Selasa, 22 Mac 2022

MEMBINA CERITA BARU


MEMBINA CERITA 

BARU

Apa khabar lama tak jumpa ? Ini suara dari Orang Kuala Lumpur.  Apo koba lamo tak jumpo? Ini suara dari lorat Orang Jelebu.  Dari Ustad Wan Ji bila berjumpa dia berkata : Apa cer? Ini lorat anak muda sekarang. 

Apa khabar atau apo koba atau  apa cer - semuanya sama.  Apa cer - pengucapan anak muda lebih jelas. Bertanya cer maknanya bertanya apa cerita. 

Bercerita ini untuk apa ?

Orang  moden  menggunakan cerita dengan perkataan Inggeris -  naratif. Saya tak mahu gunakan perkataan  naratif nampak macam nak tunjuk pandai walhal perkataan Melayu – bercerita – lengkap, tepat  dan mudah difahami.

Manusia ini binatang yang  bercerita. Hidup manusia ini  dipandu oleh cerita. Yang membezakan kita  dengan binatang lain – dengan gajah atau dengan lembu ialah  kebolehan umat manusia bercerita.

Ayam betina  selepas bertelur akan berketak riuh sekampung. Tapi cerita ayam ini tidak difahami oleh  itik. Itik patah kaki kerana  dilanggar basikal juga tidak berupaya untuk bercerita pada itik lain bagaimana kakinya boleh patah. 

Hanya kita manusia bukan saja berupaya  bercerita tentang  ayam di reban  telah  bertelur malah bagaimana itik patah kaki dilanggar  basikal akan dijadikan cerita. Ini bezanya manusia dengan haiwan. Beza kita manusia dengan gajah.

Untuk pelajar penulisan atau   pelajar  filem atau  sandiwara atau bangsawan mereka akan diajar bahawa dalam ilmu penulisan cerita wajib ada tiga babak. Babak permulaan, babak pertengahan dan babak akhir –  Babak 1 Babak 2 dan Babak 3.  

Tiga babak penceritaan ini adalah   hukum alam yang tidak beralih atau berubah. Ini hukum azali.  Kita dilahirkan sebagai bayi – mendewasa – dan kemudian menua. Begitu juga daun – pucuk hijau muda – daun hijau  tua – dan daun merah  yang akan  gugur.

Hukum penceritaan ini tidak beralih-alih semenjak kun faya kun – jadilah jadi. 

Kitab-kitab kuno, kitab suci dari semua agama juga adalah cerita. Cerita inilah yang mengikat kita sesama kita. Hidup umat manusia berpandukan cerita-cerita ini.  Sama ada cerita dongeng, cerita berfakta  , cerita berilmiah atau cerita karut – semua ini tidak  penting. Yang penting si pendengar cerita ini akan yakin dan percaya dan mahu berkongsi dengan  cerita yang didengar.

Jika kita berbuat baik maka kita akan masuk ke syurga  dan berpeluang berjumpa bidadari. Jika kita berbuat jahat kita akan dibakar oleh api neraka. Cerita-cerita sebegini terus kita dengar. Kalau satu ketika dulu cerita-cerita genre  ini kita dengar di surau pada malam Jumaat. Pada zaman sekarang cerita bergenre yang sama boleh kita dengar dan lihat dari YouTube.

Sang Ustad masih berlabun  dengan kesah dan cerita  yang sama. Jalan cerita , watak cerita dan rumusan cerita  tidak berubah-ubah

Apa sangkut paut cerita dengan  politik hari ini? 

Jangan salah baca. Politik juga ialah penceritaan. Tanpa cerita tak ada politik. Macam juga agama. Tanpa cerita tidak ada agama. 

Biar saya berikan contoh yang mudah diketahui umum. Cerita Nabi Musa melarikan diri membawa Bani Yahudi dari Mesir. Nabi Musa dengan tongkatnya telah membelah Laut Merah untuk Bani Yahudi melintas. Akhirnya rombongan Nabi Musa telah sampai ke Palestin untuk mendirikan negara baru bernama Israel.

Cerita ini terus menjadi pasak untuk menghalalkan wujudiah Zionis Israel di Palestin. Sama ada cerita Nabi Musa ini betul atau hanya dongeng bukan persoalan. Yang penting cerita ini diyakini dan dipercayai oleh Bani Israel.

Di Perancis kaum feudal dan kaum agamawan telah bersekongkol menindas kaum tani.  Dalam kesengsaraan kehidupan Pak Tani ini muncul  pemuka baru   yang membawa cerita – Kebebasan  Kesaksamaan dan Persaudaraan.  Ini cerita baru.

Cerita baru ini tersebar dan mengampuh. Akhirnya kepala Raja Louis dipenggal pada 21 Januari 1793.  Sembilan bulan kemudian  kepala Pemaisuri Marie Antoinette dipenggal pada 16 Oktober 1793.

Cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan ini menyeberang Lautan Atlantik sampai ke Amerika. Cerita ini diwatankan di asimilasikan untuk menjadi cerita imigran baru di Amerika. Imigran yang berasal usul dari Eropah  ini telah berjaya melawan kuasa kolonial Anglo-Saxon. Mereka  memerdeka diri pada tahun 1776.

Cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan dari Perancis ini membuka jalan untuk memerdekakan hamba abdi berkulit hitam dari Afrika. 

Begitu hebat cerita dari Perancis ini hingga membawa Perang Saudara Amerika yang  bermula pada tahun 1861.  Pada tahun 1862 hamba abdi dihapuskan  di Amerika. Tetapi Perang Saudara  berterusan hingga ke tahun 1885.

Karl Marx (1818-1883) pemikir, sosiologis dan ahli falsafah  Yahudi kelahiran  German telah melarikan diri ke London. Di London Karl Marx   membuat  satu cerita baru.  Cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan dari Perancis  ditambah  baik lagi oleh Karl Marx. 

Marx bercerita bagaimana satu dunia baru  yang lebih adil, lebih saksama dan lebih bersaudara  boleh diwujudkan jika sistem ekonomi kapitalis diganti dengan sistem ekonomi sosialis.

Cerita baru  dari Marx ini telah mempengaruhi Vladimar Lenin (1870-1924). Lenin bersama Leon Trotsky ( 1879-1940 ) telah menubuhkan Parti Komunis Rusia.  Cerita  dari Karl Marx ini membuka jalan untuk melahirkan  Revolusi Bolshevik (1917). Akhirnya Rusia menjadi negara sosialis pertama dalam dunia. 
 
Czar Nicholas (1868-1918)  raja Rusia dan kaum keluarga dan suku sakat feudalnya dihapuskan.
 
Cerita dari Marx ke Lenin dan akhirnya sampai juga  ke Tanah Melayu. Cerita dari Karl Marx ini  bercampur dengan cerita dari Perancis,  bercampur dengan cerita dari Amerika dan  di tambah dengan cerita dari Rusia.

Cerita-cerita ini   didengar oleh Ahmad Boestamam (1920-1983) oleh Pak Sako (1909-1991) oleh Burhanudin Helmi (1911-1969) oleh Mokhtaruddin Lasso (1915-1951) oleh Abdulah CD ( 1923). Ketika ini Tanah Melayu sedang  dijajah oleh Inggeris.

Berpandukan semua cerita-cerita ini Boestamam dan kawan-kawan gulungan muda ini  telah mengajukan Tanah Melayu Merdeka  dengan menubuhkan Kesatuan Melayu Muda  pada tahun 1938.

Sosok-sosok ini menyebarkan cerita  merdeka. Menyebarkan keindahan dan  nikmat berkerajaan sendiri.  Cerita Tanah Melayu Merdeka ini menjerut hati dan naluri anak watan Tanah Melayu.

Orang Melayu, anak muda Melayu, kaum tani Melayu  dari kampung bila mendengar cerita  Tanah Melayu Merdeka ini menjadi gembira. Mereka menyambut cerita merdeka ini dengan tangan terbuka.

Cerita yang dibawa oleh Boestamam dan Abdulah CD ini menakutkan kuasa kolonial Inggeris. Sama seperti cerita kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan yang menakutkan Czar Nicholas dan King Louis – cerita Tanah Melayu merdeka ini menakutkan penjajah Inggeris.

Cerita merdeka  ini tidak dapat dibendung oleh penjajah. Cerita ini mengombak menggelombang  untuk membuka sejarah baru.

Cerita Tanah Melayu Merdeka telah  ditentang bukan sahaja oleh kuasa kolonial. Malah ada kaum feudal juga menentang cerita yang dibawa oleh Boestamam.

Akhirnya pembelotan berlaku. United Malays National Organisation bersedia  membelot dan bersekongkol dengan  kuasa kolonial Inggeris.  Tunku Abdul Rahman telah mendirikan  kerajaan tebuk atap yang pertama di Tanah Melayu.

Justeru apa khabar sekarang ? Apo koba sekarang? Apa cer sekarang ini.

Kerajaan belot tebuk atap Tunku ini juga membawa cerita baru.  Cerita ini cerita ayam mati di kepuk padi. Cerita kera di hutan disusukan anak di pangkuan mati kelaparan. 

Cerita yang dibawa oleh Ahmad Boestamam gagal menjadi kenyataan. Nikmat merdeka yang digambarkan oleh Pak Sako tidak  menjadi  hidangan  juadah untuk Bani Melayu. Maka berlaku pergaduhan  membunuh pendatang asing. Pendatang asing ini menjadi cerita  baru. Cerita yang lunak didengar oleh telinga Bani Melayu.

Cerita 13 Mei ini menjadi cerita tragedi. Genre tragedi ini mengikut pentafsiran  istilah penulis bangsawan tersohor William Shakespeare  (1564-1616). Ceria sedih menyayat hati.

United Malaya National Organisation telah menjaja cerita  Mei 13  ke hulu ke hilir. Cerita Mei 13 ini juga dikaitkan  dengan perlunya Bani Melayu mendapat nikmat Merdeka seperti cerita yang dibawa oleh Boestamam.
Cerita Mei 13 ini telah memboleh pemimpin-pemimpin dalam United Malays National Organisation mencuri duit untuk jadi kaya raya.  Cerita Mei 13 ini cukup menyengat untuk menghalalkan  pemimpin gerombolan Ketuanan Melayu mencuri.

Pencuri dalam parti United Malays National Organisation berebut harta curian sesama sendiri. Dalam perebutan mencuri duit ini  terpelanting keluar Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Anwar Ibrahim melaung  menjerit yang dirinya telah dizalimi. Anwar membawa kembali  cerita Ahmad Boestamam, cerita Burhanuddin Helmi dan cerita Abdullah CD. Anwar telah melaungkan cerita reformasi kerana dia telah terpelanting keluar dari gerombolan yang berkuasa.

Dengan terpenjaranya Anwar mencuri terus berlaku dalam United Malays National Organisation.  Malah pencuri semakin berani mencuri secara terbuka.  Akhirnya sekali  lagi pencuri berebut sesama sendiri. Kali ini Mahathir Muhamad pula terpelanting keluar. 

Ketika Mahathir terpelanting keluar muncul cerita baru. Cerita ini ialah cerita 1MDB. Cerita 1MDB telah di jaja ke hulu ke hilir. Cerita Mei 13 kelihatan mengendur kerana kali ini yang mencuri bukan China tapi Melayu.

Maka cerita Menangkap Pencuri disebar ketika berkempen  di  PRU14 pada tahun 2018. Cerita tangkap pencuri ini  sama seperti  cerita  rakyat Perancis, sama seperti cerita warga Rusia  yang ingin membelasah Czar dan Raja mereka  yang selama ini menipu dan mencuri harta rakyat.

Tangkap Pencuri menjadi cerita  baru yang melekat pada sanubari orang ramai dan bakal pengundi. Cerita ini sama seperti cerita  yang dibawa oleh Boestamam, sama seperti cerita yang dibawa oleh Reformasi Anwar Ibrahim. Cerita duit 1MDB telah dicuri mendapat sokongan yang ampuh dari orang ramai.

Akhirnya  cerita  1MDB dan tangkap pencuri  yang dibawa oleh Mahathir telah mengubah landskap politik Malaysia. United Malays National  Organisation yang berdekad-dekad  berkuasa  telah dikalahkan pada 10 Mei 2018.

Kekalahan United Malays National Organisation membolehkan lembaga  rasuah,  lembaga kehakiman , polis dan mata-mata bergerak untuk menangkap pencuri.

Selama ini dengan kuasa di tangan para pencuri telah selamat.  Bukan sahaja tidak ditangkap malah sesiapa yang cuba menimbul cerita  curi  duit 1MDB akan dikenakan tindakan.

Cerita Tangkap Pencuri bernama Najib Razak berjaya. Najib didakwa dan dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara kerana mencuri duit 1MDB.

Dalam PRU14 pengundi mendengar cerita duit 1MDB kena curi. Pengundi hendak melihat  tertangkapnya pencuri. Keinginan dan keberahian  hendak melihat pencuri ditangkap  telah menjadikan  pengundi bersedia memberi undi kepada Pakatan  Harapan. 

Justeru  apa pula cerita  baru yang wajib dibawa untuk PRU15?

Pada hemat saya cerita pencuri ini masih belum tamat.   Ianya seolah-olah mandul terbantut ditengah jalan. Justeru cerita  pencuri duit 1MDB ini wajib diolah kembali.  Cerita ini wajib digoreng seperti kesah Nabi Musa melintas Laut Merah. Seperti cerita Lenin dan Trotsky mahu menghapuskan sistem feudal kaum kerabat Czar Nicholas. Sama seperti cerita rakyat Perancis berahi hendak melihat leher  King Louis  dan Pemaisuri  Marie Antoinette dipenggal.

Apa agaknya  keberahian pengundi dalam PRU15 ini ?

Pada hemat saya cerita pencuri duit  1MDB belum masuk ke babak akhir.  Pengundi masih tertunggu-tunggu seperti warga Perancis menunggu untuk melihat kepala Marie Antoinette putus dipenggal.

Justeru adalah menjadi  tanggung jawab kita semua untuk membuka babak terakhir cerita pencuri duit 1MDB ini.

Babak ketiga - babak akhir ialah di mana rakyat Malaysia  mahu melihat Najib masuk penjara. Ini cerita akhir  1MDB. Kepala Louis putus dan Nicholas dibedil mati.  Kita pengundi Malaysia lebih sopan. Kita tidak akan memenggal leher Najib. Rakyat Malaysia yang akan mengundi dalam PRU15 hanya  mahu  melihat Najib masuk penjara.

Kita berjanji kepada bakal pengundi bila Pakatan Harapan menang dalam PRU 15  Najib akan masuk  penjara. Khalas.  

Dalam PRU 13 pengundi mendengar  cerita Anwar dizalimi. Dalam PRU 14  mendengar cerita Najib mencuri duit 1MDB.  Justeru PRU 15 pengundi mahu melihat cerita Najib masuk ke dalam penjara – tangkap dan dakwa semua pencuri.

Dalam PRU14  slogan cerita Pakatan ialah : Pakatan Menang Kecuali Di Tipu. 

Untuk PRU15 slogan cerita Pakatan :  Kita Menang Masukan Pencuri ke Penjara. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
DAN
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/615361
DAN
 https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/372951








Tiada ulasan:

Catat Ulasan