Selasa, 21 Jun 2022

BEKERJA BERGOTONG ROYONG


Tak boleh kerja sendirian tangani krisis makanan, kata penternak

USAHA memastikan jaminan bekalan makanan terutama membabitkan makanan ternakan perlu dilaksanakan secara kerjasama dengan dipimpin badan khas untuk membolehkannya berjaya, tegas penternak.

Supardi Bai yang mempelopori tanaman ketum ayam sebagai makanan ternakan berharap setiap agensi mahupun institusi pengajian tinggi tidak lagi bekerja sendirian dalam isu itu.

Semua pihak ini perlu bekerjasama bagi memastikan matlamat menyelesaikan krisis makanan dapat dicapai, katanya yang berpengalaman bekerjasama dengan universiti bagi tanaman ketum ayam.

“Walaupun kita ada gelaran pakar atau doktor, tapi kita tak pakar dalam segala-galanya… Sekiranya kita boleh satukan institusi dan agensi ini, kita bahagikan tugas dan tanggungjawab.

“Jadi masing-masing ada tanggungjawab, tetapkan matlamat kita. Matlamat kita 100% makanan ternakan dibuat di dalam negara. (Jika) dibuat secara individu saya rasa takkan berjaya,” katanya.

Supardi, 55, berkata demikian ketika ditemui The Malaysian Insight di ladang ketum ayam seluas 2 ekar miliknya di Terachi, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Graduan kejuruteraan dari Universiti Okoyama, Jepun itu berkata beliau memerhatikan pada waktu ini setiap agensi dan institusi pengajian tinggi dalam negara menjalankan kajian berasingan.

Beliau memberi contoh kajiannya bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membentuk formula dedak ternakan menggunakan ketum ayam sebagai bahan asas.

“Banyak lagi universiti sedang buat kajian, contohnya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan banyak lagi universiti lain buat kajian (mengenai ketum ayam).

“Tetapi saya nampak ini dibuat secara individu. Kalau kita kerja secara individu, susah,” katanya yang menyarankan kajian dilakukan mengikut bidang kepakaran sesebuah universiti.

Beliau memberi contoh, UPM boleh menumpukan kepada nutrisi kerana kerana memiliki kepakaran bidang tersebut manakala UTM boleh memudahkan proses kerana pakar dalam kejuruteraan.

Tambahnya, proses itu pula harus diserahkan untuk diketuai oleh agensi khusus bagi membolehkan sasarannya tercapai.

Sekiranya amalan lama masih berterusan, sukar untuk menyelesaikan isu keperluan makanan dan ini bakal merugikan negara, kata Supardi, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Tam.

“Lama-kelamaan ia akan jadi bermusim, panas (isu) kemudian habis, dan tutup buku. Apabila satu (isu) lain timbul, ia jadi benda baru yang menarik, kemudian tutup lagi.

“Itu satu kerugian negara dan kita rakyat akan rugi, sedangkan harga ayam mahal, ayam kecil dan macam-macam lagi, sepatutnya ada satu ketua yang boleh uruskannya,” kata Pak Tam.

Melalui kerja berpasukan juga, setiap masalah yang datang akan dapat diatasi bersama-sama kerana tindakan menangani krisis makanan negara satu usaha besar, tambahnya.

“Tanpa kerja berpasukan, fikir seorang-seorang memang buntu. Saya buat skala kecil, bolehlah untuk kehidupan saya, tetapi bila ke skala besar sudah pasti kena ada satu pasukan yang besar.”

Pak Tam menjalankan kajian kesesuaian ketum ayam untuk menggantikan dedak sebagai sumber makanan utama ternakan berikutan peningkatan kos bahan asas pembuatannya.

Kajiannya mendapati tanaman itu mempunyai sesuai digunakan sebagai bahan makanan ternakan dan dapat menurunkan kos dedak serta subsidi kerajaan.

Menurutnya, tumbuhan tahan lasak dengan protein tinggi itu senang ditanam dan boleh dituai berkali-kali dan membantu mengurangkan bau busuk najis ternakan dan mengawal pembiakan lalat.

Selain itu, Pak Tam turut menanam jagung bijirin dan menggunakannya sebagai bahan asas untuk makanan ternakan bersama ketum ayam.

Beliau menganjurkan agar usaha ditumpukan kepada langkah menyelesaikan masalah dengan mendapatkan input secara kerjasama pasukan, umpamanya untuk menangani perosak seperti babi.

“Tanam jagung ayam atau bijirin ini senang. Tak perlu cerita jagung mahal, boleh tanam atau tidak, atau dimakan babi. Yang penting kita buat. Semua ini hanya setakat apa yang kita fikir sahaja.

“Konsepnya tak betul. Kita fikir masalahnya tapi tak fikir jalan penyelesaian. Masalah itu yang menghalang pemikiran kita,” katanya.

“Kalau babi makan (tanaman), buatlah pagar. Kalau ada cara lain kita boleh fikir lagi, sebab itu kepentingan kerja berpasukan. Semua beri input dan idea, barulah kita boleh maju, itu cara Jepun.”

Pak Tam percaya sekiranya proses kajiannya berjaya, kos ternakan ayam dapat dikurangkan sekali gus mengurangkan beban kerajaan menyalurkan subsidi.

“Subsidi itu penyelesaian jangka pendek. Bulan ini kerajaan ada duit, bagi subsidi. Bulan depan nak makan lagi, berapa lama boleh bertahan? Saya rasa kerajaan lama-kelamaan tidak tahan juga,” katanya.

Kerjasama itu mula dilihat dengan pengumuman jalinan usaha Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Anggota Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).


Ia akan terlibat dalam benih ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna akhir.

Nafas dilaporkan mensasarkan untuk menguasai kira-kira 20% pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa pula sebanyak 30 juta ekor setahun.

Nafas juga dilaporkan akan memperuntukkan kawasan bekas tanaman tembakau seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu untuk jagung bijirin bagi ternakan.

Angkasa dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengenalpasti tanah seluas 4,000 hektar di seluruh negara untuk mengeluarkan bahan sama.

Ia menganggarkan sebanyak 5 tan jagung bijirin dapat dikeluarkan bagi setiap hektar untuk menampung 20% daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun. – 21 Jun, 2022.

PANDANGAN

TEPAT BETUL

WAJIB DIIKUTI

AMIN

KITA WAJIB

KEMBALI PADA

ASAL USUL KITA

AMIN

BANI MELAYU

ADA KONSEP

GOTONG ROYONG

AMIN 

KHALAS

GERAKKAN

HIDUPKAN SEMANGAT

KEKITAAN INI 

UNTUK

 KESEJAHTERAAN 

RAMAI

AMIN

KHALAS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan