RUMAH PERDANA MENTERI
DI BAKAR
Di Malaysia kita pernah mengalami zaman Najib sebagai Perdana Menteri, isteri Najib Rosmah Mansor sebagai First Lady dan Hishammuddin Hussein sepupu Najib sebagai Menteri Pertahanan.
Ini watak politik negara Dunia Ketiga yang setengah kolonial dan setengah feudal. Malah sistem feudal yang masih tebal di Malaysia berjalan seiring dengan sistem demokrasi berparlimen – Demokrasi Raja Berperlembagaan.
Ini juga watak politik dan sosio budaya feudal di Sri Langka. Malaysia dan Sri Langka dua negara bekas tanah jajahan Inggeris memiliki banyak persamaan. Sri Langka ada pilihanraya seperti di Malaysia. Sri Langka ada Parlimen, ada Perdana Menteri dan ada menteri kabinet seperti di Malaysia.
Di Sri Langka ada Presiden manakala di Malaysia kita ada Perdana Menteri tidak ada Presiden tapi ada Agong – Raja Berperlembagaan.
Di Malaysia jumlah menteri kabinet berubah. Hari ini jumlahnya 31 orang. Najib bukan lagi Perdana Menteri tapi sepupu Najib masih lagi dengan jawatan lama - Menteri Pertahanan.
Di Sri Langka menteri kabinet kerajaan sekarang berjumlah 26 orang. Empat ahli kabinet ini adalah adik beradik anak beranak Rajapaksa. Adik jadi Presiden, Abang jadi Perdana Menteri, Abang tertua jadi Menteri Pertanian, Anak kepada Perdana Menteri jadi Menteri Belia.
Di Malaysia - di zaman Najib - kerenah dan tindakan Najib , Rosmah dan Hisham dibuktikan telah membawa huru hara yang maha hebat ke atas negara.
Di Sri Langka perkara yang sama telah berlaku. Kerenah dan tindak tanduk Rajapaksa anak beradik telah dan sedang membawa huru hara.
Mengikut akuan bersumpah P.I Bala dan akuan bersumpah Azilah kita rakyat Malaysia telah terperanjat dengan fakta keterlibatan Najib dalam kes bunuh Altantuya Minah cun lagi bergetah dari Mongolia.
Dua tahun kebelakangan ini – hasil kejayaan PRU14 – kita rakyat Malaysia telah juga diberi tahu melalui mahkamah bagaimana Najib telah menipu dan mencuri berbilion ringgit dana negara dalam kes SRC dan 1MDB.
Mahkamah juga telah memberi tahu rakyat Malaysia bagaimana Rosmah isteri Perdana Menteri telah mendapat duit suapan untuk meluluskan projek.
Kita juga diberitahu bagaimana dana negara yang dicuri telah digunakan oleh anak Najib untuk membuat filem di Holywood.
Melalui soalan dalam Parlimen rakyat Malaysia telah diberi tahu bagaimana Hisham sepupu Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan telah mendapat dana untuk membuat 6 buah kapal tempur pesisir.
Mengikut laporan Parlimen 5.94 bilion ringgit telah dibelanjakan. Masih ada lebih dari 1 bilion ringgit tidak diketahui kemana hilangnya.
Melalui soalan di Parlimen kita rakyat Malaysia telah diberitahu bagaimana 9 bilion ringgit telah diambil tapi kapal peronda itu masih tidak sampai-sampai.
Ini baru kerenah Najib , kerana isteri Najib anak beranak dan kerenah sepupu Najib. Hasilnya rakyat Malaysia telah terseksa. Cuba bandingkan dengan kerenah anak beranak Rajapaksa di Sri Langka.
Bayangkan bagaimana terseksa warga Sri Langka di bawah kerajaan Rajapaksa adik beradik dan anak beranak. Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Pertanian, Menteri Belia dan Menteri Agama adalah kementerian milik keluarga Rajapaksa adik beradik.
Tidak ada satu pun projek ekonomi di Sri Langka yang boleh berjalan atau diluluskan tanpa persetujuan Rajapaksa adik beradik. Keluarga ini mula mencengkam kuasa di Sri Langka semenjak tahun 2004.
Di Malaysia Najib di dakwa atas tuduhan mencuri duit dalm kes SRC dan 1MDB.Di Malaysia kes SRC dan 1MDB Najib masih berjalan.
Di Sri Langka Menteri Kewangan Basil Rajapaksa dan sepupu Presiden telah didakwa mengsonglap duit kerajaan dalam hal jual beli hartanah.
Di Sri Langka kes Basil Rajapaksa masih berjalan.
Melalui Pandora Paper keluarga Najib dikatakan terlibat menyimpan duit di luar negara. Nama beberapa ahli keluarga Rajapaksa juga ada disebut dalam Pandora Paper.
Di Sri Langka keluarga Raja Paksa terlibat dengan pengubahan wang haram melalui syarikat Asiaciti Trust berpangkalan di Singapura.
Di Malaysia Najib yang didakwa dalam kes 1MDB juga terlibat dalam kes pengubahan wang haram dengan Goldman Sachs Bank cawangan Singapura.
Keluarga Rajapaksa dilaporkan melalui Pandora Paper memiliki kondo dan rumah mewah di Sydney dan London.
Dari siasatan SPRM , Jo Low orang kepercayaan Najib memiliki kondo dan flet mewah di New York. Tidak cukup dengan kondo mewah lelaki tembam ini juga memiliki lukisan dan bahan-bahan seni yang berjuta dolar harganya.
Dari maklumat Pandora Paper syarikat milik keluarga Rajapaksa juga telah memiliki 31 lukisan dan bahan-bahan seni yang berharga. Bahan seni ini telah dihantar ke Geneva Freeport untuk disimpan dengan tujuan untuk lari dari cukai.
Justeru dunia tidak hairan – malah rakyat tertindas diseluruh dunia bertepuk tangan bergembira melihat tindakan warga Sri Langka membakar rumah dan istana milik keluarga Rajapaksa. Malah rumah dan istana kroni dan kuncu-kuncu Rajapaksa juga turut sama dibakar.
Di Sri Langka cacing Rajapaksa sudah naik ke mata. Warga Sri Langka tidak boleh bersabar lagi.
Di Malaysia juga rakyat bertepuk tangan bila hukuman 12 tahun penjara di kenakan kepada Najib.
Di Malaysia Najib menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009. Maka bermulalah Rosmah anak beranak menjalankan budaya bertepuk dada tanya selera .
Nak beli emas atau nak beli intan. Hendak hadiah cincin berlian atau hadiah kalung intan. Hendak beg Birkin kulit buaya atau kulit biawak. Hendak bercuti di Laut Tengah , di London atau di Paris.
Di Sri Langka Rajapaksa dan keluarga lebih dari bertepuk dada tanya selera. Ini keluarga Maharaja Rajapaksa mendominasi politik Sri Langka. Keluarga Rajapaksa ini memaksa warga Sri Lanka menyembah mereka. Keluarga ini beraja dimata bersultan di hati – apa diminta itu yang dapat.
Di Malaysia kerenah Najib anak beranak telah membawa bala kepada rakyat Malaysia. Bala yang dibawa oleh Najib anak beranak ini masih dan sedang dirasakan oleh rakyat kelas bawahan dan anak semua bangsa di Malaysia. Beban ekonomi akibat Najib mencuri dana negara menjadi beban yang kini sedang dipikul oleh kita semua rakyat Malaysia.
Di Sri Langka Rajapaksa anak beranak telah menggunakan agama Buddha sebagai benteng untuk mempertahankan kerenah keluarga yang mencuri duit negara. Ini mudah dilakukan kerana salah seorang dari Rajapaksa menjadi Menteri Agama.
Di Malaysia keluarga Najib telah menggunakan agama Islam sebagai benteng pertahanan apabila Najib dituduh mencuri duit 1MDB.
Dengan licik Najib telah bersekongkol dengan Parti Islam pada Ogos 2017 untuk menghalalkan apa yang berlaku dalam 1MDB. Tuan Ibrahim telah membawa delegasi Parti Islam Pas untuk mendengar penerangan dari Arul Kandasamy ketua pegawai eksekutif 1MDB.
Seperti di Sri Langka Para sami Buddha telah mensucikan apa sahaja yang dilakukan oleh keluarga Rajapaksa.
Di Malaysia Parti Islam telah berpuas hati dengan penerangan Arul Kanda bahawa tidak ada penyelewengan berlaku dalam 1MDB. Najib anak beranak adalah mangsa fitnah.
Di Malaysia Najib telah didapati bersalah dalam kes SRC. Hukum 12 tahun penjara dikenakan kepada Najib. Kini Najib dalam proses menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Di Malaysia pada malam Najib kalah dalam PRU14 – rakan niaga Najib dari Indonesia telah menghantar kapal terbang untuk menyelamatkan Najib lari ke luar negara. Bila berita kesampaian kapal terbang ini tersebar rakyat telah datang mengawal Lapangan Terbang Subang. Bekas Perdana Menteri Najib dan Rosmah gagal lari.
Di Sri Langka bila berita tersebar bahawa Mahinda Rajapaksa bukan lagi Perdana Menteri rakyat telah datang ke kawasan rumah bekas Perdana Menteri dan membakar rumah tersebut. Tentera datang menghantar helikopter untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri.
Bila berita tersebar bahawa bekas Perdana Menteri ingin melarikan diri ke luar negara mahkamah telah membuat arahan melarang 6 orang keluarga Rajapaksa dari meninggalkan Sri Langka.
Di Malaysia bekas Perdana Menteri Najib sedang menunggu keputusan kes rayuan. Ketika ini rakyat Malaysia melihat bagaimana Najib telah dijemput ke Istana Agong untuk berhari raya. Malah telah ada suara yang mahu Najib diampunkan oleh Agong.
Di Sri Langka bekas Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa sedang menunggu apakah dia akan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan. Kini bekas Perdana Menteri meminta perlindungan dari adiknya Gotabaya Rajapaksa Presiden Sri Langka.
Kes Najib bekas Perdana Menteri Malaysia masih belum selesai. Rakyat hanya akan berpuas hati apabila Najib anak beranak masuk ke dalam penjara. Sepupu Najib Hisham Hussein masih lagi Menteri Pertahanan.
Kes Mahinda Rajapaksa bekas Perdana Menteri Sri Langka belum selesai. Rakyat masih belum berpuas hati terhadap keluarga Rajapaksa. Gotabaya Rajapaksa masih lagi berkuasa sebagai Presiden.
Nampak jelas apa yang telah dan sedang berlaku di Malaysia telah dan sedang juga berlaku di Sri Langka. Apa yang berbeza antara kita dengan Sri Langka hanyalah dalam makanan.
Di Sri Langka bahan makanan makin susah hendak dibeli kerana negara sudah jatuh bankrap. Sri Langka telah menjadi negara gagal.
Manakala di Malaysia bahan makanan masih boleh dibeli hanya harganya makin mahal. Malaysia ketika tulisan ini digarap masih belum bankrap. Tapi kalau Najib anak beranak dan kuncu-kuncu terus berkuasa makan Malaysia akan pasti menjuju ke negara gagal. (TT)
TULISAN INI JUGA
TELAH DISIARKAN
DALAM PORTAL
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/381463
Sedih dan geram baca perbandingan Negara kita dengan Sri Langka. Tetapi pada perenggan PAS menghalalkan perbuatan Najib, terus jadi sakit hati. Kita akan jadi lebih hina dari Sri Langka kàlau masih percaya tuduhan pada "BossCow" adalah konspirasi. Buang sekali sepupunya dari kabinet Negara. Buka siasatan kes kapal tak sampai, wahai Mail Buf****,.
BalasPadamTerima kasih atas analisa politik dalaman seri lanka dan melaysia.. mohon analisa politik antara bangsa... Cross benua... Global perspektif....internasioal... Inter continental... Pasti ada kisah sejak nabi adam turun ke bumi hingga nabi isa turun ke bumi buat kali kedua.
BalasPadam