SASARAN AKHIR :
KANGAR
Pagi itu aku dan Lee Keong bangun awal. Semua barang siap dimasukkan ke dalam beg sandang. Aku mengisi penuh botol air. Pengalaman berkhemah di zaman pengakap membantu kami agar tidak ada barang tercicir.
Sebelum keluar dari bilik aku mengambil pen. Aku pergi bawah meja lalu aku tulis : Isham Lee Keong was here..
Aku lakukan ini kerana aku pernah terbaca bagaimana Sir Francis Light telah mencakar namanya di tingkap gelas di rumahnya : Francis Light was here.
Lee memandang apa yang aku buat dengan hairan.
‘ Tulis apa....’ Lee bertanya.
‘ Untuk selamat tinggal pada gereja....’ Aku menerangkan dan menutup pintu bilik, menapak menuju ke rumah Paderi.
‘ Thank you Sir...’ Kami berdua mengucapkan terima kasih kepada Father George yang berdiri di muka pintu. Kami tidak berjabat tangan.
‘ Most welcome...’ Suara Father George..
James muncul dari belakang rumah.
‘ Jangan tinggal barang....’ James beri nasihat.
‘ Terima kasih..’ Kami berjabat tangan dan terus bergerak keluar kawasan gereja. Aku memandang ke belakang untuk kali terakhir. Aku merakam dalam ingatan agar satu masa nanti aku akan sampai lagi ke sini.
Kami sampai ke hadapan Panggung Odeon. Jalan semakin sibuk. Banyak kedai masih belum dibuka. Kami mengambil jalan Chulia Street. Ini jalan kami masuk yang juga akan membawa kami ke jeti.
Di tengah jalan kami berhenti di kedai kereta sorong India. Secawan teh dan sebuku roti manis untuk sarapan pagi.
Di akhir Chulia Street ialah laut dan pangkalan feri. Terpampang nama Pangkalan Raja Tun Uda. Siapa Raja Tun Uda ( 1894-1976) ini aku tidak tahu. Sama juga - siapa Chulia aku juga tidak tahu. Yang aku diajar di sekolah Pulau Pinang ini dibuka oleh Francis LIght (1740-1794).
Dalam feri aku menoleh ke belakang. Aku merasa sedih campur gembira meninggalkan Pulau Pinang. Sedih kerana tidak tahu bila lagi aku akan sampai ke pulau ini. Dari Jelebu ke Pulau Pinang bukan dekat. Aku gembira juga kerana aku telah berjaya sampai ke Pulau Pinang yang selama ini aku hanya mendengar namanya saja.
Keluar dari feri kami mencari jalan besar arah ke Utara. Agak susah juga kerana ada banyak simpang. Falsafah aku : jika sesat jangan malu bertanya.
‘ Bang... nak gi Kangar ikut jalan mana bang...’ Aku bertanya pada Abang Melayu yang sedang berdiri di tepi deretan kedai.
‘ Hang naik apa....naik bas ... stesen kat feri sana...hang kena pusiang....’ Mata Abang ini memandang ke arah Lee Keong.
‘ Hitch hike ... tumpang kereta orang...’ Aku memberi penjelasan sambil tangan aku menunjukkan cari aku menahan kereta.
‘ Ooo.... hang kena gi Kepala Batas... cari kat sana arah Sungai Patani.... hang kena lalu Alor Stak.. baru hang sampai Kangak Perlis... hang dari manaaa...’ Abang Melayu bertanya dengan lorat Utara yang makin pekat
‘ Dari Seremban...’ Jawapan yang aku fikir tidak mungkin menimbulkan banyak soalan.
‘ Hang ikut jalan ini ke sana... tunggu kat depan sana...’ Tangan Abang ini memberi arahan.
Jauh juga kami menapak hingga berjaya keluar dari kawasan pangkalan feri. Akhirnya sampai ke jalan yang jadi sasaran kami. Aku mencari tempat yang strategik untuk berdiri menunggu kereta.
Sebuah jeep berhenti. Pemandunya Abang Melayu. Aku berlari untuk membuka pintu.
‘ Nak ke mana...’ Abang Melayu 40’an bertanya.
‘ Kangar... Perlis....’ Aku menjawab.
‘ Sampai Sungai Petani....’ Belum sempat Abang menghabiskan ayat aku telah masuk ke dalam jeep. Lee masuk duduk di belakang.
‘ Hang scout ke...’ Abang bertanya.
‘ Dulu... sekarang tunggu result exam... nak gi Kangar..’ Aku menerangkan.
‘ Ada apa kat sana..’
‘ Cik Gu kami ..... dulu dia ada ajar kami...nak gi rumah dia... ‘ Aku bercerita.
‘ Hang kena gi Padang Besak.... tengok Siam...tak jauh dari Kangak...’ Abang memberi cadangan.
‘ Depan ni Kedah... lintas sungai ... kita masuk ke. Kedah jelapang padi .... pengeluar padi... saya ni ada kilang mesin padi.... tu pasai pakai jeep... angkut padi di bendang...’ Abang ini orang berniaga.
Kami melintas sungai yang tidak besar. Ini sungai sempadan Kedah dengan Pulau Pinang. Aku mula melihat sawah luas terbentang di kiri kanan jalan. Belum pernah aku melihat tanah sawah seluar ini. Maka aku faham mengapa Kedah di kenali sebagai Jelapang Padi Malaysia.
‘ Kampung hang ada bendang....’ Abang bertanya.
‘ Ada tapi tak luas macam sini...’ Aku menjawab sambil menoleh ke belakang melihat Lee sedang memandang ke sawah.
‘ Tak da Kedah... takda beras...orang Kedah kuat keja bendang...hang nak masuk Sungai Petani... atau terus ke Alor Stak.. Abang nak masuk Sungai Petani.. nak terus jap lagi berhenti...’
‘ Nak terus Alor Stak...’ Aku menjawab menggunakan lorat Utara. Aku menolak pelawan menyimpang masuk ke Sungai Petani.
Abang pemilik kilang mesin padi memberhentikan kami di jalan lurus di tepi sawah. Cuaca agak panas. Tapi kami tak lama menunggu sebuah kereta Pak Cik Melayu berhenti.
‘ Alor Stak.. mai masuk... hang diluak panas..’ Pak Cik Melayu membuka pintu.
‘ Tak juah ke Alor Stak... 30 batu...sejam kita sampai... hang nak berhenti tang mana ...’ Pak Cik Melayu bertanya.
‘ Tak tau... ‘ Aku menjawab.
Mata aku memandang sawah yang luas terbentang. Padi sudah mula menguning. Aku nampak kepala orang dalam sawah. Badan dilindungi padi. Kemudian kami lalu perkampungan yang bertukar menjadi kawasan pinggir pekan.
‘ Hang ke arah kanan...jalan sikit Pekan Rabu... depan masjid.... Abang nak menyimpang ke sana....’ Pak Cik Melayu memberhentikan kami sambil memberi arah jalan.
Aku rasa kami diberhentikan di jalan utama. Betul. Kami berjalan ke hadapan terus berjumpa dengan masjid yang cantik. Belum pernah aku melihat Masjid secantik ini. Warna kubah hitam dan dinding putih. Aku rasa ini pastilah Masjid Alor Setar.
Maklumat Pak Cik tadi telah dilupakan. Kami sampai ke jambatan dan kedai-kedai kayu. Lalu kami masuk untuk mencari makan. Warung kedai dinding kayu ini bukan menjual makan tapi mejual produk kampung. Kami menapak lagi hingga berjumpa warung bertulis Nasi Kedah.
Aku tak tahu apa itu Nasi Kedah. Aku dan Lee makan nasi campur ikan kembung dan sayur tauge dengan air sejuk. Makanan kami berdua serupa. Bila kami nak bayar harga pun sama 85 sen. Mak Cik tuan punya warung memandang muak aku kemudian memandang muka Lee Keong.
‘ Hang adik beradik....’ Soalan yang pertama kali aku dengar. Soalan ini tak masuk akal. Mustahil dia tak kenal aku budak Melayu dan Lee budak China. Tetapi mungkin kerana makanan kami sama.
Mak Cik Warung ini tidak faham. Malah ramai yang belum pernah berhitch hiking tak faham tentang belanja. Bukan saja tumpang kereta orang. Tuan empunya kereta ini juga tidak dikenali.
Beban yang amat berat ketika aku hitch hiking tahun 1968 bukan beg sandang dan khemah tapi dompet kosong. Dompet aku makin sehari makin bertambah berat. Kerana itu apa yang kami beli dan makan kami jaga betul-betul.
Kami berjalan tidak dengan modal yang besar.
Kami ke jalan besar mengarah ke Kangar. Hari makin panas. Di kiri kanan jalan sawah padi. Aku ingat lagi ketika kau menunggu kereta aku lihat di sebelah jalan ada aliran air. Besar dari longkang dan tidak laju seperti air sungai. Aku rasa ini ialah sebahagian dari parit air untuk ke sawah.
Bila aku perhatikan aku nampak banyak anak ikan berwarna hitam. Apakah ini anak ikan sembilang atau anak berudu. Aku kusuk memerhatikan anak anak ikan dalam parit tepi bendang.
Kereta berhenti. Kereta berwarna hitam yang agak tua.. Pemandu Pak Cik Melayu lagi. Dari pakaian Pak Cik ini dia bukan pegawai kerajaan atau guru.
‘ Saya nak pergi atas sikit pada Jitra... nak ambil padi...’ Pak Cik ini sah seorang Pak Tani. Tapi dia memiliki kereta. Kalau di Jelebu tidak ada Pak Tani atau penoreh getah yang memiliki kereta. Dalam kepala aku Pak Cik
Ini pasti Pak Tani kaya.
‘ Di sini.. kami dah lama tanam dua kali setahun....masa rehat tak banyak... tapi ada dapat tambahan....’ Pak Cik ini Pak Tani moden. Di Jelebu kami menanam padi sekali setahun. Sekarang aku faham kenapa Kedah menjadi Jelapang Padi Malaysia.
Kami melintas Jitra. Beberapa batu keluar dari Jitra Pak Cik memberhentikan kereta.
‘ Sampai sini... jalan depan turus Kangak..tak perlu belok belok.... kalau hang nak tengok bendang... ikut sama masuk dalam sawah...’ Ajakan Pak Cik kami tolak.
Pak Cik masuk ke jalan kecil dalam sawah. Kami di tepi jalan raya. Kiri kanan sekeliling kami sawah padi. Kami menapak. Hari makin panas. Kami cuba mencari pokok untuk berteduh.
Aku ternampak Pak Tani dalam sawah.
‘ Wait here.. aku gi tanya paip air...’ Aku minta Lee menunggu.
Aku masuk ke dalam bendang mencari sosok yang aku nampak tadi. Bila ternampak aku bersuara.
‘ Bang.. Pak Cik... boleh tumpang tanya... ada paip air disini...’ Aku bersuara dengan kuat kerana Pak Tai ini sedang membongkok memotong rumput.
‘ Ha.. apa .. apa hang mau...’ Jawapan sampai.
Sosok bangun dari membongkok. Aku melihat jelas sosok ini telah berumur. Memakai kain sarung di ikat sampai ke lutut, berbaju singlet dan kain menutup kepala.
‘ Pak Cik ... ada paip air dekat sini.... nak cari air...’ Aku bersuara kuat kerana mungkin Pak Cik ini kurang pendengaran.
‘ Hang cari pili... tak dak pili kat sini nooh... hang dari mana.. cari apa kat bendang... Pak Cik Tua bertanya.
‘ Cari paip air... kami nak ke Kangar... ‘ Aku menjawab sambil menunjukan botol air aku.
Bendang tak da pili...ayek tak da... hang kena jalan ... ada surau ... sat ada pili...’ Pak Cik cuba. Memberi tahu sesuatu.
Aku tak faham apa itu pili. Yang aku cari paip air. Lorat Pak Cik ini lagi tebal lagi susah untuk aku faham.
‘ Depan ada surau... ada ayek pili.......’ Sekali lagi dia menyebut pili.
Kemudian Pak Cik ini meledakkan pertanyaan bagaikan bom untuk aku.
Aku tergamam. Mana orang tua ini tahu aku tidak mengaji. Memang betul aku telah lama meninggalkan kelas mengaji di Surau Cik Gu Omar.
‘ Terima kasih Pak Cik ..’ Aku mengundur tanpa memberi jawapan kenapa aku tidak lagi mengaji.
‘ No water here.... tak da paip kat sini...’ Aku menerangkan apa yang aku dengar dari Pak Cik Tua.
Kereta berhenti. Kami berkejar ke hadapan. Hal dahaga di lupakan. Pemandu Pemuda China yang nak ke Kangar Perlis.
‘ How long have you been hitch hiking...’ Soalan dari sosok yang tahu apa itu hitch hiking.
‘ Almost three weeks.. ‘ Lee dari belakang menjawab.
’ Both ....same school ... ‘
‘Same class...waiting for form fve result...’ Aku menerangkan.
‘ Where are you staying in Kangar...’
‘ Want to visit our history teacher...she lived at Jalan Pegawai...’ Aku memberikan alamat Mrs Ali.
‘I know that street...I’drop you there....’
Kami masuk ke pekan Kangar. Pekan ini besar sedikit dari pekan Kuala Klawang. Kami nampak Sekolah Menengah Derma. Sekolah baru untuk Mrs Ali.
Pemuda China gelencong dan membawa kami ke Jalan Pegawai.
Kami berterima kasih. Sebelum bergerak Pemuda China ini berkata ‘.... Make sure you visit Padang Besar...’
Pintu di buka bukan oleh Mrs Ali taai Azahar yang muncul. Aku kenal baik si Azahar ini. Kami tinggal seasrama di SMUJ. Dia tingkatan lima aku tingkatan empat. Dia anak buah kepada Mister Ali Abu Bakar.
‘ Woit Isam... woit Lee Keong... sampai juga kau ke sini... Mrs Ali belum pulang lagi...dia ada urusan di luar... masuk mari masuk...’ Azahar dengan gembira mengambil beg sandang kami dan membawa masuk.
Malamnya di meja makan kami di raikan oleh Mrs Ali. Mister Ali yang bertugas separa Pegawai Belia dan juga Tentera Wataniah bertugas di luar.
‘ Hisham dan Lee.... I’m happy to see you...’ Suara gembira Mrs Ali guru Sejarah dan guru Sains Kesihatan Sekolah Menengah Undang Jelebu kini menjadi guru di Sekolah Menengah Derma Kangar .
Lalu kami bersembang tentang itu dan ini. Tentang Mister Tay di Taiping. Tentang Jelebu dan murid-murid yang ditinggalkan.
Sambil makan, sambil bersembang sambil bercerita.
‘ Pili ni apa..’ Aku bertanya.
‘ Mana kau jumpa..’ Azahar menanya.
‘ Tadi dalam sawah... ada Orang Tua cakap... pili pili pili... aku tak faham lorat Kedah.
‘ Pili ... paip air laaaa...’ Azahar ketawa dan Mrs Ali tersenyum.
‘ Which old man...’ Mrs Ali bertanya’
‘ Taut tadi .... I was scared.... dia tahu aku tak mengaji... mana dia tahu aku tak mengaji...’ Aku mencari penjelasan.
‘ We were looking for air paip..’ Lee Keong menambah.
‘ Tak mengaji.. memang hang tak mengaji... di Utarak.... Mengaji ertinya sekolah... kat Jelebu mengaji baca Quran... ‘ Azahar yang sudah fasih dengan lorat Utara cuba bercakap seperti Orang Utara.
‘ Ayek hang tau.. Niok hang tahu...’ Azahar terus ketawa mengejek bahasa Utara. Mrs Ali hanya tersenyum.
Lepas makan Azahar datang ke bilik tidur kami. Dia menghisap rokok. Mungkin dia tak mahu Mrs Ali mengetahui yang dia perokok.
‘ Kangar ni tak da apa-apa... pergi Padang Besar tengok pekan Siam... aku dah selalu pergi...naik bas tak sampai sejam ... dah sampai...’ Azahar menjadi pemandu pelancong.
‘ Ada apa di Padang Besar... what to see...’ Lee bertanya.
‘ Pekan Siam...’ Azahar menjelaskan.
‘ Boleh masuk.... tak da pasport.. tak kena tangkap...’ Aku bertanya.
Malam itu di atas bantal sebelum lelap aku terbayang pekan koboi Padang Besar. Abang di Kedah beri cadangan lawat Padang Besar. Pemuda China beri cadangan yang sama. Azahar sendiri dah pernah sampai ke Padang Besar. Alang-alang dah sampai Kangar tak mencuba nyeludup lintas sempadan tak cukup syarat berjalan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/06/01/sasaran-akhir-kangar/
Sham, sampai Kangar ada nampak kereta perisai kat luar tulis UPP? Tau tak UPP tu apa? Tahun 80an saya pertama kali sampai Kangar atas urusan kerja, bila nampak kereta perisai tulis UPP saya tanya kawan sekerja yang bertugas diKangar nama dia Wan "Wan UPP tu apa?" Dalam selamba dia jawab "Uloq Plan Plan" saya tak faham saya tanya dia" apa uloq plan plan?"dia jawab " kalau hang seludup beras hang kena tangkap hang uloq plan plan, han lepas lah, Unit Pencegah Penyeludupan jadi Uloq Plan Plan....ha ha ha
BalasPadam