Rabu, 23 Mac 2022

KELUAR DARI TEMPURUNG



KELUAR DARI 

TEMPURUNG


Pada tahun 1968  aku  mengambil  peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysian Certifficate of Education (SC/MCE). Peperiksaan akhir Tingkatan Lima ini dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerja sama  lembaga peperiksaan Cambrigde Univercity  United Kingdom.

Kertas jawapan kami diterbangkan ke United Kingdom untuk diperiksa dan diberi markah. Hampir empat bulan kami wajib menunggu keputusan. Hanya Bahasa Melayu dan Sastera Melayu yang diperiksa oleh guru tempatan. Justeru bayaran untuk SC/MCE agak mahal – $90 Ringgit. 

Aku telah bersedia dengan peperiksaan ini. Semenjak tingkatan empat aku telah duduk di asrama yang hanya lima minit menapak ke Sekolah Menengah  Undang Jelebu (SMUJ ).

Aku membuat persediaan yang rapi. Mengulang dan  membaca.  Persediaan yang lumayan – asrama ada lampu leterik, ada air paip dan ada bilik bacaan. Bukan duduk di rumah guru Sekolah Melayu Amar Penghulu. Membaca pakai lampu  pelita. Mandi guna air  perigi.

Ketika itu aku gila membaca. Perpustakaan jadi tempat rehat.  Banyak buku yang aku pinjam.  Banyak juga buku dari perpustakaan yang tidak aku pulangkan. 

Pada permulaan memasuki tingkatan lima aku telah dilantik untuk menjadi : Prefect atau Pengawas. Aku diberi lencana untuk dipasang dibaju. Aku merasa bangga.

Satu hari semunya berubah. Aku dipanggil ke Pejabat Guru Besar.

‘ You gave a bad example... you know what you have done...’ Guru besar memandang tepat  muka aku. Aku tunduk tidak bersuara. Aku memulangkan kembali lencana Prefect kepada guru besar.

Status Prefect  ini telah diambil kembali oleh guru besar Mister Francis Xavier. Ini  kerana aku telah mengambil banyak buku dari perpustakaan. Aku gagal   memulangkannya kembali. Buku-buku ini tersusun dalam lokar aku di asrama. Aku berniat hendak membuat perpustakaan sendiri dengan mencuri buku dari perpustakaan.

Tapi  babak – niat baik jalan salah - ini tidak mematahkan semangat  aku untuk terus membaca.

Di asrama penghuni wajib semua ke katil jam 11.00 malam. Lampu akan padam. Tapi ada  beberapa orang  yang dalam tingkatan lima termasuk aku akan ‘nyeludup’ untuk terus membaca di bilik bacaan hingga melintas jam 12.00. 

Hidup di asrama ini agak rutin. Rabu dan hujung minggu  saja warga asrama  boleh dibenarkan masuk  ke pekan Kuala Klawang untuk  berjalan-jalan atau menuntun wayang di Panggung Ruby. 

Aku tidak merasa terkurung kerana kawasan asrama dan kawasan sekolah cukup luas untuk bermain, bersukan atau bercanda-canda.

Aku ingat lagi Mr Balasubramaniam  guru  mata pelajaran  Sejarah telah turun dengan kereta Volvo Merah pada hari Sabtu dari Seremban untuk memberi kuliah tambahan. Aku ingat juga Mister Tay guru kelas  Tingkatan Five Arts yang juga guru Ilmu Alam memberi kuliah tambahan.

Guru-guru ini bertungkus lumus agar kami - anak murid  SMUJ yang majoritinya Melayu mencapai kejayaan dalam peperiksaan. 

Dua guru ini amat-amat kami hormati. Mereka penuh dedikasi mahu memberi kami pencerahan. Mereka bersungguh-sungguh mahu menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kami.

Dua guru ini adalah  guru yang pertama  yang memiliki ijazah dari Universiti Malaya  yang mengajar di SMUJ. Kami murid-murid merasa bangga kerana dua orang  guru kami lulusan universiti. Mereka berijazah bukan dari Maktab Perguaruan.

Dalam kelas kami selalu berbisik-bisik  dan berborak sesama sendiri tentang berapa agaknya gaji guru lulusan universiti ini. Pada tahun 1968 universiti ini tidak pernah masuk dalam perbualan kami murid di SMUJ. Aku  ada dengar nama Universiti Malaya. Diceruk mana di Kuala Lumpur letaknya  kami tidak tahu.

Sebelum peperiksaan  sekolah telah  mengadakan ‘ mock exam’ periksa olok-olok untuk melatih agar  kami semua bersedia ketika peperiksaan betul berjalan. Ini untuk menyediakan jati diri kami   ke dalam suasana peperiksaan. Ketika  peperiksaan  berjalan  guru penyelia bukan dari sekolah kami.

