Mahkamah Persekutuan tolak rayuan MAIS
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor yang merayu kes berkaitan penukaran agama Islam secara unilateral tiga beradik.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi memutuskan penukaran agama Islam mereka yang dilakukan oleh bapa mereka yang telah memeluk Islam adalah tidak sah.
Hari ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan MAIS untuk mengembalikan semula status penukaran agama adik beradik itu yang Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkannya sebagai tidak sah.
“Isu yang kita hadapi hari ini telah diselesaikan sebelum ini dalam kes M Indira Gandhi pada tahun 2018 yang mana mahkamah telah memutuskan perlu ada persetujuan ibu dan bapa bagi menukar agama kanak-kanak,” katanya.
Turut bersidang, Datuk Vernon Ong dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.
Sebelum ini 29 September 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan saman yang dikemukakan oleh si ibu untuk mengisytiharkan penukaran agama Islam anak-anaknya adalah tidak sah dan pemelukan agama itu tidak boleh didaftarkan oleh Ketua Pendaftar Muallaf Selangor.
Mahkamah Tinggi juga memutuskan ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes penukaran agama anak-anak guru tadika, M. Indira Gandhi.
Untuk makluman dalam kes Indira, Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah memutuskan persetujuan ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak kepada Islam.
Manakala kes yang dibawa oleh MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor pula, bapa dan anak-anaknya telah memeluk Islam di sebuah masjid di Selangor pada Mac 2016.
Lelaki itu kemudian membawa ketiga-anaknya ke Yayasan Pusat Hidayah di Taman Melawati untuk mengisi borang yang mengandungi maklumat pemelukan mereka ke agama Islam.
Manakala ibu tiga kanak-kanak itu yang beragama Hindu yang telah berpisah dengan suaminya, mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai pemelukan agama Islam oleh ketiga-tiga anaknya malah ketiga-tiga anaknya juga tidak bersetuju memeluk agama Islam.
Wanita itu kemudian bersama anak-anaknya telah memfailkan saman itu pada April 2018 terhadap bapa kanak-kanak itu, Ketua Pendaftar Muallaf Selangor, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Malaysia. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan