Bukan main-main tanding PRN Johor, kata Muda
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hanya ingin bertanding di kerusi yang dijangka mampu dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN Johor) akan datang, kata pemimpinnya.
Naib Presiden Muda Mutalib Uthman juga menolak dakwaan parti itu menuntut banyak kerusi untuk ditandingi seperti digembar-gemburkan di media sosial.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, Muda sedia menyerahkan kepada jawatankuasa eksekutif untuk merundingkan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH).
“Perbincangan memang ada tetapi tak benar kalau ada yang kata kita minta bilangan kerusi yang banyak.
“Kita hanya bincang kerusi yang sesuai untuk Muda masuk, taklah kita nak hentam (bertanding) sampai 56 kerusi… Tak adil tuduh kami minta kerusi banyak,” kata Mutalib.
Beliau menjawab kritikan yang muncul di media sosial sejak beberapa hari lalu dari aktivis muda pembangkang mengenai cita-cita Muda dalam PRN Johor.
Kritikan itu antara lain menyentuh kekuatan parti Muda dan juga sentimen kebimbangan dari kalangan aktivis pembangkang untuk menyerahkan kerusi untuk ditandingi parti baharu itu.
Mengulas lanjut, Mutalib berkata Muda juga mahu dilihat serius dalam PRN Johor memandangkan ia pilihan raya sulung yang disertai mereka selepas parti itu ditubuhkan.
“Kita kena bersungguh-sungguh. Ini pilihan raya pertama kita, kalau masuk (bertanding) satu atau dua kerusi sahaja macam tak kena pula, nanti orang ingat kita main-main pula.
“Tapi kita tak boleh nak beritahu (bilangan kerusi ditandingi sekarang). Kita ada jumlahnya tapi bukan semua. Kita sasar kerusi rasanya boleh menang,” kata Mutalib.
Tambahnya, rundingan agihan kerusi itu diteruskan dan belum dimuktamadkan.
“Kita bincang dengan PH tetapi kita (belum) bersama PH, bergantung kepada keputusan jawatankuasa eksekutif parti untuk tentukan (bilangan kerusi). Saya salah seorang tapi jawatankuasa akan tentukan.
“Tak minta tanding kerusi banyaklah, tengah bincang dan perbincangan juga masih berlangsung,” kata Mutalib.
Parti tersebut kini giat menganjurkan kutipan derma bagi mengumpul dana membolehkan mereka bertanding dalam pilihan raya itu.
Kerjasama dengan Muda kali ini bermakna komponen PH – Amanah, DAP, dan PKR di negeri itu perlu menyerahkan sebilangan kerusi masing-masing untuk ditandingi parti baharu itu.
Pilihan raya yang bakal berlangsung itu bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor
Sebelum DUN dibubarkan, Umno dan DAP masing-masing menguasai 14 kerusi, manakala Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).
Pada waktu itu, gabungan kerjasama parti dalam Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menguasai kerajaan dengan sejumlah 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata PRN terpaksa diadakan berikutan kerajaan negeri menguasai majoriti tipis selepas kematian Adun Kempas Osman Sapian pada 21 Disember. – 4 Februari, 2022.
Kalau Anwar dijemput, ikatan baru ini akan dipaksa terima Anwar sebagai calon perdana menteri. Kalau nak selamat negara dan rakyat, JANGAN ajak Anwar. Khalas!!!
BalasPadam