Geng Ustaz, pro-Perikatan bertembung di muktamar, kata sumber PAS
MUKTAMAR PAS yang berlangsung minggu ini akan menyaksikan pertembungan di antara kumpulan pro-Umno dan kelompok pro-Perikatan Nasional, kata sumber parti Islam itu.
Sumber yang enggan namanya disebut itu berkata, pertembungan antara kumpulan digelar Geng Ustaz dan pro-PN itu jelas berlaku sewaktu pemilihan peringkat kawasan bulan lalu.
Kesannya, kumpulan pro-PN yang lebih rapat dengan presiden Abdul Hadi Awang menguasai muktamar manakala Geng Ustaz pula jauh ketinggalan, katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menjelaskan, Geng Ustaz semakin kurang pengaruh ekoran tekanan dihadapi pemimpin mereka, ahli jawatankuasa kerja PAS Khairuddin Aman Razali sejak bulan lalu.
Ia ekoran penularan satu rakaman audio didakwa mengandungi perbualan Khairuddin yang mengkritik presiden parti, Abdul Hadi Awang pada masa itu.
Dalam rakaman itu, Khairuddin yang juga popular dengan gelaran al-Takiri, antara lain didakwa membangkitkan kebimbangan mengenai pendirian Abdul Hadi dalam isu rundingan kerusi.
Sumber berkata penularan rakaman tersebut menyebabkan kumpulan Geng Ustaz kalah teruk kepada kumpulan pro-PN dalam setiap bahagian dan kawasan serta sayap yang dipertandingkan.
“(Tujuan) Geng Ustaz ini untuk memberikan kuasa semak imbang kepada presiden PAS yang banyak dipengaruhi kumpulan pro-PN seperti naib presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan setiausaha agung Takiyudin Hassan,” katanya.
“Apabila audio itu tular ternyata perwakilan tidak dapat menerima kritikan terhadap Hadi.
“Dan kesannya kebanyakan calon dalam kumpulan Takiri tewas dalam pemilihan peringkat kawasan di negeri-negeri PAS yang kuat,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.
Sumber berkata, mereka kini memerhatikan kesan pertembungan itu dalam persaingan untuk jawatan naib presiden PAS dan juga ahli jawatankuasa PAS pusat.
“Namun perkembangan terkini menyaksikan kumpulan ustaz ini seperti sudah terpecah dua,” katanya.
Pemilihan tersebut berlangsung selepas persidangan dua hari muktamar parti ke-67 pada minggu ini yang akan dijalankan secara hibrid.
Tiga jawatan naib presiden yang menjadi rebutan itu kini antara lain disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad.
Dua lagi kini diisi Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah.
Pada Jumaat lalu, PAS mengeluarkan senara calon yang layak mencabar jawatan tersebut, antaranya Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Seorang lagi pencabar, Mohd Zuhdi Marzuki merupakan setiausaha sulit kepada menteri hari ehwal air yang juga timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kali terakhir pemilihan PAS diadakan pada tahun 2015 dalam latar pertembungan antara kumpulan ulama dan kumpulan profesional pro-Pakatan Rakyat.
Pemilihan itu menyaksikan kumpulan profesional pro-Pakatan Rakyat kalah teruk dan seterusnya keluar parti lalu membentuk parti serpihan Amanah.
Mengulas lanjut, sumber menolak pertembungan baharu di antara Geng Ustaz dan kumpulan pro-PN sebagai perpecahan dalam PAS.
Sumber tersebut percaya ia hanyalah perbezaan pandangan mengenai hala tuju dan pendirian parti Islam itu – sama ada bersama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu.
“Ada yang menyifatkan lebih menguntungkan PAS bersama dengan Umno kerana akan menjadi kuasa Melayu yang kuat tapi bagi satu kumpulan melihat ketika Langkah Sheraton, PAS lebih diraikan dan diberi ruang lebih dengan Bersatu berbanding Umno,” katanya.
Satu lagi sumber dalam PAS turut mengesahkan wujud penolakan dalam parti itu terhadap kumpulan Geng Ustaz.
“Kumpulan Geng Ustaz yang diketuai Khairuddin kalah teruk di semua kawasan dan peringkat dipertandingkan.
“Ini kerana akar umbi merasakan Khairuddin terlalu banyak kontroversi, termasuk isu integritinya yang dipersoalkan,” kata sumber itu yang enggan mengulas lanjut.
Khairuddin merupakan antara pemimpin PAS yang digugurkan dari Kabinet selepas pentadbiran kerajaan diambil alih Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.
Antara isu dikaitkan termasuk tindakan Khairuddin yang melanggar kawalan pandemik dan juga skandal jualan dan pajakan tanah melibatkan satu agensi bawah kementeriannya.
Pemerhati politik pula berpendapat muktamar minggu ini sepatutnya menjadi medan terbaik untuk PAS memuktamadkan hala tuju sama ada untuk bersama Umno atau Bersatu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar bagaimanapun menjangka PAS akan terus “bermain dua kolam” dan tidak akan memutuskan hala tuju tersebut di muktamar.
“Sikap menjadi orang tengah bagi saya akan gagal kerana PAS akan berdepan dengan masalah perundingan kerusi dan simulasinya adalah di Melaka.
“Sikap PAS begitu gagal diterjemahkan dalam bentuk praktikaliti untuk pilihan raya dan sukar sebenarnya, sebab isunya kerana Umno menolak Bersatu.
“Bagi saya PAS kena terima hakikat tersebut. Kecuali jika Umno dapat menerima Bersatu. Ini cabaran yang PAS perlu selesaikan,” katanya.
Beliau berkata ia akan memberi kesan kepada PAS dalam membuat kempen gerak kerja dan jentera bagi pilihan raya kerana parti Islam itu tidak mempunyai hala tuju yang tetap.
“PAS tak ada hala tuju yang tetap untuk diperjelaskan kepada akar umbi sama ada mereka nak duduk dengan Umno dan Bersatu.
“Biarpun hasrat PAS untuk duduk bersama tapi hakikatnya tidak boleh begitu. Jadi itu dilema PAS di mana realitinya di peringkat bawah akar umbi.
Jelasnya, PAS akan berdepan masalah kerana sukar untuk berkempen dengan berkesan memandangkan mereka tidak dapat mempengaruhi pengundi.
“Macam mana mereka nak berkempen dan apa arahan pengundi untuk mereka nak sokong siapa jika berlaku pertembungan kerusi antara Bersatu atau Umno?
“Kalau tak sokong Bersatu, mereka dalam PN. Jika mereka sokong Umno kira dah mengkhianati gabungan parti mereka. Begitu juga sebaliknya.
“Jadi parti itu perlu menyelesaikan dilema mereka,” katanya. – 6 November, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan