Pakatan selesai runding kerusi untuk Melaka, umum Anwar
PAKATAN Harapan (PH) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi antara komponen partinya untuk Pilihan Raya Negeri Melaka, umum pengerusinya Anwar Ibrahim.
PKR akan bertanding 11 kerusi sementara Amanah 9 dan DAP 8, katanya.
“Dalam amalan politik bersama, pembahagian kerusi ini satu proses yang panjang.
“Negeri diberikan laluan untuk berbahas memuktamadkan dan selepas itu barulah dikemukakan kepada jawatankuasa khas yang mewakili parti.
“Setelah itu baru diangkat kepada Majlis Presiden dan kita memutuskan untuk menyelesaikan dan memuktamadkan (pengagihan kerusi bagi Melaka).
“Keputusan kita jumlahnya DAP kekal 8, Amanah 9 dan PKR 11,” katanya dalam sidang media, hari ini, disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Anwar juga memaklumkan rundingan pengagihan kerusi PRN Melaka turut memuktamadkan pembahagian kerusi Parlimen untuk negeri itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, PKR, Amanah dan DAP masing-masing akan bertanding dua kerusi, dengan DAP mendapat semula kerusi tradisinya Alor Gajah.
Pada PRU14, DAP hanya bertanding di Kota Melaka, sementara Alor Gajah ditandingi calon Bersatu yang ketika itu sebahagian daripada gabungan PH.
Bersatu juga pada masa itu bertanding di Masjid Tanah, sementara Amanah bertanding di Jasin manakala PKR meletakkan calon di Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu.
Melaka mempunyai 6 kerusi Parlimen dan 28 kerusi negeri.
Jelas Anwar, jawatankuasa khas pengagihan kerusi PH dianggotai Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, yang dibantu beberapa pimpinan parti lain.
Anwar berkata bekas ketua menteri Adly Zahari, yang juga naib presiden Amanah, akan mengetuai kempen PH bagi PRN Melaka.
Dalam pada itu, Anwar memaklum PH juga sedang berunding dengan Muda untuk membenarkan calon parti yang belum didaftarkan itu bertanding atas tiket PH.
Muda yang masih menunggu kelulusan pendaftaran kelmarin mengumumkan bertanding PRN Melaka, yang ditetapkan pengundiannya pada 20 November.
Penamaan calon akan berlangsung 8 November. – 29 Oktober, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan