Kemuncak jangkitan Omicron mungkin sudah berlalu, kata pakar
KEMUNCAK gelombang jangkitan Covid-19 varian Omicron mungkin sudah berlalu, dan ia akan dapat ditentukan dalam tempoh dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan Sabtu lalu, kata pakar penyakit berjangkit.
Dr Lim Chee Han berkata kes jangkitan baharu yang dilaporkan dalam tempoh dua minggu ini akan menunjukkan jika penularan virus itu menunjukkan trend menurun atau tidak.
Beliau berkata situasi Covid-19 sekarang berbeza berbanding ketika PRN Sabah pada September 2020, di mana aktiviti politik dikatakan punca gelombang baharu jangkitan.
Lim berkata ketika PRN Sabah, Covid-19 masih virus “baharu” yang pernah diuruskan pihak berkuasa; vaksinasi masih belum bermula dan aktiviti kempen dilakukan menyebabkan penularan berlaku.
Bagi PRN Johor yang baru-baru ini diadakan, beliau berkata mungkin tempoh paling teruk pandemik sudah berlalu, di mana kemuncaknya pertengahan Februari, sebelum hari penamaan calon dan permulaan kempen pada 26 Februari.
Pada awal Februari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia pada masa itu sudah masuk ke gelombang Omicron “sepenuhnya”.
Bekas menteri kesihatan Lee Boon Chye turut bersetuju dengan penilaian Lim, iaitu kemuncak Omicron sudah berlalu.
“Omicron berada di negara ini sejak pertengahan Januari dan kemuncaknya sudah berlalu,” katanya.
Lee berkata protokol semasa, iaitu termasuk ujian saringan kendiri, lebih mudah dan cepat sekarang bagi membolehkan orang ramai melakukan kuarantin kendiri.
Sehubungan itu peluang untuk kes positif menjadi penyebar dan menyebabkan gelombang lain, sudah banyak berkurangan.
Ketika dewan undangan negeri Johor dibubarkan pada Januari bagi memberi laluan PRN diadakan, ramai yang bimbang pilihan raya itu akan menyebabkan gelombang baharu jangkitan Covid-19, seperti yang berlaku pada PRN Sabah.
Sepanjang PRN Johor, 10 calon disahkan positif Covid-19 sebelum hari mengundi.
Pihak berkuasa kesihatan turut mengeluarkan saman terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang tempoh pilihan raya itu.
Setakat 3 Mac, Jabatan Kesihatan Johor mengeluarkan 21 saman berkaitan pelanggaran SOP kempen.
Tetapi data Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan data jangkitan harian dilihat menyokong dakwaan yang kemuncak Omicron sudah berlalu.
Kes di Johor tinggi kira-kira sebulan lalu, dengan pada 12 Februari, sebanyak 3,238 kes baharu dilaporkan.
Sejak 5 Mac, trend menurun direkodkan, kekal berada di bawah 3,000 kes setiap hari iaitu antara atas dan bawah 2,000 kes. Jangkitan tertinggi untuk negeri itu sejak 12 Februari ialah pada 9 Mac dengan 2,986 kes baharu.
Lim berkata negara sedang menuju ke arah endemic dan kebanyakan aktiviti ekonomi mula beroperasi semula, di mana pilihan raya bukan satu-satunya punca jangkitan baharu dikesan.
Selagi rakyat dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan dan kehidupan harian seperti biasa, sudah pasti akan ada kes baharu.
“Anda tidak boleh salahkan pilihan raya semata-mata.”
Dr Moy Foong Ming, dari Jabatan Sosial dan Perubatan Pencegahan Universiti Malaya, juga percaya PNR Johor bukan punca penularan.
“Tidak ada khalayak ramai sepanjang kempen. Kalau ada ceramah, kumpulannya kecil berbanding pilihan raya sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini juga mengurangkan ancaman Covid-19 yang serius bagi kebanyakan individu.
“Kalau ada peningkatan kes sekalipun, kebanyakannya hanya sederhana dan tidak memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.”
Sebanyak 22,030 kes baharu dilaporkan di seluruh negara pada Isnin, ia angka terendah sejak 15 Februari. Daripada jumlah itu, 2,419 kes direkodkan di Johor. – 18 Mac, 2022.
Bila abis omicron kuar pulak deltacron. Pasai apa depa main kuar satu satu bergilir2 pulak tu. Macam berjanji je. Pastu kena ambek dos ke4. Abis deltacron akan tiba giliran cronomite mengambil tempat deltacron. Sampai tualah kena cucuk.
BalasPadam