Ahad, 29 Ogos 2021

AYAT-AYAT SOTONG

 

AWAS

BERJAGA JAGA

DENGAN 

TALI BARUT

AMIN



Taliban tidak akan berubah, kata pelarian Afghanistan

PELARIAN Afghanistan di Malaysia tidak berasa negara mereka mempunyai masa depan cerah di bawah pemerintahan Taliban dan bimbang kekejaman sama seperti sebelum ini berulang.

Mereka agak ragu-ragu Taliban sudah berubah seperti didakwa dan tetap menghormati hak asasi penduduk di negara itu.

Mereka turut memberitahu The Malaysian Insight kebimbangan mengenai masa depan negara dan nasib yang dilalui rakyatnya, terutama golongan wanita.

“Taliban adalah pengganas, mereka sudah membunuh ramai rakyat selama berdekad. Bukan setakat itu, mereka membunuh kanak-kanak dan menyerang masjid, universiti, sekolah dan turut menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

“Terlalu sukar untuk saya percaya mereka sudah berubah. Ketika berusia 12 tahun, saya menyaksikan bagaimana seorang wanita di kampung saya ditembak di kepala oleh kumpulan itu hanya kerana dia berhijab.

“Mereka tidak menunjukkan belas kasihan dan kami dipaksa menyaksikannya supaya tidak akan membuat kesilapan serupa,” kata seorang pelarian yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Ahmad datang ke Malaysia ketika berusia 16 tahun sekali gus meninggalkan keluarganya.

Beliau mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) kerana corak kehidupan kejam di bawah pentadbiran Taliban.

Kebajikannya kini dijaga oleh kumpulan hak asasi tempatan - Kakak - yang memperkasakan pelarian dengan peluang pekerjaan.

Ahmad turut menjalani rawatan di hospital tempatan bagi merawat masalah kesihatan mentalnya.

Beliau berasal dari kumpulan etnik Hazara yang sebahagian besarnya penganut Syiah.

“Ketika saya berusia 14 tahun, masjid kami (masjid Syiah) dibom oleh Taliban. Ramai yang bersembahyang di dalam masjid itu. Saya masih boleh terbayang imej kejadian mengerikan itu sekalipun ia sudah lama berlalu,” katanya.

Pengalaman trauma Ahmad menghalangnya daripada berkongsi cerita mengenai keluarganya. Ahmad tidak pernah bercakap dengan keluarganya sejak beliau tiba di negara ini dua tahun lalu.

Afghanistan berdepan kemelut susulan penguasaan Taliban selepas penarikan diri tentera Amerika Syarikat (AS) yang sebelum itu menyokong pemerintahan sivil selama 20 tahun.

Presiden negara itu Ashraf Ghani melarikan diri ke Dubai pada hari sama Taliban mengambil alih Kabul pada 15 Ogos.

Ribuan rakyat Afghan cuba meninggalkan negara itu kerana bimbang dengan tindak balas Taliban susulan mereka bekerjasama dengan AS.

Bagi pelarian berusia 46 tahun, Khan Mohamad, peluang buat Taliban mengotakan janji mereka amat tipis.

Beliau menggambarkan sukar buat seseorang yang pernah mengalami kekejaman Taliban untuk percaya dengan dakwaan kumpulan itu sudah berubah.

“Ia terlalu teruk buat negara saya dan saya tidak boleh percaya apa yang mereka katakan kepada umum. Lagipun, kami tidak lihat sebarang berita di luar Kabul.

“Ketika di sana, saya menyaksikan terlalu banyak pembunuhan dilakukan oleh kumpulan itu. Sesiapa yang menentang mereka akan dibunuh. Itu berlaku 20 tahun lalu, apa yang akan berlaku terhadap negara saya hari ini hanya masa akan menentukannya.

“Mereka boleh kata semuanya okay tapi bagaimana mengenai tempat lain yang jauh daripada media antarabangsa? Apa saja boleh berlaku di tempat itu,” kata Khan, yang juga seorang Hazara.

Seperti Ahmad, Khan turut terputus hubungan dengan keluarganya.

“Saya datang ke sini bersama isteri dan anak-anak kerana saya tada pilihan. Saya tidak tahu nasib menimpa kedua ibu bapa saya di kampung halaman kerana kami terputus hubungan.”

