Najib berkempen di Johor untuk BN kerana masih popular, kata Nur Jazlan
WALAUPUN disabitkan kesalahan rasuah, bekas perdana menteri Najib Razak akan berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana beliau masih popular dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.
“Najib masih popular dalam kalangan pengundi di sini walaupun pembangkang mahu memulihkan isu itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Najib disabitkan atas tuduhan rasuah melibatkan dana daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Sabitan dan hukumannya, bagaimanapun ditangguh sementara menunggu rayuannya.
Bekas perdana menteri itu masih menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah berhubung 1MDB dan kerana mengganggu laporan audit.
Nur Jazlan berkata BN sudah menjangkakan penglibatan Najib dalam kempen akan dijadikan isu, bukan sahaja oleh pembangkang tetapi oleh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Minggu lalu, presiden Bersatu dan pengerusi PN Muhyiddin Yassin menghidupkan semula sejarah skandal Najib dengan 1MDB dalam responsnya yang digelar “pengkhianat” kerana menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.
Kedua-dua bekas perdana menteri itu saling berbalas kenyataan di media sosial; Muhyiddin memfokuskan sabitan jenayah Najib dan menggelarnya “pengkhianat sebenar kerana menggelapkan dana 1MDB”, dan Najib merujuk kepada pengkhianatan Muhyiddin terhadap sekutu semasa beliau dan Bersatu adalah sebahagian daripada PH.
Muhyiddin menyenaraikan RM42 juta yang diterima Najib daripada SRC International dan berkata dana tanggungjawab sosial korporat itu digunakan untuk kepentingannya sendiri.
Pada 2020, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan ahli Parlimen Pekan itu supaya sabitan dan hukuman itu dibatalkan. Beliau telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan mahkamah rayuan itu.
Muhyiddin, kata Nur Jazlan, hanya cuba menghidupkan semula ingatan tentang skandal Najib kerana mengetahui ini yang menyebabkan kejatuhan BN pada pilihan raya umum 2018.
Pada pilihan raya 2018, rakyat mengundi menentang BN di Johor walaupun populariti kerajaan negeri dan bekas menteri besar Khaled Nordin. Johor juga tempat kelahiran Umno.
Nur Jazlan juga percaya bahawa ramai pengundi telah melupakan skandal Najib.
“Beliau sudah pergi ke mahkamah dan sepatutnya begitu.”
Johor akan menghadapi pilihan raya pada 12 Mac dengan hari penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.
Bagaimanapun sejak awal bulan ini, Najib telah pun turun padang di Johor untuk bertemu pengundi.
Walaupun disabitkan kesalahan dan kontroversi yang menyelubungi Najib, Nur Jazlan berkata pengundi harus memberi tumpuan kepada isu Johor.
“Kami berharap pengundi akan membezakan antara isu persekutuan dan negeri dan buat masa ini, Johor memerlukan kerajaan yang stabil yang boleh merancang dasar yang betul untuk membantu negeri itu bangkit semula,” kata bekas Ahli Parlimen Pulai tiga penggal itu.
Beliau berkata Umno dan BN mahu pilihan raya ini mempunyai mandat yang jelas, kerana tiga pertukaran menteri besar di Johor telah mengganggu sebarang peluang perancangan jangka panjang.
“Di bawah PH, Dr Mahathir Mohamad menukar menteri besar daripada Osman Sapian (kepada Sahruddin Jamal) dan kemudian selepas Gerakan Sheraton, Muhyiddin mengorbankan Sahruddin supaya beliau menjadi perdana menteri.
“Perubahan ini telah menghalang kerajaan negeri daripada merancang dasar dan kami berharap pengundi akan memberi peluang kepada Hasni Mohamed (calon Barisan Nasional untuk menteri besar),” kata Nur Jazlan.
Walaupun mengalami pergolakan, Hasni berjaya menstabilkan keadaan politik di Johor.
“Beliau hanya memerlukan sedikit masa lagi dan mandat yang lebih kuat,” tambah Nur Jazlan. – 15 Februari, 2022.
Kes tak jalan, Kes solar panel untuk sekolah yang Bike Mama sapu tu, asyik postponed sebab KOBID, alasan tuntas betul lah cakap TT, selama ini Kes Kes mereka tak jalan semua sangkut pakai alasan KOBID, justice delay is justice denied kah atau sebalik udang kah kah apa pun Malaysia Boleh Bossku kah kah
BalasPadam