Rabu, 12 Januari 2022

SIMPANG PERTANG DI BOM

 



SIMPANG PERTANG

DI BOM


Ingatan itu masih jelas lagi. Hanya aku tak tahu  ketika itu umur aku berapa  – mungkin empat tahun – mungkin lima tahun.  Tapi aku pasti ketika itu  Cik Gu Zaleha  Sidek mengajar di Sekolah Tapak.  Keluarga kami  duduk di rumah  guru.

Di sebelah kiri  di hadapan rumah guru ialah pokok kuinin. Pokok ini menjadi  tanda permulaan padang sekolah. Di hadapan padang sekolah  ialah kolam ikan yang bersempadan dengan kebun tebu dan kebun sayur rumah dan kedai runcit  milik Haji Hasan dan isterinya Sawi.

Di belakang sebelah kiri sekolah ialah kawasan kampung. Di sebelah kanan  ialah kebun getah yang membawa ke  masuk ke hutan rimba dara tropika yang aku tak berani meneroka. Aku hanya melihat dari jauh. 

Dari hutan rimba bukit bukau ada air terjun kecil yang akhirnya menjadi laluan  sebatang anak sungai yang  melintas di belakang rumah kami. Anak sungai ini mengalir masuk ke Batang Muar.

Tidak jauh dari sekolah ialah gedung  mesin padi yang memberi khidmat untuk penanam padi  di sekitar Tapak, Majau, Tengkek dan Kampung Tengah. Di sebelah mesin padi Kedai Amat – kedai runcit  memberi khidmat untuk orang Tapak. Juga sebuah kedai kopi.

Jauh di hadapan  rumah  aku dan sekolah ialah  kawasan sawah padi dan kawasan kampung. Di waktu petang jika aku duduk di atas tangga batu  rumah - aku nampak kawasan padi luas terbentang. Sawah-sawah ini  di sempadani oleh hutan  hijau yang semakin jauh  semakin meninggi menjadi bukit bukau hutan rimba bergunung  ganang. Warna gunung ganang ini berubah  menjadi biru. 


Mengikut Emak aku di belakang bukit bukau gunung ganang ialah Simpang Pertang dalam  daerah Jelebu.  Aku tahu sangat Simpang Pertang. Setiap kali keluarga kami pergi  melawat Wan Timah di Kampung Chenor Jelebu kami akan  melintas Simpang dan  Pertang dari  Batu Kikir.

Ada dua pekan kecil   - Simpang dan Pertang -  yang jaraknya tujuh batu antara satu dengan lain. Simpang ialah simpang pertemuan tiga jalan dari Kuala Klawang. Kiri ke Karak Pahang. Kanan ke Batu  Kikir  Kuala Pilah.  Manakala Pertang jalan simpang ke Kampung Geylang – perkampungan Melayu dan  Sakai.


Pertang dan Simpang kampung  penempatan  Orang China yang menjadi pekan kecil dengan sederet kedai papan.  Apa yang  menonjol  di  Pertang dan Simpang ada Rumah Pasung  yang besar dan ramai mata-mata terang dan mata-mata gelap.

Dua daerah ini adalah kawasan panas. Wilayah ini termasuk dalam daerah operasi gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM). Kawasan ini di kawal rapi oleh soldadu Gurkha dari pekan Kuala Klawang.

Ketika aku membesar di  Tengkek dan Jelebu aku tidak menyedari bahawa ketika aku memerhati sekeliling  dan  merakamkan babak-babak ini untuk menjadi ingatan Tanah Melayu dalam Darurat.

Kuasa kolonial Inggeris telah mengisytiharkan Darurat ke atas Tanah Melayu  pada 16 Jun 1948 – tiga tahun sebelum aku lahir. Ini menjadikan aku  Anak  Darurat dan Anak Kolonial Inggeris.

Aku tidak faham apa yang sedang berlaku di sekeliling aku. Hakikatnya semua kejadian  adalah manifestasi dari Darurat. 

Rumah Cik Gu Zaleha ada radio bateri basah. Satu hari aku terdengar warta berita jam 1.00 tengah hari  dari Radio Malaya Kuala Lumpur.  Berita  dari radio melaporkan tentera udara Inggeris telah  mengebom  Simpang Pertang.

‘ Mak ... bom tu sampai ke kampung Chenor ke....’ Aku bertanya kerana  Kampung Chenor hanya belasan  batu dari Simpang Pertang.

‘ Bom dalam utan...  Orang Putih  bom komunis...’  Emak aku memberi penjelasan.

Petang itu aku duduk di tangga. Mata aku mengarah ke gunung ganang biru – mengarah ke Simpang Pertang.  Aku memandang ke langit dengan harapan akan ternampak kapal terbang yang sedang menggugurkan bom. 

Harapan aku ini bersandarkan berita dari Radio Malaya.

Dalam kepala tergambar kedai-kedai papan di Simpang habis runtuh kena bom. Mungkin juga terbakar. Aku belum pernah melihat gambar kampung kena bom jauh sekali merasainya. 

Semua ini adalah manifestasi   Darurat.

Satu hari aku mendengar berita. Emak aku bercerita  dari surah yang didengar dari Cik Gu di Sekolah Tapak.  Cerita ini mengesahkan  bagaimana seorang Mamat Orang Kampung didatangi oleh seorang lelaki China yang meresap  muncul  secara tiba-tiba dari tepi hutan.   Orang kampung sedang bekerja dalam kebun getah. 

Kesah ini berlaku di Kampung  Guntur Tengkek tak jauh dari   perkampungan Sakai.

Mamat ini terperanjat   dan takut -  tak tahu siapa jantan  China ini. Bila ditanya baru di ketahui bahawa jantan China ini adalah seorang  gerila  Komunis yang ingin menyerah diri.

‘ Bila ada komunis serenda  diri.... kita dapat hadiah...’ Emak aku menerangkan.

‘ Serenda ni apa... pasal apa  dapat hadiah...’ Aku bertanya.

‘ Serenda ni dia serah diri... tak mahu lagi jadi komunis ...orang yang jumpa komunis itu dapat 2000 ringgit... ‘ Penjelasan dari Emak.

‘ Sapa bagi duit..’

‘ Gamin Inggeris .... bagi duit... pada sesiapa yang berjaya bawak komunis serah diri...’ Penjelasan tuntas dari Cik Gu Zaleha.

Kesah gerila komunis serah diri kemudian dapat duit 2000 ringgit melekat dalam kepala aku.

Kemudian bila kami pindah ke Jelebu kami melintas Simpang Pertang. Dari dalam kereta yang mengangkut kami pindah aku perhatikan rumah dan kedai di Simpang dan Pertang seperti biasa. Tidak ada apa-apa kerosakan atau rumah runtuh.

Hanya bila aku sampai ke Kuala Klawang  baru aku bersua dengan soldadu Inggeris dan soldadu Gurkha. 

Cerita Mamat dari Guntur dapat 2000 ringgit  ini masih segar  dalam kepala aku. Tapi Kuala Klawang sebuah pekan tidak di kawasan tepi hutan maka peluang untuk dapat 2000 ringgit itu jadi mustahil.

Pernah satu kali aku ternampak  seorang jantan China mencangkung  di tepi jalan. Ketika itu aku dari Petaseh dalam kereta Pak Ngah Aminuddin – bapa saudara aku. Aku dengan Joyo  sepupu aku  dalam perjalanan nak ke Kampung Chenor.

Bila aku nampak jantan China itu hati aku berkata : Ini  pasti China Komunis. Tapi aku hairan kenapa Pak Ngah aku tidak  berhenti dan menangkap China Komunis ini. Dan dapat 2000 ringgit.

‘ Itu China apa tu...’ Aku bertanya  secara terbuka.

‘ Itu Chino kobon pisang... dia berkobon...kek kobon gotah...’  Joyo menjawab.  

Aku merasa kecewa. Sangkaan aku jantan China yang mencangkung di tepi jalan itu komunis terbukti salah.

Tapi  pakaian yang buruk  dan rambut tidak bersisir masih meyakinkan aku  yang jantan ini  China Komunis. Imej  China Komunis telah  melekat dalam kepala aku. Imej ini hasil  dari aku melihat  wajah – China Komunis -  dalam  gambar  kertas surat kapal terbang.

Hari berganti  hari. Aku  kini perlahan lahan berubah dari budak kampung untuk menjadi budak pekan.  Ingatan aku tentang China Komunis makan pudar. Ini kerana kalau dulu di Tengkek yang aku temui hanya orang Melayu dan Sakai. Sesekali kalau ke Padang Lebar aku dapat melihat China dan Keling Malbari.

Kuala Klawang untuk aku  menjadi pekan yang  amat kosmopolitan. Ada Melayu, ramai Keling, ramai China, ramai  Gurkha dan ada Orang Inggeris.  Aku belum pernah sampai ke Kuala Lumpur lagi. Hanya mendengar nama. Ke Seremban hanya beberapa kali.  Kuala Klawang adalah rujukan hidup aku.

