Rabu, 9 Februari 2022

ZULFIKAR ALI BHUTTO - DIGANTUNG MATI



 ZULFIKAR ALI 

BHUTTO


Dalam hidup kita ini ada tarikh-tarikh yang mustahil hendak kita lupakan. Aku tidak tahu bagaimana detik -detik pada tarikh  itu menjadi penting. Pada hal ianya bermula sebagai hari-hari biasa yang tidak ada apa yang istimewa.

Ianya bukan Hari Valentine  di mana aku mendapat kekasih baru. Juga bukan  Hari Krismas atau Hari Raya. Ianya hari  biasa seperti hari-hari lain.

Hari Rabu 4 April 1979 adalah satu-satu tarikh yang  aku maksudkan.

Pada hari Rabu itu  aku masih lagi menumpang di No 4 WUS International House  Universiti of Karachi Pakistan.  Aku tinggal bersama pelajar dari Patani. Kami berkongsi perbelanjaan harian. Kadang-kadang aku makan di warung dan kantin tapi biasanya kami berkongsi masak untuk merasa makanan sendiri. Jauh dari tanah air tapi selera tak berubah.

Kami perlu ke pasar untuk  membeli bahan makanan. Pasar besar membeli belah  bahan dapur di Karachi ialah di Empress Market. Jauhnya  13 Kilometer dari Universiti. Setengah jam naik van atau naik bas. Van , bas dan rickshaw – motosikal tayar tiga -  adalah  sistem pengangkutan awam  yang paling popular di Karachi.

Empress Market terletak dalam wilayah Saddar. Ianya   bangunan bersejarah – tempat tanda – dalam kota Karachi.  Pada tahun 1857 beberapa orang sepoi – soldadu anak watan – telah bangun memberontak melawan kuasa kolonial Inggeris.  Pertempuran berlaku. Sepoi ditewaskan.

Kuasa kolonial Inggeris merasa  takut jika anak watan dengan semangat nasionalisma akan  mendirikan tugu peringatan di tempat berlaku pertempuran. Maka dengan licik kuasa kolonial  pada tahun 1884 telah mendirikan Empress Market di tempat gugurnya para sepoi.  

Untuk melunakkan keadaan – bangunan baru ini dijadikan pasar dan  mengambil sempena nama Queen Victoria yang menjadi  Empress atau Maharani India ketika itu.

Pasar besar ini terbagi kepada beberapa bahagian. Ada blok menjual hanya daging, Blok menjual rempah rampai dan bahan kering. Blok menjual sayur.  Ditengah bangunan ini ialah pasar ikan.

Di Pakistan pada hari Selasa dan Rabu tidak ada penjualan daging. Ini dasar kerajaan untuk menggalakkan warga makan sayur, ikan atau ayam.  Di Pakistan sumber utama protein ialah daging kambing. Daging lembu agak kurang. Mungkin ini ada berkait dengan asal usul Pakistan yang satu ketika dahulu menyembah lembu.

 Ikan dan makanan laut juga  bukan bahan utama. Malah di Pakistan  yang majoritinya menganut mazhab Hanafi  yang mentakrif  ketam dan udang haram. Untuk Mazhab Hanafi  sotong dianggap tikus – tikus laut. 

Ajaran Islam bentuk ini  menjadikan makanan laut agak murah di Karachi. Justeru  ianya  melumayankan makanan laut untuk kami dari Nusantara.

Maka pada hari Rabu itu tugas aku ke pasar. Aku pergi  bersendirian ke  Empress Market. Aku membeli tomato, bawang, bayam dan buah anggur. Kemudian masuk ke pasar ikan. Aku membeli ikan merah. 

Keluar dari pasar ikan aku wajib melintasi  ke blok rempah rampai dan bahan kering. 

‘Khatam kogia... khatam kogia.. ..’  Aku terdengar laungan. Aku faham laungan bahasa  Urdu ini :semua tamat .. semua  habis. Tapi aku tak tahu apa yang tamat dan apa yang habis.  

Aku ternampak beberapa pemilik kedai ketawa-ketawa memukul tangan – give me five.  Aku ternampak ada yang menghadiahkan gula-gula antara satu sama lain.  Pada hemat aku  ada  towkay kedai yang menyambut hari jadi. Atau ada pemilik bazar yang telah mendapat cucu.

Melintas jam 11.00 au sampai kembali ke Internasional House. Masih tergambar cerah dalam ingatan aku. Kawan aku siswa Patani Mat Nor yang memakai seluar pendek duduk mencangkung di tepi kerusi batu di hadapan asrama. Mat Nor kelihatan sugul.

‘ Apa  jadi... duduk menong...’ Aku bertanya sambil  melawak.

‘ Kau tak tahu  ke... Bhutto dah kena gantung.. subuh tadi..’ Mat Nor dengan sayu berkata. 

Aku terperanjat. Mata aku memerhati muka Mat Nor.  Aku tak percaya apa yang aku dengar. Baru aku sedar kenapa towkay di bazar Empress  Market  menabur gula-gula. Mereka merayakan Zulfikar Ali Bhutto ( 1928 -1979)  mati di tali gantung.

Kematian Bhutto ini memeranjatkan dunia. Berminggu sebelum ini  aku sering  membaca  banyak  negara , banyak pemimpin dunia dari Presiden Jimmy Carter, Hafiz Al-Assad Syria,  Hua Guafeng dari China dan Pope John Paul 11 termasuk  Leonid Breshnev dari Rusia meminta agar Bhutto tidak digantung. 

 Setiausaha Agung  PBB ( Bangsa-Bangsa Bersatu) termasuk juga  OIC – Pertubuhan Kerjasama Islam – semua  meminta dan merayu kepada Jeneral Zia-ul-Haq agar hukuman mati terhadap Bhutto  tidak dilaksanakan.   

Mahkamah Pakistan telah mendapati Bhutto bersalah berkonspirasi  membunuh musuh politik pada tahun 1974. Bhutto sendiri  tidak menarik picu pistol.

Aku mengikuti perbicaraan Bhutto ini. Bukan aku pergi ke mahkamah  aku membaca ‘ Rejoinder ‘ – ini  hujah Bhutto di mahkamah. Semua dokumen, hujah pembela, ucapan yang dituduh  dalam mahkamah  dan afidavit Bhutto di cetak dan difotokopi. Kemudian dijual untuk orang ramai.

Ianya dalam Bahasa Inggeris – maknanya  untuk media antarabangsa, para diplomat dan pemerhati politik dunia dan masyarakat antarabangsa.

Aku pendatang haram di Karachi  ketika itu amat bersimpati terhadap Zulfikar Ali Bhutto.  Bukan  aku kenal sosok ini. Malah ketika aku sampai kali pertama ke Pakistan tahun 1977 sosok ini telah dalam penjara.

Aku bersimpati terhadap garis politik yang diambil oleh Bhutto dan parti PPP ( Pakistan People’s Party ).

Dari apa yang aku baca Zulfikar Ali Bhutto orangnya bukan kecik anak.  Dia anak  tuan tanah. Jangan silap  faham  tanah ini bukan luas  100 ke 1000 ekar.  Ayah Zulfikar ada Sir Shah Nawaz Bhutto –  di zaman kolonial bertaraf Menteri   dan berkerajaan sendiri di provinsi Sind.  

Dari apa yang aku baca dan aku dengar  di Larkhana  pekan dan kampung keluarga Bhutto  terdapat lebih dari 4000 keluarga yang bergantung   hidup mengerjakan tanah ladang tanah milik keluarga Bhutto.

Di Pakistan tuan tanah jenis ini dipanggil wadero.

Anak tuan tanah ini belajar awal di Bombay. Ini  sebelum Pakistan  wujud pada tahun 1947.  Kemudian Zulfikar  mengikuti kuliah sain politik di Bekerley Carlifornia. Sambung ke Oxford dan lulus di Lincoln Inn sebagai peguam. 

Pulang ke Pakistan sebagai peguam muda dan terus terlibat dalam politik. Menjadi Menteri Luar pada tahun 1963.  Menjawat Presiden Pakistan 1971 -1975.  Menjadi  Perdana Menteri dari tahun 1975 hingga rampasan kuasa oleh Jeneral Zia pada 5 Julai 1977.

Zulfikar menubuhkan Pakistan People’s Party (PPP) pada tahun 1967. PPP   mengambil garis kiri  dan sosialis. Pada tahun 1972 Bhutto memiliknegarakan  industri besar – kilang besi, kilang logam, kilang leterik berat,  kilang petrokimia,   kilang  simen dan  loji jana kuasa. 

Bhutto menghadkan pemilikan tanah : 150 ekar tanah yang ada talian air dan  300 ekar tanah ladang tanpa talian air. Ini berlawanan dengan hukum lampau di mana pemilikan tanah terhad kepada keluasan 500 ekar dan 1000 ekar.

Zulfikar sendiri melakukan rombakan ke atas tanah milik keluarganya di Larkhana.


Parti PPP jelas berjuang menyokong kaum tani dan kaum  buruh di Pakistan. Justeru garis kiri ini  dimusuhi  oleh puak kanan Islam yang bekerja sama dengan junta  militer untuk melakukan rampasan kuasa.

Garis ekonomi Bhutto ini juga tidak disenangi oleh kaum kapitalis antarabangsa. Ketika ini zaman Perang  Dingin. Pakistan  di bawah Bhutto dilihat amat intim dengan  kerajaan China di bawah Mao Zedong.

Tidak cukup dengan semua ini pada tahun 1972  ketika menjadi Perdana Menteri   Zulfikar Ali Bhutto sebagai nasionalis dan patriot telah memulakan projek rancangan bom nuklear untuk pertahanan Pakistan.  Zulfikar memberi arahan kepada para saintis Pakistan untuk menyediakan bom nuklear ini pada tahun 1976.

India - musuh Pakistan meledakkan bom  nuklear pada tahun 1974.

Semua ini  menjadi sebab musabab kenapa Zulfikar wajib dijatuhkan. Semua ini meyakini aku bahawa Bhutto digantung kerana dia seorang patriot. Anak tuan tanah yang telah belot terhadap kelas dirinya sendiri.

Maka pada jam 4 pagi  awal subuh Rabu  4 April 1978  Zulfikar Ali Bhutto digantung mati di Rawalpindi District Jail.

Rabu tengah hari  tentera mula bergerak menjaga tempat-tempat strategik.  Di Larkhana Sind – kampung Bhutto – ribuan  rakyat di jalan raya menyambut  jenazah Bhutto dibawa pulang ke kampung  halaman untuk dikebumikan.

Hari-hari berikutnya ialah politik jalan raya.  Balu Zulfikar -  Begum Nusrat kini menjadi ikon pengganti Zulfikar.  Ketika ini aku mula terdengar dan terbaca nama Benazir – anak gadis Zulfikar. Benazir  juga lulusan politik dari Havard dan Oxford University kini membantu parti PPP.

Protes dan tunjuk perasaan dari penyokong PPP berlaku disana sini. Semuanya dibantai keras oleh  soldadu Jeneral Zia. Ada yang ditangkap dan ada yang ditembak mati.  Pilihanraya semakin jauh.

Tertiba terbuka babak baru di Asia Tengah.  Pada petang Hari Krismas 24 Disember 1979 – tentera USSR – Soviet Rusia – masuk ke Afghanistan. Tujuan Rusia ialah untuk membantu dan memperkukuhkan kerajaan Nur Muhamad Taraki  yang kini menjadi negara sahabat USSR – ( Union of Soviet Sosicialist Republics).

Keberadaan USSR di Afghanistan menjadi Pakistan ‘ front-line-state ‘ negara barisan  hadapan menentang pengaruh Rusia di era Perang Dingin.

Jeneral Zia yang dianggap  ‘kucing kurap ‘ satelah menggantung Bhutto kini berubah. Pada Oktober 1980 Jeneral  Zia datang Persidangan Bangsa -Bangsa Bersatu di New York. Kemudian gelencong ke Rumah Puteh bertemu Presiden Carter. 

Walau pun bukan lawatan resmi ke Rumah Puteh tetapi peralihan dasar Amerika terhadap Pakistan  ini dapat dibaca dengan jelas.  Dari Presiden  kucing kurap  kini  menjadi  pahlawan harimau penentang Rusia.

Kuasa imperialis Amerika perlu menjadikan Pakistan pangkalan untuk melancarkan serangan terhadap Rusia di Afghanistan.

Imej junta militer kini berubah dari pandangan dunia kapitalis Barat. Pegangan kuasa tentera terhadap orang awam di Pakistan  makin ketat. Islam  dijual sebagai candu untuk melalaikan  dan mengkhayalkan rakyat bahawa junta tentera sedang membawa Islam yang sebenarnya – Islam tulen kepada ummah Pakistan.

Dana gelap dan dana terang mula masuk dari Amerika. Senjata  ke Afghanistan  dari Amerika   mula masuk melalui tentera justeru junta militer makin diperkukuh.

Hari berjalan. Aku dengan hidup aku sebagai orang  pelarian dan juga pendatang haram di Pakistan. Aku memiliki masa. Selain dari membaca aku mendaftar untuk  belajar meditasi – Transcedental Meditation – dari Cathy  anak murid  Maharisi Yogi.  Aku  diajar  dan diberi mantra hingga ke hari ini masih aku gunakan bila aku  bermeditasi.

Aku juga mengikuti kuliah Yoga dari Luna – guru wanita dari Carlifornia.  Luna singgah di Karachi dalam perjalanan pulang ke Amerika sesudah belajar Yoga di India.  Kelas yoga   diatur oleh Cathy  guru meditasi aku.

Ketika ini aku telah memiliki kamera Minolta. Kamera ini ditinggalkan oleh Susan Bear kenalan aku dari Australia. Susan singgah  ke Karachi dalam perjalanan pulang ke Sydney satelah setahun lebih di London.

Dengan Minolta  ini aku memiliki hobi baru. Aku mula mencuba-cuba  bereksperimen dengan sini fotografi. 

‘ Isham... the Pope is coming to Karachi... would you like to see the mass... ‘  Cathy   guru meditasi  yang juga seorang Kristian  mempelawa aku datang untuk menyaksikan Pope John Paul 11  mengimamkan penganut Kristian bersembahyang di Stadium Karachi.
‘ When ...’ Aku bertanya.

‘ Next  Monday... I have special invitation for you...’ Cathy menghulurkan tiket VIP untuk aku.

Senin  16 Februari 1981 – jam dua  petang aku telah berada  di padang. Aku duduk dalam khemah Jemputan Khas. Minolta tersangkut di leher.  Stadium telah dipenuhi oleh warga Pakistan  penganut Kristian.

Aku, Cathy  dan ribuan lain sedang  menunggu kedatangan Pope dari Vatican Rome  Itali. Pope singgah beberapa jam di Karachi dalam perjalanan ke Manila.

‘ Bom ‘ Bunyi ledakan di belakang khemah VIP.   Orang ramai bertempiaran lari. Aku nampak asap naik. Aku  meninggalkan kerusi dan berlari  ke arah bunyi letupan. 

Dalam laluan stadium aku ternampak mayat seorang lelaki dengan isi perut terburai. Aku merasa loya. Aku lari keluar menuju ke khemah.

Kemudian aku terfikir : Hishamuddin Rais kamu  ada kamera. Rakamkan. 

Aku bergegas kembali ke tempat kejadian. Klik klik klik aku mengambil gambar.

Beberapa minit kemudian pasukan keselamatan sampai. Orang ramai kembali berpusu ke tamat kejadian. Mayat diambil keluar.

‘ Who has the  picture.. who has the  picture....’ Aku ternampak seorang lelaki Mat Saleh melaung-laung mencari gambar letupan.

Aku meraba  Minolta dan pergi berjumpa Mat Saleh ini.
‘ I think ... I’ve the picture...’ Aku menunjukan Minolta aku.

‘ Barry.. I’m from AP .. Associaited Press... I will buy your photo..’ Barry dari AP hendak membeli gambar dalam kamera aku.

Aku memutar filem dalam kamera dan memberikan gulung filem 35mm kepada Barry

“ Thanks.. this is my card... contact me  tonight  at my office.. see you there...’ Barry memberi kad alamat pejabat AP di Karachi.

Aku macam dalam mimpi.

Tertiba sorak sorai  kedengaran. Pope sudah sampai dengan kereta khas nya masuk ke padang dari lapangan terbang Karachi. Kereta  kaca kalis peluru membawa Pope berjalan perlahan-lahan. Dari dalam  kereta Pope melambai-lambai pada  pengikut.

Di hadapan aku kereta Pope melintas. Ingatan aku masih membayangkan mayat lelaki yang perutnya terburai keluar. Aku rasa bom itu pasti diikat dan disorokkan dalam badannya. 

Pulang dari Stadium aku bercerita apa yang terjadi di Stadium kepada   Abdel Kadir kawan serumah aku. Aku mengajak dia sama menemani aku ke Pejabat AP.   Aku merasa agak cuak juga kerana aku telah mengambil gambar letupan di Stadium. Pakistan masih lagi di bawah rejim tentera. Apa-apa boleh berlaku.

Bila aku sampai ke Pejabat AP Barry telah menunggu.

‘ Your picture has been used by all TV station in New York...for evening news....’ Barry menerangkan bagaimana gambar dari Minolta aku telah digunakan oleh stesen TV di New York  untuk  mengiringi laporan berita letupan bom di hadapan Pope.

‘ That explosion is  world news... “

Perasaan aku ketika itu : aku tak percaya apa yang telah aku lakukan.

‘ Please sign here......  we pay you 25 dollars for one picture... this is the rest of your  negative...thanks..‘ Barry  memulangkan kembali gulungan filem aku. Dia juga memberi aku borang untuk aku tandatangani.  Malam itu aku kaya dengan 250 rupee. 

Aku dengan  Kader memanggil rickshaw bukan pulang  ke rumah tapi  gelencong ke Tariq Road untuk menjamu selera kerana aku merasa kaya berjaya menjual satu keping gambar kepada media dunia. Malam itu kami makan karai – masakan paling spesial di Pakistan.

Esoknya berita letupan menjadi induk berita dalam akhbar Dawn. Dilaporkan yang terkorban seorang lelaki ahli parti PPP.  Mungkin sosok malang ini mahu meletup bom  ketika Pope di atas padang. Ini bertujuan sebagai bantahan terhadap Jeneral Zia yang bukan sahaja telah menggantung Presiden Bhutto tapi telah membatalkan sekali lagi pilihan raya.

EPILOK 1
Jeneral Zia-ul-Haq  (1924-1988) mati apabila  pesawat C-130 Hercules  meledak terhempas dari udara pada Rabu 17 Ogos 1988. Bersama terkorban ialah Duta Amerika ke Pakistan. Hasil kerja sabotaj.

Ketika berita kematian ini aku dengar aku sedang bekerja sebagai pelayan di Garuda Restoran  London. Aku berjoget bila aku mendengar berita ini tersiar dalam akhbar petang – Evening Standard.

Seorang kawan Mat Saleh yang berada dalam restoran marah melihat kelakuan tidak menghormati kematian. Tapi Mat Saleh ini tak tahu apa yang telah aku lalui di Pakistan.

EPILOK 2
Benazir Bhutto ( 1953-2007) menjadi Perdana Menteri dua kali. Pertama pada tahun 1988-1990. Kali ke dua pada tahun 1993-1996. Kemudian menjadi ketua pembangkang.

Ketika berkempen di Rawalpindi  Benazir telah menjadi korban pengebom berani mati pada  27 Disember 2007. Letupan berlaku tidak jauh dari penjara di mana Ayahanda Bhutto mati digantung.

EPILOK 3
Dalam hidup ini  ada konsep : kena pada masa kena pada tempat – at the right time at the right place. Gambar  yang aku ambil dalam Stadium  ketika bom meledak  dan dibeli oleh AP kerana aku berada pada masa  yang tepat di tempat yang tepat. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/02/09/zulfikar-ali-bhutto/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan