Seingat aku ketika keluarga kami tinggal di rumah guru di Sekolah Tapak – kami sentiasa ada concorong. Ini nama asal radio. Ini aku rasa dalam tahun 1955. Kemudian concorong dipanggil radio.
Ketika itu kami ada radio berjenama Grundig buatan German. Radio ini menggunakan bateri air – sama seperti bateri kereta sekarang. Juga memerlukan wire antena yang dipasang ke bumbung atap untuk mendapat pancangan gelombang yang jelas.
Mengikut surah Emak di zaman Jepun tak ada siapa boleh mendengar radio. Jika diketahui oleh Kempeitai Jepun ‘ kepaara potong’. Jepun melarang orang ramai mengetahui maklumat. Jepun takut orang ramai tahu tentang kejayaan Tentera Berikat membedil Jepun.
Sesudah Jepun kalah perang , Tanah Melayu kembali menjadi tanah jajahan Inggeris. Di zaman Inggeris ini juga tidak ramai rumah yang memiliki radio. Mungkin harga sebuah radio agak mahal. Juga budaya moden belum lagi sampai ke pendalaman seperti Kampung Tengah.
Di Kampung Tengah yang ada radio hanya Tok Sudin bekas sarjan polis. Tok Sudin ini menjadi punca sumber maklumat.
Radio di rumah kami di Tapak diuruskan oleh Kak Lang aku. Dia yang tahu stesen, waktu dan rancangan apa. Kak Lang aku tahu sama ada bateri ada lagi atau dah kering. Jika bateri habis ertinya satu minggu kami tak mendengar radio. Emak wajib berbasikal 5 batu ke Padang Lebar untuk menambah air bateri dari Panjang – towkay Cina pemilik kedai.
Melalui Grundig ini aku mula berkenalan dengan R. Azmi, Momok Latiff dan Rokiah. Nama seperti P.Ramlee dan Kasma Booty dan Normadiah telah mula juga aku dengar.
Pada tahun 1955 keluarga aku pindah ke Kuala Klawang Jelebu. Radio Grundig mengikut sama. Kemudian kami membeli radio Grundig baru. Kali ini memakai Grundig memakai bateri kering.
Nama penyanyi yang aku kenali juga makin bertambah. Aku mula kenal dengan Oslan Husin, M Bakri , S. Effendi - mereka penyanyi dari Indonesia. Juga penyanyi perempuan Titiek Puspa.
Penyanyi lagu Orang Putih aku tak tahu. Tapi aku teringat Kak Lang aku melekatkan gambar Ricky Nelson pada dinding rumah. Siapa Mamat Ricky ini aku tak tahu.
Aku ada terbaca dalam Utusan Melayu tentang Nat King Cole penyanyi kulit hitam dari Amerika. Rencana tentang penyanyi ‘orang hitam ‘ di Utusan Melayu ini membuka fikrah aku.
Apabila kami berpindah ke Kampung Batu Serambai Ulu Klawang pertama kali aku berkenalan dengan alat muzik dan pancaragam. Di Kampung Batu Serambai ada Pancaragam Lambaian Desa.
Aku melihat biola, gitar, marakesh, bonggo, tamborin dan orkidion. Lambaian Desa ini di pimpin oleh Cik Gu Jaaman Abu. Cik Gu yang memperkenalkan aku dengan sajak Aku dan Khairil Anwar. Cik Gu Jaaman ini mengesek biola dengan ranum.
Sebulan sekali di waktu malam dalam kedai kosong depan sekolah lampu gas akan dipasang. Ini tanda Lambaian Desa akan menjalankan latihan. Kami budak-budak kampung akan menebeng mendengar Abang dan Pak Cik bermain muzik. Pagi memotong getah , petang ke sawah dan sebelah malam Abang dan Pak Cik main muzik.
Biasanya Pancaragam Lambaian Desa dapat jemputan bermain ketika ada perkahwinan di sekitar Ulu Klawang.
Pada tahun 1964 - ketika aku dalam tingkatan 1 dalam Sekolah Menengah Undang Jelebu - aku terbaca dalam akhbar Berita Harian tentang empat anak muda pemuzik di kejar oleh peminat. Aku ternampak gambar empat anak muda yang berambut panjang sedang disisir rambut oleh Mak Adam yang muda bergetah.
Tahun 1964 ini juga aku mendengar dari radio lagu Oh Suzanna oleh M. Osman. Mata dan telinga aku mula terbuka. Aku merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku. Aku tidak tahu apa tapi inilah perasaan aku.
Dalam tahun ini juga filem A Hard Day’s Nite keluar. Heboh. Semua heboh tentang The Beatles. Empat orang anak muda berambut panjang dari Liverpool bermain tiga gitar dan satu dram sedang mengubah bunyi muzik. Filem ini tentang mereka.
Di sekolah aku terdengar suara seorang pelajar menyanyi : Deko abaeto kushki nahi akabar - ini lirik I want To Hold Your Hard lagu The Beatles versi Hindustani.
Tertiba aku ternampak kain rentang The Beatles of Malaysia akan bermain di Ruby Theatre Kuala Klawang. Hebat. Beatles ini memang hebat.
Aku dengar ada empat orang anak Orang Putih yang berambut panjang dari Singapura menjadi The Beatles. Mereka main gitar, pukul dram dan menyanyi. Tapi aku tak ada modal nak menuntun.
Selepas The Beatles muncul pula Elvis of Malaysia di Ruby Theatre. Rocky Teoh anak muda dari Ipoh membawa rock n roll ke Kuala Klawang. Aku yang tak ada modal hanya melihat pintu panggung.
Tahun 1966 dunia anak muda Melayu gempar. A Ramlie dan The Rythm Boys meledak dengan lagu Oh Fatimah dan Kenangan Mengusik Jiwa. Salamah Basiron – Minah pembuat lagu ini menjadi buah mulut anak muda. Macam mana rupa si Salamah ini aku tidak pernah melihat. Tetapi namanya di bibir anak muda.
Dari segi sejarah anak muda Melayu Singapura dan Johor memulakan gelombang Pop Yeah Yeah. Jeffrey Din dengan The Siglap Five, The Clan, Kassim Selamat dengan The Swallows. A. Rahman Hasan dengan Orkes Nirvana. A. Halim dengan De Fiction. A. Rahman Onn, S. Mariam dan penyanyi buta S. Jibeng muncul menggelorakan budaya anak muda.
Pop Yeah Yeah dan rock n roll sedang menggoncang Tanah Melayu.
Tahun 1967 aku diterima menjadi warga asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu. Aku telah membawa sebuah radio transistor plastik dengan dua bateri kering ke asrama. Sabtu malam Ahad warga asrama akan duduk di tangga hostel untuk mengikuti gelombang Radio Singapura, Rancangan paling hot dan paling cool PPMI - Penyanyi Pujaan Minggu Ini.
MIA – bukan missing in action – tapi Muhamad Ismail Abdullah pengacara rancangan 1 jam ini menjadi nama sebutan seluruh anak muda yang merayakan kemudaan mereka. Anak muda yang memiliki hormat diri pasti tahu dan mengikuti perkembangan muzik pop.
Aku masih ingat lagi dalam masa yang sama saluran Inggeris juga ada rancangan Top of The Pop. Tan Swee Liong menjadi juruhebahnya. Program ini muncul pada pagi Sabtu.
Sesekali aku ikuti juga Tan Swee Liong tapi tidak seperti mengikuti Muhamed Ismail Abdulalh dari Radio Singapura bahagian Melayu.
Muhamed Ismail Abdullah ialah sosok yang memperkenalkan perkataan KUGIRAN – kumpulan gitar rancak - melalui rancangan popular PPMI - Penyanyi Pujaan Minggu Ini.
Ketika itu pada hemat aku hanya anak muda bergenre Mat Lebai dan Mat Bendul yang tidak tahu siapa itu Jeffey Din, S. Jibeng, Kassim Selamat atau John Lennon. Mat Bendul juga pasti tidak pernah terbaca berita tentang S. Mariam yang mini skirt nya mengancamkan kejantanan.
Pada satu hari aku sampai ke Seremban. Bandar ini amat besar untuk aku – anak kampung dari Jelebu. Aku ke Seremban naik Bas Lim warna hijau. Tambangnya 80sen. Satu jam perjalanan dari Kuala Klawang ke Seremban.
Khidmat bas Kuala Klawang – Seremban ini satu jam sekali. Bermula dari jam 7 pagi dan bas terakhir dari Kuala Klawang jam 6.30 petang.
Aku membuka mata melihat betapa banyak bas di stesen bas Seremban. Bas Utam Singh ke Port Dickson. Bas Union ke Kuala Pilah. Ada bas Foh Up ke Kuala Lumpur. Bas Ganasan. Bas Eng Giap dan Southern ke Tampin Melaka dan bas Lim ke Kuala Klawang.
Semua ini menyedarkan aku bahawa Seremban ini pusat dan bandar besar.
Di belakang stesen bas ada kedai menjual itu dan ini. Kedai ini juga ada menjual surat khabar dan majalah.
Di Kuala Klawang ada kedai serupa ini – S. Dawood – tapi kedai di Seremban ini lebih banyak bahan pilihan untuk dibaca. Maka di kedai ini aku bertemu kali pertama dengan Majalah Fab 208.
Fab 208 adalah majalah muzik pop dan berita dan gosip tentang kugiran United Kingdom. Aku membeli senaskah – 1.80 sen – agak mahal untuk aku. Tetapi aku bertekad untuk merayakan kemudaan dan rock n roll maka aku sanggup mengeluarkan duit sebanyak itu.
Dari FB208 aku membaca berita Mick Jagger dan Marianne Faithfull. Aku membaca dan mengenal kugiran The Tremeloes. Juga kugiran Herman’s Hermits. Baru aku sedar selain dari The Beatles dan Rolling Stones ada puluhan ratus lagi kugiran yang wujud di United Kingdom.
Aku tidak menjadi pembaca Fab208 yang setia. Pertama di Kuala Klawang majalah mingguan ini tidak ada dijual.
Sesekali bila ada sesiapa nak ke Seremban aku akan meminta dibelikan Fab208. Dari majalah FAB208 minda aku mula menjangkau jauh keluar memecah bonsai minda Melayu.
Di Kuala Klawang di sebelah hadapan panggung Ruby Theater adalah tanah lapang. Disini setiap tahun akan ada pertunjukan Fun Fair. Kadang kadang setahun dua kali.
Fun Fair ini bukan satu yang istimewa. Mainan tikam menikam. Muzik dan joget moden. Main judi yang dibolehkan. Tapi akan meledak menjadi super hebat apabila ada penyanyi pop akan datang khusus di bawa ke fun fair untuk membuat persembahan.
Tiket masuk berharga 40 sen satu kepala. Tetapi apabila ada penyanyi pop atau bintang filem datang maka harga akan dinaikkan ke 1.50 RM.
Aku ingat lagi tahun 1967-68 fun fair kerap datang ke Kuala Klawang. Towkay fun fair ini akan membawa datang penyanyi Pop Yeah Yeah dan bintang filem dari Singapura.
Aku ingat lagi ditahun-tahun ini aku dapat melihat A.Ramlee, Jefrey Din, M. Ishak , S. Mariam, A.Rahman Hasan. Mereka datang membuat persembahan di fun fair Kuala Klawang.
