BETINA PILIH JANTAN
JANTAN PILIH BETINA
Lima belas minit aku menunggu Janina di kedai kopi China di Charing Cross Road. Kopi dan kuih pau kacang aku sudah sampai. Orang yang dinanti belum muncul.
Aku tak sabar nak mendengar surah dan ayat-ayat terbaru tentang pengalaman betina mencari jantan. Aku sentiasa angkat topi atas keberanian Si Janina ini. Bukan semua orang sanggup berbuat seperti apa yang telah dilakukan oleh Janina.
Hebat gadis Melayu dari Tanjung Tok Kong ini. Aku tidak menyangka badan langsing petite ini berani merayau-rayau dalam hutan kota yang dipenuhi oleh jantan Mat Salleh.
Tapi jika kita hidup bersendirian dalam kota London kita tidak memiliki banyak pilihan. Di London kita tak ada saudara mara yang membuat kerja kenduri kahwin di mana kita dijemput datang dan dapat peluang bertemu orang baru. Di London tak ada kenduri lenggang perut atau cukur rambut di mana ada peluang untuk dapat mengintai muka-muka baru.
Kalau belajar di kolej atau universiti mungkin ramai kenalan. Kalau bekerja di pejabat kenalan mungkin terhad pada rakan sepejabat. Di kawasan tempat tinggal – di flet atau di rumah teres - semangat kekitaan amat longgar.
Jiran tetangga hanya kenal -kenal Bangla saje.
Tapi aku sendiri bernasib baik kerana hidup dalam dua alam. Aku belajar dan dalam masa yang sama bekerja menjadi pelayan. Menjadi pelayan dalam kota London – biar aku garis merahkan ayat ini – menjadi pelayan dari Malaysia dalam kota London adalah rare terutama di Soho. Maka saham aku tak pernah jatuh.
Kulit sawo matang Sakai suku Biduanda yang licin dan rambut itam ikal mayang selalu menaikkan saham aku kepada mereka yang ingin bertukar selera. Ramai Minah dan Kakak yang bosan makan fish and chips ingin mengalih selera mencuba nasi lemak di restoran Garuda. Nasi lemak di hidang untuk dinikmati bersama pelayannya sekali.
Dari jauh aku nampak Janina menapak ke arah meja aku.
‘ Yes.. yes.. yes... reconteur... ceritalaaa.... aku tak sabar nak dengar...’ Aku terus memberi arahan. Janina belum sempat pun duduk. Aku mengangkat tangan memanggil Amoi pelayan.
‘ Nak dengar apa ..’
‘ Macam mana soiree tu... sapa kau jumpa.. jantan mana kau minat... jala melekat atau jala kau koyak...ikan semua melepas ke ...’ Aku melawak dan terbarai ketawa.
Amoi pelayan datang dan Janina kali ini memesan kopi dan kuih pau sama seperti aku.
‘ Aku dah bosan dengan fish and chip...’ Janina ketawa dengan metafora jantan Inggeris sebagai fish and chip.
‘ Nak cuba spageti.. atau nak cuba kebab.....’ Aku bertanya apakah nak mencari jantan Itali atau jantan Arab.
‘ Aku ber High tea .. ber scone... di Waldrof Hotel...’
“ Apa .. di Waldrof.. ‘ Belum sempat Janina habis cakap aku dah mencelah. Ini kerana Waldrof nama hotel paling ternama dan terkelas dalam kota London. Letaknya 5 minit menapak ke Panggung Opera di Convent Garden. Tak jauh dari Trafalgar Squarae dan Muzium British.
Hotel ini mula menerima tamu semenjak tahun 1908. Sekarang ini bangunan Waldrof Hotel terkawal di bawah jagaan UNESCO – Lembaga Sain dan Budaya Bangsa Bersatu – sebagai warisan dunia.
‘ Sultan Berunai ada sama... Micheal Jackson ada datang ke ? ‘ Aku menyindir.
‘ Kelas...laaa... kau ingat kami berjumpa di Wong Kee...’ Janina menyanggah aku dengan menggunakan nama Wong Kee. Ini restoran China di China Town London yang betul-betul restoran China Bukit yang layanan klasik kasar.
‘ High tea... petang itu aku betul-betul jadi Mat Salleh... cawan tembikar terbaik dari China... the best China...tea organik pilihan dari Assam atau Ceylon...organic Darjeeling... organik Charquoing ... .scones... kuih chokolat pelbagai jenis... semua aku tak kenal... kuih karipap aku teringat dan aku kenalaaa...’ Penerangan Janina membuka selera.
‘ Banyak apam Minah Salleh..’
‘ Untuk sandwic ada lapis keju... ada salmon.. ada ayam panggang ...’ Mendengar nama-nama ini menjadikan aku lapar.
Amoi sampai membawa pesanan Janina. Kerana mendengar kesah dari Janina aku memesan pau daging dan secawan lagi kopi.
‘ Jantan macam mana? ‘ Aku bawa perbualan kepada agenda asal.
‘ Dalam dewan itu aku rasa ada 20 jantan 20 betina... mungkin perempuan lebih sedikit.. Minah dan Mamat Itam tak ada.. aku seorang dari Timur... semua bujang dan semua dara... semua mencari pasangan...’
‘ Ada tersangkut ..’
‘ Kami single mingle... helo menghelo.. senyum tersenyum sana sini....’
‘ Gila kau ni... berani kau ni...’
‘ Woit... kalau aku tak buat mana kau tak tahu cerita ini.. jantan tiga puluhan empat puluhan... cari teman hidup... aku perhatian seorang seorang ... aku bernasib baik berjumpa dia... nasib memang baik ....’
‘ Jumpa sapa .. kacak bergaya ke .. ok ke .. dari mana ...’
Amoi membawa apa yang aku minta dan dia beredar.
‘ Phillipa...’
‘ Woit ..kau nak jadi lesbian pulak ke...’
‘ Nasib baik aku jumpa Minah Salleh ini... dia pegawai perhubungan sebuah syarikat di London... duduk di Islington... dia ternampak aku ... dia tegur... lalu kami berkenalan...... lalu kami mesra dan duduk menikmati minum petang.. petang tu tak ada jantan dekat dengan kami...’ Janina bercerita dengan gembira.
“ Kali ke dua .... aku dah tak risau ...Phillipa ada sama ... dah ada teman... kali ke dua kami bertemu di hotel... di Chelsea... sama je...orang yang sama datang... jantan cari betina... dan betina cari jantan... macam kau masuk kedai kasut ...pilih pilih laaa mana yang nak pakai.... tukar nombor telefon... kalau jadi .. jadi... kalau tak sesuai boleh cuba lagi...’ Janina terus bersurah.
‘ Kali ke dua aku dengan Phillipa plan... kalau dah bosan kami cabut... kami buat signal.... bila aku atau Phillipa buka beg tangan buat buat cari sapu tangan ertinya. .. dah bosan...’
‘ Wow... hebat... ada signal macam James Bond pulak...’
‘ Phillipa pernah berkata pada aku... Janina why are we here... why are we doing this....what is wrong with us...’ Surah Janina telah beralih mengarah ke jalur fikrah baru.
Jika aku Phillipa atau Janina aku juga bertanya soalan yang sama. Mungkin aku memiliki jawapan kepada pertanyaan Phillipa itu. Tapi tak semestinya jawapan aku ini seratus peratus tepat dan betul.
Pada hemat aku kita sebagai manusia - jantan atau betina perlu merasa di sayangi dan menyayangi. Ini perasaan primodial yang azali yang ada di setiap sosok. Kita boleh tidur lena jika kita tahu ada orang sayang pada kita.
‘ Aku beritahu Phillipa.... kita dah bayar... satu pakej... teruskan saja... tengok apa ada dihujung jalan ini..’
Aku bersetuju dan serasi dengan falsafah tengok apa ada dihujung jalan. Bila kita masuk lorong baru kita wajib sampai ke simpang akhir. Tengok dan saksikan apa yang ada.
‘ Ada sapa kau perkenan ... ini yang lebih penting...’
‘ Cerita belum abis lagi.. pakej belum tamat...’
‘ Woit... jantan cari betina pun ada pakej... macam pakej umrah ke...’ Aku melawak.
‘ Pakej akhir bukan di hotel.. dalam kampung di luar London... cantik gila rumah banglo besar ... mungkin rumah orang kaya... very English... ada taman... memang dirancang untuk musim panas yang romantik..’ Janina menarik nafas seolah-olah semuanya gagal.
‘ Berapa bayaran untuk semua ini...;
‘ Segan nak cakap... lebih dari seminggu gaji kau di Garuda...’
‘ Woit 200 pound satu kepala.. wow...ini bisnes baik...’ Janina mendengar tapi tidak menafikan dan tidak mengeyakan.
‘ Phillipa dan aku hanya menikmati suasana kampung dalam musim panas.... minggu depan aku ada date lagi...’ Janina memberi maklum.
‘ Dengan sapa...’ Aku cepat bertanya
‘ Phillipa...’ Jawapan potong stim dari Janina.
Petang itu kali akhir kami duduk di kedai kopi China. Hari dah berganti hari. Bulan September dah masuk. Musim panas dah selesai. Projek cari jantan nampak terbengkalai tapi tidak gagal.
Kemudian aku terima berita baik. Bukan dari Janina tapi dari sumber yang boleh dipercayai : Janina dah mendapat Abang Eric. Bila aku mendengar berita ini aku menelefon Janina.
‘ Betul ke ... dah berjaya...’
‘ Ya.... sebelum masuk musim sejuk kami nak ke selatan... ke Cornwall.. minggu depan kami travel...nak tengok pantai Cornwall...’ Jawapan yang menggembirakan dari Janina. Aku tak tahu siapa jantan Eric ini. Dari projek cari jantan mana telah tersangkut dengan Janina.
September kelas aku dibuka. Mata aku mencari freshie yang baru mendaftar. Bukan ada niat yang serius hanya. Ingin mencuci mata.
Hari berjalan minggu berganti. Krismas sampai Krismas berlalu. Tahun baru sampai tahun baru pergi. Aku menjadi siswa sepenuh masa. Masa lapang aku ke panggung Scala di King Cross untuk menuntun filem murah – 1 tiket untuk 2 atau 3 filem. Ini filem lama yang diputar kembali.
Lama juga aku tak bertemu Janina. Aku rasa dia berpacar dengan Abang Eric telah hampir setahun.
Tertiba aku dengar Janina nak balik ke Malaysia. .
Apa terjadi ? Apakah dah bosan dengan kota London ?
Soalan ini tidak aku tuntaskan. Mungkin visa kerja sudah mati. Mungkin Abang Eric hanya berani masuk Melayu. Tapi tak berani jadi Melayu. Mungkin Janina rindu pada Nasi Kandar Tanjung Tok Kong. Semua mungkin. Aku enggan menjadi James Bond.
Ketika ini hidup aku rutin dan agak tidak banyak drama. Tertiba satu hari aku terima panggilan telefon dari Kuala Lumpur.
‘ Sham.... kau di rumah lama... Bromley-by – Bow...boleh numpang...’ Suara Janina.
‘ Bila nak datang... datang laaa... sofa ada..‘ Aku amat gembira bila ada orang dari Malaysia nak sampai. Aku akan memesan petai dan kopi Hang Tuah.
‘ Nigel sampai dulu.... numpang rumah kau... dia akan cari kerja dulu... kemudian cari rumah untuk kami... lepas dapat kerja... dapat rumah aku datang... Nigel ni laki aku.... kami dah kahwin...ini kahwin betul...’
Aku turut gembira. Aku senang hati dapat berjumpa teman lama untuk berlabun di London. Aku juga amat gembira akhirnya Janina berkahwin.
Jantan dari Wales ini sampai dan terus menginap di rumah aku. Aku memotong satu anak kunci baru untuk Nigel.
Tidak sampai satu minggu Nigel telah dapat kerja dengan majalah Popular Photography di luar kota London. Nigel juga telah dapat menyewa sebuah flet di Brixton. Semua beres untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Janina sampai kembali ke New Mill House.
‘ Apa terjadi....”
‘ Ha ha ha... romantik kesahnya... kali ini tak perlu Time Out... tak perlu Hotel Waldroff.....’ Janina memulakan surah.
‘ Mana kau jumpa dia...’
‘ Di McDonald Bangsar...’
Sebenarnya aku tak tahu letak tempat ini. Aku sudah berbelas tahun tidak melihat Kuala Lumpur. Ketika aku meninggalkan Kuala Lumpur pada tahun 1974 sebahagian dari Bukit Bangsar masih lagi kebun getah.
Malah aku sendiri pernah naik ke Bukit Bangsar yang berhadapan dengan Kolej Kelima Universiti Malaya. Aku pernah menceroboh memecah tingkap kaca bangunan lama yang mungkin rumah Manager Estate ini.
Tahun 1974 – McDonald belum sampai ke Malaysia.
‘ Malam itu... aku pulang dari Jalan Riong .... Nigel sedang beratur di belakang aku untuk membeli burger... di sini kami bertegur sapa.... yang lainnya sejarah...’
‘ Wow... romantik betul laaaa...’ Aku ketawa.
‘ Nigel ada dua anak... dia duda...keluarga lamanya di Wales... dia mendapat ijazah ke dua dari Cambridge dalam bidang ekologi....’ Janina bersurah.
‘ Wow.... hebat... I’m happpy for you...’
‘ Kami kahwin di Golok... kerana surat cerai aku dah ilang... Nigel kata di London ni kami wajib mendaftar sebagai suami isteri di Jabatan Pendaftaran...untuk aku mendapat visa resmi sebagai penduduk tetap...’ Janina menerangkan duduk perkara.
Dua minggu kemudian Janina dan Nigel mendaftar sebagai suami isteri. Tidak ada dakwa dakwi. Nama Janina telah lama dipaparkan di papan maklumat di Pejabat Pak Duta Malaysia. Ini wajib dilakukan sebelum dapat pendaftaran dari Jabatan Pendaftaran United Kingdom. Ketika nama ini dipaparkan jika ada bantahan atau ada sosok yang kelim Janina sebagai isteri mereka maka mereka boleh membuat bantahan.
Semua beres. Hari Sabtu selepas pendaftaran Janina dan Nigel mengadakan kenduri kecil di fletnya di Brixton. Aku menjadi tukang masak.
Aku ingat lagi masakan kenduri kahwin ini. Aku masak gulai lemak labu, gulai ikan Mackerel berlada, ayam panggang dan ratatouille - masakan sayur cara Perancis yang aku belajar di Belgium.
Kawan-kawan rapat Janina - warga Malaysia yang datang. Tamu tak sampai 10 orang termasuk Emak Mentua Janina yang terperanjat bila dia tahu aku yang menjadi tukang masak.
EPILOK 1
Bila aku pulang ke Malaysia pada tahun 1994 – Janina dan Nigel adalah sosok akhir yang aku tinggalkan di Brixton.
EPILOK 2
Pada tahun 1997 Janina dan Nigel pulang ke Malaysia. Mereka menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur.. Untuk merayakan kawan lama - aku telah menjemput beberapa kawan datang makan di flet di Bukit Robson.
Malam itu aku telah masak kupang yang aku beli di Melaka. Kupang atau moules adalah makanan nasional Belgium negara lama aku.
Kenduri kecil malam itu aku telah memasak kupang mengikuti resipi Belgium. Aku campur dengan air anggur putih .Nasib punya nasib Janina dan Nigel dan seorang lagi kawan aku telah sakit perut makan kupang pada malam itu. Dua hari Janina dan Nigel tidak meninggalkan bilik hotel - sakit perut
EPILOK 3
Phillipa dan Janina terus menjadi kawan baik. Phillipa telah datang menziarah Janina di Kuala Lumpur. Ini sebelum Janina bertemu dengan Nigel.
Babak ini menjadi sebuah cerita pelik tapi benar.
Phillipa telah terbang dari Heathrow ke Subang dengan pesawat MAS. Duduk di sebelah Phillipa seorang jantan Perancis keturunan Laos bernama Khamla yang dalam perjalanan ke Vientiane.
Keluarga Khamla telah lari dari Laos ke Perancis kerana bencana perang ketika Khamla berumur lima tahun.
Phillipa dan Khamla telah membuktikan bahawa betina tak perlu tercari-cari jantan. Dan jantan tak perlu tercari cari betina. Phillipa dan Khamla yang berjumpa dalam kapal terbang Mas akhirnya menjadi suami isteri.
Pasangan ini dihadiahkan tiga cahaya mata dan kini tinggal di Paris. Hidup bahagian aman damai.
EPILOK 4
Semua nama-nama dalam tulisan ini telah diubahsuai untuk tidak mengganggu masing-masing privasi. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/10/20/tak-perlu-mencari-datang-dengan-sendiri/
Indahnya kotradiksi
BalasPadamOh indahnya.. kontradiksi penggerak dunia
BalasPadamKenangan di Kota London mengamit semula. Tahun 1981- 1985 & 1997.
BalasPadam