Zelensky kecam Nato lemah, tolak zon larangan terbang Ukraine
PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky mengecam tindakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menolak zon larangan terbang ke atas negaranya, berkata pakatan tentera Barat itu tahu kemungkinan pencerobohan Russia yang seterusnya.
Semalam Nato menolak permintaan Ukraine untuk mengenakan zon larangan terbang bagi menghentikan pengeboman Russia, namun sekutu Barat memberi amaran kepada Presiden Vladimir Putin berkenaan sekatan baharu jika beliau tidak menghentikan perang.
“Mengetahui serangan dan kehilangan lagi nyawa tidak dapat dielakkan, Nato sengaja memutuskan untuk tidak menutup ruang udara Ukraine.
“Kami percaya negara Nato sendiri mencipta naratif penutupan ruang udara Ukraine akan mencetuskan pencerobohan langsung Russia terhadap Nato,” kata Zelensky menerusi video diterbitkan pejabat presiden.
Sementara itu, Ketua Nato Jens Stoltenberg berkata pakatan itu tidak akan campur tangan dalam konflik berkenaan kerana bimbang akan berlaku pertembungan langsung dengan Moscow yang boleh berlanjutan ke konflik lebih luas.
“Satu-satunya cara untuk melaksanakan zon larangan terbang ialah menghantar pesawat pejuang Nato ke ruang udara Ukraine dan kemudian mengenakan zon larangan terbang itu dengan menembak jatuh pesawat Russia,” katanya selepas mesyuarat tergempar itu.
Beliau dilaporkan berkata jika pihaknya berbuat demikian, ia boleh berakhir dengan peperangan.
“Ini kerana jika kita berbuat demikian, kita hanya akan mengakhirinya dengan sepenuhnya perang di Eropah dan membabitkan lebih banyak negara serta menyebabkan lebih banyak penderitaan manusia,” katanya.
Bagaimanapun Zelensky bertegas, perhimpunan Nato itu sidang kemuncak yang lemah serta mengelirukan.
“Semua orang akan mati mulai hari ini dan kematian itu disebabkan anda. Ia kerana kelemahan anda, kerana memutuskan pertalian.” – AFP, 5 Mac, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan