Selasa, 31 Mei 2022

KENAPA HARGA AYAM NAIK



 KENAPA HARGA

 AYAM  NAIK 


Seminggu ini kita heboh dengan berita harga ayam naik. Harga bahan makanan naik. Kadang-kadang ayam daging tidak ditemui di pasar yang ada hanya ayam pencen. Ayam jadi induk berita. Ini diikuti pula oleh harga tepung naik. Maka harga roti canai naik. Maka harga  roti buku pun naik. 

Bila harga barang naik maka media mula menjaja berita inflasi. Heboh kita dengan inflasi.

Awal tahun 70’an saya mula  berkenalan dengan perkataan inflasi. Pada awalnya ramai tak faham akan  makna perkataan ini. Maka di buat lawak : inflasi makan nasi basi.

Hari ini perkataan inflasi   dikaitkan dengan  kenaikan  harga barang. Pemahaman ini betul   tetapi inflasi  lebih dari kenaikan harga barang.  Ada sebab musabab yang melahirkan inflasi.

Sayangnya dalam hidup kita ini banyak hal kehidupan kita hanya kenal-kenal China. Kita memahami  tapi tidak terperinci. Faham tapi tidak mendalam dan tidak tuntas.

Saya bukan pakar ekonomi. Saya juga  cuba memahami apakah itu inflasi. Saya juga  mencari cari sebab musabab berlakunya inflasi.

 Pada tahun 70’an dulu sebelum inflasi datang melanda yang sampai dulu ialah   ‘hot money’.  Berita duit panas atau hot money sampai ini  muncul dahulu sebelum inflasi. Dari mana duit ini datang juga tidak jelas. Ada mengatakan hot money ini datang dari Vietnam. Ini lambakan duit dolar  Amerika yang ketika itu  sedang berperang di  Vietnam.

Kerajaan dan media milik kerajaan seperti biasa  menjalankan peranan membebalkan orang ramai. Tidak memberi pencerahan.


Siapa yang memegang hot money ini sampai hari ini saya masih belum tahu. Malah konsep hot money tahun 70’an ini saya masih tidak faham.

Ketika hot money  melanda  Perdana Menteri ialah Tun Razak. Dengan cekap dan pantas Tun Razak mewujudkan dasar Bumi Hijau.  Ini cara Tun Razak melawan hot money dan inflasi.

Apa dia Bumi Hijau ini?

Kerajaan Tun Razak menggalakkan semua tanah-tanah kosong ditanam dengan makanan. Ubi, keladi, keledek, lada, kunyit  - semua warga digalakkan bercucuk tanam bukan  secara meluas tapi di sekeliling rumah.

Kalau ada tanah lapang pelihara ayam dan itik. Untuk telor dan daging,

Sebenarnya  menanam  dan memelihara ayam itik ini  telah wujud dalam budaya hidup di kampung. Konsep ini  telah diguna pakai. Di Negeri Sembilan kawasan tanaman sayur mayur di tepi atau di belakang rumah dipanggil peraq.

Sayur mayur ayam itik  untuk makanan sendiri dan untuk jiran sekampung. Bertukar sayur dan tanaman antara jiran tetangga.  Malah jika ada lebih boleh di jual.  Ini menampung keperluan harga bahan barangan yang naik harganya.

Hari ini inflasi datang lagi. Saya memerhatikan ada pola dan ciri yang sama sedang berlaku. Pola dan ciri  yang telah dilihat berlaku pada tahun 70’an.

Pemahaman pertama kita tentang inflasi ialah duit banyak manakala barang jualan sikit. Maka harga barang jualan di pasar menjadi mahal. 

Ramai nak beli ayam tapi ayam tidak ada. Maka harga  ayam naik.  Duit ada barang tak ada.

Kenapa duit banyak dalam pasaran ? Kenapa barangan sikit dalam pasaran ?

Dari segi teori ekonomi kapitalis  bila ada permintaan maka akan ada penawaran. Tangan ghaib  akan muncul untuk mengimbangi penawaran dan permintaan.   Ini dinamakan kuasa  pasaran. Kuasa pasaran ini  menetapkan harga  barangan.

Dalam laporan  media hari ini - dalam kes ayam kita lihat tuduh menuduh mula berlaku. Pengguna menyalahkan pembekal. Pembekal menyalahkan peruncit. Peruncit dan pembekal marah pada kerajaan yang menetapkan harga.

Ayam salah satu barang di kawal.

Di Malaysia kalau pembekal dan pengilang dan peruncit Orang China dan pengguna Orang Melayu – dengan senang akan timbul perasan perkauman. 

China tipu Melayu.

Tapi apa sebenarnya berlaku?

Pertama inflasi dan turun naik  harga barang yang menimbulkan krisis  ekonomi adalah watak dan perangai  sistem ekonomi kapitalis. Setiap  10 atau 15 tahun akan berlaku krisis ekonomi. 

Inflasi dan harga bahan makanan naik bukan kerana peruncit atau pembekal itu China. Bangsa kaum dan agama tidak ada sangkut paut dengan  inflasi. Ini watak kapitalis untuk mendapat keuntungan maksimal.

Ketika saya menulis ini warga Iran sedang turun ke jalan raya membantah harga bahan makanan yang naik mendadak.  Di Iran pembekal dan peruncit bukan peniaga China. Di Iran - peniaga, pembekal peruncit atau dikenali sebagai  Bazari  semuanya Parsi   beragama Islam.  

Manifestasi krisis sistem ekonomi kapitalis  ini sedang kita lihat diseluruh dunia.  Warga hilang kerja,  kilang tutup, pengangguran  bertambah, harga barang jadi mahal.

Krisis ekonomi akan menimbulkan krisis politik.  

Jangan lupa krisis ekonomi  tahun 1998. Di Indonesia  Jeneral Suharto di jatuhkan. Di Malaysia  Anwar Ibrahim dibuang dari jadi Menteri. Dua babak  yang kita alami  adalah manifestasi dari krisis sistem ekonomi kapitalis.

Ingat tahun 2008 – sistem ekonomi kapitalis ini hampir runtuh.  Dunia kapitalis hampir meledak pecah.  Bank dan syarikat gergasi – too big to fail –  besar sangat  mustahil runtuh – kini lungkup jatuh muflis,
Dengan cepat Presiden  Obama  mengeluarkan 700 bilion dolar untuk ‘ bail-out’. Ingat Lehman Brothers runtuh lungkup terbarai terus tutup kedai.  

Jangan lupa di Malaysia kerajaan beri bantuan untuk beli Proton. Sapa ada Proton lama boleh tukar dapat voucher bernilai 10,000 ringgit untuk beli Proton baru.

Sakit perit dan luka krisis ekonomi tahun  2008 masih belum pulih dunia. Tapi  kaum  kapitalis berkenduri seperti biasa. Krisis  datang sekali lagi. Kali ini lebih parah dari hot money, lebih ganas dari zaman Lehman Brothers dalam  era bail-out.


Setiap kali krisis berlaku ianya semakin parah. Krisis ekonomi tahun 2008 membawa ledakan  kenaikan harga  barang di Tunisia. Krisis ini  melahirkan Mohamed Baouazizi yang membakar dirinya dan meledaknya Arab Spring pada 2011.

Apakah saya ini membawa surah-surah setan  untuk menakutkan pembaca. 

Panggillah apa sahaja – ayat setan atau ayat pesimis – apa yang ingin saya nyatakan  disini adalah satu jalur pandangan yang wajib diutarakan.  Jalur pandangan yang wajib kita ketahui untuk memahami kenapa harga barang naik.

Masanya  sudah sampai untuk kita memahami dan hadapi apa yang berada dihadapkan mata kita. Jika di hadapan kita ada hantu ada polong – setan dan jembalang – kita wajib bangun segak dan hadapi semua ini. 

Jangan menyorok, jangan berkhayal , jangan berangan-angan. Apa yang berlaku di hadapan mata kita adalah perbuatan  kita sendiri. Semua yang terjadi hari ini adalah jawapan kepada apa yang telah kita lakukan sebelumnya.

Krisis ekonomi tahun 2022 ini lebih menakutkan dari krisis 2008. Inflasi kali ini lebih berat, lebih meluas dan lebih memusnah. Akibatnya akan lebih parah terhadap umat manusia.

Punca awal bermula dari Wuhan provinsi China. Pada 31 Disember 2019 dilaporkan virus baru telah dikenal pasti. Virus ini merebak ke seluruh dunia.  Pada  11 Mac 2020 WHO ( Badan Kesihatan Dunia ) mengumumkan pendemik ke seluruh dunia.

Ini bukan bala pertama wabak yang menimpa umat manusia. Pada tahun 1918-1920 Spanish Flu telah melanda Eropah. Antara 25 ke 50 juta tewas. 

Virus Wuhan ini menetas  dalam bilik makmal. Virus dari kelawar terlepas dari jagaan makmal terus membaham manusia.

Virus Wuhan menjerut nyawa 6.5 juta warga dunia. Virus  ini meragut  nyawa 36,656 warga  Malaysia – ini angka  pada 25/5/2022 dari data Kementerian Kesihatan Malaysia.

Virus Wuhan telah memporak perandakan ekonomi dunia.  China adalah  kilang produksi dunia terhenti. Apabila kilang di China  ditutup, rantaian  bekalan untuk dunia terputus.

Dengan mata kepala kita  berupaya melihat kedai-kedai di pekan dan bandar di sekeliling wilayah kita ditutup. Iklan rumah kedai untuk dijual atau disewa terpampang disana sini. Kemudian kita baca berita kilang itu dan kilang ini ditutup. Ramai hilang kerja.

Bila tak ada kerja  Si Penganggur tidak mampu membayar pinjaman bank. Kereta kena tarik. Rumah kena lelong.  Sewa tak mampu dibayar  maka terpaksa hidup di jalan raya. Ini sedang berlaku. Hutang bertambah.

Peniaga kecilan, peniaga pertengahan tanpa sokongan modal yang lumayan adalah kelas pertama tutup kedai.  Mereka  ini ada nadi dan aliran darah dan rantai  dalam sistem ekonomi kapitalis.  

Rumusannya serangan virus Wuhan selama tiga tahun ini membawa dampak yang mendalam terhadap permintaan, penawaran dan pembekal produk.

Pertengahan tahun 2022 kesan virus Wuhan ini semakin kendur dan mula  mengenap. Dunia  dan kita semua merasa berada  di landasan pemulihan. Sana sini berita gembira sampai.
 
Virus Omicron pengganti Delta dilihat tidak lagi ganas. Akhirnya kita di Malaysia menamatkan PKP  ( Perintah  Pergerakan Kawalan ) yang bermula pada  18 Mac 2020 dan tamat pada 31 Disember 2021. 

Serangan virus Wuhan makin reda diseluruh dunia. Hidup semakin pulih seperti tahun 2019.

Tup tup -  tertiba pada 24 Februari  Perang Ukraine pecah. Rusia melancar operasi bersenjata terhadap Ukraine.  Seperti  dirancang – manusia ini menghadapi satu bala lepas satu bala.

Rantaian pembekal makanan baru  hendak mengatur kapal keluar  masuk kini berhadapan dengan bala yang baru.

Apa sangkut paut semua ini dengan harga ayam yang ditetapkan antara 8 ke 9 ringgit sekilo ?  

Dalam sistem ekonomi kapitalis yang menetapkan harga ialah tangan ghaib i.e pasaran. Bila Kementerian Hal Ehwal Pengguna jadi tangan ghaib maka  pasaran terganggu. Dengan magic ayam hilang dari pasaran. 

Menteri pengawal barang dilihat Menteri Melayu – pembekal, pemborong dilihat China. Sekali lagi  perasan perkauman muncul.  Disini muncul tuduh menuduh.  Kedua-dua Menteri dan pembekal tidak menerangkan bahawa  apa yang berlaku adalah ciri dan pola sistem ekonomi kapitalis.
Kaum kapitalis akan menahan pengeluaran apabila dilihat keuntungan maksima mereka tidak  dapat  amal jariah. Kapitalis berniaga untuk mendapat untuk maksima. 

Pemahaman keuntungan maksima ini wajib ditanamkan kepada semua pengguna –  anak semua bangsa – bangsa semua agama -  agar mereka sedar apa itu sistem ekonomi kapitalis.

Perang di Ukraine  juahnya  beribu batu  dari pasar  Chow Kit. Kita  tidak berperang.  Tidak ada bom meledak di Jalan  Raja Alang. Tapi dampaknya sampai. Kesannya di rasakan. Semua bertanya  kenapa ayam naik harga.  Tunggu minggu hadapan untuk jawapan. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/383911


3 ulasan:

  1. Ayam naik harga sbb ramai tak mkn itek. Kalu ramai pengguna beli itek harga ayam akan turun. Kehkehkeh

    BalasPadam
  2. Tahu sapa kontrol negara ini ? Bukan PM bukan parti united kah kah semuanya di kontrol cukong, tauke, businessman belakang tirsi, sebab mereka penjana money kah kah kenapa Najiba ada Jho Low, kenapa Anwar ada Cina , kenapa Mahathir ada tauke, jadi jangan jenis lebih lebih sangat, apa apa pun tsuke kena untung, politik ini halalkan apa tauke nak ITU saja kah kah jah

    BalasPadam