Pada Rabu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Taliban sudah berubah demi kebaikan dan orang ramai tidak patut percaya kerana semua yang digambarkan adalah dakyah media Barat.

Hadi berkata, ia terbukti apabila Taliban menjanjikan pengampunan kepada rakyat Afghanistan yang sebelum ini bekerja dengan AS dan membenarkan golongan liberal meninggalkan negara itu.

“Media Barat dan tempatan mendedahkan aspek negatif Taliban,” kata Hadi.

Komen ahli Parlimen Marang itu muncul selepas anak lelakinya, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengucapkan tahniah kepada Taliban kerana “membebaskan” Afghanistan.

Khalil sejak itu digantung daripada Facebook kerana komennya.

Taher - seorang Hazara yang berada di Malaysia selama lima tahun - kecewa terhadap mereka yang memuji Taliban.

Pelarian itu mengecam Taliban kerana mendakwa mereka Islam sejati sedangkan sebenarnya mereka membunuh kaum seagama.

“Malangnya ada antara rakyat Malaysia yang percaya dengan Taliban. Memuji dan percaya mereka sudah berubah.

“Mereka tidak akan berubah sedikit pun. Ketika memerintah, mereka membunuh lebih ramai orang Islam berbanding kafir. Kanak-kanak dan wanita tidak terkecuali.

“Hospital, sekolah, universiti menjadi sasaran pembunuh berani mati. Siapa yang mereka bunuh? Saudara seagama mereka sendiri,” katanya.

Taher mendedahkan keluarganya cuba meninggalkan negara itu selepas Taliban menguasai namun cubaan mereka gagal.

“Saya bercakap dengan keluarga saya, mereka semuanya bimbang mengenai keselamatan. Mereka berada di lapangan terbang cuba untuk melarikan diri tetapi tidak berjaya.

“Saya diberitahu ramai yang bekerja dengan agensi dan negara luar kini takut. Manakala anak gadis tinggal di dalam rumah dan tidak ramai yang berani keluar,” katanya.

Sementara itu, Fazel Rosooli, seorang Afghan yang tinggal di Jawzjan - satu daripada 34 wilayah di negara itu, mendedahkan beliau melihat beberapa perubahan sikap dalam kalangan Taliban.

Bekas penterjemah bahasa Inggeris berusia 36 tahun itu memberitahu The Malaysian Insight setakat ini tentera Taliban tidak melakukan apa-apa terhadap rakyat biasa.

“Setakat ini bagus. Kali terakhir mereka menguasai bandar, kami dihukum kerana tidak mempunyai jambang atau tidak ke masjid untuk bersembahyang.

“Wanita tidak dibenarkan keluar bersama muhrim dan tanpa burqa. Anak gadis tidak dibenarkan pergi ke sekolah.

“Tapi kini, mereka tidak memaksa anda menyimpan jambang dan mempunyai pilihan sama ada bersembahyang di masjid atau di rumah anda. Wanita boleh keluar tanpa muhrim tetapi perlu memakai burqa yang sesuai (sekurang-kurangnya ketika ini), anak gadis boleh pergi ke sekolah juga.

“Inilah perubahan yang kami lihat hari ini, tapi adakah ia konsisten dan sesuatu yang tetap? Tiada siapa tahu,” katanya.

Bagaimanapun Fazel, yang berasal dari etnik Pashtun, masih ragu-ragu terhadap kumpulan itu berkata beliau tidak menjangkakan kumpulan itu akan menghormati hak asasi manusia.

“Di bandar saya, mereka memecat ratusan penjawat awam daripada beberapa jabatan tanpa bertanya sepatah soalan atau membenarkan mereka untuk mempertahankan diri.

“Ini mungkin menjurus kepada lebih banyak penyalahgunaan pada masa depan,” katanya.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan ketika ini terdapat 2,610 pelarian Afghanistan dan yang memohon suaka di Malaysia sehingga Julai 2021. – 29 Ogos, 2021.


TALI BARUT

AKAN BAWA

TALI RAFIA

AMIN

 DENGAN NIAT

 NAK IKAT 

MINAH REMPIT

KAH KAH KAH 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan