CEO antara 8 individu ditahan kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion
KETUA pegawai eksekutif (CEO) syarikat dan pemilik syarikat adalah antara lapan individu yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek-projek milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan antara 2017 hingga 2021.
Sumber itu berkata CEO itu bersama lima yang lain ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya manakala dua lagi termasuk seorang pemilik syarikat ditahan di SPRM Sarawak semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.
SPRM hari ini membuat permohonan reman terhadap enam individu di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya dan dua individu di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.
CEO itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini manakala empat lagi direman lima hari selepas permohonan reman itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sementara di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkami membenarkan permohonan reman lima hari terhadap pemilik syarikat, dan reman dua hari terhadap seorang pengarah syarikat kejuruteraan.
Susulan penahanan itu, sumber SPRM itu berkata 12 akaun syarikat dan individu dibekukan selain beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 kenderaan mewah, pelbagai mata wang tunai, jongkong emas, jam tangan mewah dan beg tangan mewah.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – Bernama, 8 April, 2022.
Amin setuju, yang bilis bilis saja masuk terus, jerung semua boleh tangguh tangguh macam Pak Nojib Nothing kah kah kah semua beres, kowtim dulu kalau dapat, settle, banyak kes tangkap tangkap kemudian terus hilang, kah kah kah tangkap bermakna salah, siasat settle settle pun ada lah inikan Malaysia Boleh asal ada Pulus semua jalan Beb, Mat Remput tak ada pulus kah kah kah
BalasPadam