Selasa, 8 Mac 2022

HARAPAN BARU DARI MUDA

 



Muda lebih menonjol berbanding parti baharu lain di PRN Johor

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilihat lebih menyerlah dalam kalangan pengundi di Johor, berbanding parti baharu lain yang turut bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Selain Muda, tiga lagi parti baharu yang mencuba nasib pertama kali bertanding dalam PRN Johor adalah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan), dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Rayan Yap, 23, mengakui selain Muda, parti baharu agak asing bagi kelompok pengundi sepertinya.

“Rakan-rakan sebaya saya semuanya bercakap mengenai Muda. Ada yang menjadi sukarelawan dan berkongsi aktiviti mereka di laman media sosial.

“Kalau dilihat di media sosial Muda menguasainya,” kata Rayan Yap, 23.

Yap antara lebih 700,000 pengundi baharu di Johor yang akan mengundi pertama kali selepas kerajaan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan serentak melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

Penuntut jurusan undang-undang yang berasal dari Labis itu juga tidak mengetahui kewujudan PBM, yang diasaskan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong.

“Tak pernah dengar,” katanya.

PBM bertanding di empat kawasan DUN iaitu Maharani, Tiram, Puteri Wangsa dan Stulang.

Muda pula bertanding di tujuh kerusi iaitu; Tenang, Puteri Wangsa, Larkin, Machap, Parit Raja, Bukit Permai, dan Bukit Kepong.

Semalam Muda melancarkan manifestonya untuk Johor yang diberi nama Tekad Johor. Ia menggariskan lima agenda pembaharuan antaranya kepimpinan bertenaga dan pantas, demokrasi dan prorakyat.

Muda bertekad mahu membela golongan pertengahan (M40), merapatkan jurang kelas masyarakat dan kemajuan ekonomi untuk semua.

Parti yang diketuai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga bertembung dengan Pejuang, sebuah lagi parti serpihan Bersatu, di semua kerusi tersebut.

Pejuang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya selepas tidak bersetuju dengan tindakan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti keluar daripada gabungan Pakatan Harapan dalam percaturan politik Langkah Sheraton.

Syed Saddiq yang ketika itu bersama Dr Mahathir bagaimanapun memilih jalan menubuhkan parti sendiri yang diasaskan sebagai parti anak muda.

Pendaftaran Pejuang diluluskan pada Julai 2021 sementara Muda pada Disember berikutnya, selepas isu pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan dibawa ke mahkamah.

Pecah undi Melayu

Pengundi di DUN Tenang, Zainuddin Md Punggot, 60, merasakan Pejuang hanya mahu memecahkan undi Melayu dengan bertanding di 42 kerusi.

Generasi kedua peneroka Felda Cempelak itu juga hairan apabila parti berasaskan Melayu seperti Pejuang yang tidak mempunyai jaringan jentera dan akar umbi yang kuat meletakkan begitu ramai calon dalam PRN Johor.

“Apa asasnya mereka bertanding banyak kerusi, mereka ahli pun tidak ada, rangkaian jentera pun kita tak tahu. Mereka hanya mahu pecah undi Melayu… itu sahaja,” katanya.

“Berbeza seperti Muda, mereka bersama dengan Pakatan Harapan (PH), kita tahu apa hala tuju mereka. Parti seperti Pejuang dan Warisan ini tiada peluang kali ini rasanya,” katanya.

Pejuang berkempen dengan mengangkat imej Dr Mahathir dan menekankan mesej pentingnya pengundi memilih mereka untuk sebuah sebuah kerajaan yang bersih.

Dr Mahathir setakat ini menulis empat surat terbuka kepada pengundi Johor menggesa mereka menolak Barisan Nasional (BN) yang katanya melindungi kleptokrat serta Perikatan Nasional (PN) yang membuka jalan untuk kleptokrat kembali berkuasa.

Cuba nasib

Sementara itu, pemimpin Warisan mengaku parti itu sukar mengikis imejnya sebagai sebuah parti dari Sabah.

Warisan yang ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dan sempat mentadbir Sabah lebih kurang 28 bulan menjadikan PRN Johor sebagai tapak untuk melancarkan pengaruhnya ke Semenanjung.

Timbalan Pengerusi Warisan Negeri Sembilan K. Kannis, 56, mengakui selain sukar mengikis imej parti dari Sabah, pihaknya juga kekurangan tenaga jentera untuk berkempen.

“Warisan sekarang mahu cuba nasib sahaja,” katanya, yang turun membantu calon Warisan di DUN Bekok Sandara Segaran Arumugam.

“Memang betul presiden pernah kata Sabah untuk orang Sabah, tapi di sini kita akan pastikan ‘kapal’ Warisan kita menjadi kapten, bukan orang Sabah,” katanya, merujuk kepada lambang kapal layar yang menjadi logo Warisan.

Seorang pemilik restoran India Muslim yang enggan dikenali berkata, beberapa rakannya turut bertaruh Warisan akan hilang deposit di Bekok.

“Saya lihat mustahil untuk Warisan menang, jentera bukan orang tempatan, semua dari luar.

“Mereka boleh tarik undi sedikit, kalau di sini ada pengundi India akan mengundi mereka, tetapi kalau untuk menang, susah.

“Ada kawan-kawan yang bertaruh Warisan akan hilang deposit,” katanya.

Selain Bekok, Warisan juga meletakkan calon mereka di Pekan Nanas, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.

Selain Permas, yang merupakan kerusi disandang Bersatu, lima kerusi lagi yang ditandingi Warisan merupakan kerusi dimenangi PH dalam PRU14 lepas.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN Johor disertai 239 calon dari 11 parti politik termasuk calon bebas.

BN dan PN menjadi gabungan parti terbesar yang bertanding di semua 56 kerusi.

Amanah dan DAP yang menggunakan logo PH meletakkan calon di mereka di 30 kerusi sementara satu komponen PH iaitu PKR yang menggunakan logo sendiri bertanding di 20 DUN.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan seorang calon iaitu Arangkannal Rajoo, seorang pengarah filem di DUN Kota Iskandar.

Parti Bumiputera Perkasa (Putra) pula meletakkan Kamarolzaman Mohd Jidi, yang merupakan bekas pensyarah di DUN Semerah.

Calon Bebas pula bertanding di enam kerusi.

Hampir 2.6 juta pengundi Johor akan memilih pada 12 Mac ini. – 8 Mac, 2022.

TAHNIAH

MENARIK

NAAFS  BARU

AMIN

KALAU MENANG

SATU KERUSI

AKAN MENJANJIKAN

MASA DEPAN

DALAM PRU 15

AMIN

DENGAN SYARAT

WUJUDKAN

PERSERIKATAN

BARU

AMIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan