Cadangan gabung PKR, Amanah belum dibincang, kata Anwar
CADANGAN rasmi untuk menggabungkan PKR dan Amanah sudahpun dikemukakan kepada pemimpin parti tapi masih belum dibincangkan, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan mengulas cadangan itu yang timbul selepas kedudukannya itu dipersoal ekoran prestasi hambar gabungan berkenaan dalam pilihan raya negeri Melaka bulan lalu.
“Apa pun pandangan kita dengar, kita bincang. Tak ada masalah. Tapi belum lagi sampai ke peringkat itu,” katanya ketika ditanya pemberita di Shah Alam hari ini.
Ditanya sekiranya para pemimpin parti maklum dengan perkara itu, Anwar mengiyakannya.
“Cadangan dikemukakan dan dalam pengetahuan para pemimpin,” katanya.
Cadangan itu antara lain disebut wakil rakyat PKR Najwan Halimi yang berpandangan parti tersebut dan juga Amanah patut menjadi parti tunggal.
Bekas ketua pergerakan Pemuda PKR Selangor itu berpendapat, langkah itu akan melonjak sokongan dan keyakinan rakyat khususnya pengundi Melayu luar bandar.
Selain itu, ia juga akan menguatkan jentera PKR dan Amanah akar umbi selain membantu menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya, katanya.
PH bertanding di kesemua 28 kerusi dalam pilihan raya negeri tapi hanya menang lima.
PKR tewas di kesemua 11 kerusi yang ditandingi, DAP menang empat manakala Amanah meraih satu kerusi.
Kekalahan itu antara lain dikaitkan dengan tindakan PKR untuk menerima wakil rakyat yang sebelum ini mengkhianati Pakatan untuk bertanding dalam PRN tersebut.
Susulan itu, timbul gesaan dari DAP agar Anwar tidak lagi dinamakan sebagai calon tunggal PH bagi jawatan perdana menteri dan berundur dari jawatan ketua pembangkang.– 1 Disember, 2021
.
Kalu mat sabu setuju,tggal dia sorg2 le gantung bendera pru15. Dlm amanah byk ex pas,ex umno.nie sume Anwar nak dictate amanah.padan muka le Kome amanah pun.camne Khalid samad, xnak tanya Anwar bila nak brenti.dulu sedap benor pressure atok.
BalasPadam