Reformasi segera SPRM, kata gabungan antirasuah
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu reformasi segera bagi memastikan agensi itu bebas isu kredibiliti dan bagi menjamin integritinya, tegas gabungan Rasuah Busters.
Ketua gabungan pertubuhan antirasuah itu Hussamuddin Yaacub berkata, usaha itu perlu meliputi seluruh sistem dan bukan hanya menumpukan kes Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
“Kami ambil kesempatan menjadikan kes tuduhan ini sebagai momentum untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kalaulah badan yang menangani rasuah pun boleh timbul perkara ini, maknanya ada masalah besar dalam sistem. Jadi kita mahu lihat seluruh sistem dibersihkan,” katanya.
Mereka menggesa siasatan bebas dilaksanakan oleh pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan SPRM bagi memastikan keadilan isu ini.
“Siasatan bebas perlu memastikan sama ada saham yang didakwa dibeli, adakah diisytiharkan di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Kes mengenai status pemilikan saham Azam pula melibatkan Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 bawah Suruhanjaya Sekuriti, katanya.
Penerbit akhbar Sinar Harian itu berkata, sekiranya krisis ini tidak ditangani secara telus, SPRM dibimbangti tidak dapat menjalankan fungsi hakikinya.
Jelasnya, usaha reformasi itu perlu dijalankan badan seperti Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) yang pernah dicadangkan sebelum ini.
Penubuhannya dicadangkan Badan Peguam Malaysia, C4, IDEAS, TI – M dan Rangkaian Rakyat untuk Better Malaysia (CNBM).
Hussamuddin menjelaskan, usaha itu membolehkan suruhanjaya tersebut bebas dari kawalan badan eksekutif dan dapat mengawasi SPRM, yang akan dijenama semula ke nama asalnya.
“SBPR ini nanti adalah sebuah suruhanjaya yang diberi mandat oleh perlembagaan, tidak di dalam kawalan dan pengaruh eksekutif.
“SBPR akan melaporkan kepada Parlimen dan memberikan pengawasan terhadap agensi siasatan yang akan dinamakan semula sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR),”
Hussamuddin menjelaskan, langkah itu antara lain bagi memastikan kebebasan pesuruhjayanya.
“Ini juga akan menjamin tempoh perkhidmatan Pengerusi dan Pesuruhjaya badan berkenaan dan ia tidak berubah mengikut kerajaan yang memimpin seperti sekarang,” katanya.
Selain itu, Akta SPRM 2009, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Perlindungan Saksi 2009 juga patut dipinda, kataya.
Kes Azam hangat ekoran pendedahan seorang wartawan Lalitha Kunaratna bahawa beliau memperoleh jutaan unit saham yang didakwa tidak diisytiharkan.
Azam menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan saham itu dibeli oleh adiknya menggunakan akaun beliau.
Panel penasihat SPRM juga telah membebaskannya daripada salah laku.
Walau diasak pelbagai pihak, Azam semalam menegaskan tidak akan meletak jawatan dan menegaskan hanya Yang di-Pertuan Agong berkuasa ke atas pelantikannya.
Azam juga telah memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Lalitha.
Rasuah Busters antara lain dianggotai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4).
Dua lagi anggotanya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Undi18 dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). – 13 Januari, 2022
Kau orang kena pikir la....PM dan Pak Pak Menteri termasuk Presiden PAS mana berani nak usik Azam...sebelum jadi Ketua Pengarah, dia adalah Pengarah Siasatan SPRM.
BalasPadamLu ingat berapa banyak fail2 siasatan salahlaku ahli2 politik dalam simpanan dia. Lu ingat itu menteri2 sume orang baik2 ka...
Sebab tu ada yang tampil membela Azam anak Baki.
Nak tanya, siapa yang dah jerit "Reformasi" selama 23 tahun tapi hingga hari ini apa pun takda, kecuali masuk penjara dua kali kerana rasuah dan liwat? Tanya saje, jangan marah ya.
BalasPadam