TIGA KALI RAKAM
Akhirnya berita baik yang aku akan berlakon dengan David Jason a.k. a. Del Boy menjadi fakta. Maria gadis dari Finland kini bersetuju untuk menjahitkan aku sehelai baju kemeja untuk aku pakai ketika berlakon.
Pagi Sabtu aku dan Maria mengambil kereta api bawah tanah untuk ke Dalston Market di Hackney. Aku tidak tahu sangat pasar ini. Maria memperkenalkan aku dengan pasar ini. Minah ini arif dengan pasar ini kerana dia sering membeli kain dan fabrik.
‘ Hei Maria how are you... long time no see.. ‘ Lelaki muda penjual kain menyambut Maria ketika kami di hadapan gerai.
‘ Hameed..... Isham...from Malaysia... Hameed where are you from ? Mari memperkenalkan aku dengan Hameed.
‘ You forget ...how come... me from Afghanistan...me Kabul Boy...’ Hameed memberi penjelasan.
Aku mula membelek-belek kain untuk sehelai baju. Aku cari yang berbunga-bunga. Berlakon sebagai wartawan tidak ada uniform resmi. Aku mahu dilihat seperti aku di Kuala Lumpur – bumi tropika.
‘ My price is cheap.... yes.. that one is good.. yes that is good too.. yes yes .. that one very good...my shop all good... all cheap...’ Hameed membawa budaya bazar Kabul.
‘ You will looks sugar .. sweet darling... on that shirt...’ Kata penutup dari Hameed satelah aku memilih kain yang akan di potong sebagai baju.
Kembali dari Dalston Market Maria mengukur badan aku. Sehelai baju berbunga cerah bermotifkan bumi tropika. Aku tidak risau dengan baju kain kapas potongan Hawaii di pakai dalam musim sejuk. Ini kerana semua penggambaran akan dijalankan dalam studio BBC Television Center White City.
Dua hari kemudian aku menerima surat mengatakan bahawa tarikh penggambaran telah di tunda. Ada ‘talent’ kena serang flu. Tidak dinyatakan siapa.
Satu minggu kemudian satu lagi surat sampai. Kali ini tarikh baru bersama cek bayaran. Aku merasa pelik. Aku belum membuat apa apa lagi. Tapi telah dibayar.
‘ Tony.. why they paid me.. before the shoot...’ Aku bertanya kepada Tony yang mungkin dapat memberi pencerahan.
‘ That’s the power of Equity... the union...’ Jawapan Tony.
Lalu Tony menerangkan kepada aku tentang kesatuan pekerja filem dan tv di United Kingdom. Semua sosok yang dilamar dan diambil berlakon di tv atau untuk filem wajib menjadi ahli The Actors’ Equity Association (AEA) . Nama popularnya Equity.
Tanpa menjadi ahli Equity tidak ada sesiapa boleh mendapat kerja. Menjadi ahli kesatuan dahulu baru boleh melamar kerja.
Untuk mendapat dan menjadi ahli Equity wajib telah berlakon di pentas untuk sekian-sekian jam dan membawa watak ini dan itu. Atau ada pengalaman berlakon di kelab atau pentas drama di kampung dan pekan kecil.
Pengalaman berlakon di luar kota atau di pinggir kota London ini wajib. Pengalaman ini penting sebelum diterima untuk menjadi ahli Equity untuk berlakon di panggung arus perdana di West End London.
Sistem Equity kesatuan pelakon United Kingdom ini sama seperti sistem mendapat lesen memandu pesawat Boeing 747. Pilot wajib telah memandu berapa ratus jam kapal terbang berkipas sebelum beralih ke kapal terbang jet.
‘ But Tony.. I’ve no Equity...not a member’ Aku menerangkan aku bukan ahli kesatuan pelakon.
‘ BBC needs you...there’s no Malaysian actor in London..’ Mengikut Tony aku dapat berlakon dalam produksi BBC kerana tak ada pelakon Malaysia di London.
‘They paid you because they’ve booked you on that date...’ Tony menambah.
Baru aku faham kenapa belum bekerja lagi aku telah dibayar. Ini perjanjian dengan Equity. Kalau telah ada tarikh dan pengembaraan batal pihak produksi wajib membayar pelakon.
‘ Equity for actors and talents .. ACTT for workers behind the scene...like us when we graduated from PCL....’ Tony memberi penjelasan tentang ACTT- (Association for Cinematograph and Theatre Union).
Tentang ACTT ini aku telah lama tahu. Di United Kingdom - sekolah filem aku adalah diantara tiga sekolah filem yang mendapat pengiktirafan dari ACTT.
Kini aku semakin sedar tentang peranan hebat kesatuan sekerja. Dan bagaimana aku yang bukan ahli pun mendapat bayaran dua kali untuk satu lakonan.
Skrip dan jadual sampai. Aku tak banyak bercakap tapi wajib berada dalam banyak babak. Aku diperlukan menjadi Pak Sibuk sebagai wartawan tempatan yang cuba menemui bual Emak dan Ayah dua anak muda Inggeris yang akan digantung mati kerana kes dadah.
Nama pengarah, penerbit dan pelakon ada sama. Aku tak kenal mereka ini. Yang aku kenal hanya Del Boy a.k.a David Jason. Sosok ini adalah pelakon komidi yang paling ‘ hot’ ketika ini.
Di dalam pub sebut sahaja nama Del Boy atau mengajuk cara Del Boy bercakap akan menjadi bahan ketawa.
Siri komidi Only Fools and Horses lakonan utama Del Boy sudah masuk tahun ke lapan. Masih mendapat sambutan jutaan penonton. Terus menaiki tangga carta teratas jumlah penonton
Berlakon ? Bukan satu yang baru untuk aku. Ketika di PCL aku selalu berlakon. Bila kami buat latihan filem aku ada berlakon watak ini dan watak itu untuk membantu produksi kawan-kawan. Kami tolong menolong. Penggambaran di PCL memakai filem 16mm dan video.
Tapi dengan pelakon ternama seperti David Jason? Belum pernah.
‘ Have a great laugh Isham... when you see Del Boy... sent my regards...’ Kata -kata semangat dari Tony.
Hujung minggu sebelum hari penggambaran salju turun. Untuk aku ini cuaca malang. Aku tidak suka pada musim sejuk. Wajib pakai seluar dalam. Wajib ada jaket tebal. Wajib ada stoking. Untuk aku semua ini leceh lagi remeh.
Setiap kali musim sejuk sampai aku teringat akan Jelebu yang sentiasa panas.
Pagi itu aku bangun jam lima. Jam 7 pagi mengikut jadual aku wajib ke bilik solekan. Aku membawa baju Hawaii aku dalam beg plastik. Menuju ke stesen kereta api.
Lalu aku berfikir : jam 7 pagi wajib masuk bilik solekan. Mustahil. Bergerak jam 6 dalam cuaca buruk musim sejuk. Salju sedang cair dan jalan lecah lagi sejuk.
Terlintas dalam kepala aku : apakah David Jason mendapat jadual ‘shoot’ yang sama. Apakah David Jason akan sampai ke bilik solekan pada jam 7 pagi.
Dalam kesejukan menapak ke stesen kereta api sikap Melayu aku meresap kembali . Disiplin tentang masa aku yang diajar oleh Cik Gu Mat Salleh di PCL meresap hilang. Sikap Melayu aku berkata bahawa mustahil pelakon besar seperti David Jason akan sampai ke bilik solekan jam 6.30 pagi yang basah lagi sejuk.
Melintas jam 7 aku telah sampai studio BBC. Aku menapak dan masuk ke studio.
Wow! Aku terperanjat besar bila melintas di hadapan bilik solekan yang berdinding kaca. Di tengah bilik ada seperti kerusi kedai gunting. Nah ! Tersandar di atas kerusi ialah Del Boy. Ertinya Del Boy sampai pada waktu yang ditetapkan. Hanya aku budak kampung yang bukan bintang besar datang agak lewat.
Ini pengajaran untuk aku. Dari sini aku mendapat ilmu disiplin masa. Kamu tuan ke, kamu Datu ke atau kamu Baginda Queen ke masa tetap masa yang wajib dipatuhi.
Kini budaya masa aku bukan lagi budaya masa Melayu. Setiap kali aku ada temu janji aku akan teringat akan babak pagi yang amat sejuk ketika aku menapak ke White City studio BBC. Apa yang David Jason ajar pada aku tidak akan aku lupakan.
Aku masuk ke studio utama. Ada dua bahagian. Satu rupa bentuk ruang tamu sebuah hotel 4 bintang. Satu lagi kafe di sebelah ruang tamu. Di satu kawasan ada rupa bentuk bilik hotel. Di satu kawasan lagi bilik penjara. Semuanya telah di reka untuk tujuan penggambaran. Termasuk lift untuk tetamu hotel keluar masuk.
Aku tergamam. Sebagai pelajar filem ada ilmu yang aku dapati. Aku lihat ruang tamu ini telah di reka seperti ruang tamu hotel di Kuala Lumpur. Dengan bunga keladi, dedaun hijau dan pokok pisang. Di mana semua ini didapati aku tidak tahu.
Set reka bentuk Amongst the Barbarians ini meyakin aku. Aku terasa diri aku sedang berada di Pulau Pinang. Drama yang sedang difilemkan berlaku di hotel dan penjara di Pulau Pinang.
Penjara! Ha ha cukup meyakinkan aku. Ini sebelum aku meninggalkan Malaysia aku sendiri pernah masuk k lokap dan masuk penjara Air Molek di Johor Bahru. Paling mengejutkan aku ialah Cik Gu Pak Gard – seorang Benggali berjanggut berserban dengan pakaian seragam penjara Malaysia. Mengingatkan aku kepada penjara Air Molek.
Kerja seni Mat Salleh ini cukup teliti.
Pengarah filem ini seorang wanita bernama Jane Howell. Skrip teater asal ditulis oleh Micheal Wall. Dan Penerbit ialah Richard Langridge..
Tim produksi ini duduk sekumpulan. Kami pelakon duduk di satu kumpulan. Teh, kopi dan makanan disediakan. Selain wartawan tempatan ada juga wartawan Inggeris. Juga seorang anak muda China yang berlakon sebagai bell boy.
Hari pertama kami hanya diperlukan sebagai watak latar – Pak Sibuk dalam kafe.
Tertiba juru kamera agak kelam kabut dengan tali wire yang simpang siur. Filem ini menggunakan teknik video.
‘ Darling... we are not going to stay here..all day long..’ Suara Pengarah yang aku dengar. Bunyinya agak marah dan memperli juru kamera. Ini sekali sahaja aku dengar suara yang agak meninggi.
Hari ke dua penggambaran dalam penjara. Kami hanya di tepi set. Aku membuka mata untuk melihat dan mempelajari cara dan teknik penggambaran.
Aku perhatikan semua pelakon telah hafal skrip mereka. Tim pengarah duduk di belakang bilik set memerhatikan tim teknikal menjalankan tugas. Semua berjalan rapai dan tuntas.
Aku pelajar filem memerhatikan cara Mat Salleh atau cara BBC membuat kerja. Budaya filem dan video datang dari mereka justeru teknik yang afdal juga di kumpul dan dibukukan hasil pengalaman mereka.
Hari ketiga – hari ini aku wajib bersuara untuk difilemkan.
Sebelum babak aku dirakam ada babak atas katil. Antara si Ibu yang anak akan mati digantung sedang bercengkerama di atas katil dengan Budak Bar. Watak Budak Bar ini dimainkan oleh pelakon keturunan Indonesia dari Amsterdam.
Sebelum babak aku dirakam aku teringat ketika di Universiti Malaya aku telah mendengar kesah klasik penggambaran filem : Si Mamat ini telah menghafal skripnya. Watak Mamat ini menyambut tamu dan bersalaman sambil berkata : Apa khabar Cik Bakar ? Ketika penggambaran filem dijalankan kerana gopoh dan darah gemuruh yang keluar dari mulutnya : Apa Bakar Cik Khabar. Kah kah kah.
Babak lakon aku berjalan dalam ruang tamu hotel – David Jason yang menjadi Ayah keluar dari lift. Aku sebagai wartawan tempatan akan bertanya : Any news from the lawyer...’
Sebelum babak ini di rakam aku dengan Budak China Bell Boy telah bersembang tentang David Jason. Budak China ini juga peminat Del Boy.
Babak aku ini bermula dengan George Si Ayah yang dimainkan oleh David Jason keluar dari lift dengan Bell Boy berdiri di pintu lift. Aku dari hadapan datang ke arah Si Ayah. Ketika aku memandang kepada George si Bell Boy telah menjelirkan lidahnya ke arah aku. Bell Boy membuat perangai ini kerana dia di luar sasaran kamera. Aku ketawa. Rakaman gagal.
Rakaman kali kedua juga gagal. Ini kerana dalam kepala aku yang aku pandang bukan George tapi Del Boy dan Rodney adiknya. Only Fools and Horses berlegar dalam kepala aku.
Kali ketiga rakaman berjalan. Kali ini aku menghayati David Jason sebagai George si Ayah yang anaknya akan di gantung mati. Del Boy tidak wujud lagi. Aku menjadi wartawan yang ingin tahu apa yang berlaku. Rakaman kali ketiga berjaya.
Aku menarik nafas panjang dan terus berjalan ke arah Bell Boy yang kini menunjukkan ibu jarinya kerana aku telah berjaya.
‘ Del Boy is now George... don’t fuck around.... Kami sesama ketawa.
EPILOK 1
David Jason lahir tahun 1940. Pada tahun 2006 dia di nobat sebagai salah seorang dari 50 bintang tv yang tersohor di United Kingdom. Watak Derek Del Boy Trotter menjadi sejarah komidi.
Pada tahun 2005 David Jason di anugerah derajah kebesaran Sir oleh Baginda Queen Elizebeth kerana khidmat dalam dunia seni pentas tv dan filem.
George dalam Amongst the Barbarians adalah watak pertama yang bukan komidi dilakonkan oleh Sir David Jason.
EPILOK 2
Pada 14 April 1993 – Arwah Salleh Ben Joned menulis tentang Amongst the Barbarians. Untuk aku ini adalah tulisan yang paling tepat tentang teater garapan Micheal Wall.
Salleh faham akan makna dan tanda dalam teater ini. Salleh tahu bahawa yang dimaksudkan sebagai ‘ barbarians – orang liar tanpa tamadun ‘ bukan anak bumi Tanah Melayu.
Barbarian yang dimaksudkan ialah satu keluarga Mat Salleh yang datang ke Pulau Pinang ketika menghadapi hari-hari akhir - menziarahi anak mereka yang akan digantung mati kerana kes dadah.
Amongst the Barbarians juga adalah rakaman budaya di zaman Perdana Menteri Magaret Thatcher. Dua anak muda yang digantung mati adalah manifestasi dari dasar ‘ cepat kaya – loads of money ‘ dan budaya Yuppies ketika itu.
Drama ini adalah rakaman sejarah budaya zaman Thatcher yang aku sendiri sama bergelumang didalamnya di London.
EPILOK 3
Pada tahun 2008 aku di pelawa oleh stesen tv Astro untuk terlibat dalam skrip realiti tv siri Anak Wayang. Tugas aku ialah menterjemah dan membudaya Melayukan skrip opera sabun dari Mexico.
Drama sambung bersambung ini dipanggil Kecuali Cinta Mu.
Kali pertama tim skrip bertemu aku telah mendengar taklimat dari seorang lelaki Inggeris yang pernah bekerja dalam bidang tv di United Kingdom.
‘ My introduction to Malaysia was thro a film called Amongst the Barbarians in 1990...’
Sosok Inggeris yang kini bekerja dengan Astro ialah Richard Langbridge penerbit filem yang aku berlakon di BBC London.
Kali ini kami bertemu betul-betul di bumi tropika Equine Park Seri Kembangan di ibu pejabat bahagian kreatif Astro. Pokok keladi dan pisang bukan prop tapi tanaman asal Tanah Melayu.
‘ What a small world...’ Bila aku kenalkan diri aku kepada Richard.
EPILOK 4
Dua kali aku dibayar kerana terlibat dalam kes dadah. Kali pertama aku menjadi penterjemah untuk Salim dan Bo Ah Ha yang ditangkap di lapangan terbang Heathrow kerana cuba menyeludup. Dadah.
Kali kedua aku dibayar dua kali kerana berlakon menjadi wartawan Malaysia dalam kes dua anak muda yang digantung mati di Malaysia.
EPILOK 5
Amongst the Barbarians ditayangkan oleh BBC2 pada jam 9 malam Rabu 11 Julai 1990. Aku tidak menuntun filem ini kerana malam Rabu aku bekerja di Garuda Restoran.
Amongst the Barbarians masih boleh dilihat di YouTube. Tapi aku tak menonton filem ini. Aku tak sanggup melihat baju jahitan Maria yang kini hanya menjadi kenangan.(TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAHYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/08/25/tiga-kali-rakam/
Apa Bakar Cik Khabar. Kah kah kah.
BalasPadam