SELAMAT PULANG
Keluarga Cik Gu Zaleha dan Rais Manaf selamat sampai kembali ke Kuala Klawang setelah bertandang menghantar jemaah haji di Singapura. Kota Singapura dan cerita kapal haji tinggal dalam ingatan.
Bila Ahad sampai dan sekolah dibuka aku berpulang dapat bercerita tentang Jambatan Merdeka dan singa batu di tepi jalan yang aku nampak di Singapura. Aku juga nak jual cerita tentang Geylang kampung Melayu tempat aku menginap di Singapura.
Sayangnya tak ada siapa yang berminat. Lalu tidak aku umumkan bagaimana aku mengutip dan mengumpul getah gelang dikaki lima di Singapura. Bila tak ada peminat maka aku merasakan kejayaan aku mati ditengah jalan.
Satelah pulang dari Singapura hidup kami seperti biasa. Jelebu masih lagi kawasan hitam. Pekan Kuala Klawang masih lagi di pagar kawat berduri. Semenjak aku berpindah dari Sekolah Tapak lagi aku mendengar gerila komunis anti penjajah Inggeris masih lagi aktif di kawasan Jelebu.
Titi empat batu dari Kuala Klawang ialah sebuah kampung baru China. Titi di kawal rapi oleh Ghurkha - soldadu upahan Inggeris. Disebelah Titi ialah Seperi – ini kampung baru Melayu yang juga di pagar kawat berduri dan dikawal rapi oleh soldadu upahan Inggeris.
Setia kawan dan kejiranan Melayu-China ada tersemai dan terjalin sebelum ini di kampung-kampung dan daerah. Bila perang anti penjajah Inggeris sampai semangat ini di renggangkan secara terancang oleh kuasa kolonial.
Masyarakat China di satu tempat di asing dan dijauhkan dari kampung Melayu. Contoh terbaik di kampung Chenor – kampung kelahiran Abah aku. Di tepi sungai di belakang rumah Tok Manaf ada keluarga China berkebun.
Apabila Jepun kalah kuasa kolonial Inggeris datang kembali. Arahan dikeluarkan keluarga China dikeluarkan dari kampung Melayu.
Kampung berkurung, berpagar kawat berduri ini adalah projek Inggeris untuk mengalahkan pengaruh PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan PKM (Parti Komunis Malaya). PKMM dan PKM dua gerakan nasionalis ini sedang bekerjasama bermandi darah menentang kuasa kolonial Inggeris.
Simpang Pertang yang tidak jauh dari sempadan Pahang – Karak dan Temerloh – adalah wilayah dan lubuk aktiviti pejuang nasionalis menentang Inggeris cukup kuat.
Inilah latar politik dan budaya ketika aku membesar.
‘ Mak agak Wan Timah kau dah sampai Colombo ni... ‘ Mak aku memberi maklumat satu minggu sekembali dari Singapura.
‘ Kolombo tu di mana Mak ...’ Aku bertanya.
‘ Dalam negeri Ceylon dekat India..’ Mak aku menerangkan.
Aku tidak tahu di mana duduknya dua nama ini.
‘ Silon ni macam teh Silon kita tu ke....sama bunyinya ..’ Aku bertanya lagi.
‘ Lepas tu kapal singgah di Karachi... mungkin ambil penumpang.. ambil air...ambil minyak.. masa inilah boleh pos kan surat.. tapi Wan Timah kau tak tahu menulis...’ Emak aku menambah maklumat tanpa memberi penjelasan tentang teh Silon yang aku tanya.
Dalam kepala aku hanya dapat membayangkan kapal Anshun dengan kepulan asapnya melintas Telok Kemang di Port Dickson.. Inilah sahaja pantai laut yang pernah aku kenali dan aku pernah menjejakkan kaki.
‘ Lepas Karachi... masuk Laut Merah... berhenti di Eden.. ini kira dah masuk negeri Arab...’ Cik Gu Zaleha memberi kuliah ilmu alam.
Colombo, Karachi, Eden adalah nama-nama yang pertama kali aku dengar dalam hidup aku. Aku tidak tahu di ceruk mana letak nama-nama ini.
Dua tempat aku tahu. Mekah dan Madinah yang menjadi tempat buat haji. Ini pun aku tidak tahu di mana letaknya. Aku hanya dengar nama. Arab untuk aku ialah padang pasir dan unta.
‘ Ari tu nasib baik kau tak ilang... ‘ Emak aku mengingat kan tentang babak aku tersesat dalam kapal Anshun.
‘ Kalau kau ilang dalam kapal kau akan jadi Haji 65 Sen...’ Emak aku bercakap sambil ketawa. Kakak dan Abang aku yang mendengar perbualan kami ketawa sama. Aku tidak tahu apa yang lawak.
‘ Haji 65 Sen ini haji apa.... ‘ Seperti biasa aku nak tahu.
‘ Naik kapal haji ke Mekah dengan belanja 65 sen...’ Emak aku ketawa lagi.
‘ Mak kata Wan Timah belanja lebih 700 ratus... Sapa naik haji bayar 65 sen ....’ Aku menyoal.
‘ Ada....’
‘Ada sapa...’ Belum sempat Emak aku bercerita aku telah memintas dengan tidak sabar
‘ Sabar dulu.. bila bertanya tunggu jawapan.. bila mendengar pasang telinga...’ Cik Gu Zaleha memberi peringatan pada muridnya.
Kali ini aku senyap tidak menjawab. Aku berharap Emak aku akan membuka kesah siapa pergi naik haji dengan duit 65 sen.
‘ Dulu... ada budak macam kau.. dia hantar orang naik haji... di Singapura juga...entah macam mana dia sesat dalam kapal... entah dia tertidur ke... dia tak turun turun.. macam kita naik dulu...tapi kita turun.. bila kapal berlayar dia kena angkut sama...’ Emak aku bercerita.
‘ Budak dari mana Mak..’ Aku kembali bertanya.
‘ Tak tahu orang mana.. ada Mak nampak dia di stesen bas Seremban...’
‘ Orang kampung kita ke...’ Aku mahu pengesahan.
‘ Orang panggil dia Haji 65 Sen... dia ini lurus bendul sikit... agaknya masa dalam kapal dia ikut saja apa orang kata...’ Mak aku memberikan fakta.
‘ Sampai dia ke Mekah...’
‘ Sampailah dia ke Mekah... nak turunkan dia di mana... ikut orang sama naik haji.. bila orang kapal periksa dia .. raba poket dia ada duit 65 sen....lalu lekat nama Haji 65 Sen...’
‘ Nasib adik sempat turun...kalau tak adik naik haji pulak ... teman Wan Timah....’ Aku melawak gembira.
Keluarga kami tak ada mendapat apa berita tentang Wan Timah. Begitu juga Pak Cik Barau dan isteri. Hanya desas desus yang kami dengar.
Jemaah haji sudah sampai ke tempat itu dan sampai ke tempat ini. Ini hanya soh seh soh seh dari cerita atas cerita. Dari mulut ke atas mulut. Dari Si Anu yang mendengar dari Si Anu yang mendengar dari Si Anu. Si Anu mana yang pernah naik ke Mekah tidak pula diketahui.
Hari Raya Haji sampai. Abang aku pulang bercuti. Aku juga tidak sedar bahawa Hari raya Haji ini adalah hari merayakan amalan haji.
‘ Lepas raya ini Wan Tiah kau akan pulang dari Mekah...’ Abah aku mengumumkan. Tetapi tak ada siapa tahu bila tarikhnya. Ini sama seperti masa hendak berangkat dulu. Tak tahu bila kapal akan sampai. Wajib ulang tengok di rumah Tok Sheikh.
Lebih kurang satu bulan lepas raya haji berita tersebar jemaah haji dah sampai di Singapura. Wan Timah aku di sambut dan diambil oleh Pak Ngah Aminuddin untuk dibawa pulang ke Kampung Chenor.
Dihujung minggu Emak membawa kami adik beradik melawat . Abah aku tak ikut sama. Dia tidak ada cuti.
Bila kami sampai aku nampak ada saudara mara yang juga datang melawat dan menyambut Wan Aji. Rumah Wan Aji macam ada kenduri kecil.
Aku hanya memasang telinga nak mendengar kesah pelayaran kapal haji ke Mekah.
‘ Kito masaklaaa atas kapal.... pakai dapo semawar... tompek sompet.. pandai pandailah... kongsi kongsi...makanlah apa yang ada...’ Wan Aji menerangkan apa berlaku dalam kapal haji.
‘ Air dari mana?...’ Pertanyaan sampai.
‘ Dari paip... dalam kapa ni ada pair air... tangki bosa.. ‘ Wan Aji bercerita.
‘ Kalau demam macam mana? Lagi soalan.
‘ Dalam kapa ada doktor... dukun pun ado... entah orang mana dukun tu... dio samo nak pergi Mokah.... pakai mana yang boleh...’ Wan Aji menerangkan hal kesihatan – ada perubatan moden ada tradisional.
‘ Ada sorang domam ... bolum sempek sampai Mokah dio sakit kemudian mati...’
‘ Tanam di mana..’ Aku mencelah cepat. Perkara macam ini aku nak tahu sangat.
‘ Mandikan, kapankan, sembahyangkan ... tanam mayat dalam laut...’ Penerangan yang mengejutkan aku.
‘ Yang mati di Mokah masuk kubo bosa ... ada kubo bosa tanam ramai-ramai...’ Lagi penjelasan tentang kematian dari Wan Aji.
Bila aku mendengar surah ini aku merasa gerun. Macam mana agaknya ditanam beramai-ramai. Aku tak pernah melihat kubur besar ini digali di kampung aku.
Aku paling ingin tahu cara Arab hidup di Meklah. Tentang unta dan padang pasir. Tapi aku tak berani bertanya. Kalau Emak bercerita aku akan kerap bertanya. Apabila Wan Aji bercerita aku hanya memasang telinga.
‘ Paneh ... memang panas... payung pun paneh... nak unta.. barang-barang semua naik unta... kito ada berjalan... tak terdayo.. kita naik unta..’
‘ Wan dah naik unta ..’ Mata aku terbuka bertanya bila mendengar hal unta.
‘ Udah... Mak Aji Barau pun naik... orang betino unta lain..jantan unta lain...unta tu tido kek khemah kito...’ Wan aku menerangkan budaya Arab.
‘ Bilik mandi kocik jo.. air ado orang Arab bawak masuk.. jamban topi rumah ... ada luang dalam pasir... berak laa disitu... lopeh tu berak tu ilang...’ Wan Aji menerangkan tandas Arab.
Kesah tandas Arab ini melekat dalam kepala aku bertahun-tahun. Bila Wan Aji kata ‘ berak tu ilang ‘ aku rasa kota Mekah ini ajaib. Berak boleh hilang begitu saja. Bab ini meyakinkan aku tentang kesucian kota Mekah.
Sepupu aku Lokman dan Nazri duduk di sebelah aku. Kami ralit mendengar cerita Mekah.
‘ Di Mekah duduk di mana...’ Emak aku bertanya.
‘ Rumah Tok Sheikh yang sama.... Aji Barau dan isteri pun di rumah sama... bukan rumah bosa.... tak jauh... kami jalan ke Kaabah...’
‘ Wan nengok Kaabah...’ Soalan cepu emas dari aku.
‘ Nampak... dokek ... Aji Barau bawak seluar dan baju arwah anaknya – dio bawak maso ngelilingi Kaabah... Wan kato... tinggalkan sodokahkan pada orang sano ... tapi dio tak nak... dia angkut balik bawak pulang ke rumah..’
Kesah Haji Barau dan isterinya ini amat menyedihkan. Keluarga kami tahu kesah di belakang seluar ini. Anak sulung Haji Barau seorang soldadu Inggeris . Dia mati dalam satu pertempuran dengan gerila anti penjajah.
Mengikut surah Wan Aji Haji Barau telah membawa beberapa helai seluar dan baju arwah anaknya. Dia membawa seluar dan baju ini mengelilingi Kaabah.
Mengikut Wan Aji walau pun Si Anak tak sempat ke Kaabah, Si Ayah sanggup membawa pakaian anak untuk mengelilingi Kaabah. Inilah bukti cita kasih Ayah dan Ibu terhadap anaknya yang telah pergi lebih awal.
Aku sebenarnya belum puas hati terutama tentang berak boleh hilang begitu saja dalam jamban Arab. Tapi ketika itu aku hanya merakamkan dengan ingatan tentang betapa sucinya kota Mekah ini.
‘ Ni air Zam Zam dari Mokah... Icham minum.. torang ati bilo belajar...’ Mak Long aku menghulurkan kepada aku air Zam Zam dalam gelas kecil.
Aku berterima kasih. Ini kali pertama aku merasa air Zam Zam. Rasanya payau dan masin sedikit. Aku amat gembira kerana air Zam Zam dari Mekah mengikut kata Mak Long aku boleh menerangkan hati untuk belajar.
‘ Nah rasa kurma ni...’ Mak Long aku memberikan kami budak-budak seulas seorang buah kurma. Aku , abang aku dan tiga orang sepupu menghulur tangan menerima buah kurma.
Untuk aku buah kurma ini bukan satu yang baru seperti air Zam Zam. Setiap tahun pada bulan puasa keluarga aku ada membeli buah kurma untuk santapan berbuka puasa.
Lewat petang keluarga aku mengundur diri dari rumah Wan Aji.
Sampai di rumah aku terus bertanya. ‘ Lepas gi Mekah ni... ada pegi lagi ke...’ Aku bertanya.
‘ Sekali pun cukup... kalau ada rezeki... bukan murah... macam pergi Seremban..’ Emak aku menutup kesah Wan Aji Timah pergi Mekah.
EPILOK
Aminuddin Manaf – abang kepada Rais Manaf telah menunjukkan berjaya memimpin keluarga ketika menguruskan Tok Wan aku pergi ke Mekah.
Malah Pak Ngah Aminuddin memeranjatkan dan menggembirakan semua keluarga apabila kesah kejayaan Pak Ngah berucap dalam kapal Anshun.
Pak Ngah dikenali sebagai Bung Amin oleh kawan-kawan pelajar nasionalis seangkatan dari SITC ( Sultan Idris Training College ) – termasuk budak dari Melaka bernama Ghaffar Baba.
Pada tahun 1959 Aminuddin Manaf bertanding sebagai calon bebas memakai lambang Meja untuk kawanan Pertang. Aminuddin Manaf menjadi ADUN dan juga Exco Perikatan dan Barisan Nasional hingga bersara tahun 1978.
EPILOK DUA
Legenda dan cerita-cerita rakyat tentang Haji 65 Sen ini tersebar luas di Tanah Melayu sekitar tahun enam puluhan.
Sila tanyakan ‘otai-otai ‘ generasi lama sama ada mereka pernah mendengar legenda ini.
Aku sendiri pada tahun 1966 – ketika dalam tingkatan tiga pernah ternampak Haji 65 Sen. Aku ternampak dia meminta sedekah di kawasan perhentian Bas Foh Hup di Jalan Pudu.
Aku mengenali sosok ini sebagai Haji 65 Sen kerana Mak Cik depan tempat duduk aku dalam bas yang menerangkan siapa sosok ini. Ini ketika sosok ini datang meminta sedekah.
EPILOK TIGA
Keluarga Pak Long Sani terus menjadi warga negara Singapura apabila Singapura berpisah dari Malaysia. Keluarga sebelah Emak aku masih berada di Singapura.
Sepulang aku dari berkelana - pernah sepupu aku menawarkan aku menyemenda untuk merapatkan hubungan keluarga. Aku buat tak dengar dengan cadangan ini.
Kali akhir aku ke Singapura pada tahun 1974. Ketika itu aku selalu melawat Nona Singapura.
Apabila aku pulang dari berkelana aku telah ditahan di bawah akta ISA. Ketika dalam tahanan aku di nasihatkan oleh Special Branch Malaysia agar jangan ke Singapura. Mereka tidak boleh menjamin keselamatan aku.
Sekarang aku dilarang masuk ke Singapura.
Empat tahun dahulu Persatuan Melayu Tempinis mahu menjemput aku datang berucap tentang seni budaya di Tempinis.
Program ini dibatalkan apabila Pengarah Program dipanggil oleh ISD ( Internal Security Departemnt) bertanya apa tujuan menjemput aku.
EPILOK EMPAT
Untuk mengenang Singapura aku selalu melayan lagu Nona Singapura oleh R. Azmi. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DI LAAMN WEB
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/08/04/selamat-pulang/
Minggu lepas Tt de sebut pasal satu orang nama Amjal.. teringat gwa Amjal Kamal dalam buku bercakap dengan jin tulisan tamar jalis. Orang yang sama ke ni? Masa sekolah rendah dulu tak penah miss baca siri bercakap dengan jin dalam variasari.. penulis pun dh arwah sekarang ni. Kalau Tt sesat aritu terus duk mekah tak balik balik berkelana kat sane.. lepas masuk al qaeda arini mungkin jadi penulis blog untuk dorang
BalasPadam