Malah satu malam aku sendiri telah pergi ke belakang pentas untuk bertegur sapa dan meminta Eddie Ahmad yang dikenali dengan lagu Aduh Seroja menanda tangani buku autograf aku.
Penyanyi buat S. Jibeng tidak pernah sampai ke Jelebu. Tapi ada kawan seasrama yang pergi ke Seremban untuk melihat konsert S. Jibeng. Kawan aku telah membawa buku autograf untuk di tanda tangani. Tetapi S. Jibeng tidak menanda tangan . S. Jibeng meletakkan cap mohor S. JIbeng dengan ucapan selamat berkenalan.
Sesekali bintang filem dari Singapura ada juga datang. Di Fun fair ini aku sempat melihat Normadiah, Rahmah Rahmat dan Hashimah Yon.
Tahun 1967/68 ketika aku di hostel aku kerap membeli FAB208. Melalui majalah ini aku mula mengikuti perkembangan muzik luar negara terutama muzik pop Inggeris terkini . Transistor kecil aku memainkan peranan amat penting. Dari transistor inilah aku mendengar pelbagai lagu Inggeris dan Melayu yang popular ketika itu.
Aku mula mengenal Procul Harum dengan lagu A Whiter Shades of Pales. Aku amat tertarik dengan kugiran Herman’s Hermit. Aku menjadi hafiz kepada lagu Bus Stop Herman’ Hermit.
Aku mula melihat ada gelombang anak muda. Tapi penglihatan dan pemahaman aku tidak teratur dan jelas. Aku belum memahami gelombang ‘ counter culture’ – dari anak muda berambut panjang.
Sebenarnya ketika ini anak muda Eropah telah memulakan gerakan counter culture – menolak gaya hidup ibu bapa mereka. Anak muda di Barat merasa bosan dengan cara hidup lama mereka. Maka muncul dengan gerakan Hippies.
Hippies ini digambarkan dengan elegan sekali melalui lagu San Francisco oleh Scott McKenzie yang keluar dalam tahun 1967.
Tahun 1968 ketika aku dalam tingkatan lima untuk merakamkan sejarah kemudaan aku : bersama tiga rakan seasrama telah bergambar dan berlagak. Kami berempat telah memanggil diri kami D’ Duanders – tidak ada apa apa makna. Kami berlagak seolah-olah kami satu kumpulan gitar rancak bernama D’ Duanders.
Ketika ini kugiran tumbuh macam cendawan selepas hujan. Bila ada empat remaja mereka akan menjadi satu kugiran. Di Jelebu – di setiap kampung ada kugiran. Di pekan Kuala Klawang muncul kugiran The Byrds yang aku sendiri menjadi pengikut setianya.
Tahun 1968 aku wajib mengambil peperiksaan akhir Senior Cambrigde dan Malaysia Certifivcate of Educataion ( SC/MCE). Bayangkan bagaimana susah dan payahnya untuk seorang anak muda yang sedang meremaja untuk mengatur waktu belajar yang bertembung dengan pelbagai tarikan Pop Yeah Yeah.
Aku sedar aku wajib bersedia untuk diperiksa. Maka aku dengan alim telah menelaah buku siang dan malam.
Pada 5 April 1968 aku terbaca berita pembunuhan Dr Martin Luther King di Memphis Amerika. Amerika meledak. Warga kulit hitam turun ke jalan raya memberontak atas kematian pemimpin mereka.
Pada 3 Mei 1968 kota Paris pula meledak. Kali ini anak -anak muda berambut panjang keluar ke jalan raya.
Aku membaca berita-berita ini di akhbar. Tapi aku tidak mengetahui isi berita ini secara mendalam. Aku tahu anak muda turun ke jalan raya di Paris tapi aku tidak tahu sebab musabab.
Ketika ini aku sedang alim membuat persediaan untuk mengambil peperiksaan SC/MCE. (TT)
TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM
PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/09/08/dari-cencorong-ke-pop-yeah-yeah/