Bekas kakitangan dalam usaha gugur 6 tuduhan Anwar dalam saman serangan seksual
Bekas kakitangan Anwar Ibrahim yang memfailkan saman serangan seksual terhadap presiden PKR itu dalam usaha memohon mahkamah menggugurkan enam tuduhan terhadapnya, termasuk kenyataan yang menyebut dua individu yang kini sudah meninggal dunia.
Muhammed Yusoff Rawther dalam pemfailan bagi menggugurkan beberapa perenggan daripada keterangan pembelaan Anwar September lalu berkata dakwaan itu adalah “tidak berasas, tidak relevan dan bercanggah dengan prinsip undang-undang”.
“Tuntutan balas defendan adalah bersifat spekulatif; adalah kabur, serba kekurangan dari segi kejelasan dan butiran; tidak mengenal pasti kausa tindakan apatah lagi satu kausa tindakan yang munasabah.”
Antara tuduhan yang dikemukakan Anwar termasuk dakwaan datuk kepada Yusoff, aktivis terkenal hak pengguna yang meninggal dunia pada 2019, SM Mohamed Idris mengatakan cucunya itu mempunyai isu disiplin dan meminta Anwar memberikan kerja kepadanya dengan harapan “kelakuan Yusoff akan berubah”.
Yusoff turut memohon mahkamah untuk menggugurkan satu perenggan yang mengatakan beliau menyalahgunakan dana milik seorang kakitangan kanan di pejabat Anwar yang kini sudah meninggal dunia, selain dakwaan yang mengatakan Yusoff adalah seorang yang “pro-Israel”.
Beliau berkata kandungan keterangan balas Anwar itu bukan sahaja gagal untuk menjawab dakwaan serangan seksual terhadapnya “bahkan ia juga tidak relevan”, sambil menambah dakwaan dilakukan sebagai percubaan mengelirukan mahkamah dan mengelak daripada saman itu diteruskan.
Yusoff turut mempersoalkan kekurangan perincian ketika Anwar mengatakannya “telah bekerjasama dengan beberapa individu”.
“Tambahan pula, identiti dan peranan-peranan individu atau individu-individu tersebut tidak diplidkan.”
Pada 15 Julai, Yusoff, 28, memfailkan saman mengandungi butiran-butiran terperinci mengenai insiden yang berlaku di kediaman Anwar di Bukit Segambut.
Beliau berkata insiden itu berlaku 10 hari sebelum Anwar memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 13 Oktober 2018.
Beliau memohon deklarasi mahkamah bahawa Anwar melakukan serangan seksual, selain menuntut ganti rugi umum, teladan dan teruk bagi trauma dialaminya selain gangguan fizikal, psikologi dan sosial akibat insiden tersebut.
Yusoff pertama kali membuat tuduhan terhadap Anwar dalam sebuah akuan bersumpah pada November 2019 dengan disusuli sebuah laporan polis.
Sepanjang siasatan oleh Bukit Aman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi jenayah kekerasan dan cabul, polis menjalankan ujian poligraf selama empat jam terhadap Yusoff.
Bagaimanapun, Anwar enggan menjalani ujian yang sama.
Pada 14 Januari 2020, Pejabat Peguam Negara yang diketuai oleh Tommy Thomas ketika itu berkata ia tidak akan membuat sebarang pertuduhan terhadap Anwar berikutan “kekurangan bukti” dan “beberapa percanggahan” fakta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan