NIAT BAIK
JALAN KE NERAKA
Ada pepatah Inggeris mengatakan : The road to hell is paved with good intentions - Jalan ke neraka diturap oleh niat yang baik. Pepatah ini pertama kali terkumpul dalam buku Henry G. Bohn’s A Hand-book of Proverbs yang terbit pada tahun 1855.
Aku masih ingat lagi kali pertama aku bertemu dengan pepatah ini pada tahun 2003. Ini di zaman Amerika di bawah Presiden George W. Bush. Aku terbaca dalam satu tulisan dalam portal Information Clearing House.
Sebelum bertemu dengan pepatah ini aku telah juga bertemu dengan perkataan neraka yang digunakan sebagai metafora politik. Aku terbaca ‘ neraka’ dalam portal berita dari Timur Tengah.
Pada 6/9/2002 portal Arabs News telah melaporkan kenyataan Ketua Liga Arab Amr Moussa. Kenyataan ini keluar hasil dari persidangan menteri-menteri luar Arab telah bersidang di Cairo.
Amr Moussa telah menyampaikan amaran Menteri-menteri Luar Arab kepada Presiden George W. Bush : that attacking Iraq will open the gates of hell in the Middle East - jika Iraq diserang maka pintu neraka akan terbuka di Timur Tengah.
Inilah kali pertama aku terbaca - pintu neraka akan terbuka – sebagai metafora politik antarabangsa. Biasanya hanya Pak Lebai dan Ustaz Youtube saja yang sibuk dengan neraka. Kini politik antarabangsa juga telah terikut sama.
Kenyataan Amr Moussa ini meledak menjadi berita dunia. Aku juga terbaca ulangan petikan berita yang sama dalam portal berita The Guardian dari London.
Neraka digunakan dalam pepatah dan juga sebagai metafora politik dengan harapan orang ramai akan memiliki kesedaran betapa beratnya perkara yang dihadapi.
Neraka menjadi batu penghalang niat baik Presiden Amerika.
Niat baik George W. Bush Presiden Amerika cukup jelas. Presiden Bush mahu membawa dan menghadiahkan demokrasi dan kebebasan kepada rakyat Iraq. Ini adalah satu yang amat mulia. Tidak ada negara yang tidak mahu demokrasi. Rakyat tidak akan menolak kebebasan.
Malah pada ketika itu – selepas Kuwait di serang oleh Iraq pada 2 Ogos 1990 – kempen mengHitlerkan Saddam Hussein kelihatan berjaya. Warga dunia diberi gambaran betapa zalimnya Presiden Saddam Hussein ini.
Bush meyakinkan warga Amerika jika Saddam dijatuhkan maka dunia akan lebih aman. Saddam anak kelahiran Takrit telah disamakan dengan Hitler. Saddam dikatakan pemilik ‘ weapon of mass destruction - senjata pemusnah dunia’ .
Media saban hari ke saban minggu ke bulan terus memaparkan berita tentang kezaliman sosok yang bernama Saddam anak lelaki Hussein. Berita senjata pemusnah yang dikatakan dimiliki oleh Saddam ini menakutkan warga dunia.
Hanya Saddam tidak bertaring. Jika bertaring maka sah Saddam ini menjadi Raja Bersiung untuk Iraq.
Disirahkan juga ramalan bagaimana jika soldadu Amerika masuk ke Baghdad maka warga kota Baghdad akan menyambut soldadu Amerika dengan taburan bunga dan beras pulut. Warga Iraq akan berkompang menyambut soldadu Amerika.
Aku menulis tentang neraka ini bukan kerana suka Saddam atau kerana benci Bush. Tidak. Aku menulis ini kerana pepatah yang mengatakan bahawa : Jalan ke neraka itu diturap oleh niat yang baik. Aku menulis kesah ini kerana aku yakin akan kebenaran pepatah ini.
Pepatah ini pastilah pengalaman yang terkumpul oleh datuk nenek moyang Mat Salleh yang terdahulu. Pengalaman merekalah yang mensahihkan pepatah ini hingga diguna pakai dalam politik antarabangsa pada tahun 2003.
Waspada: ini bukan bermakna aku telah pernah sampai ke neraka. Tapi kesah aku ini membuktikan betapa tepatnya pepatah jalan ke neraka ini.
Kesahnya begini: Pada tahun 1967 – satelah lulus L.C.E – Lower Certifiate of Education - aku telah diterima untuk menjadi warga asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu.
Ketika ini Cik Gu Zaleha mengajar di Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu – 6 batu dari pekan Kuala Klawang. Keluarga kami tinggal di rumah guru di Sekolah Amar Penghulu.
Aku menjadi penghuni asrama untuk membebaskan diri aku dari menaiki bas atau mengayuh basikal. Rumah aku semakin jauh dari pekan Kuala Klawang – semakin jauh dari sekolah tempat aku belajar. Duduk di asrama memberikan aku banyak masa untuk ke ‘library’ membaca.
Aku juga perlu membuat persediaan untuk berhadapan dengan Senior Cambridge – peperiksaan akhir tingkatan lima. Ini peperiksaan – grande finale – untuk sekolah menengah – sebelum mendewasa menjadi warga negara atau mencari pekerjaan.
Duduk di asrama amat lumayan untuk budak kampung seperti aku. Di asrama - air dalam besi dan api dalam kaca. Pada tahun 1967 – hanya pekan Kuala Klawnag yang ada sumber api elektrik.
Api elektrik dan air paip hanya untuk orang pekan. Kami di kampung menggunakan pelita minyak tanah dan air dari perigi.
Aku ingat lagi pada ketika itu di Kuala Klawang ada generator LLN – Lembaga Leterik Negara . Generator ini - di tempatkan di tepi pekan Kuala Klawang – arah jalan ke panggung Ruby.
Seminggu atau sebulan sekali lori minyak akan menghantar minyak untuk generator ini dari Seremban. Aku tidak tahu minyak jenis apa yang digunakan.
Kawasan tempat generator ini agak besar – seluas dua bilik darjah. Loji ini ditutup lingkup dengan zink yang tebal untuk mengurangkan bunyi. Pada ketika itu tidak ada kawasan perumahan yang berhampiran dengan loji LLN ini kecuali sederet lima buah rumah pekerja LLN.
Setiap hujung bulan pembaca meter akan datang dari rumah ke rumah untuk membaca meter dan menyediakan bil bayaran. Di setiap rumah ada sebuah meter untuk menunjukkan jumlah elektrik yang telah digunakan.
Pada tahun 1968 aku menjadi senior dalam asrama. Warga asrama yang tidak sampai 50 orang ini datang dari dua sekolah. Sekolah Menengah Bandar Tinggi – aliran Melayu dan Sekolah Menengah Undang Jelebu – aliran Inggeris. Kami semua anak watan Jelebu.
Katil aku terletak disebelahi tingkap yang paling hampir dengan pintu masuk. Di dinding di sebelah katil aku ialah suis untuk lampu dan suis kipas angin untuk bilik tidur. Di atas suis terpasang 2 buah meter elektrik. Mungkin untuk bilik tidur, dewan makan, bilik memasak dan bilik belajar.
Jarak asrama ke bilik darjah tidak sampai lima minit menapak. Ini amat menyeronokkan kerana jika aku dapati kelas membosankan aku akan mencelah ponteng. Lari pulang ke asrama.
Pada satu hari di hujung bulan – aku ponteng kelas – aku terbaring berehat atas katil di bilik hostel. Tertiba masuk Abang Baca Meter. Nama dia Dolah. Aku ingat lagi Abang Dolah yang berumur tiga puluhan bercerita tentang dirinya yang berasal dari Kuala Pilah. Dia telah setahun menjadi pembaca meter.
Kami berbual mesra dan dia tidak pula curiga kenapa aku berseorangan dalam bilik asrama. Aku yang ingin membunuh masa terus bertanya tentang itu dan ini dalam hal generator elektrik dalam pekan.
Aku difahamkan ada seorang jurutera elektrik yang dibantu oleh tiga orang pekerja teknikal bekerja di generator. Abang Dolah dengan bangga bercerita bagaimana dia dengan susah payah melamar untuk menjadi pembaca meter.
Satelah setahun berpengalaman Abang Dolah berupaya dengan sekali pandang sahaja dia dapat membaca angka-angka di meter. Dan berapa jumlah bil yang wajib dibayar.
Pada tahun 1968 aku menjangka pembaca meter ini satu pekerjaan yang maha hebat. Terbenam dalam fikrah aku - jika aku gagal dalam peperiksaan akhir teringin juga aku melamar untuk menjadi pembaca meter.
Pertemuan aku dengan Abang Dolah ini habis begitu sahaja.
Dua minggu kemudian aku ponteng sekali lagi. Seperti biasa aku menelentang di atas katil berkhayal entah apa apa. Tertiba aku terdengar bunyi sosok menapak masuk ke asrama. Aku menyorok ke bawah katil.
Aku takut Cik Gu Asli muncul di pintu asrama. Dan aku ditangkap ponteng sekolah.
Cik Gu Asli ini guru yang bertugas menjaga murid-murid di asrama. Cik Gu Asli ini kami panggil Boseh – kerana perutnya yang gendut. Biasanya dia akan datang melawat asrama di waktu malam.
Pernah satu malam Cik Gu Asli ini membawa seorang Pak Lebai dari Kampung Gagu untuk memberi ceramah dalam bilik bacaan. Yang aku ingat ceramah Pak Lebai itu hingga ke hari ini ialah ‘ jangan marokok.. tabaka saluar…’
Kami menajuk-ajukan lorat Minang Pak Lebai ini. Hari ini aku akan tersenyum teringatkan malam itu bilamana Pak Lebai berkain sarung berbaju melayu dan bersongkok hitam cuba memberi nasihat agar kami tidak menghisap rokok .. ..jangan marokok .. marokok tebaka saluar…’
Kebiasaan Cik Gu Asli akan melawat asrama ini satelah jam 10 malam. Ini kerana tayangan filem telah selesai di Panggung Ruby. Selesai menuntun Cik Gu Asli kadang-kadang dengan isterinya Cik Gu Fatimah akan berkereta datang ke asrama. Cik Gu Fatimah duduk dalam kereta manakala Cik Gu Asli akan masuk melawat bilik bacaan dan masuk melawat bilik tidur.
Kami penghuni asrama amat faham akan rutin Boseh ini.
Dari bawah katil mata aku memerhati ke pintu.
Ciss… yang muncul bukan Cik Gu Asli tapi Kiak. Kami panggil dia Kiak – nama sebenar Haris Razak – murid tingkatan tiga. Kiak ini nama gelaran – ini budaya warga asrama – semua penghuni ada mendapat gelaran. Kiak mendapat gelaran kerana kepalanya besar seperti kepala kelengkiak.
‘ Kau ponteng ke…’ Aku menyergah.
‘Tak laaa… aku kena asma… cikgu kata boleh rehat…’ Kiak menjawab sambil duduk di sebelah katil aku.
Mata aku memerhati Kiak dengan rapi. Kiak ini pengakap yang amat aktif. Cekap menggunakan peralatan pengakap. Aku pernah pergi berbasikal dan berkelah dengan dia.
Lalu aku terfikir. Aku ingin membuat sesuatu yang baik. Aku ingin berbakti. Aku juga ingin berbakti kepada asrama. Aku ingin membuktikan bahawa aku murid yang berjasa dari Sekolah Menengah Undang Jelebu.
‘ Kiak…. Mana pisau scout kau…” Aku bertanya.
‘ Nak buat apa… ada dalam lokar…’ Kiak menjawab.
‘ Gi ambil …apa lagi kau ada…skru drebar ada…’ Aku beri arahan.
Kiak datang dengan pisau , dawai dan skru drebar.
Aku bangun dan terus berdiri atas lokar. Kepala aku hampir sampai ke meter.
‘ Kiak… kita ubah meter elektrik ni…’ Aku dengan bangganya meminta Kiak melaku sesuatu yang belum penah kami lakukan. Kami mengubah meter elektrik.
‘ Apa nak buat…’ Kiak meminta nasihat.
‘ Dawai yang ada timah tu…. Jangan putuskan.. buka pintalnya baik baik… nanti kena pasang balik…’ Aku memberi pandangan.
Kiak dengan pisau, dawai dan skru drebar mula bekerja. Dua buah meter terbuka.
‘ Ok… dengan dawai kau tarik jari meter tu bawa semua ke arah kosong… senang saja…’ Aku dengan gembira telah membuktikan bahawa asrama kami tidak banyak menggunakan kuasa elektrik dari LLN.
Kiak membuat apa yang aku minta. Kemudian dia menutup kembali meter tersebut. Kiak memintal dawai bertimah dengan rapi. Ini menandakan seolah-olah tidak di dawai bertimah tidak ada apa apa gangguan telah berlaku.
Aku perhatikan meter yang telah terkatup itu.. Aku tersenyum puas. Aku merasa aku amat bijak. Berjaya menyelamat dana elektrik Sekolah Menegah Undang Jelebu.
Apa yang aku buat tidak aku cerita kepada sesiapa pun. Kawan rapat aku Mat Sham dari Kampung Petasih yang katilnya di sebelah katil aku pun tidak tahu apa yang Kiak dan aku telah lakukan. Ianya menjadi rahsia. Aku mahu kerja baik aku ini tidak diketahui oleh sesiapa.
Awal bulan sampai. Tapi kali ini agak berlainan. Di waktu kami sedang berehat Abang Dolah datang dengan seorang pembantu. Mereka melihat meter dengan rapi. Dua tiga kali mereka membaca meter. Kemudian mereka beredar.
Setengah jam kemudian mereka datang sekali lagi dengan Guru Besar Mr Francis Xavier. Tiga kepala memerhati meter.
Pada sebelah petang Abang Dolah datang sekali lagi kali ini dengan seorang pembantu yang membawa kotak kayu. Kami warga asrama hanya memandang. Tidak ramai yang tahu apa yang telah berlaku.
Meter di asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu kini masuk ke dalam kotak berkunci.
Esoknya aku dipanggil menghadap Guru Besar Mr Francis Xavier. Nampaknya semua bibir mengarahkan kepada sosok aku. Ini kerana katil akulah yang paling hampir dan paling strategik berhadapan dengan meter.
‘ Hisham... what are you trying to do...’ Guru Besar bertanya.
Mata aku memandang buku di atas meja. Mulut aku tidak terbuka untuk menjawab apa yang telah aku lakukan. Aku gagal menerangkan niat baik, bukan sahaja baik tapi mulia. Aku tidak dapat berkata bahawa aku mahu menyelamatkan dana sekolah dari membayar bil elektrik yang mahal.
‘ Are are opening a factory...’ Guru Besar aku mengasak dengan satu lagi soalan. Aku terus berdiam diri.
Aku tak sangka jarum meter yang telah dipusing oleh Kiak telah menaikkan lagi bil elektrik sekolah. Kini telah dibaca sama seperti asrama ini menjadi sebuah kilang. Kilang apa agaknya – kepala aku bertanya.
Aku senyap tidak menjawab.
Pulang dari berjumpa Guru Besar aku dipanggil pula oleh Ketua Asrama – Ahmad Bakar. Nama gelaran Mat Burn. Ketua Asrama ini kawan sedarjah aku. Kami masuk sama ke Sekolah Rendah Undang Jelebu pada taun 1961. Dia ini anak kelahiran Mentaus Durian Tipus Ini daerah wilayah Jelebu yang amat jauh dari Kuala Klawang. Durian Tipus bersempadan dengan Pahang.
‘ Kau buat apa tadi.... headmaster marah...’
‘ Sori... aku nak selamatkan bil leterik....’ Jawapan pendek aku. Aku terus beredar.
EPiLOK
Mengingat kembali babak ini aku tersenyum. Aku senyum kerana tidak dipanggil ke Bangsa Bangsa Bersatu. Aku hanya dipanggil menghadap Guru Besar dan Ketua Asrama.
Setiap kali aku terlihat meter elektrik aku akan tersenyum sendirian. Aku sedar bahawa jalan ke neraka itu sering diturap oleh niat yang baik dan mulia. (TT)
TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/10/27/niat-baik-jalan-ke-neraka/
Alaa... TT, apa salah nya, kat Kelante pun ade masjid rwjabebtuk Cina. Banyak masjid di Eropah, Australia, NZ dan lain-lain pun bentuk bangun an bentuk kotak macam sebijik banglow.
BalasPadamItu kan dalam wilayah China jadi memang lah hak diorang nak ubah ke bentuk budaya China. Kat Siam sana pun ada masjid bentuk pagoda.
TT ko mudah terpengaruh dengan portal berita Gravitas ni. Portal berita ini jenis macam setan melaga-lagakan masyarakat dunia untuk cari makan. Tengok muko pompuan tu pun dah bonci... sama gak dengan muka jantan berjambang kontot satu lagi portal berita yang tak henti memburukkan China Merah.
Aritu ada satu berita tang keganasan agama di Bangladesh di mana puak Isle ekstrim 'bergasak' dengan puak Hindu.. Portal berita ni mesti lah memihak kepada puak Hindu sebab dua ni portal berita India. Jadi jelas berita yang disiarkan tidak boleh dipercayai... nak cari makan punya pasal, tak kesah kesan kemudian harinya...! Jadong celaka botul!
Ini bukhan cerito jalan ko norako... Ini klu bapak den nie.. nie mangkuk hayun namo eeaa... Hahahahaha mantap hero...
BalasPadamMasa cikgu besar panggil nape Tt mengaku. Tt kene buat muka tak bersalah malah Tt kene wat seolah olah Tt tak pernah kenal apa itu meter elektrik. Tt kene cakap Tt tak pernah pun jumpa abang dolah. Lurus sangat pelir patutla Tt takleh jadi orang politik sampai sekarang hurmmm…
BalasPadam