Rabu, 15 September 2021

DARI POP YEAH YEAH KE POP MTV

 


DARI POP

 YEAH YEAH

KE POP MTV

Pada tahun 1968 ketika itu aku dalam tingkatan lima  di Sekolah Menengah Undang Jelebu aku terbaca berita tentang Maharishi Yogi. Swami dari India ini   dilaporkan telah menjadi  guru kepada The Beatles. Maharishi Yogi  datang ke Pulau Pinang atas jemputan penganut agama Hindu.

Apa yang menarik perhatian aku dalam laporan ini ialah Tok Guru dari India ini  telah  terbang ke Tanjung bersama dengan kereta Rolls-Roycenya.  Swami ini telah diserbu  oleh pengikut   yang meminta  Swami  menanda tangani  buku autograf  mereka. Tok Guru ini telah menulis : enjoy - dengan kalam emas di buku autograf para pengikut.

Sehingga  tahun 1968 aku belum pernah lagi  sampai ke Pulau Pinang. Berita  Yogi ini sampai   ke Tanjung menarik perhatian aku. Pada tahun-tahun inilah muzik The Beatles telah memasukan bunyi sitar ke dalam irama muzik lagu baru mereka.

Bila aku menyambung  belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar minat aku terhadap lagu-lagu pop ini mula merudum. 

Minat aku masih ada sebenarnya. Malah seperti anak muda  di zaman itu  aku juga ada nama pop. Nama pop aku ialah Herman. Ini nama yang aku ambil dari  kugiran Herman Hermits.  Sampai sekarang masih ada kawan-kawan sedarjah dari Kolej Melayu  yang memanggil aku Herman.

Tumpuan aku  kepada muzik pop ini merudum kerana  dua perkara. Pertama: di  Kolej Melayu   tidak aku radio.   Aku tidak lagi  mengikuti rancangan Penyanyi Pujaan Minggu Ini.  Aku tidak tahu siapa yang pop dan siapa yang tergelincir dari carta. Malah lagu yang baru keluar tidak lagi aku kenali. Kugiran pendatang baru – tempatan dan luar negara  - pun aku tidak tahu lagi.

Kedua: aku mula membaca majalah  yang dahulunya tidak pernah aku baca.

Di Kolej Melayu aku bertemu dengan Far Eastern Economic Review – majalah politik dan ekonomi  Asia Tenggara.  Aku juga mula bertemu dengan majalah dunia –  Times Magzine, Newsweek dan Life. Aku juga mula membaca majalah Kristian Plain Truth yang boleh dilanggan dan dihantar melalui pos secara percuma. 

Aku merasa pembacaan baru aku ini lebih memberahikan. Bahan-bahan baru yang aku baca ini  mendewasakan budak kampung dari Jelebu.

Kini perbualan bukan lagi  tentang  Kassim Selamat  atau John Lennon. Kini aku mengupas  dan cuba memahami  berita Perang Vietnam. Mengamati  gerakan  pelajar dan gerakan anak muda di Eropah dan Amerika yang menentang Perang Vietnam.

Pada 15 -18 Ogos 1969 hampir 400,000 anak muda berkumpul dan berpesta di Nethel New York berhampiran dengan pekan Woodstock. Pesta di Woodstock menjadi sejarah – 3 Days of Peace and Music.

Aku juga cuba memahami apa itu ‘counter- culture ‘ dan ada apa dengan anak-anak muda hippies. Dan ada apa dengan Woodstock.

Bila aku masuk ke Universiti Malaya aku dari awal lagi telah bertekad untuk menjadi anggota Kelab Sosialis.  Kewujudan Kelab Sosialis  ini telah  aku  ketahui melalui akhbar Mahasiswa Negara – akhbar resmi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Di Kolej Melayu ada ‘penjual tidak resmi’ akhbar ini. 

Aku masuk ke UM bulan April 1971 -  pasca Mei13.  Ketika aku menjadi mahasiswa Akta Universiti Kolej Universiti 1971 baru sahaja di luluskan. Parlimen baru kembali bersidang satelah dua tahun  Darurat dimana pentadbiran  negara  diuruskan kan oleh  Majlis Keselamatan Negara a.ka Mageran.

Pop Yeah Yeah masih  hebat walau pun tidak aku ikuti lagi.  Kini pengaruh hippie   sedang  merebak  ke seluruh dunia. 

Di Universiti Malaya aku tidak lagi memakai kasut.  Kasut kulit akhir aku – buckle shoe – yang aku beli di Pulau Pinang  hilang  entah  ke mana hilang  di Kolej Kelima. Aku berambut panjang dan memakai selipar Jepun sebagai tanda ‘counter – culture ‘ – menentang  yang kolot merayakan yang baru.

Pada  bulan Julai 1972 – anak muda di Kuala Lumpur telah  berpesta di  Camp Pengakap Cheras. Ini  versi Woodstock Malaysia. Selama 30 jam tanpa henti 4,000  pestawan telah berhibur dengan pelbagai kugiran. Hebat.

Aku tidak pergi. Aku hanya  membaca  berita di akhbar.

Dalam masa yang sama  budaya rock juga berkembang hebat di Universiti Malaya. Kugiran muncul di Kolej Pertama, Kedua , Keempat dan  Fifth Sound dari Kolej Kelima. Kolej-kolej selalu  mengadakan pesta muzik dan malam tari menari. Disini kugiran Kolej  dan kugiran  jemputan akan bermain.

Jangan lupa – Universiti Malaya -  ketika aku menjadi pelajar dan ketika aku menjadi Setiausaha  Agong PMUM – kampus UM menjadi pusat dan sarang budaya tempatan  dan antarabangsa.

PMUM bekerjasama  dengan R. J Lingam Productions dan  Pusat Kebudayaan UM telah menjemput seniman dan artis dari luar negara. UM bukan lagi dilihat kampus  kampung. UM menjadi wilayah metropolitan yang menggegar lagi membawa yang baru. 

Hampir setiap bulan Dewan Tunku Canselor (DTC) akan didatangi  alim ulama  pendakwah  seni budaya yang dijemput khas.

Antara yang datang ialah : Albert Hammond – It’s Never Rain in Southern Carlifornia. Jose Feliciano  – Listen  To The Falling Rain. The Bee Gees  singgah di Universiti Malaya dalam perjalanan pulang dari London ke Australia. Agnes Chan penyanyi dari  Hong Kong mengadakan 2 dalam konsert di DTC.

Aku masih ingat lagi malam itu di Dewan Tunku Canselor :  I was in this hotel... outside was rainning.. so  I wrote  this song... listen to the falling rain.. listen to it’s fall...... now I’am singing  it for you...’ Ini kata-kata Jose Feliciano penyanyi Latino Puerto  Rican warga  Amerika.

Malam itu Jose menceritakan  bagaimana dia  tidak dapat melihat hujan ketika dia keseorangan dalam bilik hotelnya. Jose dilahirkan buta. Dia hanya mendengar bunyi percikan hujan  yang memukul tingkap bilik hotelnya. 

Aku meminati  penyanyi ini. Pertama kali kami bertemu  melalui lagu Old Turkey Buzzard. Ini  lagu tema filem Mac Kenna’s Gold ( 1969 ). Filem lakonan Gregory Peck, Telly Savallas  dan Omar Shariff. Filem ini  aku tuntun di Ruby Theater Kuala Klawang.  

Aku tidak menyangka satu  ketika dalam hidup ini  aku akan bertemu dengan penyanyi Old Turkey Buzzard ini..

Malam itu sesudah konsert aku pergi  ke belakang untuk berkenalan dengan Jose. Dia dibantu oleh adik perempuan yang sentiasa berada di samping. Aku lakuan kan ini sama  seperti apa yang telah aku buat dengan  Eddie Ahmad ketika  Eddie datang membuat pertunjukan di fun fair di Kuala Klawang  dalam tahun 1968.

Dari DTC juga  aku juga berpeluang mendengar petikan sitar. Kali ini petikan  sitar  dari Ravi Shankr. Ini sosok tersohor dalam dunia sitar dan muzik klasikal India. Dari apa yang aku baca Ravi Shankar adalah guru  sitar  kepada George Harisson pemain gitar utama kumpulan  The Beatles.

Hakikatnya : Tidak sesaat pun aku menyesali kemudaan aku di Universiti Malaya. Aku merayakan muda aku seperti yang aku cita-cita. Aku menjalani hidup dengan penuh kemudaan.   Aku menulis :  aku enjoi – hanya  bukan dengan kalam emas seperti yang ditulis oleh Maharishi Yogi.

Ketika aku sampai ke Eropah dan London – seperti ada lompong dalam perjalanan rock n roll aku. Ketika aku menghilangkan diri di Pakistan  dunia meledak dengan Sex Pistol dan Johnny Rotten. Aku langsung  tidak mengikuti hal ini.

Yang aku baca  di Karachi  ialah berita John Lennon ditembak mati  pada 8 Disember 1980 di  New York.

Bila aku sampai ke London muzik telah berubah. Hippie telah mengundur. Kini Punk menjadi counter culture.  Budaya pop kini beralih. 

Di London aku memahami bagaimana budaya pop Inggeris atau Brits Pop  merebak dan meluas  pengaruh untuk menjajah dunia.

Jawabnya : media media media. 


Akhbar arus perdana,  majalah muzik, majalah gaya hidup, majalah gosip, para akademia,  intelektual   publik dan  rancangan tv semua memainkan peranan yang serentak untuk menjual  muzik pop sebagai produk budaya. 

Suasana ini dibantu  pula  syarikat rakaman piring  hitam dan studio rakaman yang canggih  wujud di sekitar kota London.

Aku perhatikan lagi bahawa industri budaya ini  dibantu  pula oleh tenaga rangkaian karyawan yang berjiwa besar. Yang ingin melakukan sesuatu yang baru. Penulis lirik, pemain muzik,  sokongan teknikal semua wujud  saling bantu membantu.

Tapi syarat  numero uno awal wahid untuk  budaya menjadi  produk  ekspot  ke dunia ialah suasana dan iklim kebebasan dan gaya hidup bebas. Gaya hidup ini akan menjana  untuk melahirkan  satu yang baru. Anak muda kreatif di kota  London dididik dari awal lagi untuk bebas merdeka  melakukan yang baru.

 Kebebasan adalah kimia utama untuk  pengkaryaan  yang baru. Fatwa  melakukan yang baru  inilah yang menjana empat anak muda berambut panjang dari Liverpool mendominasi budaya pop dunia. 

Sesudah  The  Beatles  melahirkan   album  Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band  pada  26 Mei 1967 dunia muzik dan dunia budaya telah diubah. The Beatles juga mengubah  gaya hidup  dan pandangan dunia umat manusia. 

Tahun  1981 MTV  muncul. Ini stesen televisyen  yang khusus untuk merayakan  muzik dan pop.   

Kalau dulu kugiran dan penyanyi pop memerlukan majalah muzik, majalah gaya hidup  atau akhbar untuk membuat liputan lagu atau album baru.  Kali ini muncul apa yang dipanggil video klip. Setiap lagu baru, setiap album baru wajib ada  video klip yang mengiringi lagu-lagu ini.

Penyanyi akan beraksi  mungkin bersama kugiran. Atau bersama penyanyi dan penari latar.  Lagi hebat klip ini di buat lagi memungkinkan album ini laris terjual. Klip ini adalah iklan yang menghasut  anak-anak muda untuk membeli album, kaset atau CD penyanyi kesayangan mereka..

Stesen MTV ini wajib dilanggan. Aku tidak melanggan.  Rumah aku  hanya ada peti tv  untuk melihat 4 saluran percuma :  BBC1, BBC2, ITV dan Channel 4. 

Ada sekali ketika aku berurusan untuk membayar bil gas dan leterik – aku ternampak siaran  MTV.  Mata aku terbuka melihat tarian dan nyanyian yang tidak pernah aku lihat di tv aku sendiri. Cukup memberahikan – penuh dengan imej wanita  sexy cun bergetah.  Juga penari lelaki yang kacak, jambu  atau sado.

Tahun 1990 minat aku terhadap muzik semakin berkurangan – kendur. Aku juga tidak memiliki banyak masa – aku belajar  sepenuh masa dan juga bekerja dihujung minggu.  

Aku sedar  kota London  ini ialah pusat muzik dunia. Dari muzik pop, muzik klasikal hingga ke muzik experimental – semua wujud dalam kota London. Dalam kota London ada  banyak  dewan muzik  yang merayakan pelbagai genre muzik dari seluruh dunia.

Aku hanya  melihat-lihat dan memandang-mandang sambil lalu.  Marquee Club di Wardour Street Soho  - dewan muzik yang tersohor dan bersejarah  aku lintasi selalu tapi aku tidak pernah  memasukinya . Kini dunia aku telah beralih ke filem dan teater.

 Aku ingat lagi pada petang  Rabu aku dalam perjalanan dari Riding House Street – tempat aku belajar – menuju ke Shaftesbury Avanue – tempat aku bekerja sebagai pelayan. Aku wajib melintas depan Marquee kemudian masuk ke Old Compton Street.

Tertiba di penghujung Old Sompton Street aku di tahan.

‘ My maaan... you looks cool...’  Suara anak muda berkulit hitam.

Aku  memakai kaca mata hitam. Di London  aku selalu memakai kaca mata hitam – Ray Ban. Kadang-kadang waktu malam pun aku pakai kaca mata hitam terutama  dalam kereta api  bawah tanah.

Bila aku di tanya kenapa siang malam aku memakai kaca mata hitam maka aku menjawab :  “ I have to protect my eyes from too many  ugly faces  ini London...’ Aku memakai kaca mata hitam untuk menyelamatkan mata aku  dari melihat terlalu banyak muka hodoh.

‘ Thanks.. my man...’ Aku berterima kasih - menoleh dan meneruskan perjalanan.

‘ Wait a minute.. I need to talk  to you...’  Anak muda  ini masuk ke tengah jalan  dan menghulurkan tangan.
  
‘ Wats up...’ Aku kehairanan terus  bertanya. 

Anak  muda ini menggamit aku dan mengajak aku masuk ke  bangunan. Aku risau juga. Tapi Soho ini wilayah  aku  kenali. Hati kecil aku berkata ini Soho bukan Brixton – bukan wilayah Jamaica. Jadi aku yakin anak muda ini bukan hendak  menyamun aku.

Dia menarik aku masuk ke tingkat pertama bangunan di Old Comton Street.

Pintu pejabat dibuka.

“ This is our production house.. we do video clip ... commercial .. and corporate videos....  My name is Ashton.. me.. Production Assistant doing everything here... the boss is not around ..’

‘ Isham...’ aku menghulur tangan.

‘ Ish.. isham Isham  ... you looks cool with your shade... looks cool... I’ve been hanging on that street for many hours waiting for someone ... you came... can you dance...of course you could...’  Ashton bersurah dan aku tak tahu hujung pangkal. 

‘  I am a waiter... dance... why not ... where is the party..’ Aku berseloroh.

‘We are doing video clip this Saturday... we need you... dancing and acting for us ... dancing ..  for a video clip...’

‘   For who ?’  Aku cepat bertanya.

‘Tears For Fears and Oletta Adams....’ Anak muda ini menunjukan  gambar penyanyi pop yang tidak aku kenali tergantung di dinding pejabat.

Aku yang telah bagitu jauh  dengan budaya pop. Aku tidak tahu siapa itu Oletta Adams atau siapa Tears For Fears. Aku hanya menganggukkan kepala aku..

Anak muda ini membuka laci meja dan mengambil beberapa  keping kertas.

‘ Here is the studio...the address... calling time.. shooting timetable.... ok with you  Bro ?’

Wow. Aku ini betul-betul bakat yang ditemui di tepi jalan. Aku akan berlakon sekali lagi  untuk video klip.

‘ Ashton...I will be there this Saturday. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/09/15/pop-counter-culture-dan-mtv/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan