Masalah dalaman Umno peluang Pakatan rampas Melaka, kata penganalisis
KEMELUT dalaman Umno Melaka akan membolehkan Pakatan Harapan (PH) merampas negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, kata para penganalisis.
PH dijangka membentuk kerajaan negeri berikutan konflik antara dua bekas ketua menteri iaitu Sulaiman Md Ali dan Idris Haron yang akan ditentukan melalui kotak undi, kata mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight baik Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak akan menang dalam pertembungan tiga penjuru jika mereka gagal capai kata sepakat sebelum PRN.
Mereka juga bersetuju PRN nanti melambangkan kotak fikiran pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
DUN Melaka dibubarkan selepas empat Adun umum tarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman pada Isnin.
Susulan itu, Speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran tersebut selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam mendapat nasihat Sulaiman untuk bubar.
PRN Melaka perlu diadakan selepas tempoh 60 hari dari pembubaran DUN.
Selain Idris (Sg Udang), tiga lagi Adun yang bersama tarik sokongan ialah Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Berikutan tindakan mereka itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata Idris dan Nor Azman secara automatik gugur keahlian kerana bertindak bertentangan dengan perlembagaan parti.
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania di Australia James Chin berkata PRN ini juga akan beri peluang kepada Umno dan Bersatu untuk mengesahkan kewibawaan mereka selain di antara mereka parti mana yang dapat sokongan majoriti pengundi Melayu.
“Bagus untuk PH dan saya rasa mereka ada peluang untuk tambah kerusi mereka. Tidak bagus untuk Umno dan Bersatu. Kita akan nampak siapa yang lebih dominan, adakah Umno atau Bersatu yang boleh menangi undi Melayu.
“Ada baiknya kita buat pilihan raya. Kita kena bagi rakyat yang buat pilihan. Kita tak boleh biarkan politikus bentuk kerajaan guna jumlah wakil rakyat yang mereka dapat,” kata Chin.
Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mencerminkan pandangan James namun berkata kedua-dua gabungan itu tidak akan dapat majoriti besar dalam DUN
“Saya rasa perbezaan majoriti hanya satu atau dua. Tak akan besar. Tentunya ini akan untungkan PH,” tambahnya.
Profesor Universiti Utara Malaysia Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat PH ada kelebihan dalam PRN Melaka.
“Malah, selagi BN dan PN tidak dapat cari titik persamaan, PH ada peluang untuk ambil (kerusi),” kata Ahmad.
Semalam PN Melaka umum sedia berunding dengan Umno negeri bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN akan datang.
Pengerusinya Mohd Rafiq Naizamohideen berkata Bersatu bersama PAS dan Gerakan, telah membuat pendirian untuk tidak bertembung sesama sendiri merebut kerusi DUN.
“Kita terbuka menerima sekiranya Umno Melaka ingin berunding dengan PN Melaka untuk mengelakkan tiga penjuru dan jika Umno bersedia kita akan fikir perkara selanjutnya.
“Selagi kita belum dapat keputusan Umno, kita tidak akan memperincikannya dan itu terlalu jauh (pembahagian kerusi) dan kita menanti keputusan Umno biar mereka tentukan,” katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di Melaka semalam.
Namun, sebagai menjawab tawaran itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata parti itu masih belum memutuskan sama ada bekerjasama dengan mana-mana parti atau bertanding bersendirian pada PRN.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno, berkata apa yang penting ketika ini adalah parti itu mesti bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN berkenaan.
“Jangan kita harapkan bantuan luar untuk kita menang. Mesti bina kekuatan dalaman sendiri,” kata Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Umno Melaka di Alor Gajah semalam.
Sementara itu, pengarah eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar meramalkan jalan berliku buat PH walaupun di atas kertas pakatan pembangkang itu dilihat ada peluang yang lebih besar.
“Ada banyak faktor yang akan tentukan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum ke-14 yang tidak dapat digunakan dalam PRN. Bukan jalan mudah untuk PH.
“Sekarang, sikap rakyat tidak bagus. Mereka muak dengan ahli politik yang lebih suka mengutamakan kedudukan mereka daripada bekerja untuk rakyat,” kata Hisomudin.
PRN Melaka cermin untuk PRU15?
Dr Oh, sementara itu, berkata PRN akan beri gambaran bagaimana reaksi masyarakat untuk PRU15.
“Ini sebenarnya boleh diramal mudah, bagaimana pengundi akan pilih sebab ia adalah pilihan raya di Malaysia barat. (PRN) ini pendahulu untuk PRU15.”
James bersetuju, namun berkata ia hanya dapat dijadikan gambaran sahaja memandangkan keadaan mungkin berubah tahun depan apabila PRU15 diadakan.
“Ramai akan jadikan PRN Melaka sebagai indikator untuk apa yang seluruh negara rasakan secara umumnya, tetapi tahun depan keadaan akan berubah.
“Pilihan raya mungkin diadakan selepas Jun dan suasana politik ketika itu pun sudah akan berubah.
“Namun, PRN Melaka masih boleh dijadikan indikator perasaan rakyat ketika ini,” tambahnya. – 7 Oktober, 2021.
Kalau pemimpin dah tak berapa cerdik, jangan ajak fikir macam mana nak ambik peluang rampas Melaka. Ini macam harap budak faham apa itu 'sains roket'. Nanti dia buat kacau pulak, rakyat yang menderita akibatnya. Biarkan saja pemimpin tu terus berharap secara diam-diam.
BalasPadam