Hartanah RM100 juta Najib, DAP mahu wakil rakyat Pakatan undi tolak keputusan
AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) didesak supaya mengundi membantah keputusan Kabinet untuk meluluskan secara dasar pemberian hartanah bernilai RM100 juta kepada bekas perdana menteri Najib Razak, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu mencadangkan yang ahli Parlimen PH meminta pengundian belah bahagi diadakan pada Isnin apabila Dewan Rakyat kembali bersidang bagi membantah permohonan Najib yang didedahkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz awal minggu ini.
Pengundian terhadap Jabatan Perdana Menteri bermula apabila dewan mula membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada peringkat jawatankuasa.
Walaupun Najib sudah menarik balik permohonan itu, Lim berkata keputusan asal Kabinet untuk meluluskannya masih berkuatkuasa.
“(Ia) perlu dibatalkan,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
“Keputusan Kabinet untuk memberikan hartanah RM100 juta kepada Najib jelas sekali salah dan menyebabkan kemarahan awam memuncak terhadap kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri.
“Keputusan itu mempersendakan konsep Keluarga Malaysianya kerana hanya memanfaatkan keluarga politik terdekat mereka dan bukannya semua rakyat Malaysia,” kata Lim yang juga ahli Parlimen Bagan dan bekas menteri kewangan itu.
Tambahnya, walaupun Najib sudah menarik balik permohonan itu buat masa sekarang, ia dibuat atas sebab politik dan tiada jaminan beliau tidak akan membuat permohonan semula nanti.
Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat yang Kabinet menerima permohonan Najib kepada kerajaan bagi hartanah bernilai RM100 juta tetapi tidak mengesahkan jika Kabinet sudah membuat keputusan mengenainya.
Susulan pendedahan yang menimbulkan kemarahan negara itu, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet hanya bersetuju pada dasarnya, tetapi keputusan muktamad masih belum dibuat.
Permohonan Najib selaras dengan imbuhan saran untuk bekas perdana menteri, termaktub di bawah Akta (Saraan) Ahli Parlimen 1980.
Menurutnya, beliau membuat permohonan itu setahun selepas Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum 2018.
Berita pemberian hartanah RM100 juta itu mencetuskan kemarahan rakyat kerana Najib sudah disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah Amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta SRC International, anak syarikat 1MDB.
Semalam, menerusi lintas langsung disiarkan di Facebooknya, Najib mengumumkan beliau sudah menarik balik permohonan itu kerana “rakyat tidak selesa”.
Tambah Lim lagi, wakil rakyat PH juga patut mengundi untuk menolak dua perkara lagi berkaitan Jabatan Perdana Menteri.
Isu pertama adalah peruntukan tidak mencukupi dan tidak adil dalam Bajet 2022 untuk Sabah dan Sarawak serta peruntukan berasaskan kaum.
Isu kedua adalah keengganan Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang hanya berakhir di Johor Bahru dan bukannya Singapura.
“Ini adalah tidak praktikal dan tidak berdaya maju secara kewangan kerana ia akan menghalang manfaat ekonomi kepada negeri Melaka, Johor, Selangor dan Negeri Selangor dengan HSR berakhir di Singapura,” kata Lim. – 20 November, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan