Malaysia ‘sangat bimbang’ dengan perang Rusia-Ukraine, kata PM
PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Malaysia sangat bimbang dengan konflik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan menggesa semua pihak berunding untuk mencari penyelesaian aman.
“Malaysia sangat bimbang dengan perkembangan terkini di Ukraine dan dengan tegas menggesa semua pihak berkaitan serta merta bertindak untuk mengurangkan ketegangan dan mengelak kehilangan nyawa dan kemusnahan (harta benda).
“Pada saat getir ini, semua usaha perlu digandakan bagi mencari penyelesaian konflik secara aman dan bersama menerusi dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Malaysia akan terus menyokong usaha tersebut demi kepentingan dan mengekalkan keamanan dan sekuriti pada peringkat rantau dan antarabangsa.
Beliau turut berkata yang 13 orang rakyat Malaysia sudah dikeluarkan dari Ukraine dan Kedutaan Malaysia juga sedang berusaha memindahkan lapan lagi rakyat Malaysia dan dua warga asing yang merupakan tanggungan mereka dari Kyiv.
Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine pada Khamis lalu dan ketumbukan tenteranya sedang menghampiri Kyiv semalam.
Laporan terkini media asing melaporkan yang pertempuran sedang berlaku di jalan raya sekitar Kyiv, ibu kota Ukraine.
Reaksi awal Malaysia ke atas pencerobohan itu mendapat reaksi suram dari Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo, yang mahukan pendirian lebih jelas dikeluarkan.
“Kami percaya masih ada ruang untuk kedudukan lebih jelas dalam undang-undang antarabangsa dan kesucian piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Kami perlu jelas siapa penceroboh, siapa penjenayah,” katanya pada wawancara bersama stesyen radio BFM 89.8, semalam.
Reaksi awal Putrajaya sebelum ini menekankan usaha mengeluarkan rakyat Malaysia dari Ukraine.
Dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara, hanya Singapura dan Indonesia mengeluarkan pendirian tegas mengecam pencerobohan Rusia.
Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini juga mendesak Majlis Keselamatan PBB “menjalankan tanggungjawab utamanya untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan antarabangsa”. – 26 Februari, 2022.
Gua rasa mesia lebih bimbang dgn lebih banyak keterangan yg akan keluar dari perbicaraan dimahkamah New York yg diluar kuasa kekawtiman kerajaan.
BalasPadamUnited Nations world security council says Mael who?
BalasPadam