Jentera propaganda Bersatu serang Ismail Sabri, kata Najib
JENTERA propaganda Bersatu menyerang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana parti itu ingin ketuanya Muhyiddin Yassin kembali sebagai perdana menteri, kata Najib Razak.
“Page-page propaganda PPBM (Bersatu)-PN (Perikatan Nasional) utama seperti page Otai pun telah mulakan serangan bertubi-tubi atas PM Ismail Sabri,” kata bekas perdana menteri itu dalam catatan Facebook.
Beliau berkata mereka menggunakan kenaikan harga dan inflasi sebagai alasan tetapi harga naik semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri.
“Paling membimbangkan ialah menteri-menteri dalam kerajaan Ismail Sabri juga merupakan menteri utama yang mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan, perladangan yang mempengaruhi harga barang khususnya harga makanan juga adalah dari parti yang mahu tumbangkan Ismail Sabri,” katanya merujuk kepada menteri Bersatu dalam Kabinet Ismail Sabri.
“Dorang serang Ismail Sabri berkenaan harga barang naik tapi dorang juga yang bertanggung jawab atas dasar-dasar yang sebabkan harga barang naik,” katanya.
Najib menambah beliau sebelum ini sudah mencadangkan penyelesaian untuk mengawal harga yang semakin naik.
“Kenapa menteri-menteri ini tak mahu pertimbangkan?” katanya.
Dalam catatan lain, Najib menyelar kumpulan Pemuda Bersatu, Armada, yang mendakwa harga naik selepas Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Nak memperbodohkan rakyat lagi ke?” Soal beliau.
“Harga barang dah lama naik mendadak sebelum PRN Melaka dan sebelum Ismail Sabri jadi PM,” katanya membela naib presiden Umno itu.
Beliau berkata indeks harga pengguna yang mengukur perubahan kos meningkat secara eksponen sejak Januari 2021.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata ini juga sebabnya beliau memberi amaran sejak Jun 2021 yang inflasi akan menjadi masalah besar dalam beberapa bulan akan datang kerana CPI terus meningkat susulan dasar “tidak bijak” oleh kerajaan PN, dan perintah kawalan pergerakan.
Najib juga mempersoalkan apakah perubahan dasar utama dilakukan oleh penyandang perdana menteri yang membawa kepada kenaikan harga yang mendorong serangan terhadap BN.
Beliau juga menyenaraikan portfolio menteri yang dikawal oleh Bersatu untuk menggambarkan maksudnya.
Antaranya ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi Mustapa Mohamed, Menteri Industri Pertanian dan Makanan Ronald Kiandee, Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merupakan seorang teknokrat dan tidak mempunyai parti, dilantik oleh Muhyiddin dan beliau dikekalkan jawatannya dalam kerajaan Ismail Sabri.
“Malah menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dari GPS juga adalah orang yang sama dalam kerajaan PN dahulu,” katanya.
“Jadi, kenapa pula kenaikan harga barang sekarang tiba-tiba adalah salah PM9, salah Najib atau salah Umno dan salah BN menang PRN Melaka?
“Dan bukankah memansuhkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan menggantikannya dengan SST (cukai jualan dan perkhidmatan) akan menurunkan harga barang?” tambahnya.
Awal minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata harga sayur-sayuran di pasaran naik 200%.
Brokoli berharga RM8/kg hingga RM20/kg, kembang kol (RM7/kg hingga RM16/kg), dan sawi pendek (RM3/kg hingga RM9/kg).
Minggu lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid memberitahu Parlimen yang dakwaan CAP bahawa harga naik dua kali ganda adalah tidak berasas kerana pegawai penguat kuasa tidak menemui bukti untuk menyokongnya. – 30 November, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan