SELAMAT
TINGGAL
TEMPURUNG
Perjalanan ke Utara bermula. Lee Keong dan aku dua sosok bekas pengakap yang paling senior di sekolah akan memulakan budaya hitch hiking di Jelebu. Justeru kami tahu apa yang wajib kami bawa untuk memulakan perjalanan.
Budaya ‘ camping ‘ Pengakap telah mengajar kami untuk bersedia dengan barang-barang keperluan. Bezanya pengembaraan kali ini kami tidak membawa makanan. Tapi tin air tersangkut di beg sandang kami.
Tahun 1968 di Jelebu hanya ada satu jalan – 24 batu - dari Kuala Klawang ke Seremban. Ini menjadikan Kuala Klawang dikenal sebagai ‘pekan buang daerah’. Mahkamah selalu menjadikan Kuala Klawang pekan pilihan untuk samseng dan kaki busuk yang telah bebas dari penjara tapi masih dalam pemerhatian untuk ‘dibuang daerah ‘ ke Jelebu.
Jalan utama ke Jelebu ini biasanya lengang. Jarang jalan ini di lalui kereta. Bas Lim – pengangkutan BAS awam di Jelebu - melintas sejam sekali. Ada khidmat 5 buah teksi - dari Kuala Klawang ke Seremban. Teksi lalu sekali sekala. Ada dua tiga buah teksi sapu – teksi tanpa lesen untuk perjalanan ke kampung-kampung dari pekan Kuala Klawang.
Tidak ramai ‘ Orang Jelebu’ memiliki kereta. Pegawai kerajaan, guru sekolah dan beberapa orang peniaga China yang memiliki kereta. Malah kereta di Kuala Klawang bukan saja di kenali warna, jenis dan numbor malah tuan pemiliknya pun di kenali.
Destinasi pertama kami ialah keluar dari tempurung Jelebu dan masuk ke bandar Seremban.
Aku memilih hari Sabtu pagi untuk memulakan perjalanan. Ini dengan harapan akan ada kereta dari Kuala Klawang ke Seremban. Kami berharap akan ada pegawai kerajaan yang ingin bercuti ke Seremban.
Untuk aku pada tahun 1968 – Seremban ibu kota Negeri Sembilan adalah sebuah pekan yang amat besar. Kalau ada kawan-kawan di sekolah yang pergi ke Seremban menengok wayang ketika Hari Raya – mereka akan dianggap hebat.
Budaya hitch hiking atau tumpang-tumpang kereta ini baru bermula dan sedang popular. Aku pernah mendengar kesah dan cerita bagaimana anak-anak muda dari Eropah yang berjalan mengelilingi dunia dengan cara menumpang-numpang.
Ketika ini juga budaya hippie sedang merebak. Sebagai bukti merebaknya budaya hippie ini ialah popularnya lagu San Francisco nyanyian Scott McKenzie. Lagu ini selalu menjadi lagu permintaan dan berkumandang di radio Malaysia saluran Inggeris.
Aku mendengar hadis yang kurang sahih bahawa hippie Orang Putih telah menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat persinggahan utama mereka apabila turun dari kapal laut dari Madras India.
Pada tahun 1968 ini juga Perang Vietnam sedang rancak berjalan. Dari apa yang aku dengar ramai hippie ini adalah anak-anak muda dari Amerika. Mereka meninggalkan Amerika - lari menyeludup ke Canada. Mereka melarikan diri dari menjadi ‘ soldadu paksaan’ tidak mahu pergi berperang ke Vietnam.
Anak-anak muda ini dipanggil ‘draft dodger’. Mereka enggan dipaksa menjadi soldadu untuk berperang di Vietnam. Falsafah hippie ini ialah ‘peace not war’ - perdamaian dan menolak perang. Simbol perdamaian hippie adalah dengan mengangkat jari telunjuk dan jari tengah untuk menjadi huruf V.
Pada pagi Sabtu itu Lee Keong dan aku bertemu di stesen bas Lim dalam pekan Kuala Klawang. Kemudian kami menapak ke arah jalan besar ke Seremban.
Apa yang Lee Keong dan aku lakukan pada pagi Sabtu itu ialah memulakan budaya hitch hiking di Jelebu. Kami berdua – budak China dan budak Melayu - adalah sosok pemula yang menapak jalan dan mencuba nasib untuk tumpang-tumpang kereta mengembara ke Utara.
Sampai ke mana kami tuju belum begitu pasti. Tapi Kangar Perlis adalah dalam perhitungan kami. Tujuan kami untuk melawat Mrs Ali Abu Bakar – guru kami yang telah berpindah ke Kangar Perlis.
Umur kami belum melintas 17 tahun. Kami masih berseluar pendek. Dengan beg tersandang di tengah belakang pasti pemandu kereta dari jauh akan bersimpati melihat kami. Mungkin juga pemandu kereta menjangkakan kami ini budak pengakap.
Pagi itu kami menapak keluar dari wilayah pekan. Tidak ada kereta lalu. Kami menapak lagi dan melintas kawat berduri yang memagari Kuala Klawang ketika dalam Zaman Darurat. Kami telah masuk ke wilayah Kampung Tembun
Di jalan lurus kami berhenti. Aku merasakan ini tempat strategik. Dari jauh pemandu akan melihat kami. Betul nasib kami baik. Baru setengah jam di jalan telah ada sebuah kereta di jalan.
Aku menggenggam tangan menonjolkan ibu jari berkali-kali sebagai arah ke hadapan. Pemandu ini faham.
Aku ingat lagi kereta yang pertama berhenti. Kami kenal siapa dalam kereta ini. Mister Lim Kim Kee dan pembantunya. Mister Lim ialah Yang Berhormat wakil rakyat untuk kawasan Kuala Klawang.
Dalam kereta tak banyak kami bercerita. Hanya ditanya kami hendak ke mana. Aku menerangkan kami menunggu keputusan peperiksaan. Kami hendak ke Pulau Pinang.
YB Lim ada urusan resmi di Seremban. Kami diturunkan di pinggir kota Seremban. Keluar dari kereta aku tersenyum. Aku memandang muka Lee Keong.
‘ Tak susah nak dapat kereta laaa...’ Aku ketawa.
Di Seremban kami berjalan ke arah Temiang. Jauh juga kami berjalan kerana Seremban ini pekan besar. Di wilayah Temiang kami mencari jalan lurus. Jalan Seremban ke Kuala Lumpur ini amat sibuk. Banyak kereta, bas , lori dan motosikal. Baru aku sedar lagi banyak kereta lagi susah untuk hitch hiking.
Lama kami berdiri di tepi jalan - hampir satu jam. Aku bersabar tercegat di tepi jalan. Beg sandang aku letakan di gigi jalan . Sebuah kereta berhenti.
‘ Nak ke mana...’ Pemandu bertanya.
‘ Klumpo... leh numpang...’
‘ Sampai Beranang je... kalau nak... naiklah..’
Abang yang baik hati ini dari Beranang. Dia datang ke Seremban ada hal. Apa halnya tidak aku tanya.
‘ Klumpo tak jauh dari sini... banyak kereta nak ke Klumpo...’ Kata akhir dari Abang Beranang ketika dia meninggalkan kami di hadapan Rumah Pasung. Kami berterima kasih.
Betul kata Abang Beranang itu. Kami tak lama menunggu di Beranang - sebuah kereta sampai. Pak Cik China berhenti dan mengambil kami untuk ke Kuala Lumpur.
‘ Mana lu olang nak pegi ? Pak Cik China pelat Melayu bertanya.
‘ Penang...’ Lee Keong menjawab.
‘ Nak stop KL mana...’ Pak Cik China bertanya lagi.
‘ Bas stesen Foh Hup....’ Aku menjawab. Aku kenal biasa wilayah ini kerana telah beberapa kali aku datang dari Seremban ke Kuala Lumpur. Ini perhentian akhir bas Foh Hup dari Seremban.
‘ Ooo .. itu Yalan Pudu...’ Pak Cik China menjelaskan.
Hari telah agak petang bila kami mengucapkan terima kasih kepada Pak Cik China. Kami turun di hadapan Stesen Bas Foh Hup. Dari sini kami menapak ke Foch Avenue. Di hujung jalan Foch ada perhentian bas Sri Jaya.
Kemudian kami mengambil bas Sri Jaya ini untuk kuarters TUDM ( Tentera Udara Di Raja Malaysia) terletak di belakang Lapangan Kapal Terbang Sungai Besi.
Malam itu kami bermalam di rumah Kak Lang aku. Suami Kak Lang aku anggota tentera udara. Dulu bertugas di RAF ( Royal Air Force) di Tengah Singapura. Bila Singapura keluar dari Malaysia mereka pulang ke Kuala Lumpur.
Esok paginya sesudah sarapan kami naik bas kembali ke Foch Avenue. Ini kelam kabut sedikit. Kami tak tahu arah dan jalan mana ke utara. Menapak ke hulu ke hilir. Kuala Lumpur wilayah baru untuk dua orang budak kampung dari Jelebu.
Untuk dijadikan cerita kami terserempak dengan sosok orang Jelebu. Abang yang bekerja sebagai Pegawai Pengangkutan Sri Jaya. Dia kenal muka aku – kutu dari Jelebu - kini tersesat di Kuala Lumpur.
‘ Nak ke mana....’ Abang bertanya.
‘ Ke Utara...North...’ Aku menjawab.
‘ Tak ke South ....’ Dia melawak.
Abang ini menapak bersama kami untuk beberapa minit. Kami mengekori dari belakang.
‘ Kau terus masuk jalan depan tu... itu Jalan Ipoh... terus ke depan... itu arah ke Utara...kau kena keluar dari sini... jauh juga...jangan belok belok...’ Abang memberi arah jalan kepada kami.
‘ Terima kasih...’ Aku bersuara.
‘ Bila nak ke South...’ Dia melawak lagi sambil melambai tangan.
Jauh juga kami menapak. Bandar Kuala Lumpur beratus kali besarnya dari pekan Kuala Klawang. Beg sandang di tengah belakang agak ringan. Tapi kami wajib menjinjing khemah pengakap yang telah kami pinjam dari guru pengakap Mister Gama Khan. Kami bergilir menjinjing khemah yang agak berat ini.
Kami meredah cuba keluar dari kota Kuala Lumpur. Semuanya aku lihat untuk kali pertama. Aku belum pernah sampai ke wilayah ini.
Jalan penuh dengan kereta. Pengalaman telah mengajar kami - jalan yang banyak kereta bukan bermakna senang dapat menumpang.
Berpeluh juga kami menapak mencari jalan lurus yang strategik untuk mencuba nasib. Aku berdiri di gigi jalan dengan genggam tangan dan jari menunjuk arah ke hadapan. Tidak ada kereta berhenti.
Semangat pengakap aku timbul. Aku wajib terus bersabar. Sudah lebih dari satu jam kami menunggu. Semangat belum patah. Tertiba sebuah kereta berhenti.
‘ Depan... Rawang... boleh....’ Abang India mempelawa kami naik dalam kereta Morrisnya.
Aku tak tahu apa itu Rawang. Berapa jauh dari Kuala Lumpur. Yang penting kami keluar dari jalan yang banyak kereta.
‘ Kamu berdua mau pegi mana..’ Abang India dengan Bahasa Melayu yang baik bertanya matanya tidak memandang kami. Aku duduk disebelahnya dan Lee Keong di belakang.
‘ Penang...’ Aku menjawab pantas.
‘ Juah... dari mana ..’ Abang India bertanya.
‘ Kami dari Jelebu ... tunggu result exam...nak tengok Penang...’ Aku menerangkan.
‘ Berani ya... nanti tidur dimana..’ Dia bertanya.
‘ Tak tahu dimana... cari tempat camping.... kami ada khemah...’ Lee menjawab.
Di pekan Rawang dekat dengan kuil Hindu kami diberhentikan. Tengah hari hampir berlalu. Aku terasa lapar. Nak ke gerai makan kami tak tahu di mana. Di hadapan kami ada kedai makan China. Lalu kami singgah. Kami makan mee celup - 30 sen semangkuk.
Pekan Rawang kecil macam Kuala Klawang. Kami menapak untuk meneruskan perjalanan. Di luar pekan kami menunggu kereta lalu. Nasib kurang baik. Mungkin hari Ahad tak banyak kereta mengarah ke Utara atau ke Ipoh.
Sebuah kereta berhenti. Pak Cik India mengajak kami masuk ke dalam kereta.
‘ Nak ke mana ? Pemandu membuka kereta dan bertanya.
‘ Ipoh...’ Lee menjawab.
‘ Nak ke Batang Kali.... nanti sambung lagi... ‘ Dia mempelawa masuk. Kami yang dah lama menunggu tidak menolak. Lee duduk di hadapan. Aku di belakang.
Hari dah petang tapi langit cerah lagi. Aku rasa tak samai satu jam dalam kereta kami sampai ke Batang Kali.
‘ Terima Kasih Uncle...’ Kami ditinggalkan tak jauh dari jambatan sebatang sungai.
Kami menapak. Matahari sudah merudum jatuh. Aku merasa agak gelisah. Kami menapak ke hadapan. Dari batu tanda aku terbaca 12 batu ke Kuala Kubu Bharu. Tak jauh tapi hari makin petang. Aku merasa mungkin kami akan bermalam di Batang Kali.
Kami di jalan lurus tidak ada kereta lalu. Dari jauh kami nampak jeep berwaran hijau – milik tentera.. Aku pandang Lee dan dia pandang aku. Nak cuba jeep askar. Dalam hati aku berkata: tak cuba tak tahu – mencuba tidak salah.
Aku tegak berdiri dengan beg sandang tersangkut di bahu. Tangan aku memberi signal hendak menumpang. Bayangkan betapa gembira hati aku bila jeep ini berjalan perlahan dan berhenti di hadapan kami.
Aku berlari ke hadapan. Dari baju uniform yang dipakai aku tahu dalam jeep ini ada seorang pegawai dan seorang pemandu.
‘ Nak ke mana..’
‘ Ke Ipoh....’ Kau menjawab.
Kami meloncat masuk dan duduk di bahagian belakang jeep. Tak sampai satu am kemudian kami berada di pintu pagar kem askar Kuala Kubu Bahru. Kami tidak pun singgah dalam pekan.
Kami merasa hairan kerana dibawa masuk ke dalam kem askar dan tidak ditinggalkan dalam pekan.
‘ Dah lewat petang... takda kereta petang Ahad ke Ipoh..’
‘ Mana nak tido...’ Aku bertanya.
‘ Jangan risau... tido dalam kem.. ada banyak katil kosong... ’ Abang Pegawai meredakan ketakutan kami.
Aku dan Lee merasa lega kerana malam ini kami tahu mana nak tidur.
Abang Pemandu membawa kami ke satu dewan tidur. Ini berek askar yang kosong. Kemudian dia beredar. Kami meletak beg dan terbaring di atas katil sebentar.
Tertiba Abang Pegawai muncul di hadapan pintu berek.
‘ Kalu nak makan .. pergi ke mess... pasti ada makanan lagi... tepi sana tandas kalau nak basuh tangan..’ Abang Pegawai memberi penerangan .
Aku ingat lagi mess telah kosong. Tukang masak dan pekerja dapur masih ada. Bila Abang Pegawai sampai semua berdiri tegak.
‘ Beri mereka berdua apa yang ada...’ Abang Pegawai memberi arahan.
Aku ingat lagi malam itu kami makan nasi dengan gulai daging. Sesudah makan kami pergi ke Pejabat Abang Pegawai.
Pejabat dari zink. Tidak banyak perabot. Kerusi meja , telefon dan beberapa fail. Bukan macam bilik Guru Besar.
‘ Isham dan Lee ... kem ini tempat latihan askar... esok kamu boleh ke pekan dan dari sana boleh sambung ke Ipoh...’ Aku tak sangka Abang Pegawai ini boleh ingat nama kami berdua yang hanya kami sebutkan sekali ketika masuk ke dalam jeep.
Aku terfikir : Abang Pegawai ini terlatih. Sekali sebut nama dia sudah ingat, Tapi aku tidak tahu apa pangkatnya.
Malam itu kami tidur atas katil askar, kain cadar dan kain selimut askar berwarna gelap hijau. Ketika kepala aku di atas aku teringat akan kem Gurkha yang sering aku lihat tetapi tidak pernah aku bermalam dalam kem. Kali ini aku sendiri sempat bermalam dalam kem askar di Kuala Kubu Bharu.
Ini berlaku sesudah zaman Darurat, sesudah zaman Konfrontasi. Malaysia sedang aman damai.
Esok Lee Keong dan aku akan meneruskan perjalanan ke Ipoh. TT
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/03/30/selamat-tinggal-tempurung/
Cuba cerita sikit partner hitchhiking ko sekarang buat apa? Buat bisnes hitchhiking ke?
BalasPadam