Rabu, 17 November 2021

KESAH TUMPANG GLAMOR

 




TUMPANG GLAMOR 


Sesudah selesai belajar di Brixton College aku di beri pilihan untuk menyambung belajar  di Saint Martin Art School , London College of Printing atau Polytechnic of Central London (PCL). Aku memilih PCL kerana pada hemat aku ini lembaga ilmu yang   bukan universiti. 

PCL diwujudkan semenjak tahun 1838 – satu lembaga ilmu tertua  dan politeknik terawal dalam dunia. PCL bukan mendorong ke jalur  akademik tetapi mendidik pelajar untuk menjadi profesional. 

Pada tahun 1992 – Polytechnic of Central London  dijadikan Universiti of Westminster. Aku masuk  belajar di  politeknik tiga tahun kemudian aku berijazah dari universiti.  Bunyinya pelik  tetapi benar.

Tak ada apa-apa yang berubah bila PCL  jadi universiti. Bangunan untuk  ilmu media dan filem masih lagi di Riding House Street. Kampus aku  tegak berdiri  dua blok di belakang Oxford Street – wilayah membeli belah tersohor di dunia.  

Studio PCL – yang terbesar ditengah-tengah kota London masih lagi di sebelah dewan kuliah aku. Sebagai pelajar aku tidak merasa apa-apa yang berubah.

Satu pagi di PCL  - sebelum kuliah bermula di bilik tayangan filem,  Jill  Li Sue – Minah chubby berumur  dua puluhan keturunan Jamaica kawan sedarjah memberi maklumat.

‘ Isham... Mr Micheal is looking  for a  Production Assistant – bilingual ... French and English...’  Jill tahu aku boleh berbahasa Perancis.

Jill menerangkan yang dia telah  membaca maklumat ini di Papan Kenyataan Fakulti Filem.  Papan  Kenyataan ini  tak pernah aku ambil peduli. Kali ini aku  menghadap papan ini untuk kepastian maklumat.

Sahih - ada nota kecil terpaku  dari Mr Micheal. Ada nombor telefon untuk dihubungi. Mr Micheal  berasal dari Perancis kini  bertugas  sebagai pembantu pensyarah filem dalam fakulti kami.

Aku menelefon  Mr Micheal untuk melamar kerja.

“ Bojour monsieur... Isham ici... oui.. je parle Francais ..” Sengaja aku bertutur dalam  bahasa Perancis untuk memastikan aku dapat kerja ini.

‘ Bon... very good...  can you drive?.. ‘  Satu permintaan yang amat susah untuk aku  menjawab kerana aku tidak pandai memandu kereta.

‘ Never mind ... we get you a driver.. could you get someone to drive....’ Mr Micheal  memintas.

Wow! Ini pastilah produksi yang besar. Pembantu produksi pun  akan diberi sebuah kereta dan seorang  pemandu. Cukup hebat.

‘ You know Diva.. the  film Diva... Richard Bohringer... you know  Peter  Greenaway ... The Cook, The Thief,  His Wife & Her Lover....’ Suara Micheal yang kurang jelas dalam telefon. Dia cuba memberi penjelasan tentang  sapa dan apa produksi ini.

Aku  telah menuntun filem  Diva  ini ketika aku mula sampai di London. Diva keluar tahun  1981.Ianya  telah menjadi buah mulut  kaki wayang  di London. Aku yang hendak belajar filem cepat-cepat  mencari tayang ulangan di  panggung. Aku  tidak mahu ketinggalan.

Ketika aku menuntun Diva aku belum lagi belajar bahasa Perancis. Aku tidak tahu siapa  Mamat  pengarah yang bernama  Jean Jacques Beineix  dan Mamat  pelakon yang bernama Richard Bohringer.

Di Eropahlah aku  mula berkenalan rapat dengan filem Perancis,  Rusia, German dan filem dari blok Eropah Timur.  Filem-filem impot dari  Eropah Timur dan Barat ini semuanya ada sari kata  bahasa  Inggeris.

Aku  telah juga menuntun  The Cook, The Thief, His Wife & Her Lover bila ianya keluar pada tahun 1989.  Aku menuntun di panggung Curzon di Russels Square. Nama filem arahan Peter Greenaway ini agak pelik. Filem berbahasa  Inggeris ini hasil kerjasama antara Britain dan Perancis.

Siapa pengarah dan pelakon filem ini juga aku tidak tahu.  Ketika aku mula berkelana nama  bintang filem yang ada dalam kepala aku masih lagi Nordin Ahmad,  Clint Eastwood , Latifah Omar dan  Sophia Loren. Filem Cathay Keris dan filem Holywood telah tebal melekat dalam kepala aku. 

Mr Micheal menerangkan bahawa produksi dokumentari ini ditaja stesen TV Canal Plus dari Paris.  Dokumentari ini ialah biografi kesah hidup  Richard Bohringer. Sebelum dia menjadi  bintang ternama di Perancis  - ketika dia muda - Richard pernah duduk miskin di London.

Kesah ‘hidup merempat’  di London inilah  yang akan kami filemkan. Kami ada satu minggu  untuk merakamkan babak ini. Semuanya penggambaran di sekitar kota London.

Seperti yang telah dijanjikan – aku  mengambil Robert kawan  sedarjah  untuk memandu  kereta Vauxhall yang disewa dari  Syarikat Hertz. Robert tinggal di zon tiga  di luar   kota London. Untuk memudahkan kerja  Robert menumpang tidur di flet aku di Bronmley-by-Bow.

Petang Jumaat sehari sebelum penggambaran  tim produksi bertemu di lobi hotel kediaman Richard di Tottenham Court Road – di tepi  Soho. Richard  memilih hotel ini kerana nostalgia. Dia pernah meleser di hadapan hotel ini ketika dia miskin sebelum menjadi bintang tersohor di Paris.

Bersama Richard pada petang itu ialah Mr Micheal, Pierre dari  stesen Tv , Julien juru kamera, isteri Richard dan seorang anak gadis dan  seorang anak kecil.
 
Bila aku nampak  Richard  kali pertama dengan pantas ingatan aku kembali kepada Diva. Aku teringat imej   – samseng kota Paris – berdiri di tepi tembok Metro.  Richard memang kotak berisi bunga.  Dalam kotak ini ada pistol.

Aku tidak menyangka pada petang itu aku sedang  berhadapan dengan Gorodish watak  yang dimainkan  oleh Richard dalam Diva.

‘  Isham... je viens de Malaisie...etudiant ici a londres ... mon ami Robert...’ Aku menghulu tangan untuk berkenalan dan memperkenalkan Robert. 

‘ Ah! Bon... Malaisie... tres bon....’  Richard menjawab.
 
‘ Baby  sitter... baby sitter... I need  a baby sitter.. my English okay ....’  Richard ketawa kerana dia mula bercakap dalam bahasa Inggeris bila dia menerangkan yang dia perlu   pembantu untuk menjaga anak kecilnya.

‘ Et tomorrow...’  Aku memberi isyarat ibu jari. Jaminan esok semuanya beres.

Petang itu aku menelefon Askiah Adam  wartawan New Straits Times yang kini bertugas di Bush House  BBC Radio Bahagian Melayu. Aku melamar Rustam anak Askiah  yang baru melintas 18 tahun untuk menjaga anak Richard di hotel.  Semua beres. Tugas pertama aku selesai.

Lokasi pertama hari Sabtu ialah Camden Town.  Mengikut surah Richard ketika miskin  dia sering ke Camden Town  dengan harapan bertemu pelancong dari Perancis. Jika bernasib baik ada rezeki dapat makan ‘free’.

Aku memikul kaki kamera. Julien juru kamera di hadapan aku.  Richard dan anak perempuannya berjalan di belakang.

Tertiba kami diserbu.

‘ Richard... Richard... Diva...ello  Diva...’ Suara jantan dan betina memanggil Richard. 

Memang betul di Camden Town pagi Sabtu ramai pelancong dari Perancis. Mereka kenal muka bintang filem mereka. Richard  melayan mereka – tersenyum dan bergambar. Julien dengan pantas merakamkan apa yang sedang  berlaku.

Aku dan Robert tercegat memandang. Dalam kepala aku memikir :  begini rupanya jadi bintang filem. Selalu dikerumuni oleh peminat.

Warga London yang tidak kenal muka Richard tidak ambil pot. Mereka hairan kenapa kami berkumpul-kumpul  hingga mengganggu laluan.

Kemudian Richard berdiri di tepi sungai sambil merenung air yang lalu. Sesudah babak  sungai ini Richard  berlegar-legar di hadapan  beberapa warung kain baju.  Richard berlakon membelek kain baju. Dia tidak  bercakap dengan sesiapa. 

Pierre yang memberi arahan  satelah  dia berbisik-bisik   dan berbincang dengan Richard. 

Sebagai siswa filem aku faham apa yang sedang  berlaku.   Yang dirakam ini hanya  ‘ footage’  yang akan disunting untuk dijadikan jalan cerita. Suara dan muzik latar dimasukkan kemudian. 