Peperiksaan berjalan lancar tiga minggu pada bulan September 1968. Sesudah peperiksaan SC/MCE cuti panjang sekolah belum bermula. Ketika ini masa yang terbaik untuk kami datang ke sekolah dan tak perlu belajar. Pelajar tingkatan lima dan tingkatan tiga  telah selesai periksa. 

Masa berbulan madu di sekolah.

Kami seronok bermain dam, main ular dan tangga, main daun trop.  Sebulan lebih suasana indah yang tak akan datang kembali. Perasan lapang tanpa tanggung jawab. Semua tugas sebagai pelajar sudah beres. Tugas pergi ke sekolah untuk menyempurnakan kehendak hati ibu bapa telah selesai. 

Kami hanya  menunggu keputusan yang akan sampai tahun depan.

Untuk murid tingkatan lima hari sebelum cuti panjang  bermula  adalah hari akhir kami  di  sekolah. Bila sekolah di buka kembali kami sudah menjadi warga asing.

Selamat tinggal kami adalah selamat tinggal kali terakhir untuk SMUJ. 

Tempat terkencing  lagi di kenang inikan pula tempat lencana Prefect dicabut dari baju.

Ketika ini aku ada buku autograf. Kawan-kawan akan menulis kata-kata ingatan dalam buku bersaiz A4  ini. Buku dari kertas lukisan ini aku buat sendiri. Hasil dari ilmu  belajar  mengikat dan menggam buku dalam kelas  lukisan.

Dalam umur yang muda aku tidak ada  apa apa rancangan. Sebenarnya aku tidak pernah merancang masa hadapan hidup aku. Apa sampai akan sampai. Apa datang akan datang. Hidup penuh gembira – joie de viver – enjoi de menjoi.

Aku ingat lagi kawan-kawan  asrama mengumpul baju mengikat beg untuk  pulang ke kampung masing-masing. Aku ingat lagi petang itu kami mengucap  selamat jalan di Perhentian Bas Lim  dalam pekan Kuala Klawang. 

Ada pulang ke Kenaboi, ada pulang Peradong, ada pulang ke Gagu, ada pulang ke Petasih. Paiing juah  Ahmad Babar a.k.a Mat Burn – dia pulang ke Durian Tipus – wilayah bersempadan dengan Karak Pahang. Aku pulang ke Kampung Chenor – dua batu setengah dari pekan Kula Klawang. 

Satu minggu kemudian aku merasa bosan duduk di kampung. Lalu aku berbasikal berjumpa dengan Lee Keong kawan sekelas aku. Keluarga Lee Keong duduk di Berek  Kerajaan di Kaman Keling. Lee Senior ayahnya  pekerja  PWD ( Public Work Department ).

‘ Boring.. nothing to do...’ Lee Keong membuka salam.

Dalam kepala aku  sudah ada satu rancangan. Tapi aku tak tahu sama ada kawan aku Lee bersetuju dengan  rancangan ini. Aku merancang untuk mengembara dengan hitch-hiking – tumpang-tumpang kereta dari tepi jalan.

‘ Mari kita hitch hike... Kakak aku ada di KL  seorang... di Batu Gajah Perak seorang....  Mrs Ali... ada di Kangar...’ Aku membuka jalan untuk memberahikan Lee.

‘ Good idea Isham...’ Lee Keong dengan cepat menyokong rancangan aku.

‘ Taapi.. kita takda duit...’ Aku mencelah.  Mata kau memandang Lee.

‘ How much.... ? 

‘  Kita perlu duit... kurang kurang  dua puluh ringgit duit poket nak berjalan...’  Aku menerangkan.

‘ Let’s do Job week..’  Lee Keong mencadangkan.

Job Week – Minggu Kerja adalah budaya Pengakap. Kami berdua pengakap maka kami tahu cara pengakap mengumpul dana. Kami telah beberapa kali melakukan. Kami sudah arif. Bezanya kali ini kami minta kerja dan duit bayaran bukan untuk dana pengakap tapi masuk saku kami.

“ When to start...’ Lee Keong bertanya.

‘ My house first.. tomorrow.... ‘

Aku ingat lagi esok petang Lee Keong berbasikal datang ke rumah aku di Kampung Chenor. Aku sudah beri tahu Emak aku tentang rancangan aku nak berjalan ke  Perlis. Malah aku membesarkan cerita yang aku nak masuk sampai  ke Siam.

 Aku beritahu Cik Gu Zaleha yang kami akan membuat apa saja yang diminta dengan syarat ada bayaran. Bayaran terpulang ada tuan rumah. Ini budaya dan cara Job Week.

Petang itu Cik Gu Zaleha meminta kami membersihkan laman – merumput – kemudian meratakan sebuah  busut kecil depan rumah. Ini rumah baru Cik Gu Zaleha yang dibina atas  bekas kebun getah.

Beres. Petang itu kami dapat lima ringgit seorang.

Esoknya aku  dan Lee berbasikal ke pekan  menuju ke rumah  Mister Hussein Ketua Jurutera  PWD Jelebu. Rumah di atas bukit tidak jauh dari sekolah lama kami. Aku kenal baik keluarga ini kerana Isteri dan Nelly anak gadis Mister Hussein adalah teman Cik Gu Zaleha. Mereka semua berkenalan dalam WI – Women’s Institute

Kami diminta menyiram dan membersihkan  kebun bunga. Ketika kami sedang bekerja datang pula Isteri OCPD Jelebu melawat  keluarga Mister Hussein.  Lalu  kami nyatakan niat kami. Sang Isteri mempelawa kami datang esoknya  ke rumah OCPD di atas bukit belakang rumah pasung.

Petang itu kami dapat lagi lima ringgit seorang.

Esoknya aku dan Lee menapak naik bukit ke rumah OCPD.  Isteri OCPD sudah tahu apa niat kami. Kami diminta membersihkan  pembidang buluh  yang berhabuk. Kemudian kami diminta membersihkan kawasan rumah.

Sebenarnya Isteri OCPD ini sengaja nak bantu kami berdua kerana  Tuan OCPD ada pembantu rumah dan tukang kebun.

Sebaik saja kami selesai Tuan OCPD sampai. Dia hairan melihat kami berdua.

‘ Sapa  budak-budak ni...’ Tuan OCPD bertanya pada isterinya dengan gaya mata-mata.

‘ Pengakap Job Week...’ Isteri menerangkan.

‘ Tengok betul betul...ada surat ke ...’  OCPD memandang kami.

Aku merasa cuak juga kerana ini bukan Job Week.

‘ Kelmarin dia orang ni buat kerja di rumah   Tuan Hussein atas bukit... jumpa mereka disana...’   Isteri OCPD bercakap sambil menghulurkan  aku sepuluh ringgit.

Kami beredar. Aku merasa cuak dengan Tuan OCPD ini kerana kami bukan pengakap dan duit ini bukan untuk Job Week.

Kami kira duit yang terkumpul. Masih tidak cukup.

‘Aku rasa tak cukup... aku leh minta tambah dari Emak aku...’ Aku terus mempertahankan cita-cita.

‘ Tak pa.. minggu depan my father akan jual babi dua ekor... I will ask from him...’ Lee meyakinkan aku.

Aku juga yakin kerana aku tahu  Lee Senior ada memelihara  beberapa ekor babi. Aku telah beberapa kali datang melihat kandang babi ini. Melawat kandang babi Lee Keong menjadi salah satu tarikan ketika kami  budak-budak hostel jika berjalan ke Kaman Keling pada tahun 1968.

Dana sudah cukup. Kami perlu meminjam khemah dari Guru Pengakap SMUJ Mister Gama Khan.  Guru Pengakap ini kenal kami berdua. Malah kami berdua ini pengakap yang paling setia  mengikuti segala program pengakap. 

Kami pernah  berkhemah tiga malam di Batu Empat Port Dickson. Kami pernah  berkhemah empat malam di Bukit Tangga. Kami pernah berkelah di Jeram Toi Jelebu. Semua ini program yang dikendalikan oleh  Mister Gama Khan.

Justeru meminjam khemah sekolah walau pun kami sudah bukan lagi murid sekolah tidak menjadi halangan kepada Mister Gama Khan.   Khemah ini perlu jika kami tidak ada tempat menumpang tidur.

‘ Where are you going...’ Mister Gama Khan bertanya.

‘ North... until  Siam ... ‘ Aku dengan bangga menjawab.

‘ Good luck...’

‘ We will visit Mister Tay in Taiping and Mrs Ali in Kangar... ‘ Aku mula mengatur rancangan.

‘ Don’t forget Kuala Kangsar... my home town..’ Mister  Gama Khan memberi ingatan.

Minggu depan aku dan Lee Keong akan memulakan hitch hiking ke Utara Tanah Melayu. Aku tak sabar nak bergerak hendak meninggalkan Jelebu dan  melihat  feri ke Pulau Pinang. Ke wilayah yang belum pernah aku jejaki. Aku hendak keluar dari tempurung selamat aku di Jelebu. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/03/23/keluar-dari-tempurung/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan