Saya tak kenal, tak tahu siapa UKSB, kata Reezal Merican
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican menafikan menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kerana beliau tidak pernah kenal dan tidak pernah tahu mengenai syarikat itu, lapor Astro Awani.
Beliau membuat penafian itu selepas namanya disebut, dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu, menerima dana politik daripada UKSB.
“Saya nak menyatakan dengan jelas saya tak pernah terima apa-apa dana politik daripada UKSB malahan saya pun tak kenal dan tak pernah tahu pun UKSB sebelum ini sehinggalah sekarang apabila disebut dalam kes.
“Sebagai ahli politik dan sebagai rasa tanggungjawab saya bersedia untuk memberi kerjasama dan keterangan yang diperlukan dan juga terbuka untuk disiasat.
“Saya nak ulangi, saya tak kenal UKSB, saya tak pernah tahu, macam mana saya nak terima sumbangan daripada syarikat yang saya tak pernah kenal?” katanya, dipetik Astro Awani di Kepala Batas.
Selain Reezal, ahli politik yang dinamakan dalam keterangan saksi itu ialah Muhyiddin Yassin, Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal, Khairy Jamaluddin, dan Anifah Aman.
Semua menteri dan bekas menteri itu masing-masing menafikan dakwaan mereka menerima dana daripada syarikat berkenaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap mereka yang didakwa menerima wang daripada UKSB.
Beberapa peguam bagaimanapun mempersoalkan kenapa agensi antirasuah itu baru hendak menyiasat sekarang tetapi tidak sebelum ini, ketika kes terhadap Zahid disiasat semasa Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya. – 21 Jun, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan