Khamis, 16 Disember 2021

AKHIRNYA KETUM & GANJA DIBINCANG UNTUK PENDENGARAN UMUM


AKHIRNYA

KETUM & GANJA 

DIBINCANG UNTUK

PENDENGARAN AWAM

AMIN


Beberapa tahun kebelakangan ini, kanabis perubatan sedang menjadi topik hangat yang diperbincangkan di seluruh dunia. Penggunaan terapeutik kanabisperubatan yang semakin meningkat telah mendorong banyak negara untuk menghalalkan statusnya. Negara-negara seperti Thailand, Korea Selatan dan Jepun yang sememangnya tegas terhadap bahan narkotik telah mengubah nada mereka terhadap kanabis. Namun harus diingat, di kebanyakan negara-negara Asia lain penanaman dan penggunaan kanabis masih lagi salah dari sudut undang-undang.

Walau bagaimanapu, Malaysia baru-baru ini telah mengambil pendekatan yang lebih fleksibel berkenaan kanabis, menyedari akan prospek dan potensi kanabis dalam perubatan. .

Seminar ini bertujuan untuk memberi gambaran menyeluruh yang terkini berkenaan kanabis perubatan dan ketum di Malaysia dari perspektif undang-undang dan keselamatan di platform nasional dan antarabangsa. Selain itu, seminar ini juga akan membincangkan faedah-faedah yang boleh diperoleh daripada kanabis dari sudut perubatan dan saintifik dan penyelidikan yang sedang dijalankan ke atas kanabis dan ketum di peringkat global, dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan penggunaan tumbuhan ini dalam perubatan.

Kanabis mengandungi bahan aktif delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD)—iaitu dua kanabinoid yang paling banyak dalam kebanyakan strain, bersama-sama dengan lebih 400 entiti kimia lain yang mana lebih daripada 60 daripadanya adalah sebatian kanabinoid.

 Walaupun THC telah dikenal pastisebagai sebatian psikoaktif utama, CBD pula telah mencetuskan minat penyelidik untuk mengkajinya dengan lebih lanjut kerana ia tidak mempunyai sifat psikoaktif sebagaimana THC. Kajian juga mendapati bahawa CBD mempunyai pelbagai kegunaan perubatan, termasuk antiepileptik, antinociceptive, antikanser, anxiolytic, antipsikotik, antikeradangan, di samping ia memberikan kesan neuroprotektif.

Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kajihayat (SBS) USM sedang berusaha untuk menjadi peneraju dalam membangun industri kanabis dan menjadi Pusat Kawalan Kebangsaan bagi kanabis perubatan—bermula dengan pelaksanaan perladangan dalam bangunan, pembekalan benih dan ekstrak mentah, penyelidikan saintifik hinggalah kepada pembangunan produk untuk tujuan terapeutik. 

Tanggungjawab ini akan dilaksakan merangkumi pertumbuhan dan penggunaan tumbuhan, pengawalan hasil termasuk produk sampingannya akan dipantau secara telus, terkawal oleh pihak berkuasa dengan mengaplikasikan teknologi dan data besar (big data), analitik, kepintaran buatan dan teknologi rantaian blok (blockchain).

Sekiranya kanabis perubatan di Malaysia disahkan (legalization), secara tidak langsung akan meletakkan negara di platform antarabangsa seterusnya akan memperluaskan skop daya saing dan pencapaian Malaysia. Dapatan daripada penyelidikan saintifik yang telah dijalankan berpotensi untuk merapatkan jurang antara kefahaman umum berkenaan kanabis dan manfaat perubatan yang boleh dikecapi manusia sejagat. 

Formulasi CBD baharu akan memberi sedikit harapan kepada rawatan lebih berkesan untuk penyakit seperti epilepsi, neuropati, sakit nosiseptif dan penyelidikan merawat kanser masih diteruskan untuk mengenal pasti potensinya . 

Penghasilan induk kanabis transgenik dan sistem kultur tisu tumbuhan sebagai kaedah pembiakan mikro akan diguna pakai bagi memastikan standard kualiti tumbuhan adalah bebas THC (<0.3%) tetapi mempunyai kandungan CBD yang tinggi dapat dikekalkan. Selain itu, genomik benih dan anak pokok yang seragam dan dalam masa yang sama menghasilkan pokok yang mendatangkan hasil tuaian yang tinggi juga dicadangkan. 

Seminar ini juga akan menjadi panduan bagi memastikan keputusan yang tepat dapat dibuat dalam usaha mengurangkan risiko penyalahgunaan tumbuhan dalam menentukan keupayaan industri kanabis untuk memberikan rangsangan kepada pelbagai sektor ekonomi Malaysia terutamanya industri pertanian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan