CSR Najib hanya sedekah pada diri sendiri, kata Muhyiddin
MUHYIDDIN Yassin menggiatkan serangan ke atas Najib Razak dengan membangkitkan bukti penting penyelewengan dilakukan bekas presiden Umno itu melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Muhyiddin bertindak demikian selepas Umno meremehkan seruannya kepada pengundi Johor agar tidak memilih parti tersebut yang terpalit skandal melibatkan “kluster mahkamah”.
Pergeseran itu semakin panas sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal bermula bagi pemilihan 12 Mac.
Presiden Bersatu itu hari ini membidas semula jawapan Najib bahawa dana RM42 juta dari SRC Internationa itu digunakan untuk tujuan sedekah dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sedangkan bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan ia digunakan untuk kepentingan peribadi ahli Parlimen Pekan itu, katanya.
“Inilah CSR Najib – crook’s self en-richment. Sedekah kepada diri sendiri,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya.
Tambahnya, tindakannya sewaktu menjadi perdana menteri kelapan berbeza kerana berjaya menyalurkan RM530 bilion dalam pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.
“Satu sen pun tak masuk akaun saya… Bukan macam dia, berbilion masuk akaun sendiri. Itulah dia boss awak,” sindirnya pada Najib yang digelar Bossku oleh pengikut ahli parlimen Pekan itu.
Tambahnya, memang benar terdapat derma kepada anak yatim dan dana tersebut tetapi jumlah itu tidak setanding bayaran untuk kegunaan peribadi dan politik Najib.
“Ini tak termasuk RM4 bilion duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang lesap entah ke mana.
“Akhirnya, kerajaan terpaksa membayar hutang SRC kepada KWAP kerana hutang ini dijamin oleh kerajaan ketika Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.
“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati Najib merampok syarikat SRC daripada wang KWAP, iaitu wang rakyat, wang orang pencen,” kata Muhyiddin lagi.
Beliau merujuk penghakiman oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Januari yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah ke atas kesemua tujuh tuduhan.
Penghakiman itu juga menyatakan bukti jelas bahawa perayu juga memindahkan harta yang disalahguna secara tidak jujur itu kepada kegunaan dirinya.
Ia didapati digunakan untuk kegunaan peribadi dan tujuan politik, bertentangan dengan rayuan Najib bahawa wang itu digunakan program CSR syarikat, menurut penghakiman tersebut.
Selain itu, Muhyiddin juga menyenaraikan perbelanjaan dari dana RM42 juta itu yang dibuktikan bagi kepentingan peribadi Najib sepanjang perbicaraan 86 hari itu.
Antaranya, sejumlah RM449,586.95 dan RM2,833,147.21, untuk dua kad kredit berbeza Najib dan RM240,000 untuk mengendali sebuah portal berita dalam talian.
Selain itu, beliau menyebut bayaran RM2.5 juta untuk kerja risikan politik pada sebuah firma guaman dan RM238,914 untuk kempen promosi imej Ah Jib Gor di mata komuniti Cina.
Turut disenaraikannya, RM100,000 untuk membina bilik stor kediaman peribadinya di Kuala Lumpur dan RM56,500 untuk tangki air, dan RM77,300 untuk membaiki kediaman di Pekan.
Najib semalam menyerang Muhyiddin dengan gelaran pengkhianat, antaranya atas tindakan presiden Bersatu itu yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020. – 12 Februari, 2022.
Muiden bukan lg abah kow. Azmin mcm mana lak?
BalasPadam