Terengganu larang persembahan dangdut? Penganjur kata tak tahu
PENGANJUR satu acara sambutan hari jadi di sebuah hotel di Kuala Terengganu kesal kerana program itu dituduh sebagai acara pesta dangdut yang melanggar undang-undang.
Ia ekoran penularan rakaman video menampilkan penyanyi wanita berpakaian ketat dan singkat di acara itu yang menyebabkan program tersebut disiasat kerajaan negeri.
Penganjur acara tersebut, Rohana Dol berkata acara tersebut diadakan pada Jumaat lepas atas pemintaan seorang lelaki bagi menyambut ulang tahun kelahiran isterinya.
“Saya adakan program ini kerana ingin tolong rakan yang mahu kejutan kepada isterinya.
“Saya tidak rasa ia merupakan satu kesalahan sebab program ini merupakan program tertutup yang hanya dihadiri kenalan terdekat sahaja.
“Ia tidak seharusnya ditularkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rohana mengakui acara sambutan hari jadi bertemakan “dangdut ala padang pasir” tersebut menampilkan artis berpakaian ketat dan singkat seksi.
Anak kelahiran Terengganu itu berkata, beliau tidak maklum mengenai Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu yang melarang perkara itu.
“Saya tidak tahu wujudnya peraturan tersebut, lagipun ia merupakan acara tertutup jadi saya rasa taklah salah untuk buat program begini
“Kalau saya salah kenapa Terengganu ini boleh ada pusat karaoke? Maksudnya saya tidak salahlah,” katanya.
Jurucakap hotel terlibat juga mendakwa tidak mengetahui penganjur yang melibatkan persembahan seumpama itu di premis terbabit.
Kakitangan tersebut yang tidak mahu dinamakan berkata pengurusan hotel hanya dimaklumkan mengenai penganjuran makan malam bagi sambutan hari jadi sahaja.
“Kita tidak tahu, ada pesta dangdut dalam acara tersebut yang kita dimaklumkan hanya untuk sambutan hari jadi.
“Walaupun kita telah meminta aturcara majlis daripada pihak penganjur tapi mereka tidak beri kepada kami sehingga lah pada malam acara tersebut,” katanya.
Jurucakap itu berkata mereka membuat laporan polis sebaik sahaja mengetahui acara terlarang itu berlaku.
“Saya amat kesal kerana pihak hotel dituduh kerana sebenarnya kami sendiri tidak tahu adanya pesta tersebut.
“Kalau kami tahu sudah tentu kami tidak akan benarkan acara demikian dibuat,” katanya.
Kerajaan Terenganu kini menyiasat perkara tersebut dan akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan hotel berkenaan untuk mendapatkan penjelasan hari ini.
Exco Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan Mohd Nor Hamzah dilaporkan berkata acara tersebut juga tidak wajar dilakukan sewaktu umat Islam bakal menyambut Ramadan.
Beliau sedia mendengar penjelasan penganjur yang mungkin tidak maklum mengenai peraturan berkenaan, katana seperti dilaporkan media semalam.
“Mungkin mereka tidak tahu garis panduan baharu. Kita sedia mendengar dan beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan jika ada kelemahan tertentu, ” katanya.
Persembahan dangdut itu dirakam dalam video sepanjang kira-kira 25 saat yang mengabadikan aksi nyanyian dan tarian seorang artis bersama berapa individu di atas pentas.
Rakaman tersebut dikesan tular di kalangan pengguna media sosial di Terengganu dan menimbulkan pelbagai kritikan.
Garis panduan yang melarang aksi dangdut seperti itu dilancarkan Terengganu pada Mac 2020 mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002,
Ia antara lain menggariskan panduan kepada penggiat dan pengamal seni kebudayaan Muslim supaya berpakaian menutup aurat dan kepada bukan Islam untuk berpenampilan sopan.
Artis wanita pula hanya dibenarkan membuat persembahan sekiranya berusia 12 tahun ke atas dan hanya kepada khalayak wanita.
Namun ia terkecuali bagi persembahan berunsurkan keagamaan dan patriotik atau persembahan berkumpulan seperti koir.
Garis panduan itu juga menetapkan pakaian artis, tatarias dan dandanan rambut tidak menyerupai jantina yang berlainan.
Individu dikaitkan dengan kontroversi melibatkan aktiviti Lesbian Gay Biseksual dan Transeksual tidak dibenarkan membuat persembahan. – 2 April, 2022.
Pastinya bukan ahli pas. Entot ni budaya abam. Anak buah pun tiada hal sebab bos minat. Tazkirah tiada oleh liberal.
BalasPadam