Rabu, 18 Mei 2022

SELAMAT TINGGAL KLIAN PAUH

 



SELAMAT 

TINGGAL 

KLIAN PAUH 


Pagi itu satelah sarapan Lee Keong dan aku mengucapkan selamat tinggal dengan Mister Tay.

‘ Sir.. thank you sir.. we meet again...’  Satu janji amat mudah di lafaz tapi bukan senang untuk dikotakan. 

Kami meninggalkan Taiping  daerah yang paling basah di Malaysia. Manakala Lee dan aku datang dari Jelebu daerah paling kering di Malaysia. Mister  Tay  anak Taiping , guru kelas dan juga guru Ilmu Alam memberi kami peluang untuk merasai nikmat kota damai Taiping.

Muzium yang dilawati cukup memberikan kesan pada aku. Kalau tidak ke muzium aku tidak akan tahu Klian Pauh nama asal Taiping. Kalau tidak ke muzium aku tidak akan melihat gambar Long Jaafar dan gambar-gambar lombong bijih. Juga gambar samseng Ghee Hin dan Hai San.

Pergaduhan dua kumpulan samseng  China ini membawa huru hara. Pergaduhan ini mengganggu ekonomi bijih. Lalu langkah damai diambil.  Dua kumpulan samseng dipertemukan  untuk menjalin sila tul rahim.

Langkah perdamaian ini berjaya.

Untuk mengingati perjanjian damai antara dua kumpulan samseng ini nama pekan Klian Pauh telah diganti dengan Tai-ping – bahasa China membawa erti  damai. Taiping menjadi kota damai hingga ke hari ini.

Taiping menjadi tanda sejarah  tentang pengorbanan Melayu  untuk mencari damai.

Kami  menapak keluar menuju ke Simpang. Di tepi jalan kami  menunggu kereta untuk ke Pulau Pinang. Lama juga kami berdiri di tepi jalan.  Sebuah kereta berwarna hitam berhenti di hadapan kami.  Kami berkejar ke hadapan. Pemandunya Abang India.

‘ Ke mana?... ‘ Pemandu bertanya.

Belum sempat menjawab aku sudah membuka pintu.

‘ Pulau Pinang....’ Lee Keong menjawab.

Dalam kereta kami bersembang dan berkenalan.  Abang Raju umur tiga puluhan dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Sungai Petani kerana urusan keluarga.  

‘ I’m a clerk ... PWD clerk..ini Sungai Petani...’  Raju menerangkan.

Aku tidak akan lupa nama Raju ini dan kerjanya di PWD. Ini  kerana ada sosok bernama Raju di Kuala Klawang yang juga bekerja di PWD. 

Raju di Kuala Klawang bukan pegawai tapi  buruh PWD. Raju Kuala Klawang pemain dalam pasukan bola PWD Jelebu.

‘ Nanti stop dekat jeti.... I continue to Sungai Petani...’   Raju memberi  penerangan.

Tiga sosok dalam kereta. Pemandu lelaki  India manakala penumpang seorang  budak China dan seorang budak Melayu dalam perjalanan ke Utara.

Kami meluncur dalam kawasan sawah padi yang agak luas. Aku belum pernah melihat sawah padi seluas ini. Mata aku terbuka. Baru  aku faham makna seluas mata memandang. Di Jelebu walau ada sawah padi tetapi tidak seluas mata memandang.

 Sawah padi di Jelebu di lembah tepian sungai antara dua kawasan bukit. Tidak terhampar luas hingga tidak ada penghujung.

‘ Jelebu ada padi...’ Raju bertanya.

‘ Ada...tapi tak banyak...’ Aku memberi penerangan.

Dalam lautan sawah padi ini aku ternampak pulau-pulau  kecil dengan sebuah rumah Melayu yang dipagari pokok kelapa dan pokok buah-buahan.  Aku budak kampung dari Jelebu  merasa takjub kerana pertama kali aku melihat alam seendah ini. 

Lautan sawah padi dengan  pulau-pulau penuh dengan lambaian batang kelapa.

Lalu aku terfikir alangkah indahnya  kalau rumah aku di  Kampung Chenor dalam kawasan padi seperti ini. Berangin segar sentiasa ditiup bayu. Kawasan rumah yang redup dipayungi oleh kelapa dan pohon buah-buahan.

Ketika kami lalu padi belum menguning. Jadi tidak kelihatan Pak Tani dan Pesawah di bendang.  Sesekali kereta kami berselisih dengan orang  berbasikal.  Sesekali kami berselisih dengan sekawan lembu dan sekawan kambing.

Keluar dari kawasan sawah kami naik jambatan melintasi sungai. Aku lihat sungai ini tidak sebesar  Sungai Perak di Kuala Kangsar. 

Sesudah menyeberang sungai ini kawasan sawah padi mula berubah.  Terdapat pekan kecil dan rumah-rumah di tepi jalan.  Watak kampung  sawah padi kini berubah untuk menjadi watak pekan dan bandar.

‘ We are near  to jetty...’ Raju berkata.

Aku teruja. Mata aku liar mencari laut. Laut tidak kelihatan.  Aku nak tahu apa yang dipanggil jeti.

‘ Will drop you near the jetty... unless you wnat to join me to Sungai Petani... ‘ Raju mempelawa sambil ketawa.

‘ Next time laaaa...’ Lee menjawab.

Aku lihat  kawasan berhampiran  dengan jeti ini berpaya.  Mungkin bekas  tanah sawah. Atau satu masa dahulu kawasan ini ditenggelami oleh air laut.

Ha! Akhirnya aku ternampak laut. Aku ternampak bangunan dan deretan kedai batu. Tetapi tak nampak pangkalan kapal. Dari  tingkap kereta Raju untuk beberapa saat  aku ternampak Pulau Pinang untuk kali pertama.

‘ Ok ... dah sampai... you have to walk to the jetty... all the best...’ Raju menurunkan kami berhampiran pangkalan.

Kami mengucap terima kasih sambil berjabat tangan. Aku mengambil beg sandang dan mengepit  khemah. Kereta hitam Raju meluncur pergi. 

 Aku sudah merasa tidak sabar untuk melihat Pulau Pinang. Aku mencari papan tanda.  Ini betul-betul budak kampung masuk pekan. Kami tidak tahu arah mana yang dituju.  Akhirnya kami berjaya menapak ke  jeti. Kami mengekori pejalan kaki  dan beberapa orang menyeret basikal.

Hah! Akhirnya kami sampai ke pangkalan jeti. Kami mengekori pejalan kaki yang beratur  untuk membeli tiket. Tahun 1968 tambang feri 20 sen untuk dewasa.  

Aku merasa amat gembira bila aku masuk ke dalam  feri. Inilah kali pertama  dalam hidup aku belayar menyeberang laut dalam kapal. 

Pernah sekali ketika rombongan sekolah ke Teluk Kemang Port Dickson  aku dan kawan-kawan naik perahu berinjin  berlayar ke tengah  laut. Perahu penambang membawa pelawat untuk mengalami.  ‘belayar dalam laut ‘. Pengalaman orang bukit nak merasa laut berada dala laut untuk  tidak lebih dari 15 minit.

 Aku tak menyangka begini besar feri yang boleh memuat bukan saja pejalan kaki malah kereta dan lori pun masuk ke dalam perut  feri.

Aku duduk di kerusi bahagian depan menunggu feri berjalan. Aku gelisah terus bangun berdiri. Mata aku  melihat jauh ke hadapan. Yang aku nampak ialah  bandar Pulau Pinang.

Tertiba  - boong ...  seperti bunyi tin kosong dipukul – ini tanda feri  hendak bergerak. Tali pengikat feri dibuka dan kapal mula meninggalkan pangkalan.

Kereta, lori , motosikal , basikal dan  bas di bawah perut kapal.  Pejalan kaki duduk di atas.

Beberapa minit kemudian kami berselisih dengan sebuah lagi feri. Aku  tulisan Pulau Langkawi di hadapan feri ini. Pasti ini nama feri itu. Aku ingin tahu apa pula nama feri yang aku naiki. Tulisan nama di hadapan kepala feri yang aku naiki  tidak mungkin dapat aku baca.

Aku merayau-rayau. Lee duduk menjaga beg dan khemah. Tertiba aku terjumpa ruang  dimana pelampung bergantungan. Aku rasa ini untuk keselamatan penumpang.

Di pelampung ada tertulis Pulau Kapas. Ini pastilah pelampung milik feri aku. Aku tidak tahu dimana letaknya Pulau Kapas ini tapi aku gembira dapat mengetahui nama feri yang aku naiki ialah Pulau Kapas.

Aku merasa lama juga  kami belayar. Aku sempat memerhatikan Tanah Semenanjung yang   kami tinggalkan. Di tengah laut aku nampak juga beberapa buah kapal besar. Lalu aku teringat akan ilmu alam yang aku pelajari bahawa Pulau Pinang ini satu pelabuhan kapal yang sibuk membawa keluar masuk barang dagangan.

Akhirnya feri kami masuk pangkalan. Pejalan kaki  keluar  dari jalan atas manakala basikal dan yang berinjin dari jalan bawah.

Kami tak tahu nak ke mana. Rancangan kami nak sampai ke Pulau Pinang. Kini kami sudah pun di atas pulau. Laut di belakang kami dan bandar Pulau Pinang di hadapan.

Hari telah lewat petang. Kami tidak tahu arah mana yang wajib kami tuju. Ini kerana kami tidak ada satu tempat yang menjadi tujuan. Lalu kami menapak.
Aku tidak akan melupakan Chulia Street. Kami terus berjalan ke hadapan ke jalan yang amat panjang ini. Kiri kanan ialah rumah-rumah kedai.  Akarnya kami sampai di hadapan Panggung Odeon.  Bila di hadapan panggung maka dalam perkiraan aku ini pastilah pusat bandar. Kami menapak lagi ada Rumah Pasung. Baru kami tahu kini kami berada di Penang Road. 

Betul ini  pusat bandar.

Aku ingat lagi kami belum makan tengah hari, hari telah lewat petang. Aku merasa lapar. Jika senja sampai kami dalam bahaya tidak tahu  dimana hendak bermalam.

Di Penang Road ada sebuah kedai India. Lalu kami masuk. Aku ingat lagi apa terjadi. Untuk pertama kalinya  nasi, kari ayam dan sayur yang aku pesan berharga  1.25 sen. Lee juga membayar harga yang sama. 

Aduh aku terasa amat mahal. Biasanya apa yang kami makan tidak pernah melintas satu ringgit. Kami cukup berhati-hati  dalam hal perbelanjaan. Kini kami bukan  menjadi tamu seperti di Taiping. Kami wajib membeli makan minum sendiri.

Sesudah makan kami menapak  ke hadapan tanpa arah tujuan. Sebenarnya tujuan kami ialah hendak mencari tempat  tidur. Tapi kami tidak tahu jalan mana yang wajib kami lalui. Kami terus menapak.

Kami melintasi kawasan yang ada beberapa bangunan  yang gah seperti Muzium Perak. Bangunan yang aku  lihat serupa macam bentuk  Rumah Putih di Amerika. Mata aku liar menikmati bangunan  tinggalan Inggeris ini masih cantik tersergam. Kami menapak ke hadapan tanpa arah tanpa tujuan.

Kami sampai ke kawasan di luar pekan. Pokok-pokok besar dan rendang tumbuh di gigi jalan. Kami sampai ke satu kawasan padang  dan diakhiri padang ada rumah banglo dua tingkat.

‘ Kita camping disini...’ Aku memberi cadangan.

‘ Toilet how.... ‘ Lee memberi pandangan.

Tak lama lagi senja akan sampai. Lalu kami mencari tempat sesuai  untuk memasang khemah. Kami telah nekad untuk tidur dalam khemah pada malam pertama kami di Pulau Pinang.

Sekali lagi kami sampai  ke satu kawasan hijau dan lapang. Di sebelah tanah lapang  ada bangunan yang besar dan sebuah rumah banglo kecil di akhir tanah lapang.ini.

‘ This is a church...kita boleh camping disini...’ Aku bersuara gembira. Aku yakin kamu boleh memasang khemah di padang gereja ini.
Kami masuk melintasi bangunan gereja menuju  ke banglo  kecil yang mungkin rumah Paderi. 

Anggapan aku betul. Lelaki Mat Saleh agak berumur  berdiri di pintu. Berseluar hitam  berbaju  lengan panjang putih. Aku tidak sedar bahawa dia telah lama memerhatikan kami  masuk ke kawasan  gereja.

‘ Sir... we are hitch hiking... can we camp here...to sleep.... ‘ Aku membuat permintaan

‘ Boys scout ....’ Paderi bertanya.

‘ No...’ Aku menjawab.

‘ Three is a  store room  behind the Church... you could  sleep there... James... James...’ Paderi memanggil James.

Seorang India juga telah berumur muncul.

‘ Shows these boys the store room... let them  stay there,,.. they are hitch hikers.... from where.... ‘ Padri bertanya.

‘ Jelebu... Negeri Sembilan near Seremban.... sir..’ Aku menjawab,

Lelaki India bernama James membawa kami ke bilik stor di sebelah Gereja. Bilik ada beberapa  kerusi  dan ada yang patah.  Di sebelahnya ada tandas dan bilik air, 

‘ Paderi George.. ..orang  baik hati....Lu orang boleh tidur  atas pangkin... ini dulu bilik Jaga..’ James memberi penerangan.

Bila aku meletakkan beg sandang aku  merasa lega. Malam pertama aku di Pulau Pinang aku tidur di Gereja.  (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/05/18/selamat-tinggal-klian-pauh/






Tiada ulasan:

Catat Ulasan