Kenapa tidak boleh kerjasama dengan Bersatu, tanya Hadi kepada Umno
PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mempersoalkan sikap Umno yang tidak boleh berkerjasama dengan Bersatu, sebuah parti Melayu, tetapi boleh bersama dengan parti bukan Islam seperti MCA dan MIC.
Beliau menjelaskan PAS berpegang pada prinsip Muafakat Nasional (MN) yang mahu bekerjasama dengan parti Melayu dan Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Kalau Umno boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam bentuk kerajaan, kenapa tak boleh kerjasama PAS dengan Bersatu,” katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Kuala Terengganu.
Abdul Hadi menjawab pertanyaan mengenai hala tuju kerjasama PAS dengan Umno dalam MN selepas Umno hari ini mengesahkan bertanding 28 kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
PAS dan Umno menjalin kerjasama rasmi melalui MN yang dimeterai pada September 2019.
Selepas peralihan kerajaan di Putrajaya susulan percaturan politik Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020, PAS bersama Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN), yang tidak disertai oleh Umno.
Abdul Hadi hari ini menjelaskan PAS tidak melupakan kerjasama dengan MN selepas menyertai PN.
“KIta tidak lupa dengan kerjasama Muafakat Nasional, kita berpegang kepada piagam dalam penyatuan ummah di mana (piagam itu) tidak melibatkan PAS dengan Umno sahaja,” katanya.
Jelas Abdul Hadi, PAS tidak boleh dipaksa melanggar piagam MN hanya untuk bersama Umno sahaja dan menolak parti lain.
Beliau mengingatkan PAS, Umno dan Bersatu dapat menjadi kerajaan dengan penyatuan tiga parti Melayu, dan asas itu mesti dipertahankan.
“Kita telah meterai piagam MN dan ia tidak terhad PAS dengan Umno sahaja, ia termasuk parti lain khusus Bersatu yang kita jemput untuk sertai MN… ini dalam piagam, sebab itu PAS tidak boleh dipaksa melanggar muafakat ini,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, PAS tidak dapat menerima muafakat itu hanya dengan sahaja sebaliknya parti Islam itu fleksibel menerima parti bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Kita sudah capai kejayaan sehingga ambil kerajaan dan ini perlu dipertahankan,” katanya. – 6 November, 2021.
UmNO tikam Bersatu lawang PKR ..kahkahkah. Selagi Najib, Zahid, Azeez, Teukui, Tok Mat Asan masih bebas ini lah jadi nya ..gwa harap sgt, mende ni akan berterusang hingga PRU nanti. Akhir nye Abam akan jadi PM ..tapi dengan syarat pistol atau pisang Abam kena tukar ..hal tukar pistol lu boley tanye Tambee Cheek ..
BalasPadam