‘ Isham.. trouver un bon restaurant...’ Richard memberi aku arahan  mencari restoran yang baik untuk makan tengah hari.

‘ Find a good one Isham....’  Pierre memperkukuh arahan. 

‘ Pas reataurant anglais....’ Richard terbarai ketawa bila memberitahu  agar aku tidak memilih  restoran Inggeris.

Warga Perancis  amat bangga dengan masakan Perancis. Mereka   sentiasa memperlekeh makanan Inggeris. Pada hemat orang Perancis  masakan Inggeris hanya fish and chips. Justeru dalam dunia ini tidak pernah kita temui An English Restaurant.

WoW ! Hebat. Aku diberi peluang untuk memilih restoran. Ini peluang terbaik. Di Old Compton Street Soho ada Soho Brassarie. Ini tempat para Yuppies berkumpul. Aku hanya berupaya memandang.  Poket aku tidak berupaya untuk melanggan kedai makan ini. Kali ini peluang terbuka.

‘Bon... Soho Brassarie.. .’ Aku membuat keputusan.

Tujuh orang kami makan di  Soho Brassiarie.  Masakan jenis fusion Eropah. Isteri dan anak perempuan Richard ikut sama. Aku ingat lagi di Soho Brassairie aku meminta paha itik. 

‘ Romane... qu’est que ti veux mange...’ Richard bertanya  apa yang nak makan kepada anak gadisnnya.  Baru aku sedar nama anak gadis ini Romane.

Sesudah makan ketika minum kopi aku diberi tahu bahawa nama Romane ini dari nama Roman  Polanski pengarah  filem  China Town (1974) yang  berasal dari Poland.

‘ I like Roman Polanski... un grand realisateur...’ Richard menerangkan  yang dia  amat meminati Roman Polanski sebagai pengarah filem. Justeru anaknya diberi nama Romane.

‘ I hope my daughter.... will be a great actor...’ Petang itu Richard meluahkan perasaan dengan harapan anak gadisnya akan menjadi pelakon tersohor.

Lepas makan kami  beredar ke Soho Square.  Ini sebuah taman kecil luasnya  setengah padang bola. Mengikut skrip Richard disini dia  selalu  tidur bersama  gelandangan kota London.

Julien merakam perjalanan Richard  masuk ke dalam taman. Kemudian tanpa diarah Richard telah tidur dibangku kayu. Aku yang membawa kamera Minolta X-300 tidak melepaskan peluang untuk merakamkan imej ini.

Lalu aku terfikir : Gambar Richard Bohringer tidur di bangku kayu di Soho Square – boleh aku jual ke akhbar tabloid The Sun. Pasti akhbar ini akan membelinya. Aku tumpang glamor Richard Bohringer.
Kemudian hati kecil aku berkata : Ini sikap tidak profesional.  Mungkin aku dapat duit menjual gambar tapai nama aku akan tetap diingat sebagai Pembantu Produksi – yang tidak boleh dipercayai kerana membocorkan maklumat. 

Lalu aku padamkan niat nak tumpang glamor ini.

Esoknya kami ke Portobello Road  di Notting Hill.  Wilayah kaya tempat para seniman  dan sosok-sosok yang berangan-angan  nak jadi seniman, pelukis atau penulis  berkampung.  Richard Bohringer telah lebih awal dari  Hugh Grant dan Julia Robert jatuh cinta  dengan Notting Hill (1999)

Penggambaran berjalan baik. Kami hanya bekerja di waktu siang. Waktu malam kami pergi ke restoran. Warga Perancis ini semua kaki makan. Mereka mahu mencuba semua jenis makanan kota London.

Kami masuk ke Gaylord – restoran  masakan India.

‘ Tres bien Isham...’  Aku mendapat pujian  dari Richard kerana memilih Gaylord. Isteri Richard hanya tersenyum.

Esoknya skrip meminta kami ke Southhall. Ini wilayah pendatang dari India dan Pakistan.  Mengikut Richard dia mahu menunjukan bahawa kota London ini bukan hanya kota Mat Salleh. 

Romane anak gadis Richard sentiasa mengikuti  penggambaran kami. Ibunya hanya datang sesekali. Aku perhatikan Romane  tidak banyak bercakap. Dia banyak  memerhati kerja kami.

Dalam hati kecil aku : Pasti satu hari nanti si Romane ini akan menjadi pelakon yang besar di Perancis. Aku mengagaknya ini kerana aku memasang telinga  terdengar Richard selalu memberi  ‘ ceramah pendek ‘ bagaimana  watak dan perangai  berlakon kepada Romane.

Di Southhall kami masuk ke dalam kedai  runcit  India. Untuk penggambaran babak ini cukup menarik. Kedai runcit ini berwarna warni  Richard membeli colok gaharu. Kemudian dia mengusik-usik sebakul lada merah.

‘ Toilet Monsieur...s’il vous plait...’ Romane meminta aku carikan bilik air.

Romane mengekor aku ke sebuah restoran. Aku meminta kebenaran untuk menggunakan tandas  dari tuan empunya kedai.  

Ketika Romane dalam tandas  aku  berfikir : lebih baik aku gambari Romane Bohringer sekarang ketika  dia berumur belasan tahun di Southhall. Aku yakin  satu hari nanti dia menjadi bintang tersohor.

Aku  boleh menumpang glamor  dengan gambar yang aku ambil.

Dari Southhall kami menuju ke  Battersea di bahagian selatan London. Tertiba  kereta yang membawa Richard berhenti. Richard keluar. Dia kelihatan marah.  Robert memberhentikan kereta kami.  Tiga buah kereta berhenti ditengah jalan.

“C’est fini... c’est fini...’ Richard bersuara mahu menamatkan penggambaran.

Pierre keluar dan memujuk Richard.  Aku terdengar kata-kata Richard yang dia mahu menamatkan penggambaran. Aku dengan Robert tak tahu apa yang telah berlaku.

‘ Big star showing tantrum...’ Robert memberi komen tentang bintang filem tunjuk perangai marah. Aku tak sangka Richard Bohringer  bertengkar dengan  Penerbit   filem di tengah jalan ke Battersea.

Esok paginya semua seperti biasa.  Richard dan Pierre  yang kelmarin bertengkar  pagi ini seperti tidak ada apa yang berlaku. Kami merakamkan Richard berjalan keluar dari tube station di Picadilly Circus. Kemudian dia berjalan di Mall di hadapan Istana Ratu Elizebeth.  

Kerja selesai. Kami  pindah ke China Town  untuk menjamu selera di Canton  Restaurant.  Selesai makan tengah  hari Richard  anak dan isteri pulang ke hotel. Esok pagi mereka akan pulang ke Paris dengan kereta empat pacuan yang dipandu oleh  Pierre.

 Aku dan Robert pulang ke  Bromley-by-Bow.   Esoknya kami wajib memulang kereta milik Hertz yang kami sewa.

EPILOK 1
Berita dari Paris meledak. Ada bintang baru lebih erotik dari Briggite Bardot.  Anak gadis 18 tahun  dengan adegan erotik tentang sex, bisexsual dan HIV. 

Filem  Le Nuits  Fauves - Savage Night – Malam yang Ganas   terbit tahun 1992.

Pada bulan Mac 1993 – tiga hari sebelum kemenangan  diumumkan – Pengarah dan pelakon utamanya Cyrill Collard mati kerana AIDS. Filem ini berasaskan biografi Cyrill Collard sendiri.

Filem ini memenangi 4 Hadiah Cesar ( Oscar Perancis ) – Filem Terbaik,  Filem Pertama Terbaik,  Suntingan Terbaik,  Pendatang Baru Terbaik : Romane Bohringer.

EPILOK 2
Hari ini Romane Bohringer   dikenali sebagai pelakon paling erotik yang hot di Perancis.   Babak-babak bogel Romane kini terkumpul dalam YouTube.

Pada tahun  2018 aku terbaca  tentang filem L’amour  Flou. Satu lagi babak erotik dari Romane Bohringer.

EPILOK 3
Niat dan cita-cita seorang  ayah bernama Richard Bohringer kini tercapai. Anaknya kini menjadi bintang tersohor.  Malah dalam filem  L’amour Flou – Richard memainkan  watak ayah kepada anaknya Romane.

EPiLOK 4
Bila aku menulis  tulisan ini aku teringat kembali kepada Romane ketika dia minta aku carikan tandas di Southhall London.  Aku teringat kembali dengan  gambar hitam putih  Roman Bohringer yang telah aku ambil dengan kamera Minolta X-300.Semua negatif  dari Minolta aku  telah aku tinggalkan  dengan kawan di London. Aku harap negatif filem ini masih  selamat. Jika selamat boleh aku menumpang glamor sekali lagi. (TT)



TULISAN INI JUGA
MUNCUL DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/11/17/tumpang-glamour/







Tiada ulasan:

Catat Ulasan