Bersatu, PAS ingatkan Umno, sokong kerajaan bersyarat
BERSATU dan PAS mengingatkan Umno bahawa sokongan ke atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetuai pentadbiran pada waktu ini hanyalah bersyarat.
Kenyataan itu muncul selepas Umno menggerakkan usaha membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor minggu lalu untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan Umno agar sokongan yang diberikan parti itu harus dihormati.
“Sokongan PAS dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati, dan dirundingi di atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan,” kata mereka.
Dalam resolusi muzakarah itu, Bersatu dan PAS turut melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik pihak tertentu yang menurut mereka menutup pintu perpaduan.
“Ia menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat,” tegas kedua-duanya yang merujuk usaha Umno mengadakan pilihan raya negeri Johor.
Kenyataan itu dikeluarkan dalam sidang media khas selepas muzakarah Bersatu dan PAS di Glenmarie, Shah Alam, hari ini.
Bersatu dan PAS menyokong Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno menjadi perdana menteri selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin hilang majoriti.
Muhyiddin pada Ogos tahun lalu berkata, kesemua ahli Parlimen tersebut termasuklah 31 ahli Parlimen mewakili bersatu, 18 PAS, satu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan empat bebas pro-PN. – 29 Januari, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan