Mahkamah bukan kedai kopi, timbalan pendakwa raya tegur Zahid
PIHAK pendakwaan hari ini menegur Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menjadikan mahkamah seperti ‘kedai kopi’ atau mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semasa menjawab soalan dalam perbicaraan kes yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran membuat teguran itu apabila Zahid berkali-kali tidak menjawab soalan secara spesifik dan mahu memberi penjelasan, sedangkan pendakwaan tidak meminta berbuat demikian.
Soalan yang diajukan Raja Rozela adalah adakah bekas timbalan perdana menteri itu bersetuju bahawa bekas setiausaha eksekutifnya Mej Mazlina Mazlan @ Ramly tidak boleh sentuh wang dalam akaun simpanan tetap di Tetuan Lewis & Co.
Selepas beberapa kali Raja Rozela bertanyakan soalan itu dan menegur supaya menjawabnya secara spesifik, Zahid akhirnya menjawab “Setuju”.
Raja Rozela kemudian mengucapkan “Terima kasih, terima kasih Datuk Seri, terima kasih banyak, manakala Zahid menjawab “Terima kasih kepada anda juga”.
Berasa sinis dengan jawapan Zahid itu, Raja Rozela kemudian berkata “Hati-hati Datuk Seri. Datuk Seri dekat dalam mahkamah ya, bukan dekat kedai kopi, bukan dekat majlis tertinggi, saya ingatkan anda sebagai pegawai mahkamah”.
Sebelum itu, Raja Rozela turut menegur Zahid apabila beliau mengelak untuk menjawab soalan secara spesifik berkenaan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dipindahkan ke akaun simpanan tetap Lewis & Co.
“Datuk Seri kena belajar untuk hormat mahkamah Datuk Seri ya. Bila saya tanya soalan dan soalan itu adalah spesifik, Datuk Seri tolong lah jawab soalan itu secara spesifik melainkan saya suruh Datuk Seri memberikan penjelasan.
“Saya adalah pegawai mahkamah Datuk Seri. Saya dan rakan bijaksana saya, peguam-peguam Datuk Seri adalah pegawai mahkamah. Kami menjalankan tugas untuk menjalankan prosiding ini untuk mahkamah ini Datuk Seri. Saya minta sangat-sangat Datuk Seri tolong lah fokus, kalau tidak sampai malam kita di sini (mahkamah),” tegas Raja Rozela.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid bangun dan menyatakan anak guamnya perlu diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata pendakwaan memberikan pandangan sedemikian kerana Zahid tidak menjawab soalan secara spesifik, sebaliknya memberikan penjelasan.
“Kadangkala saksi diberikan peluang untuk memberikan penjelasan, tetapi apabila ditanya sama ada saksi setuju atau tidak, saksi hanya perlu menjawab sama ada setuju atau tidak. Oleh sebab itu pendakwaan berpandangan begitu,” kata Hakim Sequerah.
Pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik YAB selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung. – Bernama, 30 Jun, 2022.
Wak jahit tu orang terpelajar sebab tu boleh dapat gelaran doktor. Anwar yg mengaku cerdik tu pun tak boleh dapat gelaran doktor. Seorang cerdik pandai bila dalam mahkamah boleh buat lawak bodoh. Apakah dia benar² melawak atau benar² bodoh. Aku tak paham lah apakah universiti putar Malaysia mengeluarkan doktor² yang pandai buat lawak bodoh ataupun mengeluarkan doktor² yang benar² bodoh.
BalasPadam