Satu petang – ketika itu aku masih belum masuk sekolah lagi – aku terdengar satu dentuman yang amat kuat diikuti oleh bunyi lori yang dipaksa berhenti.  Aku tak tahu apa yang berlaku.

Esoknya ketika makan tengah hari   Emak aku bercerita satu  kemalangan telah berlaku di hadapan padang sekolah di sebelah pejabat PWD. Lori Gurkha telah berdentum melanggar  seorang   Anak  Keling. Budak muda belasan tahun ini sedang berbasikal menurun bukit  dari Kaman Keling hendak masuk ke jalan besar.

. ‘ Dia terhumban jauh.... berdarah.. basikal hancur...Mak rasa mati di situ...lori Gurkha ni dari Seremban... lori GMC...lori yang mengiringi konvoi....’ Emak aku membuka cerita.

‘ Sapa salah Mak...’ Aku bertanya.

‘ Salah... salah apa pulak.....ini   Darurat ni.. takda salah apa...mana ada dakwa dakwi... mati macam tu laaa...  ‘ Jawapan ringkas.

Berita anak Keling kena langgar lori Gurkha heboh di Kuala Klawang. Malah berita ini tersebar ke kampung berdekatan. 

Untuk menyedapkan cerita  dua hari sesudah kemalangan itu berlaku ada orang Kuala  Klawang yang  ternampak  Lelaki Gurkha pemandu lori yang  melanggar Anak Keling itu berada di tepi padang Kuala Klawang. Dia datang melihat permainan kriket. Orang kampung  cam akan  dia kerana kaki kirinya berbalut.

‘ Mati macam tu laa anak Keling tu... ‘ aku masih mengasak  Emak aku.
‘ Laaa... ini negeri Orang Putih.. Gurkha itu askar  Orang Putih... kau tak reti ke...kita ni dalam darurat.. ni kerajaan Orang Putih... kalau kena tembak pun dalam darurat ni.. takda dakwa dakwi..’. Emak aku cuba memberi penjelasan.

Awal tahun 1957  aku masuk sekolah. Umur aku belum cukup tujuh tahun tapi Emak aku telah meminta  Guru Besar Cik Gu Fatimah agar  aku   diterima  sebagai murid.

Seluar pendek hitam, kemeja lengan pendek putih, kasut getah dan stoking putih.  Abang aku telah dalam darjah tiga di sekolah yang sama  - Sekolah Kuala Kawang A.

Aku ke sekolah membawa papan batu. Aku mula belajar menulis  Rumi dan  Jawi.

Sekolah aku ini di atas bukit di tepi pekan Kuala Klawang. Jalan ke sekolah aku  ini wajib melintasi  kem soldadu Gurkha. Di tepi simpang jalan  masuk ke jalan arah ke sekolah ada kubu besar di mana sentiasa ada soldadu Gurkha mengawal.  

Kubu ini di buat dari tanah dan pasir yang dimasukkan ke dalam guni. Guni-guni ini disusun untuk dijadikan tembok. Tembok kubu ini ada lubang di mana muncung senapang terjulur keluar.

Kawasan bukit di belakang sekolah  aku  adalah kawasan perumahan  pegawai Inggeris dan juga rumah guru sekolah Inggeris  - GES  (Goverment English School ). Cik Gu sekolah Melayu  aku yang pertama bernama Cik Gu Raja Razali. Dia berbasikal dari Ulu Klawang  ke sekolah.

Di atas bukit ini adalah rumah kediaman   Tuan Engineer ketua PWD, Tuan A.D.O – dan juga  Tuan Doktor.  Tuan D.O duduk di sebuah banglo kayu bersendirian di atas bukit di tepi pekan Kuala Klawang.

Rumah-rumah banglo  batu pegawai Inggeris di atas bukit belakang sekolah  didirikan dengan reka bentuk rumah seperti  di England.  Banglo  ini ada  serombong asap dan lekar besi tempat membakar arang batu untuk  pemanasan rumah. 

Dari bukit ini kita boleh melihat pekan Kuala Klawang yang di kelilingi oleh sawah padi.  Dari bukit ini juga  boleh dilihat  pokok-pokok besar yang mengeliling pekan Kuala Klawang. Pokok-pokok rendang di sepanjang jalan besar meredupkan pekan kecil ini.

Di Kuala Klawang ada padang bola, padang kriket, gelanggang  tenis dan gelanggang  badminton. Di tepi padang depan Rumah Pasung ada taman kanak-kanak – ada empat  buaian, ada empat biji jongang jonget dan sebuah  pondok kecil rumah rehat.

Kuasa kolonial Inggeris mendirikan Kuala Klawang sama seperti pekan kecil di shire county di England.

Tetiba berita heboh -  Orang Putih nak balik kampung. Yang membawa berita ini  Emak aku.  Abah aku ketika ini sedang bertugas sebagai S.C – Special Constable. 

‘ Orang Puteh nak balik kampung....’ Emak aku  membuka cerita.

‘ Kampung di mana .’ Aku mahu penjelasan.

‘ England ...juah.. naik kapal...’

‘ Gurkha kek Klawang balik sekali ke...’ 

‘ Semua balik kampung... Tuan D.O, Tuan OCPD , Tuan Engineer... Mem-mem  semua balik... Gurkha ikut sama.... kita nak  kerajaan sendiri...nak Merdeka..’ Cik Gu Zaleha memberi penjelasan.

‘ Merdeka ini apa... ‘ Pertanyaan aku tidak mendapat jawapan. Mungkin Cik Gu Zaleha dan letih dengan aku.

Heboh merdeka ini menjadi-jadi. Heboh semakin heboh kerana diberitakan sebuah padang baru akan di buat untuk menyambut Merdeka. Padang ini letaknya di Kuala Lumpur. Namanya Stadium Merdeka.

Kuala Lumpur ini satu yang amat asing dan jauh untuk aku. Kali pertama aku  berpeluang melawat Kuala Lumpur kami sekeluarga  datang  melawat Pak Ngah Aminuddin. Ketika itu Pak Ngah bekerja di Jabatan Penerangan Kerajaan Inggeris. Aku masih belum sekolah lagi.   

Di hadapan rumah Pak Ngah aku ada laluan kereta api.  Setiap kali kereta api lalu aku budak Kampong yang tak pernah melihat kereta api akan bangun berdiri melambai-lambai tanpa tujuan.  Tanpa aku mengenali  kereta api penumpang atau  gerabak membawa barang.

Kali ke dua ini aku dibawa oleh Pak Ngah  tanpa keluarga. Kali ini Pak Ngah aku telah membeli rumah banglo di Petaling Jaya. Ketika itu Petaling Jaya masih banyak pokok getah. 

Rumah-rumah di Petaling Jaya ini tersusun. Tak jauh di hadapan rumah Pak Ngah aku ada  taman kanak-kanak. Satu petang sepupu aku Kak Yati dan adiknya Faridah dan Joyo  telah membawa aku bermain di taman ini.  

Di taman inilah kali   pertama kalinya aku melihat anak Orang Putih.  Seorang budak lelaki yang mungkin sama umur dengan aku dan kakaknya yang lebih tua dari kami.

Ketika itu  nama Orang Putih yang aku pernah dengar  hanyalah Joni. Semua perempuan Orang Putih  dipanggil Mem. Tapi nama budak perempuan Orang Putih  aku tidak tahu.

Petang itu kami sesama bermain. Di sini juga untuk  pertama kalinya  berjumpa batang-batang besi yang disusun untuk kami panjat memanjat. Petang  itu aku leka dengan permainan baru ini bersama dengan  Joni. Kakak Joni hanya memerhati  kami bermain panjat memanjat.  Sesekali Sang Kakak bersuara tapi aku tak faham.

Pak Ngah aku ini lulusan SITC ( Sultan Idris Training College)  telah berhenti dari jadi guru. Kini bekerja di Jabatan Penerangan.   Dari mulut Pak Ngah  sering  aku mendengar nama  Tunku, Chin Peng,  Wahi Anwar, Datuk Onn Jaafar atau Tan Melaka dan  Sukarno.

Semangat kebangsaan Melayu Raya Pak Ngah aku kuat. Buktinya sepupu aku -  anaknya di beri nama Joyo.  Ini nama dari nasionalis Indonesia – yang mana satu aku tidak pasti. Apa yang aku pasti kawan-kawan politik Pak Ngah aku memanggil Pak Ngah aku  Bung Amin.

Pada tahun 1956 - ketika aku di rumah Pak Ngah di Petaling Jaya  sesudah aku main panjat memanjat dengan Joni  aku mendengar pantun  dua kerat dari mulut  Joyo sepupu aku:

Poot poot bunyi  motokar
Tok Onn cabut Umno merdekha

Apa makna pantun pendek ini aku tidak tahu. Yang aku tahu  bunyi hon kereta hitam  Austin Pak Ngah aku agak berlainan dari bunyi poot poot. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSAINOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/01/12/simpang-pertang-dibom/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan