Pemuda Bersatu gesa Rosmah dibawa pulang dari Singapura
PEMUDA Bersatu akan membuat laporan polis bagi memohon pasport Rosmah Mansor dibatalkan dan beliau dibawa pulang dari Singapura selepas gagal kembali ke Malaysia pada 21 November seterusnya menghadiri perbicaraan mahkamah pada 2 Disember.
Ketua penerangannya Mohd Ashraf Mustaqim berkata laporan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini.
“Terang-terang dia telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan pada sistem keadilan negara,” katanya menerusi jemputan kepada media.
Rosmah masih berada Singapura untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa, yang baru bersalin pada 1 November lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu membenarkan permohonan beliau bagi mendapatkan semula pasportnya untuk ke Singapura.
Rosmah bagaimanapun hanya dibenarkan ke republik itu dari 22 Oktober dan perlu pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021. – 4 Disember, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan