Harga sawit tinggi tiada kaitan dengan kerajaan, kata peneroka
HARGA kelapa sawit yang tinggi sekarang tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), atau Perikatan Nasional (PN), kata peneroka tanah rancangan Felda.
Turun naik harga komoditi itu kata mereka majoritinya dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran minyak kelapa sawit di peringkat global.
Ketua Peneroka Felda Gunung Bongsu Ahmad Nizar Hassan, 64, yang ditemui The Malaysian Insight baru-baru ini juga tidak menolak peningkatan harga itu berlaku disebabkan kurangnya pengeluaran buah tandan di ladang.
“Tiada kaitan (dengan politik), dengan keadaan sekarang, harga tinggi sebab Indonesia hentikan eksport, apabila barang (pengeluaran kelapa sawit) kurang harga naiklah.
“Kalau yang ada kaitan (politik) pun menteri yang suruh minum sesudu minyak kelapa sawit,” katanya, merujuk kepada menteri industri utama sewaktu pentadbiran PH, Teresa Kok.
Sewaktu pentadbiran PH, harga komoditi kelapa sawit turun tidak lebih RM250 hingga RM300 bagi satu tan metrik.
Manakala harga minyak kelapa sawit mentah pula pernah berada paras terendah di bawah RM1,800 bagi satu tan metrik, waktu itu.
Sebagai bandingan, harga belian kelapa sawit tandan kini berada pada paras sekitar RM1,500 satu tan metrik.
Manakala setakat 8 Jun lalu, harga pasaran minyak kelapa sawit mentah direkodkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah pada paras RM6,729.50 untuk setiap tan metrik.
Ahmad Nizar berkata, walaupun peningkatan harga sawit sangat tinggi, peneroka juga menanggung kos kenaikan bagi pengurusan ladang seperti upah dan racun yang menurutnya turut meningkat selari dengan kenaikan harga kelapa sawit.
Malah, isu kekurangan buruh juga menyukarkan peneroka untuk mendapatkan hasil pengeluaran optimum daripada ladang mereka.
“Sekarang ini hanya kira-kira 60% hingga 70% hasil sahaja yang boleh dikeluarkan kerana masalah jalan, buruh, dan sebagainya. Semenjak tempoh perintah kawalan pergerakan, (isu kekurangan) buruh memang teruk.
“Pekerja buruh pula minta kenaikan harga bila buruh tidak ada. Di sini kenaikan harga upah meningkat dua kali dalam tempoh tak sampai setahun,” katanya.
Harga tuai dan angkut kelapa sawit di kawasan itu kini mencecah RM140 setiap satu tan metrik berbanding RM106 sebelum ini.
“Apabila buruh dah tidak ada harga naik lagi, harga sawit naik, kos upah pun naik, kelapa sawit pula mesti dipetik dalam tempoh setiap 15 hari, kalau tak nanti rosak,” katanya.
Sekiranya kelapa sawit gagal dipetik dalam tempoh 15 hari, buah akan terlebih masak dan gugur sekaligus mengurangkan berat tandan.
Pada 7 Julai, kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan kira-kira 80% pinjaman peneroka yang berjumlah RM8.3 bilion.
Isu hutang merupakan bebanan yang ditanggung peneroka sejak sekian lama dan tiada pihak yang dapat menyelesaikannya.
“Pelarasan hutang itu satu kelegaan sebab kita tahu jumlah hutang, sebelum itu tiada tutup buku kira-kira. Bila ada pelarasan kita tahu hutang kita banyak mana,” katanya.
Ahmad Nizar mempunyai hutang berbaki RM70,000 termasuk pinjaman perumahan, daripada lebih RM100,000 sebelum penyelarasan.
Namun begitu, Ahmad Nizar tidak menolak peneroka lebih selesa dengan pentadbiran BN sewaktu Najib Razak menjadi perdana menteri disebabkan perhatian lebih yang diberikan kerajaan waktu itu kepada mereka.
“Sekarang imbuhan (diterima) sewaktu zaman Najib dahulu tidak ada lagi, (peneroka) tidak semewah dulu lagi,” katanya.
Seorang peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Bang Lik, 55, pula merasakan peneroka sepertinya hanya mengharapkan kerajaan memberi perhatian kepada peneroka dan tidak melihat mereka hanya semata-mata untuk meraih undi.
“Siapa pun jadi kerajaan tidak kisah, yang penting kami peneroka ini dijaga, macam sekarang tiada siapa yang bela kami.
“Tiba hari mengundi kita pangkah sahaja mana kotak yang ada dalam kertas undi,” katanya.
Bang Lik bagaimanapun masih mengenang kemewahan yang dirasai ketika pentadbiran Najib dan bantuan yang diberikan wakil rakyat mereka waktu itu.
“Waktu itu kami terima banyak bantuan, mewah, sampai dikatakan kami di Felda ini anak angkat kerajaan.
“Kerajaan yang naik selepas itu, tidak ada yang beri perhatian kepada kami seperti Najib, sekarang ini kawasan PKR, kerajaan negeri PAS, jadi kami tak nampak apa yang kerajaan negeri ada buat di sini,” katanya.
Felda Gunung Bongsu terletak dalam kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu yang kini diwakili Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. Beliau menewaskan calon Aziz Sheikh Fadzir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kedah pula ditadbir oleh kerajaan yang diketuai PAS selepas percaturan politik yang menyingkirkan pentadbiran PH pada Mei 2020, dua tahun selepas PRU14.
“Kalau tidak layan rakyat akan datang PAS mungkin susah untuk pertahankan Kedah, kalau menang lagi pun mungkin sokongan merosot,” katanya.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor juga katanya belum lagi menjejakkan kaki ke kawasan tersebut dan mengambil peduli masalah peneroka.
“Dia kata apa pun kita dengar sahajalah sebab dia tak pernah tanya pun apa masalah kita,” katanya.
Bang Lik juga berkata, untuk menikmati kemewahan seperti sebelum ini BN harus memang besar dan menjadi kerajaan.
“Zaman BN senang, sekarang susah sedikit, kalau majoriti kerajaan kurang, kuasa pun kurang tiada dua pertiga nanti orang main kuis-kuis.
“Jika menang dua pertiga, senang kerajaan nak buat keputusan,” katanya.
Felda Gunung Bongsu pada peringkat awal penubuhannya merupakan kawasan penanaman getah, namun pada 2011 sebahagian besar peneroka memilih untuk bertukar kepada tanaman kelapa sawit selepas pokok getah ditebang untuk penanaman semula.
Daripada keseluruhan 184 peneroka di tanah rancangan itu hanya 42 peneroka yang masih mahu mengekalkan tanaman getah, dengan 31 peneroka lagi daripada jumlah itu dalam proses menggantikan tanaman getah kepada kelapa sawit.
Selebihnya pula sudah bertukar kepada tanaman kelapa sawit berikutan harga komoditi itu yang lebih tinggi. – 11 Jun, 2022.
.. gua ingat masa harga getah kaw2 mewah... wacakaklu deme sanggup benti kerja balik kg menoreh.. bila harga jatu semua pakat jadi jaga... kah kah kah
BalasPadamKlu harga jatuh cari lah Najib..
BalasPadam